Wednesday, 26 October 2016

Masjid Berbumbung Empat Lapis Dan Berusia 186 Tahun....Masjid Kampung Tuan

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Semoga ceria dan bahagian hari nii yea. hari nii aku nak ajak korang pergi ke Kemaman Terengganu untuk melihat sebuah masjid tradisional atau masjid lama. Salah satu masjid yang aku suka tengok adalah Masjid Kampung Tuan yang terletak di Kemaman Terengganu. Masjid ini memang agak tersorok sedikit kedudukannya. yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah surau yang terletak di pinggir Sungai Limbong, Kampung Tuan. Walaupun dah pergi empat lima kali ke sini...still aku tak boleh nak ingat jalan masuk ke masjid ini. Nasib baik aku ikut driver jer.



Masjid ini dibina dalam tahun 1830 (1250H) oleh Syed Abdul Rahman bin Abdul Samad iaitu guru agama yang melarikan diri ke sini akibat peperangan di negaranya, Pattani Siam. Sebahagian besar tanah ini dipunyai oleh Tuan Long bin Tuan Mandak. Masjid ini juga dijadikan sebagai pusat ajaran keagamaan oleh Syed Abdul Rahman iaitu Tuan Wok. Selepas kematiannya, tempatnya diambil alih anaknya yang dikenali sebagai Tuan Wok dan ketika itu Abdullah Munshi dikatakan pernah ke surau tersebut untuk bersembahyang. Ia dipunyai waris turun temurun.



Yang menariknya, menurut cerita penduduk, pembinaan surau berukuran 9.14 meter x 9.14 meter ini diperbuat dengan hanya menggunakan sebatang kayu cengal yang besar yang ditemui di hutan berhampiran. Struktur mihrabnya berbentuk bulat difahamkan ditebuk daripada sebatang kayu cengal juga, sehingga seni dan ukirannya kelihatan sangat halus. Dindingnya jenis janda berhias dan mempunyai bumbung empat lapis dengan dihiasi sebuah buah gantung tembaga yang dibawa dari Kampung Gersik Pattani Siam iaitu diambil dari sebuah masjid yang hampir siap tetapi malangnya telah dimusnahkan oleh kerajaan Siam.



Struktur binaan mengikut senibina tradisi surau lama di Siam. Bumbungnya dibina empat lapis dengan menggunakan atap senggora yang dibawa dari negara itu dan di atas puncak bumbungnya diletakkan replika buah butong yang diperbuat daripada tembaga. Aku difahamkan, replika buah butong itu dibina untuk diletakkan pada Masjid Keresek di selatan Thai tetapi pembinaan masjid itu tergendala lalu ia dibawa dan diletakkan di atas surau berkenaan.



Struktur tingkap kecilnya sebanyak 16 serta berukuran hanya lebih kurang 60 sentimeter memberi pengudaraan yang cukup di dalam masjid ini. Hanya terdapat satu jer pintu masuk dan juga keluar di masjid ini. Pembinaan masjid ini menggunakan sebanyak 12 tiang yang disambung hanya menggunakan pasak dan tiada sebarang paku.

Namun disebabkan pertambahan penduduk, ia ditukar menjadi surau apabila banyak masjid baru yang lebih besar dibina bagi menampung keperluan penduduk di kawasan tersebut.



Setelah lebih 186 tahun dibina, Surau Kampung Tuan masih kukuh dan digunakan oleh penduduk sekitar termasuk menunaikan solat terawih pada setiap kali Ramadan walaupun masjid-masjid baru telah dibina.



(Sumber: Utusan Malaysia)
Wartawan Utusan Malaysia sempat menemui cucu Tuan Wok, Wan Jaafar Wan Hassan, 60, namun beliau tidak banyak bercerita. Ini kerana beliau sudah tua dan sukar mengingati tentang datuknya yang menjadikan surau itu sebagai tempat mengajar ilmu agama. Wan Jaafar yang tinggal berdekatan surau itu memberitahu, datuknya pernah menceritakan tentang kesukaran membina surau tersebut.



Tambahnya, moyangnya (Syed Abdul Rahman) terpaksa menukarkan hasil garam yang diperoleh kepada bata untuk dijadikan atap. Apa yang anda lihat sekarang ini sudah cantik, sebenarnya bukan mudah untuk membina surau ini. Sekarang sudah ada orang jaga, baguslah jika tidak nanti mesti jadi buruk, katanya. 

Difahamkan, kerja-kerja konservasi oleh Jabatan Warisan Negara telah dilaksanakan pada tahun 2006.





Masjid Kampung Tuan mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan ulama besar Alam Melayu iaitu Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani. Hubungan yang dimaksudkan ialah menerusi anaknya iaitu Syeikh Abdur Rahman yang lebih dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Tuan Mandak. Beliaulah yang telah meletakkan batu asas untuk membangunkan masjid ini. Masjid ini yang terletak berdekatan dengan bandar Chukai dalam daerah Kemaman telah dibina pada tahun 1830.



Tokoh yang bertanggungjawab membangunkan masjid ini ialah anak Syeikh Abdur Rahman yang juga merupakan cucu kepada Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani iaitu Syeikh Abdush Shamad yang mempunyai nama yang sama dengan datuknya. Syeikh Abdush Shamad lebih dikenali sebagai Tuan Wok. Menurut tulisan Mohammad Tajuddin Mohammad Rasdi dalam karyanya, The Architectural Heritage of the Malay World yang diterbitkan oleh Penerbit UTM (rujuk mukasurat 79 hingga 83), kedua-dua waris Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani ini adalah merupakan tokoh agama yang sangat disegani dan dihormati oleh masyarakat setempat.



Di zaman kedua-dua tokoh besar ini, masjid ini dikatakan telah menjadi pusat perkembangan sufi yang sangat terkenal di Alam Melayu. Kini masjid ini menjadi salah satu warisan berharga tanahair. Gambar masjid yang saya sertakan didalam makalah ini telah dirakam oleh sahabat saya, Haji Salleh Bador dan anaknya, Nor Safwan Amirul ketika berkunjung ke Kemaman pada awal tahun ini.



Menurut salah seorang waris keturunan ini, Wan Jaafar bin Wan Hassan bin Syeikh Abdul Samad. Beliau adalah generasi ke empat dari keturunan pembina masjid tersebut. Menurutnya, masjid ini asalnya ialah sebuah surau yang dibina bagi tujuan penyebaran agama dan pusat tasauf bagi penduduk setempat di Kemaman.

Maklumat Sejarah

Menurut cerita, masjid ini dibina dalam tahun 1830 oleh Syeikh Abdul Rahman bin Syeikh Abdul Samad al-Falimbani. Syeikh Abdul Rahman juga dikenali sebagai Tuan Mandak. Seperti ayahnya, Tuan Mandak adalah seorang ulama sufi yang turut berjuang menegakkan Islam di medan jihad dan juga menyebarkan dakwah agama. Beliau berundur ke Kemaman setelah bapanya, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani syahid di Patani dalam peperangan menentang Siam-Thai.



Dalam tahun 1831, Tengku Kudin (Tunku Zainal Abidin bin Tunku Radin Muhammad) telah mula memimpin orang Melayu Kedah menentang penaklukan Siam di Kedah bermula tahun 1824. Berbagai kejayaan besar bagi orang Melayu Kedah telah dicapai dalam menyekat pengaruh Siam, semasa pimpinan Tengku Kudin sehingga 1829.

Pada 1831, Tuan Sulong (Raja Patani), Tuan Kundur (Raja Jala),Tuan Kecik (Raja Nongcik), Nik Dih (Raja Sai) dan Nik Dah (Raja Legeh) telah memimpin tentera Patani dan bergabung dengan Kedah yang dipimpin oleh Tengku Kudin menentang kemaraan tentera Siam untuk menjajah negeri Melayu. Sultan Umar (Sultan Terengganu) telah menghantar lima orang panglima bersama 5,000 tentera. Manakala Sultan Muhammad I (Sultan Kelantan) telah mengirim 3,000 tentera yang dipimpin oleh Raja Kampung Laut.



Pada bulan Oktober 1831, Tengku Kudin telah terkorban dalam serangan hendap Siam di Kedah. Ini menyebabkan pasukan Melayu Kedah kucar kacir dan terpaksa berundur. Tinggalah tentera Patani yang dipimpin oleh 5 raja mereka bersama tentera Kedah dan Kelantan, yang bertahan dari asakan dengan penambahan tentera Siam-Thai dari Bangkok.

Dalam peperangan inilah, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani juga telah gugur syahid dan dikebumikan di Patani. Pasukan gabungan dari Patani, Kelantan dan Terenganu terpaksa berundur pada Februari 1832. Dan pada dalam tahun inilah Tuan Mandak (Syeikh Abdul Rahman bin Syeikh Abdul Rahman al-Falimbani) telah berundur ke Kemaman.



Kedatangan rombongan Tuan Mandak adalah dari kelompok besar yang kedua kemudian daripada Lebai Saras yang berundur dari Patani ke Kemaman pada tahun 1785, semasa kali pertama kejatuhan Patani kepada Siam. Lebai Saras adalah pembuka Kemaman yang pertama. Kemudian Kemaman turut menerima pengunduran bangsawan Johor yang kalah dalam perang saudara di sana dalam awal abad ke-19. Kemaman juga turut menerima pengunduran Kerabat Diraja Jambi pada awal abad ke-20 akibat perang saudara dan kesan kolonial Belanda di sana.

Masjid Kampung Tuan, selain atap genting empat lapis yang dibawa daripada Patani itu juga mempunyai replika buah butung yang diperbuat daripada tembaga. Replika buah butung itu juga dibawa dari Patani, kerana kerja-kerja menyiapkan Masjid Kerisek yang dibina oleh Sultan Muzaffar Shah pada 1514 itu tidak pernah berjaya. Dikatakan Masjid Kerisek runtuh dalam perang Siam-Patani 1785. Semenjak itu, Siam sering sahaja mengganggu apa jua aktiviti di masjid tersebut. Oleh itu, buah butung tersebut telah dibawa ke Kemaman untuk diletakkan di Masjid Kampung Tuan. Cuma tarikhnya tidak dapat dipastikan sama ada pada tahun 1832 atau selepas daripada itu.



Selepas Tuan Mandak meninggal dunia, anaknya, Tuan Wok (Syeikh Abdul Samad bin Syeikh Abdul Rahman) telah menaiktaraf surau kepada masjid kerana keperluan masyarakat setempat untuk solat Jumaat. Masjid ini juga turut digunakan oleh ramai ulama Terengganu dan Nusantara termasuklah pejuang Terengganu, Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid (Haji Abdul Rahman Limbong (1868 – 1929). Haji Abdul Rahman Limbong berjuang menentang penjajahan Inggeris dan dibuang negeri ke Mekah pada 1928. Datuk dan nenek Haji Abdul Rahman Limbong juga berasal dari Patani.

Masjid ini walaupun sudah tidak digunakan untuk solat Jumaat pada masa sekarang, tetapi masih terus dikunjungi orang ramai untuk menunaikan solat 5 waktu. Pada bulan Ramadhan pula, Masjid Kampung Tuan ini menjadi lebih hidup dan meriah apabila penduduk setempat membanjirinya untuk menunaikan solat sunat teraweh.

Masjid Kampung Tuan ini pernah dilakukan kerja-kerja pemuliharaan ke atas seluruhan bangunan oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2006. Masjid ini masih lagi digunakan sehingga kini.

Sekian.

**jangan lupa follow blog aku tau

No comments:

Post a comment