Saturday, 15 October 2016

Istana Penghulu Mukim Belanja, Raja Bilah Yang Kaya Dengan Hasil Bijih Timah

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Sihat tak hari nii ? Hari nii aku nak bawa korang untuk meneroka bangunan warisan di negeri Perak. Agak sukar jugak untuk mencari rumah Raja Bilah ini sekiranya korang bukan orang Negeri Perak. Istana ini agak terlindung sedikit kedudukannya dan terletak di Pekan Kecil Papan iaitu berhampiran dengan Pusing dan Batu Gajah. Istana ini juga selalu dijadikan lokasi pengambaran filem serta drama kerana keindahan senibinanya.



Rumah Besar atau istana ini dibina oleh Raja Bilah iaitu anak kepada Raja Tedung Berani yang berasal dari kaum kerabat Raja Mandailing ke-12 yang pernah memerintah Daerah Tapanuli Utara, Sumatera. Beliau dilahirkan pada tahun 1834 di Tanah Mandailing Sumatera.

Raja Bilah adalah anak saudara kepada Raja Asal yang membantu Wan Mutahir dalam pertelingkahan di Selangor pada awal tahun 1860an. Raja Asal lebih awal berhijrah ke Tanah Melayu sebelum diikuti Raja Bilah bersama dua orang adiknya pada tahun 1860an. Raja asal terlibat dalam perusahaan Kelian bijih timah ketika itu dengan membeli bijih timah pada pelombong sekitar Kelang.



Pada sekitar tahun 1866, Raja Bilah dan Raja Asal sekali lagi terlibat dalam perang saudara di Selangor, dimana ia berpihak kepada Raja Mahadi yang tewas pada Tengku Kudin. Akibat kekalahan dalam perang saudara tersebut, Raja Asal dan Raja Bilah telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Perak dan terus menetap di Changkat Piatu. Dalam penghijrahan itu, mereka berdua memulakan perusahaan kelian (lombong) di Papan dan Simpang Pulai.



Pada tahun 1878, Raja Asal meninggal dunia dan ini menyebabkan Raja Bilah terpaksa mengambil alih semua urusan bijih timah sehingga beliau dilantik menjadi pengutip cukai oleh kerajaan Perak. Raja Bilah juga terpaksa menanggung hutang Raja Asal dan beliau berjaya membayar hutang tersebut dengan perusahaan kelian timah serta ladang padi.



Pada tahun 1877 Raja Bilah, menteri dan keluarganya telah berpindah ke Papan. Ini memudahkan urusan perusahaan kelian timah yang diusahakan pada sekitar Papan, Ulu Pagoh melalui Sungai Johan.

Pada tahun 1874-1876 Raja Bilah membeli timah yang diusahakan pada sekitar Papan, Ulu Pagoh melalui Sungai Johan. Dan pada tahun 1874-1876 Raja Bilah juga telah membeli bijih timah dari Kelang ke Perak, urusan ini bertambah mudah apabila Raja Bilah mendapat surat kuasa (kebenaran) daripada Sir Frank Swettenham. Surat ini memberi kuasa kepada Raja Bilah untuk mengutip cukai daripada pedagang Cina sebanyak $ 3.00/ pikul. Perlantikan Raja Bilah sebagai pengutip cukai bijih timah ini perlu selepas wujudnya kesedaran kerajaan Negeri Perak terdapat aktiviti penyeludupan bijih timah.



Pada Januari 1882 Raja Bilah telah dilantik sebagai Penghulu Mukim Belanja (Papan) dimana ini bererti berakhirnya jawatan sebagai pengutip cukai. Pada tahun ini juga beliau telah mendirikan sebuah rumah kayu (Rumah Waris) di atas sebuah bukit di Papan.

Kekayaan bijih timah di Papan ketika itu mewujudkan satu perkembangan ekonomi yang pesat di Pekan Papan akibat penghijrahan pelombong Cina. Pekan Papan di bawah kepimpinan Raja Bilah menjadikan oa makmur dan maju dari segi ekonomi dan sosial.



Pada tahun 1887 Raja Bilah telah membina di sebuah di hadapan rumah kediamannya (rumah waris) yang dipanggil Masjid Papan. Pada tahun 1890an Raja Bilah telah mendirikan sebuah rumah yang dikenali sebagai rumah besar. Apabila rumah ini telah siap dibina pada tahun 1896, ia menjadi pejabat Raja Bilah mengutip cukai bijih timah, tempat mesyuarat dan bank bagi sekitar penduduk papan. Rumah besar ini dibina bagi menyambut kedatangan Sultan Perak yang ingin melawat kelian Raja Bilah yang terbesar ketika itu.



Rumah besar ini dibina di sebelah Rumah Papan yang pertama dibina oleh Raja Bilah, ia mempunyai tangga yang bersambung dengan Rumah Besar yang berkonsepkan senibina Mandailing dan juga Inggeris. Rumah ini mempunyai pintu gerbang sebagai laluan utama masuk ke kawasan rumah, tembok setinggi 8 meter yang mungkin berfungsi sebagai kawasan perlindungan daripada musuh.

Rumah besar ini dibina oleh Raja Bilah dengan bantuan daripada orang Jawa, Mandailing dan Cina. Ia dijadikan pusat pentadbiran urusan bijih timah, hal ehwal keluarga dan nasihat yang dirujuk oleh penduduk Papan.



Rumah ini mempunyai dua aras...aras bawahnya dibina menggunakan batu-bata dan aras atasnya menggunakan papan. Rumah ini pernah dicadangkan untuk dijadikan galeri bagi mempamerkan bahan-bahan berkaitan Raja Bilah tetapi kebanyakkan koleksinya telah dicuri kerana rumah ini dipecah masuk.

Rumah ini juga telah dilakukan kerja-kerja pemuliharaan oleh Jabatan Muzium Dan Antikuiti...kalau tak salah aku pada tahun 2003. Kini bangunan ini terbiar tanpa penjagaan yang rapi kerana peruntukan untuk menyelenggaranya sangat tinggi dan dimiliki oleh 10 orang waris Raja Bilah.

Keunikan rumah ini kerana terdapatnya pintu gerbang dan tangga yang menuju ke rumah ini yang kedudukannya lebih tinggi dari jalan utama. Memang sangat cantik dan indah senibinanya serta gah pada zamannya. Aku sendiri pun terpesona dengan rumah ini....serta tidak dapat dijumpai ditempat lain.

Sekian.

No comments:

Post a comment