Wednesday, 5 October 2016

Mengenali Sejarah Kota Dinding Di Pulau Pangkor

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang. Apa khabar semua. Hari nii aku nak ajak korang pergi ke tapak bersejarah di sebuah pulau di negeri Perak. Kalau aku sebut jer nama Pulau Dinding, mungkin korang tak mengenali namanya. Namun, jika ditanya mengenai Pulau Pangkor, sudah tentu korang tahu lokasi pusat peranginan dan tumpuan pelancongan itu. Pulau Pangkor atau Pulau Dinding adalah lokasi yang sama.




 
Salah satu versinya adalah pulau itu dinamakan sempena nama seorang penghulu berketurunan Cina iaitu Pang Kor. Versi lain pula mengaitkannya dengan tiang layar yang patah dalam bahasa Cina. Pada zaman dahulu, pedagang dari China telah belayar ke merata dunia. Pelayaran yang mengambil masa lama itu turut dilakukan sehingga ke pulau berkenaan.

Semasa perjalanan menuju ke pulau itu, ribut dan ombak besar melanda lalu menyebabkan tiang layar patah. Tiang dalam bahasa Cina adalah Pang, manakala Kor pula bermaksud patah. Hasil gabungan perkataan itu, pulau berkenaan dinamakan Pulau Pangkor.


Pulau Pangkor nii terletak di negeri Perak, di perairan Selat Melaka. Luasnya cuma 2,200 hektar dan penduduknya berjumlah kira-kira 25,000 orang. Pulau Pangkor merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia dan sebuah pulau tropika yang menawan serta memiliki beberapa tempat tarikan pelancong yang menarik.

Salah satunya adalah Kota Belanda. Gudang yang disebut Kota Belanda adalah gelaran yang diberi oleh orang Melayu. Pada asalnya, monumen lama atau tapak tinggalan sejarah itu dinamakan Kota Dinding, merujuk kepada rekod terdahulu sempena nama Sungai Dinding di pantai barat Semenanjung dalam Negeri Perak


Perak adalah merupakan sebuah negeri pengeluar timah yang paling utama di Semenanjung Tanah Melayu zaman dulu dan Syarikat Hindia Timur Belanda berhasrat mengawal dan mengekalkan monopoli perdagangan komoditi tersebut. Kapal-kapal perang dan kapal-kapal dagang Belanda bertaburan di perairan Negeri Perak pada hampir sepanjang kurun ke tujuh belas dan ke lapan belas.

Sebab-sebab strategik mengapa Belanda menempatkan kapal-kapal mereka di sini adalah kerana Negeri Perak merupakan pintu masuk utama ke Aceh manakala Negeri Sumatera tersebut adalah musuh Belanda. Dengan alasan ini sebuah tapak pengawasan diasaskan di Teluk Gedung pada tahun 1670 untuk memberi sokongan dan bantuan kepada kapal-kapal yang membuat sekatan-sekatan di laluan perairan Selat Melaka. Satu lagi sebab ialah untuk melemahkan saingan orang-orang British yang juga aktif berdagang di kawasan ini. Satu perintah telah dikeluarkan dari Betawi (Pusat Pentadbiran Syarikat Hindia Timur Belanda) untuk mendirikan gedung daripada kayu.


Pembinaan ini dipersetujui oleh Perak kerana pada masa yang sama terdapat khabar angin yang menyatakan kerajaan Siam akan melancarkan serangan ke atas Perak. Dengan terbinanya kubu tersebut maka ia merupakan satu kelebihan pada Perak bagi menghadapi serangan Siam. Sepuluh tahun kemudian tembok gedung tersebut telah digantikan dengan batu-bata. Tindakan Belanda memperkukuhkan gedungnya itu menimbulkan reaksi daripada orang-orang Melayu.

Mengikut laporan Gabenor Belanda Balthasar Bort dalam tahun 1678: “pada ketika ini 59 orang berada di Perak, terbabit dengan usaha sekatan di tempat itu dan mereka ini ditempatkan di Pulau Dinding, yang mana Syarikat Yang Dihormati memilikinya, menetap dalam sebuah kubu yang diperbuat daripada kayu berbentuk segiempat, dilengkapi 9 buah meriam.”

Di antara 59 orang itu ialah seorang saudagar yang menjadi penyelia, seorang kapten, seorang jurukira, tiga pembantu, tiga pegawai, dua doktor, lapan pengawal dan 40 kelasi. Selain kubu tersebut mereka juga memiliki kapal layar dan perahu ‘Laren’, ‘Cacap’ dan ‘Dinding’.

Orang-orang Belanda ini, walaupun mereka turut berdagang dengan orang-orang Melayu, mereka kurang percaya kepada penduduk tempatan ini. Kerana takut kepada orang-orang Melayu mereka tidak berani meninggalkan kubu mereka terlalu jauh kerana hanya di kubu itu sajalah mereka berasa selamat.

Beberapa tahun kemudian kubu ini diperkasakan dengan binaan bangunan batu dan dilengkapi 12 hingga 14 buah meriam.



Seorang peneroka dan pelayar British, William Dampier, menceritakan satu peristiwa: “Gabenor, tetamu-tetamunya dan beberapa orang pegawai baru sahaja hendak makan apabila seorang soldadu bertempik, ‘Melayu!’ Sepantas kilat gabenor itu melompat keluar melalui tingkap, untuk segera berlindung di kubu. Pegawai-pegawai pun berebut-rebut, diikuti orang-orang suruhan, untuk cepat sampai ke kubu: ada yang keluar ikut tingkap dan ada yang keluar ikut pintu. Tiga orang tetamu gabenor terpegun dan terpinga-pinga ditinggalkan di situ.

Di kubu, mereka menembak ke arah laut bertalu-talu memberi isyarat kepada orang-orang Melayu bahawa mereka sudah bersedia untuk mempertahankan diri, tetapi musuh yang ditakuti tidak juga sampai-sampai.

Sebenarnya, berapa orang soldadu Belanda yang sedang memancing tidak jauh dari teluk itu telah diserang oleh orang-orang Melayu yang bersenjatakan keris dan lembing. Beberapa orang daripada mereka telah dibunuh sementara yang lainnya terjun ke laut dan berenang ke darat. Salah seorang yang terselamat inilah yang bertempik begitu kuat sehingga menakutkan gabenor yang baru sahaja hendak makan.

Kami berjaga sepanjang malam dengan semua senjata siap sedia untuk digunakan. Tetapi pada malam itu hujan lebat dan saya tidak takut sangat diserang oleh orang-orang Melayu kerana menurut salah seorang kelasi yang kami ambil dari Melaka, orang-orang Melayu ini tidak akan menyerang di dalam hujan. Keesokan paginya kami pergi mencari musuh dengan kapal di sekeliling pulau tetapi tidak menjumpai mereka. Selepas itu kami pun pulang dan berlabuh.


Pada tahun 1690 kubu Belanda ini telah diserang sekali lagi oleh Panglima Kulup dan pengikut-pengikutnya. Semua orang Belanda telah terbunuh di dalam serangan ini. Pada 24 Jun 1693 sebuah arahan telah dikeluarkan bahawa askar-askar tidak lagi ditempatkan di Pulau Dinding (Pangkor) dan sebuah tugu dibina dengan meletak lambang Persekutuan Syarikat Hindia Timur dan lambang Wilayah Bersekutu sebagai tanda hakmilik Belanda. Pada 1695, 1721 dan 1729 arahan-arahan dikeluarkan untuk membaiki tugu ini oleh pihak Belanda.

Pada 20 November 1745 Gabenor-Jeneral Gustraaf Willem, Baron van Imhoff mengarahkan pembinaan semula kota di Pulau Dinding: dikawal oleh sebuah ketumbukan yang anggotai 30 orang Eropah dan 30 orang berketurunan Asia (kecuali orang-orang Bugis). Tetapi pada 22 Oktober 1746, Ary Verbrugge telah dihantar untuk memastikan Sultan membenarkan sebuah kubu dibina di hulu sungai dan bersetuju untuk menjual timah kepada Syarikat. Sultan Muzaffar Shah III telah menandatangani perjanjian ini pada 25 Jun 1747. Pada 18 Oktober 1748 Van Imhoff mengarahkan ketumbukan di Pulau Dinding dipindahkan ke kubu yang baru ini. (sumber:Dipetik dan diterjemah oleh Ibrahim Nawawi daripada rencana tulisan Sabri Zain.


Pada tahun 1784 pula Belanda telah membina sebuah lagi gedung berdekatan Sungai Perak. Berikutan itu pemerintah Belanda di Betawi mengarahkan supaya gedung yang lama itu ditinggalkan.

Selepas dimusnahkan, pada tahun 1749 Belanda telah membinanya semula dan menempatkan seramai 80 orang pengawalnya di sini. Selepas tahun 1779 Kota Belanda tidak digunakan lagi kerana Belanda menumpukan kepada perdagangan rempah di Maluku,Indonesia. Belanda juga berhadapan dengan Perang Napoleon di Eropah . Pada 1824 Belanda dan Inggeris secara rasmi membahagikan wilayah penguasaan masing-masing di Nusantara menerusi Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.


Pada 1973, kota ini telah dibina semula oleh Jabatan Muzium dan telah diwartakan sebagai monumen lama dan tapak tanah bersejarah di bawah Akta Bendapurba 1976 dalam Seksyen No. 247 , Warta Kerajaan Negeri Perak bertarikh 31 Mac 1970. Menurut akta ini, sesiapa yang didapati bersalah melakukan pencerobohan dan kerosakan keatas monumen lama dan tapak tanah bersejarah boleh dikenakan penjara tidak lebih daripada tiga bulan atau denda tidak lebih daripada lima ratus ringgit atau kedua-duanya.

Kemudian pada 1997, kerajaan negeri Perak telah memajukan lagi kawasan ini sebagai kawasan pelancongan negeri Perak. Beberapa rumah limas tradisional negeri Perak telah dibina di sini. Pelbagai gerai makanan pakaian dan cenderamata juga terdapat di sini. Beberapa bahagian kota ini telah dibaki semula dan diperindahkan di persekitaran perkampungan nelayan Melayu.

Untuk pergi ke Pulau Pangkor, ada sebuah pangkalan atau jeti di Lumut. 
  • Naik feri di Lumut, 20 minit, mulai 2003 tambang feri dikenakan RM10.00 untuk dewasa dan RM6.00 untuk kanak-kanak.
  • Lebuh raya Ipoh Lumut memudahkan perjalanan dari Ipoh untuk berkelah di Pulau Pangkor. 90 km di Barat daya bandar Ipoh.
  • Dari Kuala Lumpur menerusi Lebuh raya Utara Selatan, anda ikut susur keluar di Gopeng dan masuk ke arah Lumut / Sitiawan
  • kapal terbang Berjaya Air dari Lapangan Terbang Subang.
  • Sekitar pulau Pangkor, boleh sewa bas dengan kadar RM40.00 pusing satu pulau.

Sebelum korang pulang, jangan lupa untuk singgah membeli hasil laut seperti ikan bilis mata biru (yang paling popular), sate ikan, sotong kering, ikan pedas, pelbagai jenis keropok, ikan masin dan pelbagai produk berasaskan hasil laut di  Pekan Pangkor atau korang boleh juga membeli terus di kilang yang terdapat di sini.

Sekian.

**jangan lupa tau follow blog aku

No comments:

Post a comment