Wednesday, 26 October 2016

Rumah Haji Su Bercirikan Rumah Limas Belanda Dengan Identiti Terengganu

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Apa khabar hari nii? Korang pernah pergi Losong tak? Kat sini sangat femes dengan keropok lekor Losong. Kalau korang ke Losong pasti mata korang akan terpukau dengan rumah bersejarah terbiar kosong tanpa penghuni ini yang dikenali dengan nama Rumah Haji Su. Sekali pandang walaupun kelihatan usang namun rumah ini bagaikan sebuah istana lama kerana mempunyai keistimewaan tersendiri termasuk reka bentuk yang agak unik serta bercirikan tradisional Negeri Terengganu.

Pemilik asalnya Allahyarham Haji Su Mohammed Salleh bin Haji Mohammed iaitu seorang tokoh yang sangat berpengaruh dan merupakan pedagang kaya yang telah banyak memberikan sumbangan kebajikan di daerah ini.



Mengikut sejarah awal, rumah berkayu cengal ini didiami semua anak Su Mohammed Salleh dan apabila anak bongsunya meninggal dunia pada 2008, rumah itu tidak berpenghuni serta terbiar begitu sahaja.

Rumah kepunyaan Allahyarham Su Mohammed Salleh Mohammed yang dibina pada 1850 bercirikan reka bentuk rumah Limas Belanda dan rumah Bujang Berpeleh Kembar Tiga yang berkait rapat dengan identiti negeri Terengganu ini
Dua buah rumah yang ditinggalkan ini merupakan rumah pasang siap dan dipercayai mampu dibina oleh hanya seorang tukang kayu dengan mengambil kira kesesuaian alam persekitaran dan kehidupan masyarakat Melayu serta agama Islam.


(sumber:Utusan Malaysia)
Rumah warisan ‘Haji Su’ di Kampung Losong dekat sini yang bercirikan keunikan seni bina dan ketukangan masyarakat Melayu tradisional negeri akan dibeli dan dipulihara oleh kerajaan negeri. Pengarah Muzium Negeri, Mohd Yusof Abdullah memberitahu, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi tujuan itu dan kini dalam proses perbincangan akhir dengan pewaris. Katanya, ia sebahagian daripada usaha bagi mengekalkan monumen atau artifak warisan bangsa agak tidak lenyap begitu sahaja bersama sejarah.

"Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa membelanjakan wang membeli rumah usang ini yang hampir roboh. Ia bukan sekadar soal rumah atau tapak warisan. "Tetapi kita sebenarnya turut membeli dan mengekalkan bersama ilmu tentang seni bina Melayu, yang melambangkan intipati kemajuan teknologi, ketinggian nilai seni serta acuan corak budaya. "Apa yang pernah menjadi lambang kebanggaan dalam kehidupan silam bangsa dan kini hampir lenyap perlu terus dipertahankan untuk diwarisi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. "Walaupun ramai yang mungkin melihat struktur rumah tersebut dari luar seolah-olah tidak berharga namun, nilai sejarah dan nilai di dalam rumah itu mendorong Muzium Negeri berusaha untuk memuliharanya bagi tatapan generasi akan datang.


Ia rumah paling besar di penempatan itu yang masih terdapat rumah-rumah tradisional yang melambangkan taraf kehidupan keluarga yang mendudukinya pada masa silam,” ujar beliau. Katanya, selain nilai warisan yang ditinggalkan, pemilik asal rumah itu mempunyai sejarah tersendiri dan namanya diabadikan sebagai nama penempatan di situ iaitu Losong Haji Su.

"Haji Su merupakan ahli perniagaan dan pada zamannya adalah kalangan yang ternama di negeri ini. "Allahyarham dikatakan mempunyai banyak kapal untuk urusan dagang di rantau ini malah mempunyai kapal penumpang yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Singapura,” tambahnya.



Seorang pekerja swasta Abdul Hadi Yusof, 40, berpendapat, rumah berkenaan boleh dijadikan tempat bersejarah negeri ini kerana banyak catatan sejarah berlaku terhadap Su Mohammed Salleh. Katanya, sebelum ini, ramai pelancong luar singgah mengambil gambar di dalam kawasan rumah berkenaan namun apabila pagar utama dikunci, mereka hanya dapat melihat dari luar sahaja. Sehubungan itu, dia menggesa kerajaan negeri mengambil langkah segera mewartakan rumah berkenaan sebagai tempat bersejarah kerana ia mampu memberi nilai sejarah yang tinggi.

Sementara itu, Ramlah Adam, 36, ketika ditemui berkata, rumah tradisi tersebut seharusnya dikekalkan kerana ia salah satu rumah lama bercirikan reka bentuk tradisional menarik dan unik. Kata Ramlah, keunikannya tiada tandingan dan mampu menjadi aset penting untuk pelancongan negeri. Apabila dikekalkan ia mampu menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara, selain menambahkan lagi destinasi tempat bersejarah, katanya.

Seorang pelancong, Abdullah Mamat, 55, pula menyarankan kerajaan negeri mengambil langkah yang perlu bagi memastikan rumah tersebut dapat dikekalkan. Katanya, ini penting kerana sebahagian struktur rumah yang kian reput dan jika dibiarkan lama kelamaan akan runtuh. Justeru, saya harap waris rumah berkenaan dan pihak kerajaan negeri mengambil langkah terbaik memelihara kegemilangan rumah warisan Su Mohammed Salleh agar boleh dijadikan tatapan generasi baru, jelasnya.

Kerja-kerja konservasi Rumah Haji Su bermula pada Jun 2014 dan berakhir pada penghujung Februari 2016. Di atas 3 lot tanah yang meliputi kawasan seluas 0.4 hektar di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu. Terengganu, Malaysia terdirinya Rumah Limas Belanda (1940an) dan Rumah Bujang Berpeleh Berkembar Tiga (1850).

Pihak Kerajaan Negeri Terengganu melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu telah mengambil alih warisan beharga ini untuk dibaikpulih dan dikekalkan sebagai sumber ilmu yang sangat penting kepada generasi hari ini dan akan datang. Ianya melambangkan kemajuan teknologi tradisional, ketinggian nilai senibina dan budaya Melayu.

Masa aku gi lawat rumah ni.. rumah ni berkunci. So aku tak dapat nak masuk untuk melihat suasana dan hiasan dalamannya. Aku berharap rumah ini dapat terus dipelihara sebab aku tak pernah lagi jumpa rumah seperti ini sepanjang aku menerokai Terengganu.

Sekian.

No comments:

Post a comment