Monday, 10 October 2016

Moh Le Wei... Kita Ke Muzium Perak

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai semua... ceria-ceriakan diri hari nii yea. Jom kita ke Taiping.... Salah satu tempat yang korang wajib lawati di Taiping ialah Muzium Perak yang memang mudah dilihat dari jalan utama. Muzium ini terletak berhampiran dengan Penjara Taiping dan merupakan muzium pertama di Malaya.



Muzium Perak, Taiping dibina pada tahun 1883 dan merupakan muzium yang pertama ditubuhkan di Malaysia. Bangunan Muzium Perak mempunyai keunikan dari segi seni bina yang mempunyai pengaruh bangunan masyarakat ‘moor’ di India yang digabungkan dengan seni bina ‘neo-classical’ dan ‘victorian’ masyarakat Eropah.

Ia direka bentuk oleh arkitek berbangsa Inggeris dari England. Idea penubuhan Muzium Perak dicetuskan oleh Sir Hugh Low, Residen British Ketiga di negeri Perak ketika itu. Beliau merasakan perlunya ditubuhkan sebuah muzium di Tanah Melayu untuk dijadikan sebagai sebuah pusat penyelidikan dan pengumpulan bahan sejarah, budaya dan alam semulajadi Negara. Tujuannya adalah untuk mengkaji budaya material masyarakat tempatan sebagai salah satu usaha memahami cara hidup budaya setempat. Beliau telah melantik Leonard Wray Jr., seorang ahli botani dan geologi untuk mengumpulkan spesimen-spesimen alam semulajadi dan etnologi sebagai koleksi awal Muzium Perak.



Muzium Perak yang kaya dengan bahan koleksi etnologi, sejarah, alam semulajadi, arkeologi dan etamobologi yang sebahagiannya diklasfikasikan sebagai koleksi nadir (rare) berusia lebih seratus tahun seperti spesimen binatang jenis binturong dan pulasan, tengkorak dan rangka binatang serta tembikar  tanah yang kini hampir pupus atau sukar ditemui.



Direkabentuk oleh arkitek berbangsa Inggeris yang didatangkan khas dari England. Beliau mengaplikasi gaya dan ciri-ciri bangunan masyarakat ‘moor’ di India serta mengabungkan gaya klasik seni bina neo-classical dan Victorian masyarakat Eropah. Reka bentuk bangunan agak unik, sekiranya dilihat dari udara kelihatan seperti huruf ‘L’ dan diandaikan mengambil sempena nama kurator pertama Muzium Perak iaitu Leonard Wray Junior.



Bahan-bahan binaan terdiri daripada batu bata yang diimport dari India dan batu bata tempatan yang diperbuat di Selama, Perak. Menggunakan kulit kerang yang dihancurkan halus, putih telur ‘lime tar’ sebagai bahan asas simen. Manakala ketulan batu granit yang ditempa khas digunakan dibahagian tangga, bingkai tingkap dan bahagian-bahagian tapak serta dasar bangunan. Struktur pintu, lantai, tingkap, gelegar adalah dari kayu tropika tempatan yang berkualiti tinggi seperti cengal batu, meranti dan merbau.



Pameran Terkini
Muzium Perak mempunyai empat buah galeri utama, iaitu :

GALERI PAMERAN SEMENTARA
Galeri (A), yang menempatkan pameran sementara mengikut jadual berkala berdasarkan tajuk dan tema yang ditetapkan.

GALERI PAMERAN TETAP
Galeri Alam Semulajadi (B)
Pameran di galeri ini menonjolkan pelbagai koleksi spesimen rangka seperti gajah, ular sawa, harimau, buaya, beruang, kuda , kambing gurun dan sebagainya. Spesimen haiwan di pamerkan dalam bentuk diorama yang menarik iaitu berlatar belakangkan habitat. Sebanyak 242 koleksi specimen di pamerkan dalam galeri ini termasuk koleksi burung, ikan dan hidupan laut. Spesimen binatang seperti binturong dan pulasan yang di pamerkan kini hampir pupus atau sukar ditemui. Salah satu tarikan utama dalam galeri ini ialah rangka tulang buaya tembaga dan rangka ular sawa yang terpanjang di negara Asia.



Galeri Pameran Kebudayaan (C)
Galeri ini memperagakan koleksi artifak dari pelbagai aktiviti pertukangan tembaga, perak, cutam, tekatan, anyaman, busana Melayu Perak dan sebagainya. Pameran permainan tradisional seperti congkak, wau, gasing, sepak raga dan juga pameran perkahwinan dan perayaan masyarakat Melayu, Cina dan India.Terdapat juga segmen diorama pertukangan logam secara tradisional. Salah satu tarikan utama dalam galeri ini ialah artifak cutam yang merupakan campuran logam emas dengan perak dan juga seni tekatan.

Galeri Pameran Masyarakat Orang Asli dan Pelbagai Koleksi Tembikar (D)

Galeri ini dibahagikan kepada dua bahagian yang mempamerkan koleksi sosio budaya masyarakat Orang Asli dan koleksi pelbagai tembikar dari seluruh Malaysia. Bahagian masyarakat Orang Asli menonjolkan pelbagai koleksi artifak unik seperti sumpit, jerat, topeng, ukiran kayu, kraf dan sebagainya.Manakala bahagian tembikar menonjolkan pelbagai koleksi seperti labu, terenang, pasu kechor dan sebagainya. Salah satu tarikan utama dalam pameran ini ialah koleksi artifak labu air dan ukiran kayu masyarakat Orang Asli.



PAMERAN LUAR
Terdiri daripada pelbagai koleksi khazanah warisan negara seperti Pesawat F-86 Avon Sabre milik TUDM, Kereta Kuda , Koc Keretapi , Dandang Jana Kuasa Stim, Meriam Long Jaafar, Perahu Sagor, Kereta Antik “Rolls Royce” dan sebagainya.


Penyelidikan & Koleksi
  • Penyelidikan Tarian Bubu di Pulau Tiga , Kampung Gajah, Perak (2005)
  • Penyelidikan & Pengumpulan Maklumat Sejarah Muzium Perak (2013)
Koleksi Artifak Terpilih
  • Set Lengkap Rangka Gajah Asia - Anggaran saiz ukuran ialah panjang 13 kaki dan tinggi 9 kaki
  • Rangka Ular Sawa Terpanjang yang terpanjang di Asia iaitu 23 kaki 9inci
  • Rangka Buaya Terpanjang yang terpanjang di Asia iaitu 24 kaki 8 inci
  • Kereta Antik “Rolls Royce”
  • Topeng Orang Asli


Waktu Operasi
Isnin – Ahad : 9.00 pagi- 6.00 petang
Waktu Tutup
Tutup pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha
Bayaran Masuk
Dewasa : RM 2.00
Percuma : Kanak-kanak bawah 12 tahun dan juga yang beruniform sekolah
Warga Emas / OKU : RM 1.00
Warga Asing : RM 5.00
Kemudahan Yang Disediakan
Taman Permainan Kanak-Kanak (out-door), Sudut Permainan Kanak-Kanak (in-door ‘Kids Corner’) Surau, Tempat Letak Kereta, Tandas Awam, Kerusi Roda, ‘Wifi Free Zone’, Kedai Cenderamata dan Lawatan Berpandu.

Perpustakaan Khas
Perpustakaan Muzium Perak merupakan antara perpustakaan yang  terawal di Tanah Melayu. Semasa pembinaan bangunan Muzium Perak, kurator pertama iaitu  Leonard Wray Jr. telah menyediakan satu ruang khas dalam bangunan sebagai perpustakaan. Oleh itu, perpustakaan ini adalah seusia dengan bangunan Muzium Perak yang siap dibina pada tahun 1886.

Koleksi Buku/Jurnal Terpilih Di Perpustakaan:

1. TWENTIETH CENTURY IMPRESSIONN OF BRITISH MALAYA 1908
2. BULLETIN OF THE RAFFLES MUSEUM

Perkhidmatan
Selain daripada menjadi tempat rujukan dan mencari maklumat, Perpustakaan Muzium Perak juga menyediakan perkhidmatan seperti:
  • Perkhidmatan fotokopi
  • Penjualan bahan - bahan terbitan Jabatan Muzium Malaysia (buku, jurnal, vcd dan dvd)
  • Sudut bacaan ringan
Waktu Operasi Perpustakaan
Isnin hingga Khamis : 8.00 pagi - 5.00 petang
Jumaat : 8.00 pagi - 12.15 tengahari; 12.15 tengahari - 2.45 petang (ditutup); 2.45 petang - 5.00 petang

Tutup : Sabtu, Ahad dan Hari Kelepasan Am / Cuti Umum

Sekian.

**jangan lupa follow blog aku nii yea

No comments:

Post a comment