Sunday, 9 October 2016

Cantiknya Senibina Muzium Islam Kelantan

 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,



Aku dah banyak kali datang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang nii... Aku paling suka tengok senibina lama bangunan yang terdapat di sini dengan seni ukiran yang sangat tinggi.


Muzium Islam ini merupakan kali pertama aku jejaki kerana sebelum ini bangunan ini pernah dilakukan kerja-kerja pemuliharaan dan pengisian semula bahan pameran. Bangunan ini adalah salah sebuah bangunan yang mempunyai ciri-ciri rekabentuk yang unik di bandar Kota Bharu. Memang teruja laa bila dapat meninjau ke dalam muzium ini dan melihat bahan-bahan koleksi yang dipamerkan.
 



Muzium Islam ditubuhkan pada tahun 1991 dan beroperasi di Bangunan Lama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang terletak di Jalan Sultan Kota Bharu bersebelahan dengan Masjid Muhammadi... berhadapan Padang Merdeka dan Memorial Perang Dunia Kedua (Bank Kerapu). Pameran yang diadalan di sini ialah koleksi artifak, gambar-gambar, rajah-rajah yang berkaitan dengan sejarah kedatangan Islam ke Kelantan dan juga Nusantara, tokoh-tokoh agama Islam, Jabatan Agama, Majlis Agama Islam Kelantan dan pelbagai koleksi dari negara-negara Islam.






Pada asalnya ia merupakan sebuah rumah tradisional Melayu milik Menteri Besar Kelantan yang bernama Nik Soh (Nik Jusoh) yang bergelar Dato Paduka Raja Kelantan di zaman pemerinthan Sultan Mansur. la dibina pada tahun 1902 dan berasaskan gaya dan ciri-ciri bangunan rumah Melayu Kelantan–Pattani model penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.




Bangunan ini diperbuat daripada kayu cengal terpilih dan atapnya pula menggunakan bata buatan Singgora yang terkenal lebar tebal dan kukuh. Berbagai-bagai jenis ukiran menghiasi setiap pintu tingkap dan ruang. Pada setengah tempat pula ukiran-ukiran ini memagar ayat-ayat suci al-Quran yang digubah dalam satu seni reka dan khat yang cantik dan menarik. Daun tingkapnya pula dibuat sedemikian rupa sisik angin untuk mendapatkan udara walaupun tingkap nya tertutup. 
 



Terdapat sebuah anjung di bahagian hadapan bangunan ini yang menyerupai beberapa bangunan lain yang berdekatan seperti Istana Balai Besar dan Istana Jahar. Fungsi anjung ini antara lain ialah sebagai tempat untuk menyaksikan pelbagai upacara atau pertunjukan yang sering diadakan di padang Padang Merdeka yang terletak betul-betul di hadapan bangunan berkenaan.




Pada tahun 1905 bangunan ini dipilih menjadi tempat sambutan lawatan Maharaja Siam iaitu Maharaja Chulalongkorn Rama V ke Kota Bharu. Bangunan ini menjadi Pejabat Majlis Agarna Islam Kelantan selama 72 tahun 6 bulan iaitu mulai 9 Ogos 1917 hingga 15 Februari 1990 apabila Majlis Agama Islam Kelantan berpindah ke bangunan baru di Jalan Sultan Yahya Petra Lundang.



Kerja-kerja ubahsuai bangunan ini telah dimulakan sejak awal tahun 1991 dan telah siap sepenuhnya menjelang perasmian bangunan tersebut pada 11 November 1991 dengan menelan belanja RM218 000.00 untuk dijadikan sebagai Muzium Islam.

Sekian.

No comments:

Post a comment