Monday, 17 October 2016

Melawat Ke Makam Long Deraman

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua. Apa khabar hari nii. Jom kita dengar citer sejarah akt negeri Kelantan. Aku mula mengetahui tentang Long Deraman apabila melakukan inventori awalan tentang makam-makam di Kelantan. Aku ni bukannya peminat sejarah... masa zaman sekolah subjek sejarahlah yang paling teruk sekali markahnya...dan kadang-kadang gagal. Aku rasa susah betul nak faham. Sekarang aku terpaksa belajar dan fahamkan sebab tuntutan kerja aku.

Long Deraman adalah raja Legeh (Narathiwat sekarang). Beliau adalah menantu kepada Long Sulaiman, raja Kelantan yang memerintah di Kota Kubang Labu (Wakaf Bharu sekarang). Long Deraman telah membunuh Long Sulaiman dalam satu perebutan kuasa. Selepas itu beliau telah kembali ke Legeh dan menyerahkan kuasa pemerintahannya kepada iparnya yang bergelar Long Pandak (putera Long Sulung Kelantan).

Selepas mengambil alih Kota Kubang Labu daripada mertuanya Long Sulaiman, Long Deraman telah menyerahkan pula Kota Kubang Labu kepada pemerintahan iparnya yang bernama Long Pandak (putera Long Sulung Kelantan).



Dalam buku "Raja Campa & Dinasti Jembal" salasilah menunjukkan Long Pandak juga adalah sepupu kepada Long Deraman dan Long Sulaiman.

Pada tahun 1758, Long Deraman membunuh pula Long Pandak kerana Long Pandak membunuh isterinya Tengku Ngah, yang juga merupakan adik Long Deraman. Pembunuhan Tengku Ngah itu disebabkan salah faham Long Pandak kononnya isterinya itu berzina dengan Long Ghaffar, putera raja Reman, satu daerah di hulu Perak, yang datang melawatnya pada satu ketika.

Kejadian ini merupakan salah faham....

"dimana Long Ghaffar bersahabat baik dengan sepupunya, Tuan Long Yunus bin Raja Long Sulaiman. Mereka banyak merantau untuk mempelajari ilmu keduniaan dan ilmu agama. Suatu ketika, Tuan Long Ghaffar telah ke Kota Kubang Labu lalu berziarah adik angkatnya serta sepupunya itu. Namun semasa kedatangan beliau itu, Raja Long Pandak tiada kerana ada urusan di luar kawasan. Secara ringkasnya, sebagai adik-beradik angkat yang pernah membesar bersama, maka tidaklah keberatan untuk Tuan Long Ghaffar meminjamkan Kain Cindai ‘Chepa Melaka’ untuk disalin tenun oleh Tuan Neng Mas. Sekembalinya Raja Long Pandak, didapati terdapat Kain Cindai milik Long Ghaffar ditangan isteri baginda. Maka cemburu serta murkalah baginda dan tanpa usul periksa dibunuhnya Tuan Neng Mas isterinya itu. Berita pembunuhan itu sampai kepada Long Ghaffar lalu dikhabarkan kepada Long Deraman Raja Legeh. Hal yang sangat rumit ini melibatkan pembunuhan kerabat diraja dan mempunyai talian persaudaraan yang kuat pula. Lalu Long Ghaffar sampaikan pula berita tersebut kepada Raja Long Nuh Raja Patani di Pujut. Dititahkan pula supaya Long Deraman menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kesalahan pembunuhan tersebut. Kedatangan Long Deraman rupanya sudah ditunggu oleh Raja Long Pandak dan berlakulah penentangan. Dalam peristiwa serang menyerang itu, maka terbunuhlah Raja Long Pandak ditangan Long Deraman. Kecemburuan dan salah faham serta tidak dapat mengawal kemarahan inilah yang menyebabkan nyawa yang tidak bersalah menjadi korban. Hilang rasa hormat serta menjadi longgar ikatan silaturrahim menjadikan nafsu tergamak untuk membunuh."

Kuasa pemerintahan Kota Kubang Labu diserahkan pula kepada adik Long Pandak, Raja Long Muhammad diangkat pula oleh Tuan Long Deraman sebagai Raja Kubang Labu 1758–1763. Perlantikan tersebut membuktikan ketelusan terhadap kedamaian dan akur dengan perkara yang benar menyebabkan tiada perselisihan antara Tuan Long Muhammad dengan Tuan Long Deraman serta kaum kerabat keluarga mereka di Pujut.

Dalam tahun 1762 satu peperangan telah berlaku di Kota Kubang Labu, yang dibantu oleh Long Deraman dan Penghulu Umar Kampung Laut dengan Long Yunus yang dibantu oleh Long Gafar seorang putera kepada Raja Reman di Hulu Perak, Mandor Mis dan Penghulu Adas (ipar Mandor Mis). Peperangan ini adalah peperangan menuntut hak dari Long Yunus ke atas tahta kerajaan di Kota Kubang Labu yang dipunyai oleh ayahandanya dulu.



Dalam peperangan ini Long Deraman dan juga Long Muhammad telah dapat dibunuh dan kedua-dua jenazah mereka itu telah dimakamkan di Gong Chapal (sekarang dipanggil Langgar Buruk) berhampiran dengan tepi Sungai Kelantan dalam Bandar Kota Bharu.

Oleh kerana makam itu hampir jatuh ke dalam sungai, maka pihak Muzium Negara telah memindahkan makam Long Deraman jauh ke tengah sedikit dari tebing sungai Kelantan kerana ancaman hakisan pada tahun 1976, tetapi sayangnya Makam Long Muhammad dan juga makam Long Pandak yang letaknya berhampiran tepi tebing telah jatuh ke dalam sungai sebelum pihak muzium dapat memindahkannya.

Bagi mengenang jasa yang membantunya dalam peperangan itu, maka baginda Long Yunus telah melantik Long Gaffar menjadi Perdana Menteri dengan diberi gelaran Engku Sri Maharaja Perdana Menteri memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir Tumbuh. Mandor Mis dilantik Penghulu Menteri@bendahari dengan diberi gelaran Dato' Maharaja Wangsa serta diberi kuasa berbuat dan memerintah Kampung yang sekarang dipangil Kampung Lundang, Penghulu Adas diberi kuasa berbuat Kampung serta dilantik menjadi Penghulu Kampung tersebut yang sekarang dipangil Kampung Kaduk.

Baginda Long Yunus telah berjaya menyatukan seluruh pemerintahan negeri Kelantan yang banyak itu dengan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.

Makam Long Deraman ini telah dibaikpulih dan dinaiktaraf oleh Jabatan Muzium Dan Antikuiti. Makam ini dibawah penyelenggaraan pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

Sekian.

No comments:

Post a comment