Saturday, 1 October 2016

Kenali Tokoh Islam Di Nusantara....HAMKA


Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,




Hai korang semua. Sihat dan ceria-ceria hendaknya yea hari nii. Semenjak kebelakangan ini aku mula meminati karya Buya HAMKA. Aku dah lama dengar nama HAMKA nii...tapi aku tidak begitu mengambil kisah walaupun hati aku terdetik bertanya...kenapa nama beliau nii selalu bermain dibibir peminat beliau. Dan pada pandangan aku...hanya orang tua-tua jer yang minat kat beliau nii dan karyanya pasti macam cerita orang tua (tuu...adalah telahan aku yang pertama).

Sehinggalah pada suatu hari aku terbeli karya beliau...Dibawah Lindungan Kaabah. Sebab aku beli buku nii kerana nipis dan murah. Waktu tuu aku nak menghabiskan masa bosan aku kat airport. Not bad karya beliau nii....tak laa macam cerita dan bahasa orang tua-tua yang aku fikirkan selama ini. Aku cuba untuk mencari karya beliau yang lain-lain di MPH...setiap hari aku gi MPH tetapi memang susah nak jumpa sebab karya beliau belum dicetak semula. (masa tuu dalam proses cetakkan semula).


Ada kawan aku mencadangkan aku baca karya Buya HAMKA yang bertajuk Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick.... katanya best dan dia dah baca banyak kali.


Setelah hampir 3 bulan aku mencari karya HAMKA ini...akhirnya aku terjumpa karya beliau yang dicetak semula di MPH....Hepi bukan kepalang aku....buku yang aku jumpa adalah Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick, Lalu Aku Hidup Sebagai Apa? dan Tuan Direktur. Aku beli ketiga-tiganya.


Seterusnya aku telah membeli karya beliau yang bertajuk Sejarah Umat Islam...tapi aku belum habis baca lagi kerana buku ini terlalu tebal 1080 muka surat. Dan pada 3 minggu yang lepas aku telah membeli dan membaca karya beliau yang sangat aku suka iaitu...Terusir dan Merantau Ke Deli. Memang karya beliau TERBAIK bagi pandangan aku sebab itu ianya telah dicetak semula berbelas-belas kali.


Ternyata karya-karya beliau sangat menyentuh perasaan dengan bahasa yang bagi aku mendamaikan...bukannya mengasyikkan seperti fantasi yang terdapat dalam novel-novel sekarang. Gaya bahasanya indah....ringkas...dan aku rasa tenang.

Ok...mari kita kenali siapa sebenarnya Buya HAMKA nii....

Buya HAMKA dilahirkan pada tahun 1908 di Desa Kampung Molek Meninjau, Sumatera Barat. Nama penuh beliau adalah Haji Abdul Malik Karim Amrullah dan disingkatkan menjadi HAMKA. Beliau diberikan sebutan Buya iaitu Abuya dalam bahasa Arab yang bererti ayah atau seseorang yang dihormati.
Ayahnya adalah Syekh Abdul Karim bin Amrullah, yang terkenal sebagai Haji Rasul, yang merupakan pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906.

  


HAMKA mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga Darjah Dua. Ketika usia HAMKA mencapai 10 tahun, ayahnya telah mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di situ HAMKA mula mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. HAMKA juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjoparonto dan Ki Bagus Hadikusumo.

HAMKA mula-mula bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. HAMKA kemudian dilantik sebagai pensyarah di Universiti Islam, Jakarta dan Universiti Muhammadiyah, Padang Panjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universiti Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau menjawat jawatan sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jawatan itu kerana Sukarno menyuruhnya memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).





HAMKA adalah seorang otodidiak (seseorang yang mahir belajar sendiri) dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam mahupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidik karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. HAMKA juga rajin membaca dan bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjoparonoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.

HAMKA dikahwinkan dengan pilihan ayahnya dan demi menyenangkan hati ayahnya beliau akur dan berkahwin dengan Siti Raham binti Endah Sutan pada 5 April 1929 iaitu ketika usianya 21 tahun dan isterinya 15 tahun. Kemudian HAMKA aktif sebagai Pengurus Muhammadiyah Cabang Padang Panjang menghadapi Kongres Muhammadiyah ke-19 di Minagkabau. Perkahwinan ini bertahan sehingga 43 tahun sebelum isterinya meninggal dunia pada tahun 1972 dan memiliki 10 orang anak iaitu Zaki, Rushdi, Fakhri, Irfan, Azizah, Aliyah, Fathiyah, Hilmi, Afif dan Syakib. 

Atas faktor kesihatan dan tiada tempat berunding serta untuk mengubati anak-anak yang kehilangan Ummi, Hamka telah berkahwin dengan Hajjah Siti Khadijah dan hanya sempat bersama beliau selama 8 tahun iaitu sehingga HAMKA meninggal dunia pada tahun 1981.

  

HAMKA juga aktif dalam gerakan Islam melalui pertubuhan Muhammadiyah. Beliau mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, beliau mengetuai cabang Muhammadiyah di Padang Panjang. Pada tahun 1929, HAMKA mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di Yogyakarta pada tahun 1950.

Pada tahun 1953, HAMKA dipilih sebagai penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Juli 1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik Hamka sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 kerana nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia.


Kegiatan politik HAMKA bermula pada tahun 1925 apabila beliau menjadi anggota parti politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang kemaraan kembali penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato dan menyertai kegiatan gerila di dalam hutan di Medan. Pada tahun 1947, HAMKA dilantik sebagai ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Beliau menjadi anggota Konstituante Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum 1955. Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960.
  


Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, HAMKA merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Jiwa jurnalistik telah mendalam padanya sejak kecil dan sejak masih belajar di sekolah rendah. Sejak tahun 1920-an lagi, HAMKA menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1927 keluarlah karangannya didalam surat khabar “Pelita Andalas” yang memuat kisah tentang perjalanannya menunaikan haji ke tanah suci. Kemudian Buya Hamka menulis secara tetap dalam surat-surat khabar dan majalah-majalah Islam.  Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. HAMKA juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.

Sesudah itu dia pun menerbitkan sendiri majalah-majalah agama kesusasteraan dan keagamaan. Di antaranya ialah majalah “Kemauan Zaman” 1928 dan majalah Al-Mahdytahun 1932. Beliau pun menjadi seorang Pemimpin Redaksi majalah Islam yang besar dan luas di Sumatera bernama “Pedoman Masyarakat”, majalah di mana tulisan-tulisan Hamka yang penuh dengan gaya sastera mencapai tahap tertinggi sebelum pecahnya perang dunia kedua. Tahun 1959 beliau menerbitkan majalah “Panji Masyarakat” yang menentang politik Soekarno, kemudian Soekarno melarang terbitnya majalah ini pada tahun 1960.


  


HAMKA juga menghasilkan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Pada tahun 1928, Hamka menulis buku romannya yang pertama dalam bahasa Minang dengan judul ‘Si Sabariah’. Kemudian, ia juga menulis buku-buku lain, baik yang berbentuk roman, sejarah, biografi dan otobiografi, sosial kemasyarakatan, pemikiran dan pendidikan, teologi, tasawuf, tafsir, dan fiqih. Sekitar 300 buku besar dan kecil telah beliau tulis.

Pada umur belasan tahun, Buya HAMKA telah mengarang buku sastera Di Bawah Lindungan Ka’abah yang nilainya sangat baik, punya daya laku yang sangat panjang bahkan sampai hari ini masih menjadi bahan bacaan sastera, padahal Bahasa Indonesia mempunyai dinamika dan Di Bawah Lindungan Ka’abah dikarang di zaman Bahasa Melayu tetapi sasteranya pada hari ini tidak ketinggalan zaman. Antara novel-novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Merantau ke Deli.


Di antara buku-buku Hamka yang lain, iaitu Ayahku (1950), Mandi Cahaya di Tanah Suci (1950), Mengembara di Lembah Nil (1950), Ditepi Sungai Dajlah (1950), Kenang-Kenangan Hidup 1, 2, 3, 4, autobiografi sejak lahir 1908 sampai tahun 1950 (1950), Sejarah Umat Islam 1, 2, 3, 4 (1950), 1001 Soal Hidup (1950), Keadilan Sosial dalam Islam (1950) Perkembangan Tasawuf dari Abad ke Abad (1952), Empat Bulan di Amerika 1,2 (1953), Lembaga Hikmat (1953), Pelajaran Agama Islam (1956).

Dari tahun 1964 hingga 1966, HAMKA telah dipenjarakan oleh Presiden Sukarno kerana dituduh pro-Malaysia. Semasa dipenjarakanlah beliau mula menulis Tafsir Al-Azhar (juzuk 1 hingga 30) yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Karangan keagamaannya merupakan karangan terbesar dan dikarang dikala beliau telah tuma’ninah sekali. Tafsir Al-Azhar adalah karya beliau yang terbesar. Dari Al-Azhar dapat kita lihat keluasan ilmunya, kerana menafsirkan satu ayat dipandang dari berbagai sudut ilmu.

Selain Tafsir Al-azhar, pada era 1960-an Hamka juga menulis beberapa buku lagi yakni Pandangan Hidup (1960), Ekspansi Ideologi (Alghazwul Fikri) (1963), dari Perbendaharaan Lama (1963), Sayid Jamaluddin Al-Afhany (1965), Hak Asasi Manusia di pandang dari Segi Islam (1968).

Setelah keluar dari penjara, HAMKA dilantik sebagai ahli Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota Majlis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia.



  


HAMKA pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa Universiti al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa Universiti Kebangsaan Malaysia, 1974 dan gelaran Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno daripada pemerintah Indonesia.

Pada 24 Julai 1981, jam 10:40 pagi, beliau mendapat serangan jantung dan meninggal pada usia 73 tahun setelah dirawat di Rumah Sakit Pertamina, Jakarta selama beberapa hari di hospital. Prof. Dr. Buya HAMKA dikebumikan di Tanah Kusir, Jakarta Selatan. Namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara termasuk Malaysia dan Singapura turut dihargai.

Aku juga dalam proses ini mengumpul koleksi karya-karya beliau...akan datang aku ingin membeli karya beliau yang bertajuk Tafsir Al Azhar, Ayahku, Falsafah Hidup, Tasawuf Moden, Kenang-kenangan Hidup dan sebagainya.



   


Minggu lepas aku ada membeli karya beliau yang diberi nama Di Dalam Lembah Kehidupan di MPH Midvalley...tetapi aku belum start membacanya lagi kerana sekarang aku sedang membaca novel seram Margasatwa karya Saidee Nor Azam.

Karya HAMKA ini banyak berkisahkan kehidupan dan lanskap di Sumatera pada penghujung zaman 1930an. Bila baca karya beliau aku dapat membayangi suasana persekitaran dan kebudayaan zaman itu...memang best dan mempersonakan gaya bahasa beliau...Dan pada suatu hari nanti akan aku jejakkan kaki aku ke Rumah Kelahiran HAMKA ini yang telah dijadikan muzium.


Sekian.

No comments:

Post a comment