Saturday, 8 October 2016

Residen British Yang Dibenci Orang Melayu Di Perak.....JWW Birch

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,



Hai korang. Semoga sihat sejahtera hendaknya. Pagi nii aku nak ajak korang melawat ke sebuah tapak perkuburan bersejarah yang terdapat di negeri Perak. Seluruh Malaysia kenal akan beliau ini. Nama Residen British JWW Birch nii memang sangat popular masa zaman sekolah lagi...tak sangka plak aku dapat gi tengok kuburnya di Daerah Perak Tengah. Kalau nak korang nak gi ke kubur ni memang laa susah sebab korang kena berjalan kaki dalam setengah jam samada melalui ladang kelapa sawit ataupun melalui Kampung Teluk Memali, Kampung Gajah.





J.W.W. Birch adalah seorang pegawai pentadbir British yang dilahirkan dalam tahun 1826. Beliau telah dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875. Beliau adalah anak kepada seorang paderi Kristian dan pernah berkhidmat di dalam tentera laut Ceylon. 
Birch pernah berkhidmat dengan Tentera Laut DiRaja British buat seketika, dan ditugaskan berkhidmat di atas kapal HMS Alfred yang ditugaskan meronda pantai di Amerika Selatan. 

Jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh Birch adalah:
·         Disember 1846 – Pesuruhjaya Jabatan Jalanraya, Ceylon (sekarang Sri Lanka)
·         November 1852 – Penulis di Jabatan Perkhidmatan Awam, ditempatkan di Pejabat Wakil Kerajaan, Jaffna
·         April 1853 – Majistret Polis di Jaffna
·         Oktober 1853 - Galle.
·         Januari 1854 - Mallakam.
·         Januari 1854 - Chavakachcheri (memangku).
·         Ogos 1854 - Pemangku Penolong Wakil Kerajaan in Trincomalee - Perlantikan disahkan dalam bulan Disember 1854.
·         Mac 1856 – Hakim Daerah Batticaloa.
·         Januari 1859 hingga Mei 1862 - Pemangku Penolong Wakil Kerajaan, Batticaloa
·         September 1864 - Pemangku Penolong Wakil Kerajaan, Ratnapura.
·         Ogos 1865 - Kurunegala
·         Julai 1866 – Pemangku Penolong Wakil Kerajaan, Hambantota.
·         Oktober 1867 – Pemangku Wakil Kerajaan dan Pemungut Cukai, Wilayah timur. Perlantikan disahkan dalam bulan Jun 1868.
·         Mei 1870 to 1874 – Setiausaha Kolonial, Negeri-Negeri Selat.
·         November 1874 to 1875 – Residen British Pertama di Perak, dibunuh oleh orang-orang Melayu yang menentang penjajahan British



Terdapat juga beberapa peristiwa dimana Birch sengaja campurtangan dalam hal ehwal istana. Antaranya, beliau telah beberapa kali melindungi gundik-gundik yang lari, kononnya gundik-gundik  tersebut lari untuk kepangkuan beliau. Pada satu ketika dalam bulan Oktober 1875, beliau telah menyeludup beberapa gundik ke Pulau Pangkor.

 


Di antara perkara yang membangkitkan kemarahan Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Melayu di negeri Perak terhadap J.W.W. Birch ialah campurtangannya dalam hal ehwal dan adat istiadat Melayu.  Malah sikap Birch yang sombong dan bongkak serta tidak membuat sebarang pertimbangan yang wajar apabila membuat sesuatu keputusan menyebab sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar melayu merasa tidak puas hati dan menyebabka satu pakatan untuk membunuhnya.


Pembunuhan J.W.W Birch adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati Sultan Abdullah Muhammad Shah II dan pembesar negeri terhadap tindak-tanduk Birch. Birch telah menggunakan kedudukannya sebagai Residen Inggeris di Perak dengan meminta Sultan Abdullah menandatangani pengisytiharan untuk membolehkannya mengambil alih kuasa kerja-kerja mengutip cukai daripada pembesar-pembesar Perak tetapi telah ditolak oleh Sultan Abdullah.




Pada 20hb Julai 1875, J.W.W Birch sekali lagi mendesak Sultan Abdullah menurunkan tandatangannya dan mengugut Sultan akan diturunkan daripada takhta seandainya baginda enggan menandatangani surat penyerahan kuasa tersebut. Akibatnya Sultan Abdullah terpaksa akur dengan ugutan Birch dan menandatangani surat perjanjian tersebut.


Rentetan daripada peristiwa itu, sebanyak 7 kali mesyuarat sulit telah diadakan oleh Sultan Abdullah Muhammad Shah dengan orang-orang besarnya bagi membincangkan perihal pembunuhan J.W.W Birch yang diadakan dari bulan Mac hingga September 1875.


Dalam mesyuarat sulit tersebut sebanyak 5 cara telah dirancangkan. Laksamana Mohd amin telah mencadangkan Birch diracun, Dato' maharaja Lela pula mencadangkan Birch ditikam, manakala Dato' Sagor pula mencadangkan supaya menyerang Bandar Baru dan membunuh Birch dan Sultan Abdullah pula sendiri mencadangkan agar Birch disihir.

Dalam mesyuarat terakhir yang berlangsung di rumah Dato’ Maharaja Lela, pada 30hb Oktober 1875, satu keputusan muktamad telah dicapai untuk membunuh Birch di Pasir Salak. Dato’ Maharaja Lela yang diberi kuasa membunuh Birch telah menganugerahkan baju, tengkolok dan pedang kepada Pandak Indut sebagai wakilnya untuk membunuh Birch.



J.W.W Birch dibunuh ketika sedang mandi di atas rakit berdekatan perahunya. Birch ketika itu baru balik dari lawatannya di Pasir Salak untuk melihat kerja-kerja menampal poster pengisytiharan Inggeris mengambil alih pungutan cukai, dan bercadang untuk bermalam dalam perahu sebelum pulang ke Bandar Baru pada keesokkan hari.


Pandak Indut telah diarahkan oleh Dato’ Maharaja Lela merejam lembing ke arah tempat Birch mandi. Rejaman tersebut menyebabkan Birch jatuh ke dalam sungai. Birch yang masih bernyawa berenang ke darat meminta pertolongan dan pada ketika itulah Si Puntum menerpa dan menetak kepala Birch dengan parang panjangnya. Mayat Birch ditemui pada petang keesokkan harinya, sejauh 182.9 meter dari tempat kejadian.


Kematian Birch telah menyebabkan Inggeris berang dan melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W Birch. Pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris di bawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang Melayu yang disyaki telah dibakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah diserang habis-habisan dan akhirnya ditawan. Askar-askar Inggeris terus mara di sepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguhpun kekurangan senjata dan taktik peperangan, orang-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris seperti yang berlaku di Kota Lama. Peperangan ini telah berlarutan sehingga tahun 1876 dan berakhir setelah semua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W Birch ditangkap dan dibicarakan.


J.W.W Birch merupakan seorang Residen Inggeris yang paling angkuh, suka memperlekeh dan merendah-rendahkan kedaulatan Perak telah menerbitkan api dendam yang membara di dalam dada orang-orang besar Perak, sehinggakan terbit gerakan sulit untuk membunuh J.W.W Birch. Diantara perangai buruknya, suka mengacau perempuan Melayu dan melarikan isteri orang. Itu yang membuat orang Melayu nekad menghapuskan Birch selain dari gila kuasa untuk meluaskan penguasaan di negeri Perak.

Kubur JWW Birch ini terletak berhampiran dengan Sungai Perak tetapi agak sukar untuk melawatinya kerana kenderaan tidak boleh sampai ke sini disebabkan laluan yang sempit dan bersemak samun. Di sini juga terdapat beberapa kubur pembantu-pembantu beliau. 
Kubur JWW Birch ini pernah beberapa kali dirosakkan oleh penduduk sekitar disebabkan lambang salib yang dibina di atas kubur beliau ini.

Di Kompleks Bersejarah Pasir Salak ada didirikan tugu peringatan JWW Brich dan tiang tempat beliau dibunuh untuk tujuan penceritaan sejarah. Selain itu, di Dataran Datok Sagor Ipoh ada dibina Menara Jam JWW Birch oleh anak beliau bagi memperingati bapanya.

Kalau korang berminat dengan sejarah....korang boleh datang ke Kompleks Bersejarah Pasir Salak ini kerana terdapat beberapa galeri....antaranya galeri terowong masa dan geleri tentang keris. Korang juga boleh melihat Rumah Kutai dan Pentas Belotah yang terdapat di dalam kompleks ini.

Sekian.

No comments:

Post a comment