Monday, 21 November 2016

Muzium Insitu Jugra Pernah Menjadi Rumah Pasung

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang...Semoga sihat-sihat dan ceria-ceria selalu yea. Entri aku hari nii mengenai satu bangunan bersejarah yang terletak di tempat yang sangat bersejarah di Negeri Selangor. Bangunan ini terletak di Jugra dalam daerah Kuala Langat, Selangor. Antara lokasi yang berhampirannya ialah Pulau Carey, Kampung Kanchong Darat, Banting, Jenjarom dan Sungai Buaya dan Bandar. Kedudukan Jugra menghadap ke Selat Melaka dan berdekatan dengan muara Sungai Langat. Jugra juga meliputi kawasan Bukit Jugra, Pantai Kelanang, Kampung Sungai Arak dan Kampung Chodoi.


Bukit Jugra pernah dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad yang memerintah negeri Selangor dari tahun 1859-1898. Rumah api Bukit Jugra dibina di puncak Bukit Jugra. Sampan, perahu dan tongkang yang membawa bijih timah dari Kajang, Balakong, Hulu Langat, Semenyih dan lain-lain dibawa keluar melalui Sungai Langat dengan membayar cukai di Jugra. 


Bukit Jugra merupakan tempat strategik kerana berhampiran dengan laut, menghadap perairan Selat Melaka dan ingin dimajukan sebagai kota maritim. Bukit Jugra berasal dari sebuah perkampungan kecil Melayu yang bernama Tanjung Kera. Terdapat banyak kera di sini iaitu dari jenis primate hutan pantai. Kera tidak begitu sesuai dengan status baru kawasan istana lalu ianya ditukar nama kepada Bandar Temasya.



Bukit Jugra ada 3 punca bukit yang menempatkan:
1.     Makam-makan diraja Selangor.
2.     Bangunan lama untuk para pembesar dan kerabat diraja Selangor.
3.     Rumah Api
4.     Istana Bandar
5.     Balai Polis atau Rumah Pasung atau Penjara Lama

Aku sebenarnya nak cerita tentang Balai Polis atau Rumah Pasung dan Penjara Lama.....yang dibina sejak Zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad semasa Jugra berfungsi sebagai pusat pemerintahan Kesultanan Selangor untuk menempatkan pesalah pada ketika itu. Bangunan ini terletak kira-kira 50 meter daripada Pengkalan Batu Hampar.


Bangunan ini telah dibina oleh Kapten Harry Charles Syers seorang Pegawai Polis British pada tahun 1875. 

Keunikan bangunan ini adalah pada binaan batu pejalnya (granit) yang dipotong berbentuk empat segi serta menggunakan satu teknologi baru. Bahagian atas bangunan ini digunakan sebagai mahkamah dan bahagian bawah sebagai penjara bagi menempatkan pesalah­-pesalah yang telah dijatuhkan hukuman dan digunakan sehingga tahun 1890 apabila Penjara Pudu dibina.


Penjara ini merupakan penjara pertama di Selangor yang membuktikan bahawa sejak awal lagi Negeri Selangor telah melaksanakan sistem pemerintahan yang adil dan saksama. serta hidup di bawah undang-undang berkerajaan. Penjara ini adalah sebuah bangunan dua tingkat yang berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan hukuman menerusi sistem kehakiman British yang digunapakai pada ketika itu.


Penjara Jugra telah ditemui oleh ahli arkeologi Muzium Negeri Selangor pada tahun 2000. Kerja­-kerja pemuliharaan telah dijalankan dan dibuka pada bulan Disember 2007 oleh pihak Lembaga Muzium Selangor (PADAT) dan dijadikan sebagai Muzium Insitu Jugra. 

Pada 24 Mac 2012, Muzium Insitu Jugra telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Y.B Tan Sri Dato’ Sri Mohd Khalid Ibrahim. Muzium ini mempunyai tiga buah balai pameran yang mempamerkan pelbagai maklumat mengenai daerah Kuala Langat, sejarah pemerintahan kesultanan Selangor di Kuala Langat termasuklah hasil kerja-kerja ekskavasi di kawasan sekitarnya seperti strukur binaan penjara, mahkamah mini, perigi lama dan lain-lain.



Muzium Insitu Jugra mempunyai tapak khas pameran luar dimana terdapat sebuah kereta perisai model GMC 15 CWT yang telah digunakan oleh Polis Persekutuan Tanah Melayu ketika zaman darurat (sekitar tahun 1948-1960). Kereta perisai ini diletakkan di bahagian hadapan muzium dan ia menjadi tarikan utama pengunjung di sini.




(Sumber: Utusan Online)
Musium Insitu yang dibangunkan di atas tapak runtuhan balai polis lama Jugra seumpama pusat sehenti bagi mereka yang ingin memulakan pengembaraan sejarah di mukim Jugra. Bagi penulis, bekas rumah pasung itu adalah tempat pertama yang harus dituju untuk mendapatkan gambaran keseluruhan mengenai lokasi-lokasi menarik yang ada di sekitar Jugra.

Muzium Insitu Jugra terletak kira-kira 300 meter dari kaki Bukit Jugra. Antara lokasi menarik yang terletak berhampiran dengannya adalah setor peluru, tapak perigi lama, makam Diraja, pejabat daerah lama dan tinggalan istana Sultan Abdul Samad. Muzium yang dibina oleh Kapten Harry Charles Syers pada 1878 itu sendiri mempunyai sejarah yang begitu dekat dengan Jugra. Rumah pasung itu dipercayai merupakan balai polis pertama di Selangor sebelum institusi polis bertapak di Bukit Aman.


Sebagai pusat perundangan dan kehakiman, ia juga dipercayai pernah digunakan sebagai penjara bagi menempatkan pesalah sebelum dibicarakan. Selain menjadi lokap sementara kepada pesalah, ada juga yang mempercayai bangunan itu pernah digunakan sebagai tempat melaksanakan hukuman gantung. Dakwaan itu dibuat berdasarkan kewujudan sebuah bilik kecil yang misteri bersebelahan dengan gerigi lokap. Walaupun tidak dibuktikan secara bertulis, dakwaan itu bukan sesuatu yang mustahil malah jika diambil kira peranan kompleks perundangan itu, ia adalah tempat yang paling sesuai.


Penduduk Kampung Permatang Pasir, Nazaruddin Mohd. Shahar, 52, yang juga bekas pengawal keselamatan muzium itu berkata, berdasarkan pengalaman empat tahun bertugas di situ beliau percaya bangunan tersebut pernah digunakan sebagai tempat mengantung pesalah. Dakwaan beliau itu dibuat berdasarkan bayangan serta gambaran yang dialami beliau dan beberapa orang rakan setugas semasa sedang berbaring di tingkat atas bangunan berkenaan.


Nazaruddin berkata, dalam kejadian pada pukul 2 pagi kira-kira tujuh tahun lalu itu, beliau terdengar perbualan sekumpulan manusia di tingkat bawah sedangkan pada waktu itu semua pengawal berada di tingkat atas. "Seperti biasa kami akan naik ke tingkat atas pada pukul 1 pagi untuk berehat sambil teman rakan setugas tidur secara bergilir-gilir. "Kami berada betul-betul setentang dengan penjara di tingkat bawah. Bahagian bawah memang kosong dan pintu utama sentiasa berkunci,'' katanya ketika ditemui.

Katanya, sejurus selepas mendengar perbualan beberapa orang lelaki dan hentaman pintu penjara ditutup, lantai tempat mereka berbaring terasa bergoyang seperti dihenjut dari bawah. "Bunyi orang bersembang itu agak kuat macam siang hari cuma tidak jelas apa yang dituturkan mereka. "Tidak lama kemudian saya rasa lantai bergoncang dari bawah. Bila reda terdengar pula bunyi dengusan seperti lembu disembelih,'' katanya.


Nazaruddin berkata, beliau percaya kejadian yang dialami itu merupakan bayangan kepada kejadian sebenar yang pernah berlaku di rumah pasung berkenaan. "Pengalaman mendengar perbualan sang algojo yang datang melaksanakan hukuman gantung itu masih kekal dan tidak mungkin dilupakan,'' ujarnya. Lebih menyakinkan beliau adalah kerana kejadian yang sama berulang sebanyak tujuh kali sebelum beliau meninggalkan tugas sebagai pengawal keselamatan di situ kira-kira dua tahun lalu. Sebahagian daripada pengalaman misteri yang pernah dialami Nazaruddin di sekitar Jugra turut dikongsi di laman blognya www.arashmisteri.blogspot.com.


Muzium ni merupakan pertama kalinya aku pergi...memang aku rasa seronok sangat kerana ia merupakan muzium insitu. Kesan-kesan peninggalan sejarah masih banyak terdapat di sini lagi. Walaupun kedudukannya agak jauh kedalam tetapi apabila melihat bangunan ini...aku rasa sangat teruja. Banyak ilmu pengetahuan yang aku dan korang boleh perolehi di sini. 


Muzium Insitu menempatkan tiga ruang galeri, yakni Galeri A, Galeri B dan Galeri C. Galeri A memuatkan sejarah dan kronologi perkembangan daerah Kuala Langat tentang asal usul Kuala Langat, sejarah Jugra, sejarah Polis Selangor, sejarah Rumah Pasung, zaman kesultanan dan salasilah Kesultanan Selangor. Ruang di Galeri B pula mempamerkan kerja-kerja ekskavasi dan arkeologi Rumah Pasung dan kerja-kerja konservasi Rumah Pasung yang dijalankan oleh pihak pengurusan Lembaga Muzium Selangor bermula dari tahun 2000 sehingga ia diwujudkan sebagai Muzium Insitu Jugra. Manakala Galeri C pula memuatkan tinggalan sejarah dan tapak warisan Kuala Langat yang seperti Istana Bandar, Masjid Sultan Ala’eddin, Pejabat Lama Daerah Kuala Langat, Makam Di Raja Jugra, Istana Sultan Ala’eddin, Perigi Lama, Stor Peluru dan Sekolah Bandar.


Pada tanggal 19 November 2002, bangunan ini telah diwartakan oleh Jabatan Warisan Negara sebagai bangunan warisan.

Sekian.

No comments:

Post a comment