Wednesday, 9 November 2016

Pekan 'Berhantu' Kampung Kepayang, Ipoh....

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang....hari aku nak citer sikit tentang satu pekan yang dahulunya sangatlah gah dengan aktiviti perniagaan dengan adanya bangunan batu yang ketika dulunya sangatlah moden pada eranya.

Di Ipoh nii.... terdapat dua Kampung Kepayang: yang pertama berdekatan Fair Park dan Stadium Perak dan keduanya di Mukim Sungai Raia, menuju ke Gopeng. Entri aku ini merujuk kepada Kampung Kepayang yang kedua.



Pemandangan hadapan rumah kedai Kampung Kepayang dimana terdapat rumah kedai yang telah runtuh

Kampung Kepayang merupakan pekan yang menempatkan sungai besar iaitu Sungai Raia yang berpunca dari Tanah Tinggi Kinta dan persimpangan Pulai. Kedudukannya yang sangat hampir dengan simpang ke Lebuhraya Utara Selatan exit Simpang Pulai pastinya Pekan Kampung Kepayang ini mudah korang nak pergi.



Di Sungai Raia ini dahulunya ada sebuah pengkalan (jeti) iaitu Pengkalan Baru yang terdapatnya bazar yang dipelopori oleh orang Cina dan orang Rawa. Kawasan ini sangat pesat dengan aktiviti perlombongan bijih timah menyebabkan deretan kedai ini dibina.




Pemandangan hadapan rumah kedai Kampung Kepayang yang mempunyai fasad menarik

Walaupun ianya sebuah pekan kecil tetapi memberi pulangan yang sangat mewah dengan pentadbiran bijak penghulu Toh Domba bin Toh Tua. Beliau yang telah bertanggungjawab membangunkan perlombongan bijih timah kat sini. Bijih timah yang dilombong di sini akan dibawa melalui Sungai Raia ke Batu Gajah pada masa itu. Di sini juga bot-bot besar berlabuh bagi menjalankan perdagangan. 
Kedai guntung rambut yang masih kekal

Aku difahamkan.... Pekan Kampung Kepayang ini telah dibuka pada tahun 1800an oleh Toh Domba dan merupakan pekan tertua di Kinta yang lengkap dengan kedai, pasar dan masjid yang mana masih ada sehingga sekarang. Kekayaan yang diperolehi oleh Toh Domba telah membolehkan beliau membina kediaman besarnya di pinggir Kampung Kepayang. 


Pekan Kg. Kepayang merupakan persinggahan diantara laluan pengangkutan  hasil lombong melalui jalan darat dari Chenderiang, Kampar, Pulai, Gopeng dan Ipoh. Sebahagiannya akan menggunakan jalan sungai melalui Pengkalan Baru di Sg. Raya ke Sg. Kinta dan Sg. Perak.

Pemandangan hadapan (kiri) deretan kedai di Kampung Kepayang yang semakin usang

Pada pertengahan sehingga lewat abad ke 19 terdapat banyak kawasan lombong bijih di sekitarnya yang menarik kedatangan pekerja-pekerja lombong yang ramai terdiri dari orang-orang Cina. Pekan Kg. Kepayang sebagai tempat persinggahan dan perniagaan telah mendorong pekan membina bangunan-bangunan kedai secara berperingkat-peringkat. Ia dibina oleh tukang-tukang Cina dan dimiliki peniaga-peniaga tempatan dan tauke-tauke Cina. Pekan ini telah dijadikan sebagai pusat perniagaan dimana penduduk sekeliling mendapatkan barangan keperluan dan menjual hasil pertanian seperti getah sehingga tahun 1970-an.


Pemandangan hadapan (kanan) deretan kedai di Kampung Kepayang yang ditumbuhi pokok-pokok liar

Kat kampung ini terdapatnya dua deretan rumah kedai yang hampir semuanya telah terbiar dan hanya tinggal dua atau tiga buah rumah kedai sahaja yang masih digunakan lagi. Laluan sempit di hadapan deretan kedai ini menjadi punca kesesakan pada waktu puncak antara Ipoh menuju Gopeng dan juga Kampar. 

Disebabkan jalan di sini menjadi sibuk dan tiadanya tempat meletak kenderaan di bahu jalan, keadaan ini menyukarkan lagi penduduk untuk membuat urusan jual-beli. Oleh itu kedai-kedai di sepanjang jalan ini semakin terjejas perniagaannya dan terpaksa gulung tikar. Lama-kelamaan rumah kedai ini dibiarkan kosong oleh pemiliknya.

Pemandangan bahagian belakang rumah kedai Kampung Kepayang

Bangunan rumah kedai ini berusia kira-kira 130 tahun atau mungkin lebih berdasarkan temubual dengan seorang pemilik kedai di sini. Keadaan fizikal bangunan dan persekitaran yang usang lagi menyeramkan serta terdapatnya pokok-pokok ara yang menumpang hidup di rekahan dinding bangunan ini menyebabkan suasananya menjadi menakutkan. Ada di kalangan penduduk tempatan menggelarnya sebagai ‘pekan hantu’ atau 'pekan zombi'.


Rekabentuk tingkap labuh/panjang digunakan di salah sebuah rumah kedai di sini

Walaupun ia sebuah pekan tinggal, namun struktur bangunan ini sangat cantik dan masih lagi tegak berdiri. Rumah kedai dua tingkat ini mempunyai fasad dan struktur tingkap yang menarik. Bangunannya juga memanjang ke belakang dan mempunyai laluan pejalan kaki di bahagian hadapan kedai. Ada juga sebahagiannya yang telah runtuh menyembah bumi.



Tangga menuju ke tingkat atas yang terdapat dalam rumah kedai di sini
Walaupun Kampung Kepayang telah menjadi sebuah pekan hantu, namun alamat bagi kawasan itu yang berposkod 31300, termasuk Simpang Pulai, masih bertulis "Kampung Kepayang" sebagai nama pekan atau bandar. Ini adalah kerana surat yang dihantar ke kawasan ini adalah ditangani oleh Pejabat Pos Kampung Kepayang yang kini telah berpindah ke Simpang Pulai. Di sini juga terdapat sebuah kedai gunting rambut dan sebuah masjid iaitu Masjid Ahmadiah yang masih beroperasi. 

Penduduk asal Kampung Kepayang ini mengusahakan dusun buah-buahan seperti durian, rambutan, nangka, langsat, manggis, pisang dan lain-lain. Pada masa dahulu, dangau akan dibina apabila tibanya musim durian tengah lebat. Buah-buahan ini akan dijual di tepi-tepi jalan kampung ini.

Perigi yang digunakan oleh penghuni rumah kedai ini masih ada

Menurut beberapa maklumat yang diperolehi.... di sini terdapat keturunan anak Raja Bugis dan pembesar Perak yang terkenal iaitu Daeng Selili yang hidup hampir 300 tahun dahulu. Anak Raja Bugis yang menjadi adik ipar Sultan Perak ketika itu, Sultan Muzaffar Shah III (memerintah 1728-1754) menjadi pengiring Sultan dan sebagai mufti negeri yang bergelar "Haji Besar". Anak Bugis ini juga pahlawan utama, bergelar "Datuk Maharajela Pancung Tak Bertanya".


Rumah kedai ini mempunyai ruang yang panjang ke belakang

Pada asalnya Kerajaan Negeri Perak bercadang untk merobohkan deretan rumah kedai ini bagi melebarkan jalan tetapi mendapat bantahan daripada penduduk tempatan dan juga peminat-peminat sejarah. 



Sebahagian rumah kedai dua tingkat ini ada yang menggunakan binaan batu dan juga kayu

Akhirnya Kerajaan Negeri Perak membuat keputusan untuk membaikpulih bangunan-bangunan lama ini bagi tujuan pelancongan dan mungkin deretan kedai di kiri kanan Jalan Persekutuan Kampung Kepayang ini akan hidup semula kerana rumah kedai tersebut adalah kesan tinggalan sejarah kepada industri bijih timah di Perak.



Rekaan fasad dan tingkap yang cantik masih jelas kelihatan

Bagi aku... Pekan Kampung Kepayang Sungai Raia ini bukanlah pekan 'berhantu', sebenarnya ia lebih kepada nostalgia sejarah zaman dahulu. Cuba keadaannya yang terbiar sepi dimamah usia menyebabkan tumbuhan liar semakin bermaharaja lela ke atas bangunan ini dan semakin usang hari ke hari. Tetapi sekiranya dalam jiwa kita ada kesenian... kita akan nampak bangunan ini sesuatu yang indah dengan memorinya. Sehingga ada yang shoting gambar perkahwinan mereka berlatar belakangkan deretan kedai yang penuh dengan kesan sejarah ini. 


Sekian.

No comments:

Post a comment