Wednesday, 30 November 2016

Tok Gajah Pahlawan Terbilang Di Negeri Pahang

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang. Sihat tak hari nii? Semoga ceria-ceria jer yea. Jom ikut aku...kita dengar citer pasal seorang tokoh yang sangat gah daalm sejarah. Nama Tok Gajah nii memang sangat popular masa zaman aku sekolah dulu tapi disebabkan tak minat sejarah jadi aku pun tak laa ambik kisah sangat. Bila dah kerja dan kena pulak buat inventori pasal makam bersejarah...barulah aku ambik kisah sikit. Kubur Tok Gajah terletak di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu Darul Iman. Jaraknya dari Memorial Batu Bersurat adalah 4 km sahaja. Taklah susah sangat nak cari pun!


Maklumat yang aku perolehi tentang Tok Gajah nii...


Imam Rasu bin Shahrum atau juga dikenali sebagai Tok Gajah, Khatib Rasu dan Imam Perang Rasu ialah Orang Besar Raja Pahang dengan gelarannya ialah Orang Kaya Indera Gajah Pahang. Beliau juga merupakan penasihat utama Sultan Ahmad Muazzam Shah, Sultan Pahang dalam segala hal yang berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar. 

Beliau merupakan Orang Kaya Raja yang berkuasa dari kawasan Batu Redap sampai ke Kuala Piul, kawasan dari Tanjung Sakti sampai ke Kangsa, kawasan dari Pedah hingga ke Tanjung Lindung dan juga Lembahan Sungai Budu di Lipis. Kedudukan beliau setaraf dengan Orang Besar Empat di Pahang.



Beliau juga merupakan ketua pasukan pemberontak dalam penentangan terhadap penjajah British dan Sultan. bersama Datuk Bahaman dan pejuang-pejuang sezamannya yang dipimpin oleh Tok Ku Paloh tahun 1893/1895. Tok Gajah sanggup menghadapi askar-askar British yang lengkap bersenjata ketika bertindak menghalau penjajah British yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Tok Gajah adalah ayah kepada Mat Kilau, pahlawan Melayu Pahang.

Bersama-sama dengan Datuk Bahaman, Datuk Lela dan Mat Kilau, Tok Gajah merupakan salah seorang pahlawan yang terlibat dalam mematahkan pemberontakan Pahang antara tahun 1891 hingga tahun 1895. Bersama dengan Wan Lingga, Tok Gajah telah diarahkan oleh Bendahara Wan Ahmad untuk menyerang Maharaja Perba dan Orang Kaya Setia Lela. Ini disebabkan perselisihan antara Maharaja Perba dengan Bendahara. Beliau pernah diutuskan ke Singapura bagi mendapatkan khidmat peguam sebagai penasihat Sultan Ahmad.

Selain itu, beliau juga berperanan dalam membantu perjuangan Dato Bahaman dalam menawan balai polis Lubuk terua yang berada di bawah kuasa British. Perjuangan ini dibantu oleh pembesar lain iaitu Imam Rasul dan Mat Kilau. Beliau melakukan penentangan ini kerana pembinaan balai polis di Lubuk Terua mencabar kuasa Dato Bahaman  sebagai pembesar di Lubuk Terua. Hal ini demikian kerana pihak British tidak berunding terlebih dahulu dengan Dato Bahaman tentang pembinaan balai polis ini. Lebih-lebih lagi pembinaan balai polis ini juga di kawasan lingkungan pengaruh Dato Bahaman.


Peranan Tok Gajah juga terserlah dalam menawan Kuala Tembeling. Peristiwa ini bermula pada akhir 1892 apabila orang melayu Pahang di bawah pimpinan Datuk Bahaman , Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang diusir keluar ke Hulu Kelantan. Pada Mei 1894, Mat Kilau dan Tok Gajah berpindah dari Hulu Kelantan ke Kuala Terengganu dan tinggal di Kampung Seberang Engku Ngah. Ketika di Kampung , Mat Kilau selalu berulang alik ke Kampung Paloh dan berjumpa Tok Engku Sayyid. Pada 14 Jun 1894 , Mat Kilau dan Tok Gajah membawa 100 pengikut untuk menyerang Inggeris di Kuala Tembeling dan mendirikan kubu di Jeram Ampai.




Antara peranan Tok Gajah ialah memberikan idea untuk menentang British secara besar- besaran. Sebelum melakukan penentangan ini, Tok Gajah mengadakan satu pertempuran dan dalam pertempuran itu, semua pembesar lain bersumpah menyatakan taat setia kepada Sultan Ahmad. Mengikut cadangan Tok Gajah, serangan telah dilaksanakan secara serentak. Dato Bahaman telah mengambil Semantan, Sultan Ahmad mempertahankan Chenor, Panglima Muda dari Jempul menawan Pekan, Mat Kilau dan Tok Raja akan menawan Kuala Lipis dan Raub sementara Tok Gajah sendiri akan ke Kuala Tembeling.


Tok Gajah juga berperanan dalam membantu Sultan Ahmad dalam perang saudara. Dalam Perang Saudara Sultan Ahmad menentang saudaranya Wan Mutahir. Dalam serangan tersebut Tok Gajah membantu Sultan Ahmad untuk mengumpulkan hulubalang dan membina kubu. Beliau juga menggunakan pelbagai serangan. Walau bagaimanapun, Wan Mutahir mendapat bantuan daripada British. Dalam serangan tersebut, Sultan Ahmad berjaya dan atas taat setia dan baktinya, Tok Gajah dilantik sebagai Orang Besar Raja.


Menurut “Salasilah Tok Gajah”, nama sebenar beliau ialah Rasu Abdul Salam bin Shahrum@Teuku Ali.  Beliau juga dikenali sebagai Khatib Rasu dan Imam Perang Rasu. Dalam Perang Saudara (1857-1863M) di Pahang, Imam Perang Rasu Abdul Salam menjadi terkenal kerana khidmat bakti dan taat setia beliau kepada Wan Ahmad, putera al-Marhum Bendahara Tun Ali yang berperang menentang kekandanya Bendahara Tun@Wan Mutahir. 


Sebaik sahaja Perang Saudara tamat (1863M), Wan Ahmad ibni al-Marhum Bendahara Tun Ali telah dilantik menjadi Bendahara Pahang (1863M), manakala Imam Perang Rasu pula dilantik kemudiannya oleh Bendahara sebagai Orang Besar Raja, menjaga kawasan Pulau Tawar (dahulunya dalam Ulu Pahang, tetapi kini dalam Daerah Jerantut).


Walau bagaimanapun, gelaran “Imam Perang Indera Gajah Pahang” telah dikurniakan oleh Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (Pengasas Kesultanan Melayu Pahang Moden, 1882-1914M) kepada Imam Perang Rasu sesudah beliau menunjukkan kepahlawannya dalam Perang Selangor (November, 1873M). Setelah itu, hubungan Tok Gajah-Sultan Ahmad bertambah intim, dan akhirnya Pahlawan Pahang ini menjadi “orang kesayangan istana”, serta penasihat tidak rasmi kepada baginda sultan, terutama mengenai hal-ehwal Ulu Pahang.

Pada tahun 1883M, Imam Perang Indera Gajah telah diamanahkan memerintah “Kg. Budu” oleh Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (Sultan Pahang 1, 1882-1914M),  mengambil alih autoriti pemerintah asalnya, Tok Kaya Teh@Wan Teh bin Tok Deris@Wan Deris (Orang Kaya Lipis Ke-12).  Dalam hirarki politik tradisional Pahang, status dan pengaruh Tok Gajah sebagai Orang Besar hampir menyamai taraf Orang Besar Berempat Pahang.



Ayahanda Tok Gajah, Teuku Ali@Tengku Ali berasal dari Bilah Paning, Pagarruyung (Sumatera Barat,  Indonesia) kira-kira 150 batu ke selatan Medan, manakala bondanya bernama Siti Hajar@Tok Dinar binti Sheikh Ali, berasal dari Kg. Temau, Dong (Raub, Pahang). Teuku Ali@Tengku Ali terpaksa berhijrah dari Sumatera ke Tanah Melayu (1780M) bersama adiknya yang tengah, bersama 300 orang pengikut mereka dengan menaiki 12 buah kapal menyusur muara Sungai Perak, lalu singgah di sebuah tempat yang kini dikenali sebagai Bidor.


Sebahagian pengikutnya mengambil keputusan untuk tinggal menetap di Bidor (Perak), manakala sebahagian lagi meneruskan perantauan mengikut Teuku Ali@Tengku Ali dari Ulu Sg. Perak menjelajah hingga ke Ulu Sg. Lipis, lalu menghilir Sg. Lipis sampai ke Temau (Raub). Di Kg. Temau, Teuku Ali@Tengku Ali bertemu jodoh dengan seorang gadis Temau bernama Siti Hajar@Tok Dinar. Setelah mengahwini Siti Hajar@Tok Dinar, lalu Teuku Ali@Tengku Ali menukar namanya kepada Tok Shahrom. Tidak lama kemudian, orang kanannya yang bersama-sama merantau bernama Malim Yunus (seorang ulamak Mendailing) telah mengambil keputusan meneruskan pengembaraan mereka menghilir Sg. Lipis, dan Sg. Jelai sehingga tiba ke suatu petempatan yang cukup sesuai kerana kawasannya tinggi, dan  berhampiran sungai pula, lalu diberi nama tempat itu Pulau Tawar.



Tok Gajah telah berkahwin beberapa kali. Isteri-isteri beliau antaranya yang dapat disebut : Iti, Cik Jebah (Kg Batu Naga, Budu), Teh Mahade binti Tok Kaut (Burau), Bedah, Mah, Cik Siti (Kuala Kenong) dan Tijah.  
Anak-anak Tok Gajah, antara yang dapat dicatatkan ialah Awang Baiduri (Ulu Jelai) hasil perkahwinannya dengan Cik Siti (Kuala Kenong), Mat Kilau, Teh De, Awang Nong, Teh Ibrahim, dan Yang Chik (hasil perkahwinannya dengan Teh Mahade). Perkahwinannya dengan Cik Jebah (Budu), Tok Gajah memperolehi 8 orang anak. Antara yang diketahui namanya ialah Abdul Rahman dan Mat Kahar.  Anak-anak yang lain tidak diketahui namanya.



Tok Gajah mempunyai pengaruh yang luas, dan mempunyai pengikutnya sendiri. Beliau berjuang bersama-sama Dato’ Bahaman menentang penjajah British yang cuba menghuru-harakan sosio-politik tradisional di Pahang. Tok Gajah juga tidak terkecuali mempunyai hubungan yang begitu akrab dengan Dato’ Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad bin Wan Idris (OKIMPJ Ke-6), tetapi kemudiannya mereka membawa haluan masing-masing kerana berbeza halatuju perjuangan.  Dalam era British, bersama-sama Dato’ Bahaman, Mat Lela, dan Mat Kilau, Tok Gajah terlibat dalam pemberontakan Pahang (1891-1895M).

Pada penghujung tahun 1891, tanpa diketahui oleh pihak berkuasa British, Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah telah mengadakan “sumpah rahsia” di tepi Sg. Silan dengan Orang-Orang Besar penting Pahang : Dato’ OKIMPJ Wan Muhammad bin Wan Idris, Dato’ Bahaman, dan Imam Perang Indera Gajah. Dalam majlis sumpah rahsia inilah mereka mengetahui taktir kotor kolonial British yang akan mengambilalih pemerintahan Negeri Pahang, dan kemudiannya semua pembesar negeri akan dibersarakan, sama sekali tidak dibenarkan mencampuri hal-ehwal politik.  


Pada tahun 1892, pihak British mengeluarkan perintah untuk menangkap Tok Gajah, lalu beliau melarikan diri ke Kuala Ampul (Kelantan), dan kemudiannya ke Seberang Engku Ngah (Kuala Terengganu). Bagi menyambung misi perjuangan anti-British, Tok Gajah bersama Dato’ Bahaman, Mat Kilau, dan Mat Kelubi pernah kembali ke Pahang, dan bertempur dengan pasukan British di Jeram Ampai (Sg. Tembeling), tetapi serangan mereka kecundang, lalu mereka mencari perlindungan di Ulu Lebir (Kelantan). Tok Gajah tidak dapat meneruskan perjuangan anti-British hingga akhir hayatnya pada tahun 1901. Allahyarham Tok Gajah telah disemadikan di Kampung Pasir Nering, Kuala Brang (Ulu Terengganu).



Pada tahun 1892, pihak British mengeluarkan perintah tangkap ke atas Tok Gajah lalu memaksa beliau menyelamatkan diri ke Ulu Kelantan dan kemudian ke Hulu Terengganu sebelum meninggal dunia pada tahun 1901.



(sumber: Sinar Harian)
Persatuan Waris dan Keturunan Tok Shahrom - Tok Gajah - Mat Kilau (PWKTSTGMK) berusaha memindahkan makam Tok Gajah di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Hulu Terengganu ke Kampung Kedondong, Pulau Tawar, di sini, tahun ini.



Pengerusi PWKTSTGMK, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, usaha itu dilaksanakan bagi menempatkan semula makam Tok Gajah di kampung asalnya berdekatan makam anaknya, Mat Kilau di Kampung Kedondong, Pulau Tawar yang kini digazet sebagai Kota Warisan di daerah Jerantut. Menurutnya, Tok Gajah yang dikenali sebagai Imam Perang Rasu Shahrum adalah Orang Besar Raja Pahang dengan gelaran Orang Kaya Indera Gajah Pahang yang meninggal dunia pada 1901 dan dikebumikan di Pasir Nering, Kuala Berang. “Usaha kami untuk memindahkan makam berkenaan telah dirintis pada awal penubuhan persatuan ini pada 2008 tetapi masih tidak kesampaian kerana masalah kewangan dan pengurusan tertentu."


Kini ahli persatuan sudah bersedia melaksanakan pemindahan makam berkenaan membabitkan kos pengurusan bernilai RM100,000 serta mengharapkan bantuan kerajaan negeri untuk mempercepat usaha ini,” katanya. Beliau berkata demikian selepas pertemuan dan mesyuarat dengan ahli jawatankuasa PWKTSTGMK di sini, semalam. Zulkifli berkata, PWKTSTGMK perlu berunding dengan kerajaan negeri Terengganu, Muzium Terengganu, Jawatankuasa Pelancongan Negeri dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Nering. Katanya, hal ini disebabkan makam berkenaan telah lama diselenggarakan mereka sebagai aset sejarah dan pelancongan di sana.

Menurutnya, PWKTSTGMK juga akan mendapat bantuan dan kerjasama kerajaan Pahang, cendekiawan sejarah dari universiti tempatan dan pakar forensik sebelum kerja pemindahan makam itu dilaksanakan nanti. “Rundingan dengan Kerajaan Negeri Terengganu akan diatur dalam masa terdekat,” katanya. Beliau berkata, hasrat persatuan ini untuk mengembalikan legasi kegemilangan sejarah perjuangan Pahlawan Melayu Pahang, Tok Gajah, Mat Kilau dan Tok Bahaman untuk tatapan generasi akan datang khususnya merancakkan sektor pelancongan dengan wujudnya artifak di Kota Warisan di Pulau Tawar.

Usaha ini antara lain untuk meletakkan status ketokohan Tok Gajah diburu penjajah British pada 1892 sehingga membawa diri ke Hulu Kelantan dan meninggal dunia di Hulu Terengganu merupakan tokoh yang berasal dari Pahang,” katanya. Selain itu katanya, usaha persatuan itu untuk membetulkan fakta sejarah dalam kalangan generasi hari ini menganggap bahawa Tok Gajah dan Mat Kilau sebagai penderhaka seperti mana diuar-uarkan British sebelum ini. Usaha menyelenggarakan projek pemindahan makam Tok Gajah mendapat persetujuan dan kerjasama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam pertemuan baru-baru ini,” katanya.

Macam-macam cerita yang aku dengar pasal Tok Gajah nii yang berkaitan mistik tp aku ni jenis tak ambik kisah sangat bab mistik nii...bukan apa takut jadi syirik dan terbawa dalam mimpi. Aku anggap ianya macam cerita dogeng supaya aku tak mudah terpengaruh. Apa pun yang pasti orang dulu-dulu memang mempunyai semangat perjuangan yang tinggi. Itu aku sangat kagumi.

Sekian.

Monday, 28 November 2016

Kesan Impak Batu Meteorit Di Bukit Bunuh, Lenggong

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai..hai..korang semua apa khabar? Semoga sihat dan ceria yea. Hari nii aku nak bawa korang pergi melawat ke tapak arkeologi di negeri Perak. Namanya pun rasa dah gerun...apatah lagi penceritaan sejarahnya....aku sendiri pun rasa kagum. Bukit Bunuh ni terletak dalam Daerah Lenggong, Grik Perak. Kalau dari Ipoh mengambil masa lebih kurang 1 jam 15 minit perjalanan. Kalau nak ke kawasan Bukit Bunuh ini tidak boleh menaiki kenderaan biasa hanya boleh menggunakan kenderaan 4WD.


Bukit Bunuh ialah sebuah tapak terbuka yang mendedahkan bukti kebudayaan Paleolitik. Tapak ini berada pada kedudukan latitud 50 04.20’ utara dan longitud 1000 58.48’ timur, dengan ketinggian lebih 100 meter di atas aras laut. Tapak ini telah ditemui oleh USM pada tahun 2001. Bukit Bunuh mendedahkan dua bukti penting iaitu daripada aspek arkeologi dan geologi.



Arkeologi Bukit Bunuh menunjukkan tapak ini telah digunakan daripada semasa ke semasa sejak lebih 1.83 juta tahun dahulu sehinggalah 30,000 tahun dahulu. Geologi Bukit Bunuh pula menunjukkan kawasan ini pernah ditimpa bencana meteorit pada 1.83 juta tahun dahulu. Bukti meteorit ini boleh dilihat daripada kesan hentaman yang ditinggalkan seperti batuan asal terlebur dan menjadi batuan impak yang dikenali sebagai suevit. Di dalam suevit ditemui banyak alat batu, antaranya kapak genggam.




Ini menunjukkan bahawa telah ada kebudayaan Paleolitik yang berlangsung di Bukit Bunuh sebelum impak meteorit, 1.83 juta tahun dahulu. Data ini menunjukkan Bukit Bunuh adalah tapak tertua di Asia Tenggara yang mendedahkan perkembangan kebudayaan Paleolitik.



(sumber: Utusan Malaysia NIK KHUSAIRI IBRAHIM)
Bukit Bunuh bagi kebanyakan penduduk di sekitar daerah Lenggong, Perak ketika ini hanya dikenali sebagai ladang kelapa sawit milik tauke Cina dan pada zaman penjajah Inggeris kawasan ladang itu dimiliki `Tuan Mat Saleh' dengan ditanam beribu-ribu pohon getah.


Tidak ada yang istimewa mengenai kawasan di bahagian barat Sungai Perak itu, ia sama seperti ladang lain di negara ini Ñ diusahakan sejak awal tahun 1900 untuk menjana ekonomi setempat. Nama Bukit Bunuh bagi penduduk berdekatan pula dikaitkan dengan kisah bagaimana seorang lelaki pertengahan usia yang bermimpi bahawa dia perlu membunuh isterinya untuk mendapat harta dan menjadi kaya.

Terpengaruh dengan mimpinya, dia memilih tempat untuk melaksanakan tugas tersebut iaitu di sebuah kawasan hutan terpencil di atas bukit yang bersempadan dengan lembah yang agak luas. Maka hebohlah penduduk kampung dengan rancangan lelaki separuh usia itu dan kerelaan isterinya untuk dikorbankan semata-mata kerana mahu suaminya menjadi kaya dan dipandang tinggi di mata orang kampung.

 

Rancangan itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan kerana ketika si isteri sedang mandi berlimau (mandi dengan perahan air limau sebelum dibunuh) di tepi sungai, dia ternampak tempayan emas sedang hanyut. Lalu diambilnya tempayan itu dan diberikan kepada suaminya. Rancangan membunuh dibatalkan dan kekallah suami isteri itu sebagai orang kaya kerana sudah berharta.

Hutan berbukit berhampiran lembah itu kemudiannya digelar Bukit Bunuh oleh orang kampung mengambil sempena peristiwa tersebut. Kawasan itu kononnya tidak berani diusik sehinggalah diteroka oleh penjajah Inggeris. Kewujudan Bukit Bunuh yang tidak pernah dipedulikan masyarakat bagaimanapun berubah awal baru-baru ini apabila seorang ahli kaji purba dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Mohd. Mokhtar Saidin mendakwa menemui bukti tamadun prasejarah zaman paleolitik berusia 20,000 hingga 30,000 tahun di kawasan tersebut.


Beliau bersama 13 pelajarnya menggali tujuh tempat di mana serpihan batu iaitu pisau dan senjata purba tertanam di sekitar kawasan itu dan menemui banyak serpihan batu berbentuk tiga segi dan tirus yang masih tidak terusik. Kualiti penghasilan pisau batu jenis kuarzit, rijang dan kuarza itu amat tinggi bagi manusia zaman paleolitik, mungkin sehebat penghasilan pisau lipat Swiss Army dalam hubungan hari ini.

Ekskavasi bermula 5 hingga 12 April itu menganggarkan beribu-ribu bukti dapat ditemui dalam lingkungan 1.3 kilometer persegi di kawasan berkenaan. Apa yang penting penemuan tersebut membuka ruang untuk mengesan sebuah pusat tamadun purba zaman paleolitik yang terbesar di Asia Tenggara dan masih belum terusik.

Penemuan itu mampu memperkukuhkan teori adaptasi tasik mengenai ketamadunan zaman prasejarah dan kemampuan manusia di rantau ini dalam mereka cipta peralatan zaman batu. Penemuan tersebut mungkin tidak sehebat kejayaan ekskavasi barat mengesan habitat manusia purba berusia 2 juta tahun di Olduvai George, Afrika Tengah atau pondok berusia 450,000 hingga 380,000 sebelum Masihi di Terra Amata, Nice Perancis. Bagaimanapun, ia membuka peluang untuk ahli arkeologi mencari bukti ketamadunan purba zaman paleolitik dalam suasana dan budaya di kawasan beriklim panas khatulistiwa dan monsun tropika.


Sebelum ini, penerokaan terhadap khazanah purba selain di Afrika banyak tertumpu di Eropah dengan penemuan bahan purba yang tertanam tidak terusik termasuk di kawasan sejuk bawah paras beku. Apa yang ditemui oleh penyelidik USM ini bagaimanapun memperluaskan dimensi dalam ekskavasi purba kerana ia memberi tumpuan terhadap tamadun sebelah timur. Dr. Mohd. Mokhtar ketika menerangkan penemuannya kepada 25 wakil media massa dalam satu kunjungan di kawasan itu minggu lalu menjelaskan bahawa kawasan Bukit Bunuh mungkin wujud sebagai sebuah pulau 20,000 hingga 30,000 tahun lampau.

"Lembah berhampiran merupakan tasik di mana mereka mencari ikan dan mendapat air minum, jadi mereka menetap di sini dan membentuk pelbagai batu tajam untuk memotong daging,'' jelasnya.

Batu yang dibentuk tajam oleh manusia purba turut dijadikan alat untuk melapah kulit, mengetuk tulang dan kayu atau mempertahankan diri dari serangan binatang buas. Dalam lawatan tersebut, beliau turut mengorek dua tapak seluas dua meter persegi dengan bantuan beberapa remaja di kampung berkenaan untuk menunjukkan serpihan batu yang tidak terusik kepada wakil media.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, USM, Profesor Datuk Dr. Zuraina Majid ketika menghuraikan penemuan tersebut memberitahu kegiatan mengesan bahan purba di negara ini hanya aktif selepas 1987. Sebelum ini, Malaysia serta negara-negara di sekitar Asia Tenggara dianggap tidak mempunyai bukti dalam ketamadunan purba sekali gus dianggap terkebelakang pada zaman prasejarah berbanding manusia di benua lain. Mereka juga dianggap terlalu mundur, jauh ketinggalan dan tidak mempunyai perkembangan daya fikir untuk hidup dengan sempurna.

Sebelum USM menjalankan penyelidikan arkeologi di Lembah Lenggong, manusia terawal di negara ini hanyalah dianggap wujud sekitar 10,000 tahun lalu di Gua Cha, Kelantan, 35,000 tahun lalu di Gua Niah, Sarawak dan di Sabah 20,000 tahun lampau di Tingkayu dekat Tawau, Sabah. Bukti terbaru daripada kajian ahli-ahli arkeologi USM menunjukkan tamadun purba di negara ini bermula lebih awal dan bukti yang ditemui mempunyai impak besar terhadap sejarah Asia Tenggara keseluruhannya.


Lokasi penemuan pusat masyarakat prasejarah Bukit Bunuh pula terletak kira-kira empat kilometer dari Bukit Jawa iaitu salah sebuah kawasan purba yang ditemui pada awal 1990-an. Sebelum ini, para ahli arkeologi tempatan turut menemui Kota Tampan iaitu kawasan prasejarah di Lembah Lenggong yang kaya dengan tinggalan masyarakat prasejarah. Ekskavasi Kota Tampan pada 1987 telah menemukan kira-kira 50,000 alat batu yang terdiri daripada batu pelandas, batu teras, batu pemukul, sisa serpihan dan puingan.

Selain Kota Tampan, kawasan prasejarah di Lembah Lenggong ialah Gua Harimau, Gua Gunung Runtuh, Bukit Jawa, Temelong dan Lawin. Penemuan terpenting ialah manusia terawal `Perak Man' pada 1990 yang hidup kira-kira 11,000 tahun lalu di Gua Gunung Runtuh yang menyumbang terhadap pengetahuan baru mengenai manusia awal di Semenanjung.

Bukti pembuatan alat-alat batu turut ditemui di Bukit Jawa berhampiran Kampung Gelok. Ekskavasi itu mendapati lebih kurang 100,000 tahun lalu, banyak kumpulan manusia dikenali sebagai Kra Ithmus mendiami sebuah pulau dalam tasik.

Kedudukan Bukit Bunuh yang tidak begitu jauh dari kawasan penemuan bahan purba di Kota Tampan pula boleh membawa andaian bahawa ada pertalian atau hubungan antara kelompok manusia ketika itu. Apa yang dikemukakan dalam ekskavasi penyelidikan purba USM dijangka diteruskan secara terperinci sehingga lima tahun lagi bagi mendapatkan lebih banyak bukti sokongan serta menunjukkan kepada masyarakat dunia tentang kemampuan manusia purba dari benua Asia.


Rahsia Bukit Bunuh selama ini mungkin tersimpan dan tidak diendahkan oleh sesiapa pun tetapi penemuan kali ini membawa bukti sokongan untuk meneroka dan mengemukakan bukti demi keunggulan tamadun bangsa. Bukit Bunuh merupakan tapak terdedah yang memberikan data arkeologi dan geologi yang begitu banyak yang menyumbang pada pemahaman kita mengenai persekitaran-palaeo dan tingkah-laku kognitif dan budaya manusia awal melalui penggunaan peralatan batu mereka.

Selain itu terdapat kesan geologi hentaman meteor yang bertarihk 1.83 juta tahun dahulu melalui teknik jejak-fision. Tapak ini dipenuh dengan breccias hentaman seperti suevite dan impactite lainnya.


Maka, penemuan Bukit Bunuh telah mengukuhkan lagi bukti prasejarah di Lembah Lenggong, dan menjadikannya sebuah lembah arkeologi yang penting di dunia.

Bukti-bukti yang ditemui dalam penyelidikan di Bukit Bunuh yang dilakukan sejak tahun 2001 menunjukkan yang tapak ini dihuni secara berterusan. Tapak di Bukit Bunuh menjadi pilihan kawasan petempatan awal kerana ia memiliki sumber alam yang diperlukan untuk menyediakan peralatan batu serta mempunyai persekitaran kuno yang mempunyai sumber air dari tasik kuno, flora dan fauna yang diperlukan mereka.

Memang tidak disangka......kawasan kampung yang kecil ini rupanya mempunyai impak sejarah yang besar kepada Negara. Aku sendiri pun rasa kagum kerana Malaysia mempunyai banyak tapak arkeologi yang menyimpan pelbagai sejarah.

Sekian.

Sunday, 27 November 2016

Book Review: Kopi Ladyku...Tanpamu Hidupku Ibarat Minum Air Tanpa Gula...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,
 
Hai...hai..apa khabar korang semua hari nii? Hari nii aku nak buat book review lagi. Novel nii kawan aku yang pilih semasa Jualan Gudang Karangkraf 2016. Aku suka  cover depannya yang cute. Kawan aku kata best! Jalan ceritanya yang simple tetapi cukup menarik digambarkan persekitaran kehidupan gadis bernama Arisa ini. Harga yang aku dapat RM 5...murah suit!!

Berkisahkan tentang seorang gadis bernama Arisa yang baru selesai menduduki SPM dan berhasrat untuk membantu keluarganya. Sementara menunggu keputusan...Arisa bekerja di Kuala Lumpur sebagai perempuan pembancuh kopi.
 



................Arisa kata, dia Puteri Duyung! Kata Izhar, Arisa Dayang Senandung! Hakikatnya, Arisa  hanyalah anak nelayan yang tinggal di rumah setinggan. Dia punya cita-cita yang tinggi, namun demi adik-adik dia terpaksa melupakan niat itu.


Baidura dan adiknya, Izhar telah menawarkan pekerjaan sebagai kopi 'lady' di pejabat mereka kepada Arisa dan membawa gadis itu tinggal bersama. Sebagai anak kampung yang polos, semuanya begitu asing buat Arisa.

Namun, kehadiran Arisa dalam keluarga itu menjadi buah mulut saudara-mara. Demi menutup mulut tempayan, Izhar telah bersetuju untuk mengahwini Arisa. Arisa pula bersetuju untuk berkahwin dengan Izhar kerana Izhar telah berjanji untuk membiayai pelajarannya.



...............IZHAR dan Baidura duduk di atas batang kayu mati yang dihanyutkan oleh ombak laut ke pantai. Dua beradik itu amat lega bila masjid terapung yang dibina oleh syarikat mereka kini sudah hampir siap keseluruhannya.


Ilai ketawa dari arah belakang mereka menarik perhatian kedua-duanya. Kelihatan dua orang kanak-kanak dari arah rumah pekerja kontrak yang sedang menyiapkan masjid itu sedang bergurau-senda sambil membawa bakul di tangan masing-masing.

“Dik... sini,” panggil Izhar sambil menggamit ke arah kedua kanak-kanak itu. “Jual kuih ya?”
“Ha’ah. Abang nak beli ka?” jawab salah seorang daripada mereka.
“Kuih apa ada, dik?” “Dah nak habis dah, bang. Karipap ada lagi tiga biji dan cucur udang tinggal dua cucuk.”
“Akak nak?” Izhar menyoal Baidura. “Boleh juga.” Baidura menjenguk ke dalam bakul, secucuk cucur udang diambilnya. “Berapa satu ni?”
“Empat kupang,” jawab kanak-kanak yang seorang lagi dengan sengihan lebar. “Kakak beli semualah, dua ringgit saja.”

Baidura turut tersenyum. Sekeping not lima ringgit diserahkan kepada salah seorang daripada mereka. Seorang daripada kanak-kanak itu mengeluarkan beg plastik kecil dari poketnya. Wang tukaran dikeluarkan dari beg itu dan dihulurkannya kepada Baidura.
“Tak payah bagi baliklah. Simpan saja duit lebih tu.” “Tak boleh, kak. Nanti mak marah. Mak kata, kita cari rezeki halal bukan minta sedekah!”

“Ini bukan sedekah.” Baidura memandang Izhar. Serba salah dia dengan tanggapan kanak-kanak itu. “Yang dua ringgit tu akak bayar duit kuih. Yang baki ni, akak belanja adik berdua. Nanti buat beli keropok ke, beli aiskrim ke.”

“Ha’ah! Ambillah. Kakak nak belanja tu.” Izhar pula bersuara. “Ambillah!”
Kedua-dua kanak-kanak itu berpandangan sebelum akhirnya tersenyum dan menyimpan duit yang diberikan oleh Baidura ke dalam poket seluar. Baidura dan Izhar turut tersenyum. Dalam kesempitan hidup, tidak pula kanak-kanak berdua itu mahu mengambil kesempatan ke atas mereka.

“Hmm... sedap! Siapa buat ni?” Kena betul kuih itu dengan selera Izhar nampaknya. “Mak,” jawab keduanya serentak. “Nama adik siapa?”

“Saya Aman. Ni adik saya, Amin. Nama abang?” “Panggil Abang Iz. Ni kakak abang, Kak Dura. Aman dan Amin umur berapa tahun?” Amat berminat nampaknya Izhar untuk berkenalan lebih lanjut dengan kedua beradik itu.

“Aman 10 tahun, Amin 9 tahun.” ‘Setahun sorang rupanya emak dia orang ni beranak. Agaknya berderet-deret adik dia orang ni,’ detik hati Izhar. Keramahan Arman dan Azmin menarik minat Izhar dan Baidura untuk mengetahui lebih lanjut tentang mereka berdua.


Walaupun bukan kerana orang ketiga, pasangan yang baru mengenal bahagia itu dilanda badai juga. Kapal mereka terumbang-ambing di lautan. Kini, mereka hanya mampu bertahan selagi terdaya.


"Betul Iz nak kahwin dengan Icha? Dia tu bukan betul sangat, rempang-rempang bahasa. Wayar berselirat." - Muiz

"Wayar dia cuma berselirat, belum putus lagi. Bila dah kahwin nanti, saya akan susun balik wayar tu elok-elok dan takkan biarkan dia putus, Insya-ALLAH!" - Adib Izhar


Aku suka kerana novel ini menggambarkan kehidupan keluarga Tengku iatu Izhar dan Baizura yang sangat baik hati dan tidak sombong. Boleh menyesuaikan diri dalam hidup bermasyarakat. 
Harga di semenanjung Malaysia hanyalah RM25 manakala dia Sabah/Sarawak hanyalah RM28. Aku bagi 2 bintang setengah

Sekian.

Saturday, 26 November 2016

Ulama Besar Di Terengganu....Tok Ku Pulau Manis

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua. Sihat-sihat jer hari nii kan!! Jom ikut aku ke negeri Terengganu untuk dengar citer pasal seorang ulama terkenal. Makam ni dah lama aku pergi sebenarnya...kalau tak salah aku tahun 2004. Aku just nak kongsi gambar-gambar yang banyak dalam simpanan aku. Sayang rasanya asyik dok simpan tanpa dibuat apa-apa…..Bagi aku makam ini antara makam yang agak menarik  aku dah pergi sebab tu aku tulis entri ini. Makam ini dimilik oleh Tok Pulau Manis.



Tok Pulau Manis atau nama sebenarnya SYEIKH ABDUL MALIK merupakan ulama terkenal di Terengganu. Beliau dilahirkan di Kampung Pauh, Hulu Terengganu pada tahun 1060an/1650an, berketurunan Sharif Mohammad, yang berasal dari Baghdad.  Menerima pendidikan agama diperingkat awal dari kaum keluarganya sendiri.



Kehidupan Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu tercatat antara tahun 1089 H/1676 M-1149 H/1736 M, demikian tersurat di atas kubur beliau, yang menurut salah satu tulisan Misbaha. Tetapi penyelidikan terakhir memberikan maklumat bahawa beliau lahir lebih awal dari tahun yang tersebut itu, iaitu kira-kira 1650 M.


Syeikh Abdul Malik kemudiannya belajar di Aceh yang digelar “Serambi Mekah". Adalah dipercayai beliau telah menerima pendidikan secara langsung dari ulama besar Acheh, Syeikh Abdul Rauf Singkel (1030-1050/1620-1693) yang juga seorang tokoh yang berusaha membawa kepada pengukuhan terhadap aliran al-Sunnah wal Jamaah di alam Melayu. Beliau telah menyalin kitab Tafsir Baydawi yang dikarang dalam Bahasa Melayu oleh Syeikh Abdul Rauf Singkel.

Dipercayai sewaktu belajar di Aceh bersahabat dengan beberapa orang yang akhirnya menjadi tokoh dan ulama besar. Mereka ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi dari Bugis-Makasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat dan ramai lagi. Mereka telah menerima talqin baiah Tarekat Syathariyah daripada ulama Aceh yang terkenal itu.



Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Mekah sekitar tahun 1680, ketika beliau dipercayai berumur 30 tahun. Sewaktu di Mekah bersahabat pula dengan Syeikh Abdus Syukur bin Abdul Karim Batani al-Fathani dan belajar kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani. Selama hampir satu dekad di Mekah, beliau telah berguru dengan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim al-Kurani (1025-1011/1616-1690), yang juga menjadi guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel, bersahabat dengan pelajar-pelajar yang seangkatan dan seperjuangan dengannya seperti Tuan Haji Mohd Salleh bin Omar al-Semarani dari Jawa, Dato’ Syed Abdullah dari Terengganu, Fakeh Abdul Kadir Palimbang, Fakeh Abdul Rahman Patani, Fakeh Abdul Samad Kedah dan Haji Mohamad Siantan dan mengajar apabila terdapat peluang berbuat demikian.


Semasa berada di Mekah dan juga Madinah, Syeikh Abdul Malik telah memberi penumpuan kepada keilmuan tiga serangkai, iaitu ilmu-ilmu Fikah, Usuluddin dan Tasawuf disamping Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu bantu seperti nahu, saraf dan sebagainya. Mengenai karya beliau semuanya dapat dirujuk kepada tulisan-tulisan Shafie bin Abu Bakar, kecuali kitab Syarah Hikam Melayu dalam penyelidikan terkini dimunculkan sebagai bukan karya Tok Pulau Manis oleh Abdur Razak Mahmud yang beliau tulis dalam majalah Pengasuh yang telah disebutkan.


Dalam tulisan terdahulu, penulis menyatakan kitab yang dipertikaikan itu termasuk dalam senarai. Ada dua kitab yang penulis bicarakan dalam Jurnal Dewan Bahasa, Julai 1990, yang sebuah lagi ialah Kitab Kifayah manuskrip salinan Tok Kelaba yang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu dengan nombor kelas MS 517. Tok Kelaba cukup jelas menyebut kitab tersebut adalah karya Tok Pulau Manis. Akan tetapi ada sebuah manuskrip koleksi penulis yang ditemui di Kampung Kepala Bukit Senggora (Mei 1993) dengan judul Al-Kitabul Kifayah, selain judulnya sama juga kandungannya adalah sama, bahawa dinyatakan sebagai karya Imam Syafie (maksudnya bukan Imam Syafie imam mazhab) yang diselesaikan penulisannya pada hari Khamis, 2 Safar 1180 H/1766 M. Ada pun salinan Tok Kelaba tidak tersebut tahun selesai menulisnya, hanya disebutkan tahun selesai penyalinan saja iaitu pada 13 Zulkaedah 1297 H/1879 M (kira-kira 117 tahun kemudian).


Ismail Che Daud pula dalam majalah Pengasuh bilangan 509, Februari 1991 memunculkan judul Tok Pulau Manis (1650an - 1736 M) Penulis Syarah Hikam. Pengakuan Kitab Syarah Hikam Melayu sebagai karya Tok Pulau Manis Terengganu mulai diragukan pertama sekali dikemukakan oleh Abdur Razak Mahmud ditulis dalam majalah Pengasuh bilangan 511, April 1991 sebagai tanggapan terhadap tulisan lsmail Che Daud. Ia sekali gus menyentuh tulisan-tulisan Shafie bin Abu Bakar yang tersebut.


Dalam Seminar Warisan Kitab-Kitab Melayu Lama pada 28 Safar 1412/7 September 1991, anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, pembentang kertas kerja Abdul Aziz bin Ismail sangat banyak menyebut nama Tok Pulau Manis dan Kitab Hikam Melayu, dan lain-lain sangat banyak untuk disebutkan. Oleh itu, beberapa perkara yang telah banyak dibicarakan, penulis sentuh serba ringkas saja. Bagaimanapun, beberapa penemuan baru dirasakan perlu diulas agak panjang terutama mengenai keturunannya yang menjadi ulama atau tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat.




Ingin penulis sebutkan di sini bahawa penulis menemui sebuah manuskrip karya beliau di Patani (hadiah seorang Tuan Guru, Julai 1991). Manuskrip yang telah penulis miliki itu belum pernah disebut dalam semua tulisan sebelum ini. Risalah tersebut nipis saja, hanya enam halaman tetapi lengkap. Di akhir risalah tertulis, Maka adalah yang memindahkan dan yang menjadikan segala perkataan ini semuanya fakir yang hina iaitu Haji Abdul Malik ibnu Abdullah al-Jawi .... Kandungan kitab ini ialah jawapan beliau atas beberapa pertanyaan yang bersangkutpaut dengan nikah kahwin.


Ada pun mengenai kitab Syarah Hikam Melayu, pada mulanya telah sepakat dikatakan sebagai karya Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Pulau Manis). Kemudian dibantah oleh Abdur Razak Mahmud, mengenai ini telah penulis bahas dengan agak panjang dimuat dalam buku Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad Al-Fathani (terbitan pertama Khazanah Fathaniyah, September 1993).
Adapun penulis mempunyai pelbagai edisi cetakan Syarah Hikam Melayu, termasuk cetakan pertama yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di bawah perkataan dalam bahasa Arab cetakan pertama, dinyatakan,
Inilah terapan yang pertama daripada kitab ini.
Di bawahnya lagi dijelaskan, Diterapkan dia dengan peterapan Miri pada negeri Mekah al-Mukarramah. Cetakan pertama yang tersebut adalah tahun 1302 H. Ukuran cetakan 28.8 x 20.8 cm, tebal 208 halaman.

Pada akhir cetakan Syeikh Ahmad al-Fathani, mencatatkan, Dengan Tolong Al-Malikul Wahhab. Telah sempurnalah menthabakan ini kitab yang mustathab, iaitu Syarah Hikam Ibni Athaullah dengan bahasa Melayu. Dan adalah pada tharah kitab ini dahulu hamba sebutkan hal keadaannya nuqil daripada setengah manusia, bahawa kitab ini karangan bagi setengah daripada ulama Terengganu. Kemudian nyata bagi hamba, kemudian daripada periksakan aturan ibaratnya dan pilikkan (pelat) cakapannya, bahawasanya bukan ia bagi orang Terengganu. Maka ada pula orang yang mengkhabar bahawasanya ia karangan orang Aceh adanya. Dan adalah yang muqabalahkan dia atas sekira-kira barang yang ada pada asal naskhahnya al-faqir al-fani Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani musyarakan li anisihi al-fadhil Daud ibni almarhum Ismail al-Fathani.

Dan selesai men(ge)capkan dia pada pertengahan bulan Syawal sanah 1302 daripada hijrah Nabi kita Alais Shalatu was Salam .... Oleh itu, pembahasan kitab Syarah Hikam Melayu dan lapan bait puisi Syeikh Ahmad al-Fathani yang terletak di bahagian depan semua cetakan kitab tersebut telah cukup jelas dalam buku Penjelasan Nazham Syair Shufi Syeikh Ahmad Al-Fathani, maka ditutup sampai di sini saja.


KETURUNAN
Syeikh Abdul Malik Terengganu memperoleh tiga orang anak iaitu: Imam Yusuf Kesuma, Badruddin dan Mik Tok Bungkuk. Ada pun Imam Yusuf Kesuma itu memperoleh anak dua orang, ialah: Abdur Rahman dan Ali. Sampai di sini salalsilah terputus, tidak terdapat sambungan keturunannya. Malahan salasilah Mik Tok Bungkuk terputus juga. Yang teramai memperoleh anak dan keturunan ialah anak Tok Pulau Manis yang kedua, iaitu Badruddin. Badruddin memperoleh lapan anak iaitu tujuh lelaki dan hanya seorang saja yang perempuan. Mereka ialah; Daud, Husein, Hasan, Muhammad, Musa, Isa, Maimunah dan Yaqub.



Beliau mendalami Fikah al-Shafie dengan berguru kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani yang telah menggantikan Ahmad Qushashi yang menjadi pengajar kepada pengikut Imam Shafie di sana. Bidang Usuluddin yang diikutinya pula adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum pengikut ahl-al Sunnah wal Jamaah, manakala bidang Tasawuf yang diceburinya pula adalah berdasarkan etika ubudiyah kepada pengajian Tasawuf.


Syeikh Abdul Malik memilih Tarekat Shadhiliyah yang diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Shadili (M. 656/1258) yang berasal dari Maghribi. Beliau berkenalan dengan tarekat ini menerusi pengajiannya iaitu melalui karangan pendukung utama dari kalangan generasi ketiga aliran sufi iaitu Ibnu ‘Athaillah (M. 709/1309). Tulisan yang menarik minatnya itu ialah Al-Hikam disamping al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir, Lata’if al Minan dan Taj al-Arus.


Pengajaran al-Shadhili dan Ibnu ‘Athaillah dianggap lanjutan dari pendekatan Tasawuf al-Imam al-Ghazali dan kitab Ihya ‘Ulumuddin menjadi kitab penting bagi pengajaran bagi Imam Abu al-Hassan al-Shadhili dan pendokong-pendokongnya. Sebagai seorang yang kesedaran tentang peri pentingnya mendalami ilmu Syariat disamping Usuluddin sebagai asas mendalami ilmu Tasawuf, Syeikh Abdul Malik sendiri, sebelum pemergiannya ke Tanah Suci sudah pun mendalami beberapa bidang ilmu tersebut.


Ilmuan yang menjadi rujukannya berjumlah tidak kurang dari 143 orang, diantara yang terpenting di kalangan mereka itu ialah Ibn ‘Athaillah dan Abu al-Hasan al-Shadhili sendiri, Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abd Allah al-Suhrawardi, Abu Turab al-Khashabi, Abu Yazid al-Bistami, Abu Talib al-Makki, Abu Hamid al-Gahzali, Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Abu Bakar al-Shibli, Abu Nasr al-Sarrj, Ahmad al-Rifa’i, Ahmad Ibn Hanbal, iBn Abbad, Hassan Basari, Junayd al Baghdadi, Ahmad Zarruq, Shal bin Abdullah, Sirri al-Suqti, al-Sha’rani, Abd al-Salam bin Mashish dan Ma’ruf al-Karkhi. Selain itu, beliau juga banyak merujuk kitab Fusus al-Hikam oleh Ibnu Arabi, Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki, karya-karya al-Ghazali seperti Ihya Ulumuddin dan Minhaj al-Abidin, al-Luma oleh Abu Nasar al-Sarraaj al-Tusi, alRi’ayat Li Huquq Allah dan Amal al-Qulub wa al-Jawarib oleh al-Harith al Mushasibi, Sharh terhadap Hikam berjudul Hikam Ibn ‘Athaillah atau Qurrat al-Ayn oleh Ahmad Zarruq dan Halat Ahl al Haqiqat Ma’a Allah oleh Ahmad al-Rifa’i.





Peranan Syeikh Abdul Malik sebagai pengajar di Mekah menyerupai penglibatan sebahagian penting ulama-ulama lain dari seluruh dunia yang menjadikan Tanah Suci sebagai pusat pendidikan. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi. Kedudukan Syeikh Abdul Malik di sini mempunyai persamaan dengan kedudukan ulama-ulama Jawi yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah Fatani, Syeikh Abdul Samad Palimbang, Syeikh Mohamad Nawawi al-Bentani dan Syeikh Mohamad Khatib bi Abdul Latif Minangkabau. Sebagai guru yang amat meminati Tasawuf beraliran etika Ubudiyah yang diperolehi oleh Imam al-Ghazali, beliau juga memilih mengajar dengan menggunakan karangan-karangan yang menjadikan hasil karya Hujjatul Islam itu. Kitab-kitab yang dimaksudkan itu termasuklah Ihya Ulumuddin. Matan Hikam Ibnu Ata’ul-Lah yang dianggap sebagai lanjutan dari pendekatan etika Ubudiyyah al-Imam al-Ghazali juga ternyata mendapat perhatian istimewa dari Syeikh Abdul Malik. Minat Syeikh Abdul Malik terhadap Matan Hikam diperkukuhkan lagi oleh permintaan sahabat-sahabatnya seperti terjelas dalam Hikam melayunya :


(Dan) sanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salik bahawa menterjemakan aku akan dia dengan bahasa Jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka ku perkenankan atas yang demikina itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah au memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan sharahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia……?


Karangan di atas menunjukkan bahawa sahabat-sahabatnya di Mekah telah memintanya mengarang, sesuatu yang mencerminkan martabat kedudukannya di kalangan kawan-kawannya. Dengan penulisan tersebut Hikam Melayu merupakan sebuah kitab Tasawuf terbesar dan terawal menurut aliran ahli Sunnah wal-Jamaah di dalam Bahasa Melayu.

Adalah dipercayai bahawa Syeikh Abdul Malik pulang ke tanah air sekitar pertengahan tahun 1960an ketika berusia lebih kurang 40 tahun. Kehadirannya di dalam masyarakat tempatan, yang diperkukuhkan oleh Hikam Melayunya serta pertalian dengan pembesar tempatan di Negeri Terengganu. Malah disebabkan oleh pertalian Terengganu dengan Johor, peranan Syeikh Abdul Malik menjadi lebih penting lagi dalam kontek perkembangan sosial semasa. Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai beliau dikatakan bertanggungjawab membawa dan menabalkan Zainal Abidin I menjadi sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734) yang berlangsung di Tanjung Baru. Raja tersebut juga telah berkahwin dengan anak perempuan Syeikh Abdul Malik. Apabila Syeikh Abdul Malik berpindah dari Hulu Terengganu dan menetap di Pulau Manis baginda juga telah turut sama berpindah dan menetap tempat yang baru sebelum memilih tempat persemayam tetapnya di Kuala Terengganu.

Syeikh Abdul Malik menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Syeikh Abdul Malik berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan mengetuai majlis-majlis tersebut. Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama dan Mufti beliau mengeluar fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan keIslaman dan hukum hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Mekah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Fekah.

Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis meninggal dalam lingkungan usia 86 tahun iaitu pada tahun 1149H bersamaan 1736 sebagaimana yang terakam pada makamnya.

Nama Tokku Pulau Manis sememangnya telah begitu masyhur di kalangan penduduk Terengganu sebagai seorang ulama dan juga pejuang tanah air pada waktu penjajahan British dahulu. Namun begitu, tidak ramai yang mengenali susur galur dan juga sejarah hidup ulama Melayu ini.Nama beliau yang sebenar ialah Shaikh Abdul Malik bin Abdullah. Shaikh Abdul Malik adalah berasal dari keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi yang merupakan seorang raja di Baghdad. Kemudian beliau telah merantau ke Terengganu dan menjadi pemerintah di Terengganu yang dikenali dengan Kerajaan Temir.

Pada tahun 1650, Shaikh Abdul Malik telah dilahirkan di Kampung Pauh, Kuala Berang. Beliau merupakan putera kepada Tuanku Syarif Abdullah iaitu seorang pemerintah dan ulama kerajaan Temir pada masa itu. Beliau diberi nama Syarif Abdul Malik bin Tuanku Syarif Abdullah bin Tuanku Syarif Abdul Qahar bin Tuanku Syarif Muhammad Al-Baghdadi, pengasas kerajaan Islam pertama di Terengganu. Beliau adalah berketurunan dari nasab Rasulullah s.a.w.

Kehidupan Shaikh Abdul Malik di istana adalah juga merupakan tempat umat Islam menerima ilmu, tarbiyyah dan menjadi pusat pertadbiran kerajaan. Dalam meniti usianya di istana, beliau banyak memerhati dengan penuh teliti setiap butir perkataan dan gerak-geri ayahandanya yang merupakan sebagai gurunya yang pertama. Dari sehari ke sehari, beliau membesar di dalam suasana yang penuh seimbang antara agama dan politik yang memungkinkan beliau menjadi matang melebihi usianya. Malahan begitu, beliau juga tidak begitu berminat untuk bermain sebagaimana kanak-kanak yang seusia dengannya. Akan tetapi, beliau lebih berminat untuk mentelaah kitab, mendampingi ayahandanya dan melakukan ibadat. Hasil dari Sifat-sifatnya yang mulia dan daya intelektualnya yang bijak itu telah memperlihatkan yang beliau akan menjadi seorang pemimpin yang hebat pada suatu masa nanti. Ia bukan sahaja terlihat dalam bidang agama dan kerohanian tetapi juga dalam soal pentadbiran dan kepimpinan.

Atas didikan dan pengawasan yang penuh kasih sayang dari kedua-dua ibu bapanya, tambahan pula dengan perihal dirinya yang amat menarik, dengan tubuhnya yang sederhana dan wajahnya yang menarik membuatkannya menjadi sanjungan dan perbualan sesiapa sahaja yang melihatnya. Selain itu, beliau mempunyai perwatakan yang halus budi pekerti, amat kuat ingatan, cintakan ibadah dan suka bersendirian yang menjadikannya lebih dipandang tinggi oleh penduduk setempat. Apabila beliau semakin menginjak dewasa, beliau disuruh pula oleh ayahandanya mengikuti bapa saudaranya yang bernama Ismail untuk sama-sama pergi berniaga. Ia bertujuan agar beliau dapat meluaskan pandangannya melalui pemerhatian dan pengalaman yang dilaluinya. 

Setelah sekelian lama menuntut ilmu dengan ayahandanya dan juga ulama tempatan, Shaikh Abdul Malik disuruh pula oleh ayahandanya belayar ke Aceh untuk menuntut ilmu di sana yang juga lebih dikenali sebagai Serambi Mekah, merupakan sebuah pusat penyebaran ilmu di Nusantara bahkan juga tempat

Pengajian pertama sebelum seseorang itu melanjutkan pelajaran ke Mekah. Dalam usianya seawal 20-an, beliau telah meninggalkan tanah airnya dan belayar ke Aceh bersama dengan sahabat-sahbatnya. Di sana, Shaikh Abdul Malik telah berguru dengan Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri yang juga dikenali sebagai Tok Shaikh Kuala yang merupakan ulama besar di Nusantara pada waktu itu.


Apabila Shaikh Abdul Rauf melihat keadaan beliau yang telah dapat menguasai beberapa ilmu seperti hadith, tafsir, nahu, saraf, fiqh dan tasawuf dengan baik, beliau pun dibaicah oleh Shaikh Abdul Malik dengan tarekat Shatariah dan diperintahkan untuk melakukan suluk bersama dengan tiga muridnya yang lain iaitu Shaikh Yusuf Khalawati al-Mankatsi dari Bugis Mekasar, Shaikh Abdul Muhyi Pamijihan dari Cerebon Tegal dan Shaikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat. Ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga tercapai beberapa maqam padanya. Akhirnya, Shaikh Abdul Malik telah dilantik sebagai khalifah tarekat Shatariah dan diperintahkan untuk mengembangkannya di Terengganu apabila pulang ke negerinya.


Setelah sekian lama menuntut ilmu dengan Shaikh Abdul Rauf dan telah selesai dalam pengajiannya di bawah bimbingan gurunya itu, Shaikh Abdul Malik diperintahkan oleh gurunya itu untuk menyambung pengajiannya di Mekah dan Madinah. Pada usia sekitar 30-an, beliau dan beberapa orang sahabatnya telah belayar ke Mekah setelah mendapat keizinan dari gurunya. Di Mekah, Shaikh Abdul Malik telah berguru dengan ulama-ulama yang besar dan salah seorang darinya ialah Shaikh Ibrahim al-Kurani yang merupakan guru kepada Shaikh cAbdul Rauf Singkel dan pengganti kepada Shaikh Ahmad Qusyasyi.


Pada tahun 1690 M, gurunya iaitu Shaikh Ibrahim al-Kurani telah kembali ke RahmatuLlah. Pemergian gurunya yang dikasihi itu amat dirasai tambahan pula gurunya itu juga amat kasih kepada dirinya selama beliau menuntut bersamanya. Pada usianya menjangkau 40 tahun, Syarif Abdul Malik kembali ke tanah airnya. Setibanya beliau di pelabuhan di Kuala Berang, Shaikh Abdul Malik telah disambut oleh ahli keluarganya dan rakyat jelata. Apabila melihat keadaan diri ayahandanya yang telah uzur, beliau menyedari bahawa tanggungjawab berat yang bakal dipikulnya makin hampir.


Setelah beberapa bulan pulang dari Mekah, ayahandanya telah menjodohkan Shaikh Abdul Malik dengan Puteri Mahpuri, anak kepada seorang pembesar yang berasal dari kerabat Diraja Johor yang kemudiannya telah menetap di Terengganu, iaitu di Kampung Batu Hampar. Mertuanya bergelar Tok Raja Lila.

Selepas berkahwin, beliau telah membawa isterinya ke istananya di Kota Tamir. Perkahwinan mereka adalah berdasarkan iman dan kasih sayang. Mereka dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Dari perkahwinan yang dalam suasana iman, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu tiga lelaki iaitu Badaruddin, Imam Yusuf, dan Haji Yaakob (Tok Bongkok) serta seorang anak perempuan yang bernama Siti Zubaidah. Ada juga yang meriwayatkan bahawa Tok Pulau Manis tiada anak perempuan. Walhal, yang berkahwin dengan Sultan Zainal Abidin 1 itu adalah anak angkat Tok Pulau Manis yang dipelihara selepas kematian ayahnya, Wan Ismail Datu.

Setelah ayahandanya mangkat, Shaikh Abdul Malik telah dilantik menjadi pemerintah kerajaan Islam Temir ketika itu. Beliau menerima tanggungjawab itu dengan perasaan yang amat berat. Bebanan tanggungjawab yang diterimanya itu membuatkannya menjadi semakin sibuk. Banyak urusan yang terpaksa dilakukannya telah memungkinkan beliau merasa tidak senang duduk. Jiwanya yang lebih cenderung kepada mengajar, berdakwah, mengarang dan beruzlah telah meresahkan lagi hatinya. Setelah beliau bermunajat kepada Allah dan memohon petunjuk daripadaNya, akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk mencari pengganti dirinya.

Setelah itu, Shaikh Abdul Malik pun bermesyuarat dengan para pembesarnya dan menyatakan hasratnya yang ingin turun takhta dan menggantikannya dengan Tun Jenal yang merupakan anak seorang pembesar Johor pada ketika itu dan juga muridnya sendiri. Para pembesar menerima permintaan Shaikh Abdul Malik. Namun, mereka telah meletakkan dua syarat kepada beliau. Pertama, Shaikh Abdul Malik mesti tetap menjadi penasihat dan guru kepada istana. Kedua, Tun Jenal dikehendaki mengahwini puterinya Siti Zubaidah untuk memastikan keturunannya terus memerintah di Terengganu.

Dalam usia sekitar 80-an, Tok Pulau Manis banyak menumpukan kepada mengajar, mengarang kitab dan menyebarkan tarekat Shatariah. Anaknya yang bernama Badaruddin telah diangkat menjadi Shaikh tarekat Shatariah dan telah diizinkan untuk membaicah dan membimbing suluk para muridnya.

Dari sehari ke sehari, kesihatannya mula terjejas dan menjadi semakin tenat dan uzur. Beliau banyak menghabiskan usianya yang ada dengan berkhalwat dengan Allah Taala. Setelah dirasakan kesihatannya semakin bertambah buruk, beliau pun telah menghimpunkan ahli keluarganya, murid-muridnya serta penduduk tempatan, beliau telah berpesan agar mereka kuat berpegang dengan ajaran agama dan hendaklah menyebarkan segala ilmu yang ada serta dipesan agar menjaga negeri Terengganu dengan cara memberi ilmu kepada rakyat dan jangan dijauhi orang-orang yang jahil.

Pada pagi Jumaat di tahun 1736 M/ 1149 H, Tok Pulau Manis telah pulang ke Rahmatullah dalam usia 86 tahun. Berita kematian Tok Pulau Manis itu telah tersebar ke pengetahuan istana raja, maka bergegaslah Sultan Zainal Abidin 1 dan para pembesarnya ke kampung Pulau Manis untuk menziarahi jenazah ulama dan wali Allah itu buat kali terakhir. Selepas jenazahnya disembahyangkan, jasadnya disemadikan kemudian jenazahnya dibawa ke makan dengan diiringi sultan, para pembesar dan rakyat jelata. Setelah itu, Sultan Zainal Abidin 1 telah memerintahkan agar pembinaan makam Tok Pulau Manis dengan diletakkan batu ’bereluk’ di sekelilingnya. Makamnya juga hendaklah ditutupi dengan kain kelambu berwarna kuning. Aku sendiri pun tak pasti kenapa dibuat begitu. 

Sekian.