Thursday, 10 November 2016

Mahkamah Lama Berusia 120 Tahun Di Teluk Intan

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Sihat tak hari nii? Aku sentiasa doakan semoga korang semua berada dalam keadaan yang sihat walafiat. Kalau korang ke Teluk Intan... salah satu bangunan yang bersejarah terdapat di sini ialah Mahkamah Lama Teluk Intan. Menurut sumber lisan latar belakang Mahkamah Lama Teluk Intan asalnya adalah sebuah gereja yang dibina pada tahun 1891-1893. Dua tahun kemudiannya bangunan gereja ini telah berpindah ke sebuah bangunan yang dikenali sebagai Gereja St. Luke di Jalan Anderson (sekarang dikenali sebagai Jalan Sekolah).

Pandangan hadapan dari pintu masuk utama
Menurut sumber lain juga mengatakan bangunan ini telah dibina dalam tahun 1880-1909. Pada masa tersebut bangunan ini telah digunakan oleh mahkamah pada hari isnin hingga sabtu manakala manakala pada hari ahad pula ianya digunakan sebagai gereja. 

Bangunan ini digunakan sehinggalah mahkamah baru dibina pada tahun 1981-1983. 

Kedudukan mahkamah ini yang terletak di tanah rendah menyebabkan kawasan ini pernah ditenggelami air ketika kejadian air pasang atau pun semasa banjir kerana di bahagian belakang bangunan ini terdapatnya sungai. 

Kejadian ini menyebabkan  ular dan serangga berbisa seringkali memasuki bangunan.

Mahkamah ini telah ditukar fungsi sebagai pejabat pentadbiran bagi Wataniah
Teluk Intan

Terdapat peristiwa pada masa perbicaraan sekitar tahun 1960 di mana seekor ular telah memasuki mahkamah dan mengganggu perbicaraan kes yang sedang berlangsung. Peristiwa sama turut berlaku sekitar tahun 1966 dan 1968, malah pada tahun 1979 seekor ular telah dijumpai di dalam laci seorang Juru Bahasa Cina. 


Mahkamah Teluk Intan merupakan mahkamah yang penting dan sibuk di Negeri Perak kerana mahkamah ini turut mengendalikan kes-kes di Daerah Hilir Perak.

Penambahan wakaf dibina untuk kemudahan pengguna di sini
Selain itu, mahkamah ini juga berperanan mengawal dan menyelia mahkamah lain seperti Mahkamah Tanjung Malim, Slim River, Sabak Bernam dan Kuala Kubu Bharu kerana tidak terdapat Mahkamah Majistret di tempat-tempat tersebut. 


Sebagai langkah untuk mengatasi kesibukan Mahlamah Teluk Intan maka Jabatan Kehakiman ketika itu telah membuat perancangan untuk membina sebuah mahkamah baru. Rundingan mengenai rancangan ini telah bermula sejak tahun 1978. Akhirnya satu persetujuan telah dicapai untuk membina mahkamah baru. Lokasi mahkamah baru ialah di Jalan Changkat Jong.

Koridor berbumbung dengan hiasan tiang-tiang yang menyerlahkan lagi senibina kolonial pada bangunan ini

Pada tahun 2005, bangunan ini pernah dilakukan kerja-kerja pemuliharaan oleh Jabatan Muzium Dan Antikuiti merangkumi semua struktur. Bangunan ini bercirikan rekabentuk kolonial yang dicat putih dan hitam.

Penambahan bangunan baru di bahagian belakang mahkamah ini

Bangunan mahkamah ini telah disewakan oleh Pejabat Tanah Persekutuan kepada pasukan Wataniah untuk dijadikan sebagai pejabat pentadbiran pada tahun 2012. Di hadapan bangunan ini tertera papan tanda "AMARAN: Tanah milik Persekutuan. Kegunaan Angkatan Tentera Malaysia. Penceroboh akan didakwa".


Mahkamah ini asalnya gereja sebab itu bumbungnya sangat tinggi

Pada tahun 2005, bangunan ini pernah dilakukan kerja-kerja pemuliharaan oleh Jabatan Muzium Dan Antikuiti merangkumi semua struktur. Bangunan ini bercirikan rekabentuk kolonial yang dicat putih dan hitam. 

Bangunan ini kini ada penggunaannya setelah terbiar beberapa tahun selepas kerja-kerja pemuliharaan dilakukan kerana status pemilikan. Semoga bangunan ini terus berdiri megah dengan usaha daripada pihak-pihak kerajaan mahupun masyarakat setempat.

Sekian.

No comments:

Post a comment