Monday, 10 October 2016

Menara Condong Di Teluk Mak Intan

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Jom ikut aku pula ke Teluk Mak Intan. Ia merupakan Mercu Tanda yang paling menarik dan popular yang terletak di tengah-tengah bandar yang dahulunya dikenali sebagai Teluk Mak Intan. Korang tak perlu laa nak terbang ke Itali untuk menikmati keajaiban Menara Condong Pisa kerana pengalaman yang hampir sama boleh korang dikecapi di bandar Teluk Intan, Perak ini yang hanya memakan masa dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Menara Condong ini terletak ditengah-tengah kawasan lapang.....memudahkan korang nak ambik gambar menara nii. Keunikan menara ini adalah ia menyerupai Menara Pisa, Itali dengan menara jam setinggi 25.5 meter yang condong ke arah barat laut.



Menara ini dibina pada tahun 1885. Ia memiliki ketinggian setinggi 85 kaki dan terdapat 110 buah anak tangga. Walaupun telah berusia lebih 100 tahun, ia masih berdiri kukuh.

Menara Condong Teluk Intan atau dikenali sebelumnya sebagai Jam Tinggi dibina pada 1885 untuk menjadi tangki air sekiranya berlaku kemarau (sebelum adanya tangki air di Changkat Jong) dan juga berperanan sebagai penentu waktu “Time Keeper” penduduk bandar Teluk Intan, Perak. Pada asalnya, bangunan ini dibina menegak oleh arkiteknya, Leong Choon Cheong namun ianya mula condong setelah berlaku banjir besar pada tahun 1889 dan 1895.

Dari luar kelihatan seolah-olah menara jam ini adalah bangunan 8 (Lapan) tingkat; sebenarnya hanya terdapat 3 (Tiga) tingkat sahaja. Menara jam ini memiliki 110 anak tangga yang menghubungkan setiap aras yang tingginya 15.5 kaki. Kekayaan senibina yang diperbuat daripada struktur kayu dan batu; terdapat setiap tingkap dilengkapi dengan lorong jalan 6 (Enam) kaki lebar berdindingkan tembok rendah 2 (Dua) kaki yang dihiasi dengan batu berwarna hijau.


Bumbung di bahagian atas dan tepinya pula menggunakan genting. Bumbung pisang sesikat dan tiga buah serambi yang melengkung meliliti bangunan asas seolah-olah menyembunyikan susunan batu bata itu. Di bawah bangunan terdapat sebuah telaga yang mengandungi air sedalam 4.3 meter sebagai pengimbang struktur bangunan sekiranya berlaku sebarang gegaran yang kuat di persekitarannya.

Ketelitian senibinanya dan perancangan ruang dapat dilihat dari adaptasi kegunaannya sebagai tangki air ditingkat 3 yang diperbuat dari kepingan keluli setinggi 16 kaki dengan muatan 680 kaki padu. Lapisan bawah bangunan ini berukuran garis pusat 43 kaki dan menguncup ke atas 27 kaki. 
Setelah diteliti, didapati pengaruh senibina Cina yang paling kuat pada Menara Jam Condong. Ini adalah kerana ia berkonsep sebuah "Pagoda".


Walaupun pembinaannya pada zaman pemerintahan British, namun pengaruh Cina, penderma dan kontraktor telah berjaya dalam memperjuangkan budaya untuk dihayati. Ini jelas didapati pada fasad bangunan menara jam ini seperti gerbang, bumbung genting dan hiasan jubin dan sebagainya yang menunjukkan kekayaan budaya dan senibina Cina.

Kerajaan telah mengisytiharkan Menara Condong Teluk Intan yang dibina pada 1885 sebagai Warisan Kebangsaan. Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2015 yang diadakan di Dataran Menara Condong ini.



Muhyiddin berkata, sejarah menara itu yang menjadi mercu tanda bandar Teluk Intan amat unik kerana ia pernah digunakan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat iaitu sebagai tangki air ketika musim kemarau dan mempunyai kemudahan memadam api. Katanya, kerajaan juga sedang dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap menara berkenaan iaitu sebagai warisan dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO).

Jam yang digunakan pada menara ini adalah lambang perpaduan rakyat Teluk Intan kerana ia hasil derma penduduk tempatan pada masa itu, katanya. Muhyiddin berkata, menara itu menjadi tarikan pelancong ke Teluk Intan sebagaimana Menara Pisa di Itali.

Pada awal abad ke-20, menara ini berfungsi sebagai takungan air yang di sedut daripada Sungai Perak untuk keperluan 8,000 penduduk setempat, tetapi kini tidak lagi sedemikian. Sebaliknya, menara ini menjadi tersohor pula kerana bangunan asasnya kelihatan condong kira-kira satu darjah dari sebelah barat laut, seolah-olah mengingatkan umat islam hala kiblat, disamping masa melalui dentingan jam gadangnya yang berbunyi setiap 15 minit. Dentingan ini mampu didengari sejauh lima kilometer, terutama ketika malam hening. Itulah antara keunikan menara condong Teluk Intan yang siap dibina pada tahun 1885 di atas timbusan tanah bekas sebatang terusan buatan manusia.


Faktor-faktor menara ini menjadi condong ialah berpunca daripada struktur tanah dan serangan banjir besar sebanyak dua kali. Selain itu, ada juga berpendapat bahawa pengguguran bom di sekitarnya juga menyumbangkan kepada kecondongan menara tersebut.

Kini menara ini tidak lagi digunakan dan hanya menjadi tarikan utama pelancong yang mengunjungi bandar Teluk Intan. Kalau tak salah aku menara ini diselenggara oleh pihak swasta dan ada dikenakan bayaran untuk masuk ke menara ini. 
Kawasan ini menjadi meriah bila adanya pertandingan memancing udang galah yang sangat popular diadakan setiap tahun.

Memang tak lengkap lawatan korang kalau korang tak pergi melawat menara ni bila dah sampai ke Teluk Intan. Aku sendiri pun selalu teruja untuk melihat menara ini setiap kali datang ke sini kerana aku rasa ada satu perasaan seolah-olah berada di zaman dahulu kala....

Sekian.

No comments:

Post a comment