Wednesday, 19 October 2016

Kehebatan Pahlawan Melayu Tok Janggut Menentang Inggeris

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang. apa khabar semua hari nii. Sihat-sihat ajer yea tak? Emmm... nak citer pasal apa yea hari nii. Ok jom kita cuba untuk mengenali seorang tokoh yang hebat dan sangat terkenal di negeri Kelantan. Nama Tok Janggut nii sangat popular masa zaman sekolah dulu... Kehebatannya menentang penjajah Inggeris sangat dikagumi. Aku dah sampai ke Kubur Tok Janggut ini. Kubur Tok Janggut nii terletak di atas tanah kepunyaan Puan Hajah Salamah binti Muhammad Diah di Pasir Pekan (bertentangan dengan Bandar Kota Bharu).

Tok Janggut atau nama sebenar beliau Haji Hassan bin Panglima Mat Munas. Beliau dikatakan menyimpan janggutnya sehingga keparas dada, disebabkan itulah beliau digelar Tok Janggut. Tok Janggut dilahirkan pada tahun 1853 di Kampung Saring daerah Jeram, Pasir Puteh, Kelantan. Beliau menetap di Kampung Nering, Kelantan dan bekerja sebagai seorang petani dan peniaga.


Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, beliau turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram. Tok Janggut mendapat pendidikan awal di negeri Kelantan dan seterusnya melanjutkan pengajian di Mekah. Beliau mahir dalam pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu persilatan. Tok Janggut dikatakan ada pertalian darah dengan Sultan Muhammad IV di mana bonda baginda adalah adik-beradik kepada ayah atau ibu Tok Janggut dan ada juga yang mengatakan bahawa Tok Janggut adalah anak murid Tok Ku Paloh.

Beliau ini adalah dianggap sebagai Pahlawan Kebanggaan Orang Melayu kerana ketabahan hatinya menentang penjajah Inggeris yang mula mencengkam Negeri Kelantan. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat kepada beliau supaya berikhtiar untuk membebaskan tanah air beliau yang dikenali sebagai ‘Negeri Serambi Mekah'. Pada masa yang sama, Inggeris mula melebarkan penjajahannya ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.

Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam. Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui oleh orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan. Tok Janggut pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.



Selepas Perjanjian Inggeris-Siam pada tahun 1909 an, pihak British mengambil alih pemerintahan negeri Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari sudut pentadbiran. Perubahan yang dibawa telah menyentuh isu keistimewaan tradisional negeri Kelantan. Antara isu sensitif yang dibawa oleh penjajah British adalah:
  1. British memperkenalkan peraturan cukai tanah yang mewajibkan petani membayar cukai tanah pada tahun 1915 an.
  2. Petani dikenakan pelbagai cukai yang membebankan seperti cukai pokok kelapa yang berbuah, cukai pokok pinang, cukai daun sirih dan ternakan lembu serta kerbau. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala RM 1.00 seorang setahun, pokok buah-buahan 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.
Rakyat menghadapi masalah kesukaran membayar cukai kerana pejabat cukai terletak jauh di bandar. Penduduk yang gagal membayar cukai akan ditangkap dan didenda. Tambahan pula sikap biadap pegawai British yang bertugas menimbulkan kemarahan penduduk terhadap British.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati. Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Tok Janggut memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan. Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran untuk membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.

Tok Janggut juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu yang lain termasuklah pejuang Melayu di negeri Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman. Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada bulan Ogos 1914an. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan pada tahun 1910 an dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu. Keputusan kerajaan Kelantan pada masa itu memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Syaikh Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Sentimen anti-British meningkat apabila kerajaan Turki Uthmaniyah menyeru umat Islam berjihad menentang penjajah Barat. Tok Janggut menyahut seruan tersebut dengan melancarkan penentangan terhadap British di Pasir Puteh, Kelantan.



Perjuangan Mat Hassan Panglima Munas telah dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan oleh Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’. Orang Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan berikutan impak dan pengaruh besar Tok Janggut terhadap rakyat negeri Kelantan. Bagi pihak Inggeris, jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, kedudukan mereka sebagai kuasa dunia yang terunggul dan bangsa yang kononnya cerdik akan terjejas. Oleh yang demikian, keputusan untuk membunuh Tok Janggut telah disepakati sebulat suara oleh pihak Inggeris.

Kekacauan timbul di Jeram, Pasir Puteh pada 29 April 1915 dikenali dengan "musuh Tok Janggut". Engku Besar tidak lagi berkuasa kerana diambil alih oleh Pegawai Jajahan yang dilantik oleh British. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Encik Latiff, Pegawai Jajahan yang baru adalah "orang luar" menjalankan tugasnya dengan tegas khususnya di dalam hal kutipan cukai.

Engku Besar membuat perundingan dengan Haji Mat Hassan bin Munas (Tok Janggut), Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, di mana keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Kerajaan British dicapai. Tok Janggut bersama-sama rakan-rakannya mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff. 

Pada 29 April 1915, Tok Janggut bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi untuk menentang Inggeris dan akhirnya bersepakat untuk mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan seterusnya mengisytiharkan jajahan tersebut merdeka. Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui oleh Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Tok Janggut. Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Tok Janggut menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Tok Janggut sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk.

Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya. Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Tok Janggut menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.

Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar sebagai Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja. Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini Sultan Muhammad IV sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.

Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir. Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.

Apabila tokoh yang juga ulama’ itu meninggal, mereka sedar bahawa ‘aura perjuangan’ Tok Janggut juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa yang sama berulang. Seterusnya mereka melancarkan perang saraf untuk memburukkan nama Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap Tok Janggut dan pengikutnya sebagai pengkhianat bangsa serta negara. Umpama menutup bangkai gajah dengan nyiru, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat sudah dapat membezakan mana kaca dan mana permata. Walaupun usaha beliau untuk menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di dalam jiwa Tok Janggut menyebabkan beliau disanjung sehingga kini.



Dipendekkan cerita, atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad IV memutuskan untuk menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka. Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 orang pengikut kanannya akan menerima ganjaran. Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.

Langham-Carter meminta Gabenor menghantar bantuan ketenteraan. Gabenor telah menghantar 239 askar Inggeris ke Kelantan pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan cara bersembunyi. Selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura. Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.

Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ. Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.

Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan takbir, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut syahid bersama ramai pengikutnya. Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.



Sama ada Tok Janggut gugur dalam pertempuran dengan British di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh, Kelantan atau meninggal dunia pada usia tua, persoalannya di mana pula jasad pejuang itu disemadikan? Sejak sekian lama masyarakat diberitahu kuburnya terletak di Pasir Pekan, Tumpat. Bagaimanapun, usaha penulis menjejaki sejarah pejuang ikonik Kelantan itu membawa kepada penemuan beberapa sumber baharu lokasi lain kubur Tok Janggut.

Cerita cucu Tok Janggut Ustaz Wan Asrul Wan Hussin, datuknya dikebumikan di perkuburan lama Kampung Hutan Puteh, Machang akibat sakit tua selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Tok Janggut memang tidak dikenali kecuali di kalangan segelintir pengikutnya dan identiti sebenarnya diminta dirahsiakan sehinggalah beliau meninggal dunia. Pada akhir hayat Tok Janggut berpesan kepada orang-orang terdekatnya, " Kebumikanlah saya sama sebagaimana dengan mana-mana orang lain juga."

Jelas Wan Asrul, kubur di Pasir Pekan itu dibuat-buat oleh pihak British bagi mengaburi mata rakyat Kelantan yang mahu membuktikan mereka berjaya membunuh Tok Janggut. "Hanya kaum tua yang hidup lebih daripada 100 tahun mengetahui kisah sebenar kubur di Pasir Pekan itu," katanya.



Kubur bertanda botol kaca zaman British
Dakwaan Wan Asrul itu dikuatkan lagi oleh dua individu lain yang penulis temui iaitu seorang penduduk di Kampung Hutan Puteh, Roslan Mustafa dan Pengkaji Sejarah Islam Kelantan Ustaz Abdullah Al-Qari Salleh.

Bertitik tolak daripada keyakinan kisah yang sama didengari oleh sebahagian penduduk di Pasir Puteh yang mendakwa Tok Janggut tidak terbunuh, Abdullah Al-Qari berkata beliau berjaya menemui bukti secara berlisan. Pujangga Islam itu berkata beliau mendapat cerita Tok Janggut daripada pengakuan tiga orang penggali kuburnya iaitu Adam Ahmad, Pakteh Taib dan Paksu Yunus Abd Rahman yang ditemuramahnya pada tahun 2010.

Hasil temuramah itu ditulis dalam halaman terakhir bukunya bertajuk Ensiklopedia Unggul Doa Hajat Jampi Mujarab Segala Penyakit Tanpa Ubat. Bagaimanapun, sekarang hanya Adam yang masih hidup sementara dua orang lagi sudah meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu. Dikatakan ketika Tok Janggut meninggal umur ketiga-tiga penggali kubur itu berusia dalam lingkungan 19 hingga 22 tahun. Mengimbas kembali pertemuan dengan mereka, Abdullah Al-Qari berkata Tok Janggut meninggal dunia selepas menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Kota Simpul Berlubang, bersempadan dengan Kampung Hutan Puteh di mana terletak lokasi kuburnya kini.



"Kematian Tok Janggut pada tengah hari Selasa disaksikan ramai orang kampung dan jenazahnya diiringi kira-kira 30 orang." "Mengikut adab orang kampung di situ apabila seseorang dikebumikan, kuburnya di tanda dengan botol kaca, satu di kaki dan satu di kepala." "Di bahagian kepala kubur Tok Janggut diletakkan sebuah batu merah bersama botol, manakala bahagian kakinya kekal dengan botol kaca," katanya.

Tinjauan penulis ke lokasi perkuburan itu yang terletak di ladang getah mendapati tidak kurang daripada empat kubur yang bertanda botol kaca. Botol kaca di kubur yang dikatakan milik Tok Janggut tertera ayat Bottle Made In England. Bagaimanapun, tarikhnya tidak dapat disahkan. Rentetan daripada usia yang sudah semakin lanjut, Wan Asrul berkata Tok Janggut mengambil keputusan untuk menghabiskan masanya dengan mengabdikan diri kepada Allah selain mengajar ilmu agama dan persilatan untuk penduduk kampung.

Daripada segi fizikal dan susuk badan, Wan Asrul berkata Tok Janggut adalah seorang yang tidak tinggi, kulitnya pula bewarna cerah dan janggutnya mencecah ke dada sejak muda lagi. Disebabkan perwatakan yang zuhud, rendah diri dan juga dikenali dengan nama lain seperti Pakcu Hj Mat Hassan, ramai yang tidak tahu beliaulah sebenarnya Tok Janggut.

Dalam hal ini, Abdullah Al-Qari juga bersependapat dengan Wan Asrul yang mengatakan penampilan Tok Janggut gemar memakai pakaian serban dan jubah yang bewarna hijau. Pada penelitian saya, Tok Janggut adalah seorang yang bertaqwa atau bertaraf Wali di mana setiap masa terutamanya pada waktu malam beliau mengajak orang-orang kampung bertahlil dan membentuk majlis zikir yang dibuat secara berjadual sama ada di rumah atau di masjid.

"Di sini jelas kelihatan keperibadian Tok Janggut yang mempunyai tujuan yang baik dan ikhlas semata-mata hanya kerana Allah," kata Abdullah Al-Qari.



Apabila menghuraikan perihal waris atau salasilah, Wan Asrul mengingatkan adalah penting untuk berhati-hati dalam membuat pengakuan bahawa beliau adalah waris atau cucu Tok Janggut. Tok Janggut, katanya, berkahwin selepas perang di Pasir Puteh dan mempunyai dua isteri yang kemudiannya bercerai mati. Isterinya Che Yah mempunyai tiga orang anak manakala isteri yang seorang lagi, Che Timah, mempunyai dua orang anak. Beliau pernah berjumpa dengan salah seorang anak Tok Janggut yang dikenali Haji Ahmad berusia 68 tahun pada 1996 dan pertemuan itu berlaku di perkuburan lama Hutan Puteh, Machang.

Bagaimanapun, Wan Asrul berkata itulah kali terakhir beliau berjumpa dengannya dan tidak pasti sama ada anaknya itu masih hidup atau sebaliknya sekarang. Selain itu, kata Wan Asrul waris Tok Janggut ada daripada kumpulan kanan dan kiri kerana kurang sepakat dan tidak tahu sejarah sebenar Tok Janggut.



"Saban tahun ada himpunan waris Tok Janggut. Saya juga turut hadir dan cerita hal ini. Tetapi hanya sekadar berkumpul, tidak ada objektif bagaimana sama-sama menjernihkan balik sejarah Tok Janggut."

"Kalau kita mengaku waris Tok Janggut, sepatutnya kena tahu ceritanya, misalnya apabila ditanya hal Tok Janggut dan kita mesti tahu untuk menjelaskannya, bukan diam sahaja," katanya.

Dalam pada itu Wan Asrul memberitahu Bernama, kisah pejuang itu diceritakan kembali oleh moyangnya, Allahyarhamah Che Yah Adam yang meninggal dunia pada usia 139 tahun pada tahun 2008. Adam, bapa kepada moyangnya merupakan adik beradik kepada Munas, iaitu bapa Tok Janggut. Selain Adam dan Munas, seorang lagi ialah Minah. Che Yah pernah berkahwin dengan Pak Do Yasin yang juga dikenali sebagai Mat Kelubi dan antara pengikut Tok Janggut.

Wan Asrul berkata, moyangnya seorang yang pendiam dan menjadi rujukan masyarakat setempat dalam hal-hal agama terutamanya yang berkaitan ilmu falak. "Dalam keluarga, antara adik beradik saya orang yang paling rapat dengan moyang saya. Mungkin disebabkan itu, beliau kerap bercerita kepada saya sejak berusia lapan tahun."


"Meskipun pada mulanya tidak mengetahui siapa sebenar yang diceritakan itu kerana disebut tok fakir, tok fakir sehinggalah moyang saya mendedahkan cerita sebenar." "Ada masa boleh berkunjung ke kampung Batu 8, Nilam Puri dan berjumpa dengan Tok Su Yah. Insya-Allah sampai sekarang orang tua tidak lupa pada arwah moyang saya," katanya.

Dalam pada itu, Wan Asrul memiliki beberapa barang peribadi yang dipercayai milik Tok Janggut di mana kesemuanya pemberian moyangnya. Antara barang yang masih disimpan adalah periuk, parang calok, pisau rejam, tempayan dan tulisan tangan ayat perang. (sumber: BERNAMA)



Ada (sumber: Astro Awani) mengatakan bahawa pada Tahun 2015 yang akan melabuhkan tirai pada Khamis agak signifikan daripada segi sejarah kerana ia menandakan genap 100 tahun berlakunya peristiwa Tok Janggut menentang British di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh, Kelantan.

Kalau hendak diikutkan, sudah banyak artikel Tok Janggut diketengahkan sebelum ini. Namun apabila diselidiki hampir kesemua berkongsi sumber yang sama dan tidak banyak maklumat catatan yang boleh diambil sebagai rujukan serta pengajaran bersama. Pada masa yang sama masih banyak persoalan yang tidak terjawab. Ada juga pihak yang sangsi dengan banyak fakta yang didakwa mengikut acuan penjajah.

Mereka percaya kisah Tok Janggut dibunuh oleh British hanyalah dongengan bagi menggelapkan sejarah sebenar perjuangan tokoh itu. Sebaliknya mereka beranggapan penjajah sendiri tertipu kerana Tok Janggut sebenarnya telah berjaya menyelamatkan diri. Gambar mayat lelaki yang digantung songsang untuk tatapan umum juga bukanlah Tok Janggut.



Cucu sepupu Tok Janggut, Ustaz Wan Asrul Wan Hussin, 31, mendedahkan Tok Janggut atau nama penuhnya Haji Mat Hassan Munas sebenarnya hanya mengalami cedera di bahu kirinya ketika kemuncak pertempuran dengan British di Kampung Dalam Pupoh, Pasir Puteh pada 24 Mei 1915. Tok Janggut kemudiannya disembunyikan oleh pengikutnya di Hulu Kelantan (Gua Musang) untuk menyelamatkan beliau.

"Sesudah sembuh daripada kecederaan di bahunya, Tok Janggut berpindah ke Machang sebelum kedatangan tentera Jepun ke Tanah Melayu," katanya.

Mengulas mengenai kononnya mayat Tok Janggut diarak di sekeliling bandar Kota Bharu dan kemudiannya ia digantung songsang separuh bogel selama tiga hari, Wan Asrul sekeras-kerasnya menolak dakwaan itu. Tegas beliau, kisah itu adalah semata-mata rekaan serta dibuat atas desakan British yang mahu menakut-nakutkan orang Melayu bagi memastikan tiada lagi kebangkitan kedua di negeri itu.

"Kebanyakan orang yang tinggal di Kota Bharu tidak kenal wajah sebenar Tok Janggut dan mereka hanya mendengar cerita dari mulut ke mulut sahaja." "Dan secara logiknya, jika kita melihat pada faktor fizikal gambar mayat itu, adakah sedemikian rupa seorang Melayu asli? Wajarkah Tok Janggut yang mempunyai ilmu agama tinggi diaibkan begitu?

Gambar mayat itu diperolehi daripada Perpustakaan Bodleian, Oxford, United Kingdom, England hasil usaha tokoh sejarah Allahyarham Prof Datuk Nik Anuar Nik Mahmud ketika melakukan kajian di sana. Jelas Wan Asrul penampilan fizikal Tok Janggut adalah Melayu Kelantan Asli. Ibunya, Che Mah berasal dari Pattani manakala ayahnya Munas orang Melayu dari Kampung Saring, Pasir Puteh.

"Adik-beradik Tok Janggut termasuk dirinya tiga orang, dua lagi Tahir dan Yah@Sepiah meninggal dunia ketika dilahirkan." "Tidak ada mana-mana anak-beranak Tok Janggut berwajah Sikh seperti dalam gambar itu. Malah, Tok Samad, iaitu datuk kepada Tok Janggut adalah Melayu Asli dan antara orang yang terawal membuka daerah Pasir Puteh," katanya.

Perkara yang sering kali menjadi persoalan ialah sekiranya Tok Janggut masih hidup selepas peristiwa pertempuran di Pasir Puteh itu, kenapa beliau tidak mengisytiharkan diri seperti yang dilakukan pejuang Pahang Mat Kilau. Wan Asrul berkata perlu diingat satu ketika Mat Kilau pernah bertemu dengan Tok Janggut di Kedai Lalat, Kota Bharu iaitu pada 1966.

Berlaku perbualan antara mereka berdua: "Abe Mad (Tok Janggut), tidak mahu keluar ke? Orang Putih (British) dah balik ini."

Jawab Tok Janggut; "Puak-puak kamu itu nak pilih orang Putih, biar mereka dah balik pun, biarlah aku hidup macam ini."

Tambahan menurut Wan Asrul, keadaan Tok Janggut ketika itu sudah uzur dengan umur dipercayai sekitar 116 tahun dan bagi beliau lebih baik memilih mendiamkan diri. Dalam erti kata lain, meskipun Tanah Melayu ketika itu sudah mencapai kemerdekaan, bagi diri Tok Janggut paling utama pesanan yang di bawa daripada gurunya Ahmad al- Fatani, iaitu bebaskan tanahair daripada penjajah sudah tercapai, katanya.

Tiga tahun kemudian pada 1969 Mat Kilau menggemparkan negara dengan mengisytiharkan diri sebenarnya selepas solat Jumaat di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Ketika berusia 27 tahun, Tok Janggut telah mula mendalami ilmu agama di Mekah dengan gurunya Syeikh Ahmad al-Fatani yang juga guru kepada tokoh ulama nusantara Tok Kenali.

Ilmu persilatan pula diwarisi daripada ayahnya Munas Samad, seorang guru agama dan panglima yang tangkas di istana Jeram, Pasir Puteh. Tok Janggut kembali ke Kelantan pada tahun 1910 pada usia 63 tahun membawa amanah besar gurunya supaya berikhtiar membebaskan Patani daripada penjajahan Thai. Tok Janggut adalah seangkatan dengan pejuang-pejuang lain Tanah Melayu termasuk Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Haji Abdur Rahman Limbong.

Berlaku beberapa siri pertemuan antara kesemua pejuang Melayu itu tetapi tidak banyak yang diketahui mengenai hasil pertemuan itu. Salah satu pertemuan itu adalah dengan ulama Terengganu, Tok Ku Paloh pada tahun 1913 yang turut dihadiri kelima-lima pejuang Melayu itu.

Pada pertemuan itu, Tok Ku Paloh berpesan dengan pejuang-pejuang Melayu itu sekiranya beliau meninggal dunia, Tok Janggut adalah penggantinya untuk meneruskan perjuangan bangsa Melayu dan Islam.

Kubur Tok Janggut ini telah dibaikpulih oleh Jabatan Muzium Dan Antikuiti pada masa dahulu. Kubur ini juga terkena tempias banjir yang besar yang menenggelamkan bandar Kota Bharu. kesan-kesan air tanah masih terdapat pada dinding pagar kubur Tok janggut ini. Itu saja yang dapat aku cungkil tentang kisah Tok Janggut.

Sekian.







5 comments:


  1. .

    Bismillahir Rahmanir Rahim

    https://keep.line.me/s/Lb8uYYKl0c45XfYhErKpES9VipJoa6sXmUwle-HBC7I

    Web: almawaddah.info

    Salam wa rahmah

    Kepada;

    Yang dihormati para akademik, para rektor universiti dan para mufti.

    Tan Seri/Datuk Seri/Datin Seri/Datuk/Datin/ tuan/puan

    Tajuk: "Penukaran al-Qur'an dangan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai asas agama Islam oleh para Mufti Malaysia adalah "un-Islamic". Rencana ini adalah bagi tujuan kajian dan renungan
    Tidakkah Islam itu rahmatan li -l-Alamin?
    Terima kasih wa 'afwan.

    Daripada;
    Pencinta al-Qur'an sebagai asas agama Islam di Malaysia.
    Kuala Lumpur
    Malaysia.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih sgt2 kerana kongsikan sejarah yang hampir hilang ni.. wikipedia dan buku teks harini masih mengatakan Tok Janggut dibunuh oleh British. Terima kasih sekali lagi kerana menyatakan perkara yang sebenar.

    ReplyDelete