Friday, 18 November 2016

Masjid Panglima Kinta Bercirikan Mongul

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua.....dah 6 hari rasanya aku tak sempat nak updated citer. Sibuk dengan kursus dan kerja luar. Ok laa hari ni aku nak citer pasal satu masjid nii yang sangat laa femes di kalangan pelancong dan penduduk tempatan. masjid ni juga sangat menyerlah kerana senibinanya dan juga warna cat yang digunapakai. Masjid ini antara masjid yang terlama di Ipoh dan kekal penggunaannya sehingga laa sekarang.

Kalau korang bukan orang Ipoh...mungkin agak sukar sedikit nak cari masjid ini kerana kedudukannya yang agak tersorok tetapi dengan kemudahan google map...korang dengan mudah dapat jejak masjid ini. Masjid ini tereltak berhampiran dengan Sungai Kinta. Masjid yang aku maksudkan ini ialah...Masjid Panglima Kinta.




Masjid Panglima Kinta merupakan sebuah masjid yang terletak dalam daerah Ipoh, Perak. masjid ini juga telah diwartakan sebagai bangunan warisan Negeri Perak. Masjid Panglima Kinta telah dibina pada 1898 oleh Datoh Panglima Kinta Muhamad Yusuff bin Lassam. Dalam tahun itu juga isteri kepada Datoh Panglima Kinta yang bernama Saaidah bt. Chik telah meninggal di Ipoh dan Masjid ini dibina untuk memperingati isteri beliau yang tercinta.

Menurut catatan sejarah, masjid ini yang pertama sekali didirikan di Ipoh iaitu pada tahun 1898 Masihi. Bahan yang digunakan untuk mendirikan masjid ini ialah daripada batu pejal.




Masjid ini telah dibina dengan menelan kos sebanyak $15,000. Selepas beberapa tahun, terdapat beberapa penambahan iaitu kawasan perkuburan untuk ahli keluarga Panglima Kinta dan sebuah madrasah untuk kelas-kelas pengajian didalam kawasan masjid tersebut. Dan selepas beberapa tahun lagi, penambahan tempat berwudhuk, balai lintang dan rumah untuk pegawai masjid dibina. 

Kompleks masjid ini dibina di atas tanah seluas 45,000 kaki persegi berhampiran dengan sungai kinta. Masjid ini telah diwartakan sebagai bagunan warisan pada tahun 2012 oleh Jabatan Warisan Negara.




Panglima Kinta ialah ketua kawasan Kinta ("Lord of Kinta") dan merupakan satu daripada 8 orang-orang besar. Panggilan penuh bagi Datoh Panglima Kinta ialah 'Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja'. Kini tugas Panglima Kinta ialah sebagai mata dan telinga dan sebagai penasihat Sultan mengenai agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Masjid ini menerapkan rekabentuk Kolonial British yang dicampur dengan Motif Moghul dan Neoclassical (rekabentuk dari Rom dan Greek). Masjid ini mempunyai sebuah kubah yang diapit oleh dua buah menara.


Masjid Panglima Kinta ini dibina dengan menggunakan batu bata dan plaster. Masjid ini mempunyai porch yang kini telah dibina untuk penambahan ruang solat. Melihat bangunan masjid ini, ia telah direkabentuk dengan menggabungkan senibina Mogul dan Neoclassical. Ia memiliki dua menara, anjung dan kubah batu di sebelah timur. Menurut catatan sejarah, masjid ini yang pertama sekali didirikan di Ipoh iaitu pada tahun 1898 Masihi.

Berbicara mengenai asal usul dan salasilah Dato' Panglima Kinta ini bermula sejak zaman pemerintahan Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah. Keluarga pembesar Melayu ini dikatakan mempunyai pertalian darah Diraja Perak apabila Sultan Mansur Shah telah mengahwini seorang anak gadis kepada ketua orang Asli di Sungai Kinta (kini Ipoh). Baginda Sultan juga telah menitahkan bahawa putera baginda itu kelak akan dilantik memerintah kawasan ini dengan gelaran 'Maharaja Kinta'.




Selain itu, terdapat satu lagi versi yang membicarakan tentang asal usul pembesar Melayu ini yang mengatakan bahawa gelaran ini bermula dengan kedatangan Kulop Kinta dari Sumatera pada abad ke-16 ke daerah ini. Kulop Kinta ini telah membuka daerah ini lalu dianugerahkan oleh Sultan Perak dengan gelaran Dato' Panglima Kinta.


Sebagai pembesar berlapan di negeri Perak, Dato' Panglima Kinta memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Perak dan hieraki sosio-politik masyarakat Melayu. Namun kehadiran kuasa British di Perak khususnya di Kinta pada tahun 1878 telah mengurangkan sedikit kuasa sosio-politik pembesar ini di daerah yang kaya dengan bijih timah ini.

Kedudukan jauh pegawai daerah British di Batu Gajah, Residen British di Taiping dan Sultan Perak di Kuala Kangsar telah menyebabkan Dato' Panglima Kinta masih mempunyai kepentingan mentadbir Kinta. Hal ini ditambah dengan perkembangan industri perlombongan bijih timah di Kinta yang baru sahaja meningkat maju. Dato' Panglima Kinta ketika itu, Dato' Panglima Kinta Mohammad Yussuf (1884-1903) telah menggalakkan kedatangan imigran Cina ke Kinta dan membuka bandar Ipoh. Pada tahun 1890an, beliau merupakan antara orang Melayu yang terkaya di Tanah Melayu.


Hari ini, gelaran pembesar Melayu Perak ini masih dikekalkan dan berperanan penting dalam hal ehwal masyarakat Melayu di Kinta. Kuasa Dato' Panglima Kinta kembali kukuh kerana beliau juga merupakan Orang Besar Jajahan Kinta kini.

Kawasan perkampungan di Gunung Cheroh dan sekitarnya menjadi kepunyaan Kulup Kinta kerana dia orang paling awal meneroka hutan di situ. Nama Kulup Kinta lama-kelamaan semakin dilupakan kerana digantikan dengan gelaran Dato’ Panglima Kinta oleh sultan Perak. Dato’ Panglima Kinta yang pertama ialah Tuk Tambak bin Maharaja Nara Wangsa Nyiur Manis.


Salah seorang ahli keturunan Kulup Kinta yang bernama Muhammad Yusuf telah dilantik menjadi Dato’ Panglima Kinta ke-10. Dia salah seorang Orang Besar Lapan Perak dan diberi hak untuk menuntut 10 peratus daripada hasil bijih timah yang dilombong di jajahannya. Dia juga pelombong bijih timah di Lahat, menurut Khoo Salma Nasution dan Abdul-Razzaq Lubis dalam Kinta Valley: Pioneering Malaysia’s Modern Development.


Di bahagian hadapan masjid ini didirikan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah Kamaliah, sebuah sekolah Arab yang pertama di Ipoh. Terdapat juga kawasan perkuburan berdekatan masjid yang dikhaskan hanya untuk kaum kerabat Dato’ Panglima Kinta.



Masjid ini mempunyai sejarah yang tinggi kepada Negeri Perak semasa perindustrian bijih timah. Oleh itu, usaha dalam mengekalkannya haruslah dipertingkatkan supaya masjid ini terus terpelihara tanpa menghilangkan senibinanya yang asal. Sebarang penambahbaikkan hendaklah dirancang dengan sebaiknya mengikut garis panduan pemuliharaan bangunan warisan. 

Sekian.

2 comments:

  1. Assalamualaikum. Boleh saya tahu Masjid Panglima Kinta ini dibawah kelolaan siapa?

    ReplyDelete
  2. Waalaikummussalam. Nanti sy cuba check dan dapatkan info yea..

    ReplyDelete