Wednesday, 2 November 2016

Batu Bersurat Terengganu Telah Berusia 700 Tahun....

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Apa khaba rkorang hari nii. Aku harap korang berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Entri hari nii... aku nak bawa korang gi ke Terengganu......berkaitan dengan Batu Bersurat pula.... dimana sebuah memorial telah dibina berhampiran tempat asal batu bersurat ini dijumpai. Ini adalah kali ke dua aku menjejakkan kaki ke sini. Kali pertama memorial ini belum siap dibina lagi.

Memorial Batu Bersurat ini terletak di Kampung Buluh, Kuala Berang di Hulu Terengganu iaitu 55 km dari pusat bandaraya. Untuk korang sampai ke sini tidaklah susah sangat kerana papan tanda sentiasa ada disepanjang bahu jalan.

Memorial Batu Bersurat ini......dibina pada Oktober 1989 dan siap pada tahun 1990 di atas tanah seluar 6.12 ekar. Memorial ini telah dirasmikan oleh Y.A.B Dato’ Seri Amar Diraja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu pada 13 April 1992.”

Pada papan penerangan yang dibina di bahagian luar bangunan.... menerangkan :

Memorial ini didirikan berhampiran dengan tapak asal penemuan Batu Bersurat Terengganu. Pembinaannya adalah bertujuan memperingati penemuan Batu Bersurat oleh orang-orang kampung pada tahun 1887. Ada juga yang mengatakan bahawa Batu Bersurat ditemui oleh seorang pedagang Arab bernama Said Husin bin Ghulam Al-Bokhari yang datang dari Riau, Indonesia pada tahun 1902.



Sejarah mengatakan.... Pada tahun 1887, Batu Bersurat telah dijumpai di kawasan Padang Tara, di tebing Sungai Tara, di Kampong Buloh, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut. Kemudian pada tahun 1902, Batu ini dijumpai pula oleh Saiyed Husin Bin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan, di bahagian tangga surau Kampung Buloh yang dijadikan sebagai alas bagi membasuh kaki. Batu itu telah patah sebahagian daripadanya di bahagian sebelah atasnya.

......Pada tahun 1902, Saiyed Husin Ghulam al Bukhari singgah di masjid Kampong Buloh untuk menunaikan sembahyang zohor. Bila sampai di masjid. Saiyed Husin ternampak setongkol batu bertulis dengan tulisan jawi terletak di tangga masjid digunakan untuk pelapik tempat orang membasuh kaki. Selepas sembahyang, Saiyed Husin meminta Penghulu Ali bin Sulaiman dan bilal masjid membawa batu itu ke perahu untuk di persembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III.’ (Catatan Mohd Zabidi Haji Saidi – Hulu Terengganu Menuju Keemasan)

Pada tahun 1902, Batu ini dikatakan telah disedari oleh Saiyed Husin bin Ghulam Al Bukhari iaitu seorang ahli perniagaan. Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya di atas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, batu ini telah dipersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III dan kemudian batu itu diletakkan di atas Bukit Puteri.

Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S. Peterson meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun, N.Suzuki mengambil gambar dan dihantar kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan. Batu itu telah patah sebahagian disebelah atasnya dan ditulis didalam Bahasa Melayu dengan tulisan Jawi bertarikh 702 Hijrah.



Pada tahun 1923, batu ini dipinjamkan ke Muzium Singapura sehingga Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, batu bersurat tersebut telah dipulangkan ke Kuala Lumpur dari Muzium Raffles Singapura. Batu bersurat ini kemudiannya disimpan di Istana Sultan Terengganu sebelum dipindahkan sekejab ke Arkib Negara pada tahun 1960-an.

Batu Bersurat Terengganu dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang mempunyai tulisan yang paling tua dan tulisan Jawi pertama ditemui di Malaysia. Ini membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum tahun 1326 atau 1386 lagi.



Tarikh tepat bagi batu bersurat ini kontroversial, kerana terdapat dakwaan bahawa tepi kiri yang rendah, di mana tahun batu bersurat itu disebut pada baris ke-11, telah mengalami kerosakan.

C. O. Blagden, orang pertama yang mentafsirkan batu bersurat ini, mempertikaikan ketepatan tarikh bulan Rejab 702 atau 1303 M. Dalam sebuah rencana, beliau menyampaikan banyak kemungkinan tarikh antara bulan Februari–Mac 1303 M hingga Februari 1387 M dan menyimpulkan...... beliau cenderung untuk bersandar kepada tarikh kemungkinan terkini.




Pentarikhan orientalis lazim ini............ditolak oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, melalui pelbagai kepintaran hujah logik, matematik, linguistik, budaya, falsafah dan mistik dengan membina semula bahagian yang hilang batu itu. Dalam ucapannya disiarkan oleh Muzium Negara Malaysia, Naquib menyatakan bahawa tarikh betul bagi batu bersurat tersebut ialah hari Jumaat, 4 Rejab 702 H, bersamaan dengan hari Jumaat, 22 Februari 1303 M.

Kenyataanya berdasarkan penjelasan berikut:

"Tahun 702H bermula pada 26 Ogos 1303TM. Hari itu di mana kalendar Gregory bermula iaitu kalendar Islam ialah hari Isnin iaitu 1 Januari 1303 M ialah hari Isnin, dan 237 hari telah berlalu dalam tahun Gregory apabila tahun Islam bermula pada 1 Muharam (iaitu 26 Ogos 1302 M). Rejab merupakan bulan ketujuh dalam kalendar Islam dan sementara tahun 702 H bermula pada bulan Ogos 1302 M, oleh itu ia berlaku pada bulan Februari 1303 M, di mana tahun Gregory bermula pada hari Selasa. Mengingati bahawa tahun Gregory bermula pada hari Selasa, ia didapati bahawa hanya 4 Rejab, iaitu hari ke-181 dalam tahun Islam 702, mempersetujui pengiraan tarikh. Tambahan pula, tarikh 4 Rejab mengesahkan pengiraan kerana ia merupakan sebuah hari Jumaat Rejab, seperti mana yang disebut dalam batu bersurat itu."



Isi teks batu bersurat ini menerangkan mengenai undang-undang seorang raja. Catatan yang terkandung pada batu ini menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran serta kenyataan-kenyataan palsu berserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.. Catatan ini dipercayai sebagai bukti kedatangan agama Islam di Terengganu pada tahun 1303.




Agak aneh dan pelik kenapa Batu Bersurat yang mengandungi ayat Qur’an serta tulisan aturcara itu telah di gunakan sebagai alas kaki guna membasuh kaki di Masjid Kampung Buloh dimana ianya di gunakan.

Mengikut beberapa sebab yang di ceritakan oleh penduduk tempatan bahawa semasa Batu Bersurat itu di jumpai, ianya telah bersalut dengan selaput batu luaran dan hanya setelah sekian lama ianya di gunakan, saluran batu luaran itu terhakis sedikit demi sedikit sehinggalah menampakan tulisan di atasnya. Sebab lain yang di berikan adalah bahawa para penduduk tidak dapat membaca atau memahami tulisan jawi yang kebanyakannya mengandungi bahasa jawa kuno sehinggalah ianya di terjemahkan oleh pihak kerajaan Inggeris.




Ramai juga yang berprasangka bahawa Batu Bersurat telah di bawa dari negara lain seperti dari China dan juga dari tempat-tempat yang lain. Ini di ragui ketepatan pendapatnya kerana kenyataan Batu Bersurat itu sendiri yang menyebutkan perkataan negeri ‘Terengganu’ menunjukkan bahawa ianya di karang di bumi Terengganu dan bukannya di bawa dari luar.

Timbul pendapat yang mengatakan bahawa Batu Bersurat yang di tuliskan itu berasal dari Tanah Jawa dan di tulis oleh orang jawa. Sekiranya pendapat ini benar, dengan sendirinya akan menyingkirkan pendapat bahawa Batu Bersurat itu di bawa dari negeri China kerana kandungan bahasa yang di gunakan itu



Ramai di kalangan ahli sejarah baik dari luar dan dalam Malaysia berpendapat bahawa Batu Bersurat Terengganu hanya merupakan tanda awal Islam mula bertapak di Malaysia dan hanya merupakan tunasnya sahaja. Ramai yang meletakkan Melaka sebagai tanda permulaan yang kukuh di mana Islam di perkembangkan di seluruh jagat Malaysia atau di kenali sebagai Tanah Melayu ketika itu.

......Dakwaan setengah ahli sejarah yang mengatakan bahawa penyebaran agama Islam yang pertama bermula di Terengganu melalui negeri China berdasarkan sebuah batu bertulis yang dijumpai di negeri itu membuktikan bahawa sekumpulan orang Islam telah mendiami di Terengganu dalam tahun 702 Hijrah (1303 M), ini tidak dapat diterima, kerana kedudukan Islam di Terengganu pada masa itu tidak kukuh untuk berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Apa lagi pelopor pertamanya ialah ahli perniagaan dan panglima perang Cina yang beragama Islam sahaja, tidak dari pembesar-pembesar negara sebagaimana di Melaka. Lebih-lebih lagi tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa pemerintah negeri Terengganu sendiri di waktu itu mengambil anisiatif yang tegas dalam penyebaran agama Islam, ataupun sekurang-kurangnya memeluk agama Islam........’ (Catatan Haji Dusuki Haji Ahmad – Ikhtisar Perkembangan Islam)


Tafsiran Pertama
Rasulullah dengan yang orang sentiasa mereka sir
Asa pada Dewata yang Mulia Raya memberi menamakan negara Agama Islam
Dengan benar bicara dari diajar mengesahkan bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya
Di Benua aku ini penentu agama Rasulullah s.a.w. Raja Mandalika yang benar secara Islam Dewata Mulia Raya
Bahumi ini penentu itu fardhu pada sekalia Raja Mandalika
Islam menurut sembah Dewata Mulia Raya
Dengan benar bicara secara hal ehwal kerana Hukum Mu Asma Illahi Mu
Maka titah Seri Paduka Tuhan menduduki Tamir ini di benua Terengganu ini ada purnama ada
Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan di Sasakala
Baginda Rasullullah telah lalu Tujuh Ratus Dua

Tafsiran Ke Dua
Keluarga di benua jauh jika (minta bahagian)
Datang berikan. Keempat (derma) orang berpiutang
Jangan mengambil (laba jika diambil) hilangkan emas
Kelima derma barang orang (laki-laki) merdeka
Jangan mengambil tukul (buat pakai) emas
Jika ambil hilangkan emas. Keenam derma barang
Orang berbuat balacara laki-laki perempuan satitah
Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu
Seratus rotan. Jika beristeri
Atau perempuan bersuami ditanam hinggakan
Pinggang di hambalang dengan batu matikan
Jika ingkar (balacara) hambalang jika anak Mandalika




Tafsiran Ke Tiga
Bujang dandanya sepuluh tengah tiga jika........
Menteri bujang dandanya tujuh tahil (sepaha)........
Tengah tiga, jika tertua (ketua) bujang dandanya lima (tahil).....
Tujuh tahil sepaha masuk bendahara, (jika) orang.......
Merdeka. Ketujuh derma barang perempuan hendak (berkahwin)........
Tiada dapat bersuami, jika berbuat balacara jika tiada (saksi)

Tafsiran Ke Empat
......tiada benar dendanya setahil sepaha kesembilan derma
.......(Titah) Seri Paduka Tuhan siapa tiada terpedaya dendanya sepuluh tengah tiga
........jika anakku atau pamanku atau cucuku, atau keluargaku atau anak (saudaraku)
........Tamir ini segala isi Tamir barang siapa tiada mengikut Tamir ini laknat Dewata Mulia Raya

.........dijadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgarcara Tamir ini



Tetapi apa yang menjadi cabaran bagi penyelidik-penyelidik ialah berlakunya kerosakan pada bahagian Batu itu. Antaranya dijangka hilang bahagian atas dan hampir padamnya sebahagian tulisan akibat geseran kaki, kerana berlamaan dijadikan telapak anak tangga bagi menaiki ke Surau (dijumpai 1887 oleh Syed Hussain bin Ghulam al-Bukhari). Bagaimana Batu Bersurat ini diketemui, menurut Tuan Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha):

".....Menurut cerita-cerita dari orang-orang tua yang didapati dari kesiasatan yang telah dibuat menunjukkan bagaimana batu itu dijumpai orang adalah dinyatakan, iaitu kira-kira 50 tahun dahulu ada seorang Arab bernama as-Sayyid Hussain bin Ghulam al-Bukhari seorang ahli perniagaan yang pada masa itu sedang menyiasat kawasan-kawasan tanah yang berbijih (galian) di dalam Terengganu, maka ia telah membuat suatu perkiraan supaya satu kawasan tanah di Bukit Tawang, Hulu Terengganu dikerjakan bijih. Pada ketika itu seorang bangsa Australia bernama Harry Guild telah bersetuju menjalankan ikhtiar itu dan ia telah membuka pejabatnya di Kuala Terengganu bertempat di Kedai Binjai.

Akan Sayyid Hussain ini acapkali mudik ke Hulu kerana melawat ke kawasan Bukit Tawang, maka dalam masa persinggahannya di Kampung Buluh Kuala Berang (25 batu dari Kuala Terengganu) kerana berehat di sebuah surau kampung itu tiba-tiba ia bersua dengan sebuah Batu Bersurat yang digunakan jadi pengalas membasuh kaki naik ke surau itu. Setelah diperhati dengan cermatnya lalu dibawa hilir ke Kuala Terengganu dan dipersembahkan kepada al-Marhum al-Sultan Zainal Abidin Yang Ketiga dan baginda memerintahkan supaya disimpan di atas Bukit Puteri."

(Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha), Mengkaji Sejarah Terengganu, Jil 1, Penerbit ?, Kuala Terengganu, 1954: 24 -25).



Menurut Catatan Major H.S. Patterson yang terbit di dalam Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society, Jilid 11, Bahagian III bertarikh Disember, 1924 menyatakan bermaksud:

"...Batu tersebut telah dijumpai lebih kurang 25 tahun dahulu (1899) oleh Sayyid  Hussein al-Ghulam al-Bukhari di dalam Tersat, Daerah Kampung Buluh, Kuala Berang (di tepi Sungai Tersat). Oleh kerana Daerah itu letaknya dalam suatu kawasan yang berhampiran bagi tiga buah anak sungai, maka adalah dijangka menjadi suatu tempat pusat perniagaan dan haruslah pada suatu masa yang lampau menjadi pusat atau kepala negeri."
(Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha), Mengkaji Sejarah Terengganu, Jil I, 1954: 25 -26).

Misbaha juga mencatat (sedikit berlainan dari di atas),

"....Menurut cerita mulut orang-orang di tempat itu, maka Batu Bersurat ini telah terletak beberapa lama di hadapan sebuah surau di mana dijadikannya alas pelapik tapak kaki bagi mereka-mereka yang hendak pergi sembahyang untuk membasuh kakinya sebelum naik ke atas surau. Cerita ini bolehlah ditahqiqkan dengan adanya sebahagian batu itu sudah licin, kerana dihausi oleh kesan-kesan tapak kaki. Menurut cerita, seorang imam di surau itu tatkala ia berjumpa tulisan di batu tersebut, lalu diperintahkan supaya batu itu dipindahkan daripada tempat yang disangka keramat itu ke sungai, di mana akhirnya batu itu dijumpai oleh Sayyid Hussein.

Menurut Misbaha, "Penulis sendiri melawat ke kampung tersebut beberapa kali kerana menyiasat dan mencari berita-berita sah yang boleh menunjukkan bagaimana batu itu dijumpai. Maka orang-orang tua di kampung itu setengahnya daripada mereka yang telah menyaksikan sendiri semasa batu itu duduk di tepi tebing sungai yang sekarang sudah kering airnya (Sungai Tersat) bertentang dengan Kuala Tara, telah menceritakan bahawa tempat batu dijumpai ialah di tebing sungai di sebelah kanan mudik di tepi Kampung Buluh, lebih kurang jauhnya daripada Sungai Tersat lima belas rantai dan jauhnya daripada Masjid Kampung Buluh sekarang lebih kurang suku batu sahaja. Tanah itu dikenali dengan nama "Tanah Batu" sempena daripada batu itu. Maka manakala tebing itu runtuh oleh larian air. Batu itupun timbul. Ianya tertanam di dalam tanah lebih kurang 4 kaki. Dari situ dipindah ke sebuah surau (Surau Tuk Rashid), sekarang surau itu telah rubuh dan tiada lagi. Daripada surau itu pula dipindahkan ke masjid Kampung Buluh, kemudian dibawa ke Kuala Terengganu setelah dijumpai oleh Sayyid Hussein.`

Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapatkan kembali Batu Bersurat tersebut untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman di antara Kerajaan Persekutuan yang di wakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementrian Kebudayaan, Kesenian dan Perlancongan Encil Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu kepada Y.A.B. Dato’ Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu.

Menurut sidang mesyuarat Lembaga Penasihat Antarabangsa UNESCO yang berlangsung di Barbados pada tanggal 13 Julai 2009, batu bersurat yang berusia lebih 700 tahun ini telah disenaraikan sebagai barang purba bernilai tinggi dan sesuai untuk pengiktirafan Warisan Dunia UNESCO.

Di bahagian bawah batu bersurat ini ada dibinakan tapak yang terdapat tulisan Bahasa Melayu mengenai tafsiran jawi yang ada pada batu bersurat tersebut. Jadi korang boleh baca dan mudah fahami. Nasib aku agak baik sebab masa aku sampai pintu pagar tapak memorial ini tidak berkunci... so dapatlah aku melihat batu bersurat ini dengan lebih dekat walaupun kedudukannya tinggi.

Sekian.

No comments:

Post a comment