Monday, 24 October 2016

Mentor Yang Aku Kagumi...Abdul Halim Nasir

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Aku mula mengenai beliau pun... melalui buku-buku penulisannya. Buku-buku beliau sentiasa menjadi rujukan pelajar mahupun penyelidik sehingga kini... dan aku salah seorang daripadanya. Kagum aku dengan bahan-bahan kajian beliau.. rupanya beliau ni mula bertugas di Jabatan Muzium Negara pada tahun 1963 (selama 23 tahun sehingga bersara pada tahun 1988) iaitu semasa Allahyarham Tan Sri Sheppard menjadi Ketua Pengarah Muzium Negara yang pertama. Sama jugak seperti aku... yang mula bekerja di Jabatan Muzium Dan Antikuiti. 

Pada mulanya beliau bertugas sebagai pelukis bahagian ilmu kejadian dan kemudian sebagai Penyelidik Luar.


Beliau ditugaskan untuk mengumpul sampel batu karang, ikan dan lain-lain organisma hidupan laut bagi membuat Diorama Lautan dan Bagi menyiapkan Diorama Hutan beliau kena mengumpul sampel harimau, harimau bintang, beruang serta lain-lain haiwan. Beliau merupakan salah seorang daripada kakitangan yang bertanggung jawab menyediakan bahan bagi pameran sejarah semula jadi yang pertama di Muzium Negara pada tahun 1964, Ketika bertugas dengan muzium, dia menjelajah seluruh negara dan mengambil gambar segala perkara yang menarik perhatiannya.

Muzium Negara menjadi tempat dia mengembangkan kerjaya profesionalnya sebagai arkitek pemulihan dan jurugambar, penyelam, penangkap ular, dsb. Antara asetnya yang paling berharga ialah pengalaman yang luas dan bakat dalam penulisan, fotografi, seni bina, epigrafi dan tradisi lisan.

Oleh sebab dedikasinya terhadap pemeliharaan dan pembaikan, Muzium Negara telah mentauliahkannya untuk mereka bentuk sebelas rumah tradisional Melayu yang terdapat di sebelas negeri di Malaysia untuk dibina di pusat pelancongan Taman Mini Malaysia, Ayer Keroh, Melaka. Lain-lain sumbangan berharga yang sangat membanggakannya termasuk yang berikut:

1. Merancang dan membina sebuah rumah tradisional Melayu di Muzium Negara, Kuala Lumpur.
2. Menyediakan salasilah keluarga diraja Melayu dalam Dunia Melayu bagi Muzium Raja Johor (Istana Besar) Johor Baru.
3. Mereka bentuk sebuah rumah wakaf di Muzium Negara, Kuala Lumpur.
4. Mereka bentuk Rumah Universiti di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
5. Mereka bentuk sebuah rumah wakaf di Taman Pantun, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.


Pada 12 September 1989, beliau dilantik sebagai Karyawan Tamu (Penulis Tamu) di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia hingga tamat tempoh pada 12 September 1995 iaitu selama 6 tahun.


Memang hebat orangnya.. terutama dalam dunia penulisan Melayu khususnya berkaitan dengan penyelidikan mengenai senibina Melayu, rumah tadisional Melayu, masjid, sungai, kubur atau makam, kota dan perkara yang menyentuh kosmologi Melayu. Aku pun teringin nak jadi seorang penyelidik yang hebat macam beliau dan menghasilkan beberapa buah buku.... tapi ilmu aku masih lagi kecil.

Abdul Halim Nasir dilahirkan pada 12 Mac 1938 di Kampung Masjid, Lenggong yang terletak di jajahan Hulu Perak. Aku pernah bertugas di Lenggong selama setahun dan di Perak selama lima tahun. Aku tahu tempat kelahiran beliau ini... cuma tak pernah pulak aku jejak kaki ke rumah asal beliau.

Abdul Halim Nasir mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Lenggong dan berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1950-an. Dengan kelulusan darjah enam yang baik, permohonannya untuk menjadi guru ditolak hanya kerana latar belakang keluarganya yang daif dari segi hubungan dengan orang tertentu. Pada tahun 1970 beliau berkahwin dengan Zainah Hj. Musa yang berasal dari Kampung Sungai Mulia Gombak, Kuala Lumpur dan mempunyai 4 orang cahayamata iaitu dua orang lelaki dan dua orang perempuan.

Beliau banyak menjalankan penyelidikan dalam lapangan yang diceburinya yang telah membawa beliau merantau keseluruhan wilayah alam Melayu Nusantara. Hampir kesemua hasil penyelidikannya telah dibukukan dan dijadikan bahan rujukan sarjana tempatan dan luar negara. Koleksi foto dan slaid merupakan satu lagi bahan yang unik dalam koleksi peribadi beliau. Ia mengandungi gambar-gambar bersejarah yang mungkin sukar didapati sekarang.

Kalau korang lihat gambar-gambar penyelidikan beliau yang hitam putih...korang dapat lihat bagaimana beliau dan rakan-rakan terpaksa meredah hutan tebal dan tidur di dalam hutan berhari-hari lamanya terutama dalam kajian mencari kubur atau makam-makam lama. Abdul Halim Nasir merupakan seorang jurufoto amatur yang sangat hebat dan bukan tujuan untuk dijual tetapi untuk pendokumentasian. Beliau dianggap sebagai salah seorang perakam visual terhandal Malaysia pada abad ke-20 walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang fotografi tetapi bakatnya diasah melalui pengalaman yang luas dan pengkhususan terutama dalm permuziuman.

Abdul Halim Nasir telah menghasilkan lebih 20 buah buku tentang keindahan seni bina Melayu, rumah tradisional, masjid di Nusantara, kota-kota Melayu serta epigrafi dunia Melayu.

Di ATMA, beliau ditugaskan untuk menyelidik dan menghasilkan beberapa buku seperti Masjid di Alam Melayu-Nusantara, Istana dan Raja-raja Melayu di Nusantara bersama Prof. Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh yang kesemuanya dalam proses penerbitan.

Beberapa karyanya yang juga dalam proses penerbitan ialah Warisan Seni Bina Melayu dan Estetika Dalam Seni Bina Melayu. Kedua-duanya juga merupakan usaha sama dengan Prof. Wan Hashim.

Selain itu, beliau juga sering menulis di akhbar-akhbar tempatan, jurnal, serta majalah serta sering membentangkan kertas kerja di seminar-seminar budaya kebangsaan dan antarabangsa.

Antara karya-karya beliau yang pernah diterbitkan ialah:
1. Sejarah Perak: Siri Pertama. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium, 1977. 223 hlm.
2. Tempat-tempat Bersejarah di Kelantan. 1979.
3. Tempat-tempat Bersejarah: Perak. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium, 1981. 252 hlm.
4. Masjid-masjid in Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1984. 73 hlm.
5. Pengenalan Rumah Tradisional Melayu: Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur: Darufikir, 1985. 104 hlm.
6. Ukiran Kayu Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986. 159 hlm.
Traditional Malay Woodcarving. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987.
7. Kota-kota Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993. 249 hlm.
8. Rumah Melayu Tradisi. Kuala Lumpur: Fajar Bakti, 1994. (dikarang bersama Wan Hashim Wan Teh)
9. Seni bina masjid di dunia Melayu-Nusantara. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1995. 196 hlm.
10. Memoir Abdul Halim Nasir dari Kampung Sekolah ke Menara Gading. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1998. 275 hlm.
11. Lembangan Sungai. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Selama hayatnya, beliau juga telah dilantik oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebagai pakar rujuk seni bina tradisional ASEAN pada 1982.

Abdul Halim Nasir juga dilantik sebagai salah seorang pakar perunding Muzium Islam Melaka, pakar perunding penyediaan rumah Melayu tradisional dan Diarama Harimau Kumbang di Muzium Negara.

Karya beliau yang terakhir ialah Memoir Abdul Halim Nasir: Dari Kampung Sekolah ke Menara Gading. Aku dah baca memoir ini ...memang best! Berkisahkan dari beliau kecil hingga dewasa. Latarbelakang pendudukan Jepun, zaman persekolahan beliau, kisah opah beliau, bersembunyi di dalam gua, zaman pekerjaan beliau dan lain-lain lagi yang membuatkan korang menghayati penceritaannya umpama sebuah cerita...

Antara anugerah yang beliau telah terima ialah:
1. Anugerah Khidmat Cemerlang yang julung kali diadakan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia pada tahun 1978,
2. Anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Sastera di hari Konvokesyen ke 18, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 12 Ogos 1990,
3. Anugerah Khas Penulis Terbaik Buku Kota-Kota Melayu di Pesta Buku Malaysia 1990, anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dan
4. Anugerah Penulis Terbaik Buku Rujukan Umum Masjid-Masjid di Semenanjung Malaysia di Pesta Buku Malaysia pada tahun 1984.

Abdul Halim Nasir meninggal dunia pada 25 Oktober pukul 1.50 pagi di Hospital Kajang, Selangor. Jenazahnya selamat dikebumikan pada hari yang sama.



Inisiatif Abd. Halim Nasir menawarkan Perpustakaan Negara Malaysia koleksi peribadi beliau untuk dirakamkan sebagai khazanah negara sebelum beliau meninggal dunia sesungguhnya satu kebetulan yang tidak diduga. Kini walaupun tokoh karyawan ini sudah meninggalkan kita, namun sumbangannya kepada dunia ilmu masih mampu dinikmati oleh generasi yang ada dan akan datang. Koleksi beliau telah diterima oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 1999.

Koleksi beliau antaranya ialah:
a. 7,736 gambar foto,
b. 7,983 slaid,
c. 300 satah,
d. 150 peta, dan
e. 1092 buku, artikel, kertas seminar, tesis dan laporan

Keseluruhan hasil pengkajian ini dimuatkan dalam beberapa buku khusus, kertas kerja dan manuskrip yang sangat bernilai untuk kajian kesarjanaan di negara ini.

(Sumber: Azman Ismail) 
Majlis diskusi salah satu karya Allahyarham, Seni Bina Masjid di Dunia Melayu, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur merupakan penelusuran tentang dunia kajiannya.

Diskusi diadakan sempena penyerahan secara rasmi koleksi Allahyarham berupa karya, dokumen kajian, mikrofilem dan beberapa manuskrip kepada Perpustakaan Negara. Panel dikusi, Prof. Ezrin Arbi dari Universiti Malaya (UM) melihat dunia pengkajian dan penulisan tentang seni bina Melayu oleh Allahyarham merupakan satu terobosan baru. Menurutnya, meskipun tidak mempunyai latar pendidikan formal dalam bidang seni bina, Allahyarham berjaya menghasil tulisan yang terperinci dalam mengupas tentang kedudukan seni bina tradisional.

''Dalam penelitian dan penulisannya, Allahyarham bukan hanya mampu mentafsir dari aspek fizikal artifak-artifak tersebut tetapi juga mampu mentafsir dari sudut falsafahnya dalam konteks spirituil Melayu dan Islam. ''Di samping itu, penelitian Allahyarham terhadap artifak-artifak ini, khususnya masjid di Nusantara juga melibatkan susur-galur sejarahnya yang lengkap dan tepat,'' katanya.

Menurut Prof. Ezrin, menerusi tulisan ini, Allahyarham dapat menemukan bukti yang tepat dalam mengupas aliran-aliran yang terdapat dalam seni bina masjid Melayu. Melalui pengkajian teliti, Allahyarham membuat satu rumusan bahawa, seni bina masjid-masjid di Nusantara adalah pengaruh dari epigrafi Islam dan pemahaman masyarakat Nusantara terhadap alam.

Buku yang diterbitkan pada 1995 ini juga merupakan beberapa penemuan baru Allahyarham dalam penelitiannya terhadap seni bina Melayu di Nusantara, khususnya tentang pengaruh dari estetika seni bina Islam dunia. Allahyarham membuktikan bahawa dalam beberapa bentuk seni bina Islam di masjid-masjid Nusantara, terdapat pengaruh yang cukup ketara dari seni bina Cina, India, Inggeris dan lain-lain.

''Menerusi kajian dan penemuan ini, kemampuan serta pencapaian Allahyarham sangat luar biasa. ''Malah, karya-karya ilmiahnya telah menjadi bahan rujukan dan kajian di pelbagai institut pengajian tinggi di seluruh negara,'' tambah Prof. Ezrin.

Prof. Madya Zainal Abidin Borhan (UM), melihat sumbangan Allahyarham terhadap pengkajian bidang seni budaya Melayu sangat besar. Menurut beliau, dari aspek pengkajiannya, Allahyarham tidak hanya mengemukakan pendapat secara teoritis tetapi berjaya mengetengahkan bukti-bukti yang empiris.


''Allahyarham berjaya membuktikan bahawa dalam proses seni bina Melayu di Nusantara dapat dibahagikan kepada masjid yang dipengaruhi oleh konsep seni bina Melayu sendiri dan juga masjid yang dipengaruhi oleh unsur luar.

''Secara teoritis juga, Allahyarham memperlihatkan susur-galur masjid-masjid di Nusantara yang banyak dipengaruhi oleh seni bina masjid-masjid agung seperti Masjid Nabawi. Kajian teoritis inilah dasar kepada pemikiran Allahyarham,'' tegas beliau.

Prof. Madya Zainal berpendapat, Allahyarham bertitik tolak dari resapan dunia Islam ini untuk mengemukakan bukti bahawa kebanyakan seni bina Masjid Nusantara lebih cenderung 'berkiblatkan' Timur Tengah.

''Pengaruh dari dunia Islam ini kemudiannya berinteraksi dengan seni bina tradisional Melayu di Nusantara kemudian membentuk beberapa konsep dalam pembinaan masjid di alam ini seperti bentuk potong bawang dan sebagainya. ''Ini semua berjaya dibuktikan dengan begitu baik dan teliti sekali oleh Allahyarham dalam kajian-kajian yang dimuatkan di dalam buku ini,'' tambahnya.

Beliau juga berpendapat, Allahyarham telah meletakkan asas pengkajian dan teori yang begitu kukuh ke atas kedudukan seni bina masjid di Nusantara. Pengkajian ini bukan sekadar melihat interaksi pengaruh budaya luar dan seni bina tempatan tetapi juga pemahaman intelektual terhadap masjid sebagai epigrafi Islam. Semoga akan lahirnya pelapis seperti beliau di dalam menghasilkan bahan-bahan penyelidikan yang bermutu untuk kajian generasi akan datang. InshaAllah.

Sekian.

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.
    Terima kasih atas sokongan dan menghargai karya2 arwah ayah saya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikummussalam.
      Sama-sama. Saya memang sangat kagum dengan semangat dan minat ayah saudara. Buku-buku beliau menjadi rujukan saya selalu kerana sangat berguna untuk kerjaya saya. Saudara sungguh bertuah mempunyai seorang ayah seperti beliau yang sentiasa mencurahkan ilmu untuk semua dan generasi seterusnya.

      Delete