Monday, 17 October 2016

Istana Cinta Yang Terbiar... Istana Sepachendera

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai...hai..korang semua. Apa khabr korang hari nii. Di harap baik-baik ajer yea. Hari nii jom kita ke negeri Jelapang Padi bagi melihat bangunan lama yang digelar istana. Walaupun istana ini dah lama terbiar dan mengalami keuzuran tetapi keseniannya masih menyerlah sudut pandangan mata aku. Aku kagum dengan pemilik dan juga arkitek yang mereka bentuk istana ini. Ternyata pemiliknya juga seorang yang bercita rasa tinggi. Kedudukan istana ini agak terlindung sikit daripada pandangan dan jalan raya utama. Istana ini juga terkenal dengan nama Istana Kampung Baru dan terletak di Jalan Kampung Baharu, Alor Star, Kedah.



Kalau korang biasa dengar kisah percintaan dimana.....Shah Jahan membina Taj Mahal untuk isteri tercintanya Mumtaz....Istana Sepachendera ini juga dibina khusus untuk isterinya tercinta Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1943) iaitu Che Sepachendera. Ia dibina pada April 1882 masih berdiri dengan baik sehingga hari ini walaupun telah mengalami banyak perubahan pada bahagian dalaman, luaran dan sekelilingnya.

Di istana inilah Tunku Ibrahim (Tunku Sulung), putera sulung baginda dengan Cik Sepachendera diputerakan pada 1 Julai 1884. Manakala putera-puterinya yang lain pula ialah Tunku Rokiah, Tunku Zamzam dan Tunku Kassim (Tunku Laksama). Che Sepachendera tidak mendiami di Istana Kota Setar iaitu istana utama. Beliau mendiami Istana Spachendera sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1907. Selepas kemangkatan Che Sepanchendera, istana ini masih terus didiami dan diwariskan kepada anakandanya yang masih bujang.



Pada tahun 1922, di atas kesedaran dan prihatinnya Tunku Ibrahim ketika itu betapa pentingnya institusi pendidikan, sebuah Sekolah Inggeris Perempuan telah diwujudkan di situ dengan nama Sekolah Perempuan Kampung Baharu (Kampung Baharu Girl’s School). Menurut Tunku Mansor Tunku Kasim, yang juga cucunda kepada Sultan Abdul Hamid, pada peringkat permulaan, istana terbabit menjadi keutamaan buat golongan kerabat diraja mendapat pendidikan awal mereka. Di sinilah anak raja dan pembesar-pembesar diajar tentang pendidikan, ilmu menenun dan sebagainya. Bermula dengan pelajar seramai 30 orang dan meningkat menjadi 45 orang pelajar pada tahun 1933. Pendidikan di sekolah ini berterusan sehinggalah tahun 1954. Apabila Sekolah Menengah Sultanah Asma diasaskan di Jalan Langgar pendidikan Kampung Baharu Girls’s School ini telah berpindah ke sana pula.

Pada tahun-tahun berikutnya, istana ini bermula mengalami beberapa perubahan demi perubahan sama ada di dalam mahupun di luar apabila fungsinya mula bertukar menjadi institusi pendidikan dengan Kampung Baharu Girl’s School.

Namun begitu pada tahun-tahun 1942-1943, istana ini pernah dijadikan sebagai Pejabat penyelamat Kebakaran (BOMBA) dan Sekolah Bahasa Jepun. Rentetannya, istana ini juga pernah dijadikan Sekolah Rendah Tunku Abdul Halim dan cawangan Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Audit. Pada tahun 2000, bangunan tersebut telah berubah fungsinya sama sekali dengan menjadi kediaman Al Khwarizmy bagi pelajar-pelajar lelaki dari Kolej Universiti Insaniah, Kedah (KUIN) dan kemudiannya terbiar kosong sehingga sekarang. 


Istana ini dibina dengan 3 tingkat dan mempunyai bumbung rata. Di aras bawah (Public area) adalah untuk pekerja-pekerja istana melakukan aktiviti. Di aras satu (semi -private) pula merupakan aktiviti kerabat diraja dan ruang makan. Di aras dua (private) pula adalah bilik untuk Che Sepachendera yang dilengkapi dengan bilik air, bilik pakaian (walk in closet), ruang tamu dan bilik menunggu. Di sini tingkat ini juga terdapat anjung (balconi).


Pada tiap-tiap tingkap dengan imej tingkap labuh menggunakan daun tingkap yang boleh digerakkan ke atas dan ke bawah. Pun begitu hiasan pada bingkai pintu dan tingkap cukup menarik dan menyerlah. Dipercayai daripada kesan bongkah kayu yang terdapat pada tiap-tiap tingkap di tingkat satu adalah kesan kerangka kanopi yang dibina bagi mengelakkan tempias hujan dan juga kemasukan sinaran cahaya matahari ke dalam istana.

Motif yang digunakan adalah jenis Corinthian iaitu gaya Yunani kuno. Penggunaan kayu dan batu-bata banyak digunakan di dalam pembinaan istana ini. Tangga utama dibahagian depan adalah satu-satunya penghubung dari bahagian luar yang digunakan untuk ke tingkat satu dan tingkat dua menuju ke ruang menunggu untuk tetamu-tetamu baginda sultan. Tangga kayu yang dibina di tengah-tengah istana ini adalah untuk pekerja istana menghantar air atau makanan menuju ke ruangan tingkat satu. Namun menjadi persoalan dimana pula tangga dari tingkat satu menuju ke tingkat dua, melalui ruangan dalam rumah.



Senibina bangunan ini adalah berbentuk classical Eropah dengan hiasan jenis ‘moorish. Ciri unik yang terdapat didalam istana ini ialah ia menggunakan tingkap jenis labuh dimana mempamerkan ciri-ciri kemelayuan yang asli. Di belakang istana ini terdapat sebatang sungai kecil bernama Sungai Raja yang mudik ke hilirnya akan menjumpai Sungai Kedah dan seterusnya menyusur ke Kuala Kedah. Inilah jalan rahsia istana pada zaman dahulu. Sungai ini masih terjaga dengan baik dengan melalui kawasan perkuburan yang mempunyai Nesan Aceh berdekatan MTDC.

Ada juga kajian lain mengatakan Che Sepachandra ini bukanlah isteri pertama Sultan Abdul Hamid Halim Shah II tetapi merupakan isteri ke 3. Antara isteri Sultan Abdul Hamid Halim Shah II ialah;

1. TUNKU KUTAM
2. CIK SAMANARIT (SIAM)
3. CHE SEPACHANDRA (SIAM)
4. CHE LARASA
5. SHARIFAH MARIAM SYED MUHAMMAD AL-IDRUS
6. CHE SOFIAH BINTI ABDULLAH
7. CHE MANJALARA (SIAM)
8. SHARIFAH SEHA BINTI SYED HUSAIN JAMALULLAIL
9. SHARIFAH FATIMAH BINTI SYED IDRUS SHAHABUDIN

Inilah senarai isteri-isteri Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah II sepanjang hayatnya. Kemungkinan yang dikatakan isteri pertama or kedua semua tu disebabkan kematian atau penceraian yang terjadi.



Isteri pertama Sultan Abdul Hamid bernama Tunku Kutam iaitu sepupu baginda yang mangkat muda, kemudian baginda berkahwin untuk kali ke-2 pula dengan Cik Samanarit berdarah Siam-Islam. Kemudian berkahwin untuk kali ke-3 dengan Cik Sepachandra yang juga berdarah Siam-Islam dan mangkat dalam tahun 1907 serta dimakamkan di Tanah Perkuburan Diraja Langgar.

Seterusnya baginda berkahwin untuk kali ke-4 dengan Cik Larasa (Che’ Puan Paduka Bonda) dan ke-5 dengan Sharifah Mariam binti Syed Muhammad Al-Idrus. Isteri ke-6 baginda bernama Nai Sofiah binti ‘Abdu’llah (Nai atau ada sesetengah pihak mengatakan bermaksud 'Sharifah' tetapi yang peliknya kerana ayahnya hanya bernama Abdullah sahaja bukan Syed Abdullah).

Kemudian baginda berkahwin lagi kali ke-7 dengan Cik Manjalara. Isterinya ke-8 baginda bernama Sharifah Seha binti Syed Husain Jamalullail dan seterunya yang terakhir iaitu yang ke-9 bernama Sharifah Fatimah binti Syed Idrus Shahabudin. Kesemua isteri baginda dikebumikan di Makam Diraja Langgar.



Isteri ke-7 baginda Sultan Abdul Hamid Halim Shah II ini yang bernama Manjalara meninggal semasa berumur 67 tahun dan dikebumikan di Makam Diraja Langgar pada 23.4.1941. Nama melayunya ialah Manjalara dan nama asalnya pula ialah Nearng. Ayahndanya bernama Luang Nara Purirasksha juga dikenali sebagai Long Nara seorang pembesar di daerah Nanthapuri (Nanthapuri ini terletak berdekatan Ayutthia lama) dan merupakan anak kepada pembesar Mataban bergelar Chao Phaya Mahakota.



Semasa di Nanthapuri, kakak kepada Sultan Abdul Hamid bernama Tunku Aminah telah bertemukan dengan Che Manjalara, kerana terpikat dengan budi perketi Cik Manjalara beliau telah meminta izin daripada ayahanda Che Manjalara untuk membawanya melawat Kedah. Apabila tiba di Kedah, dia menetap dirumah Ibu Tunku Aminah bernama Wan Hajar. Lalu Wan Hajar bin Wan Ismail atau juga dikenali dengan Mak Wan Besar pun sangat berkenan dengan Che Manjalara kerana sungguh sopan dan berbudi bahasa lalu dia memohon agar dinikahkan dengan Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Kisah ini dipetik dari kisah ahli keluarga Che manjalara sendiri. Selain itu Che Manjalara juga menjemput 3 lagi saudara kandungnya menetap di Kedah dan keturunan mereka masih ada sampai ke hari ini di kedah.



Tunku Mansor berkata, istana yang pernah menjadi tempat kelahiran ayahandanya, Tunku Kasim merupakan antara lambang kemegahan kerana keunikan reka bentuk dan ukirannya.

Namun, beliau memaklumkan, istana lama berkenaan terbiar kosong semula tidak lama kemudian.

Kini, istana lama berhampiran Sungai Raja, di sini, dilihat tidak berpenghuni mahupun digunakan lagi. Lebih kurang 60 hingga 80 peratus struktur binaannya kian rosak,” katanya.



Antara struktur dalaman dan luaran istana lama rosak termasuklah bahagian bumbung, tiang rusuk, tingkap dan serpihan lantai akibat dicengkam sejenis pokok menjalar. Istana lama berkenaan sudah pun menjadi sarang kelawar, manakala lantai bangunan tiga tingkat sudah mereput di sana-sini. 

Sebagai cucunda, katanya, mereka sememangnya meminta perhatian pihak bertanggungjawab supaya bangunan tinggalan sejarah terbabit dapat dikekalkan. Untuk itu, beliau bersama rakan pengkaji sejarah sedaya upaya mempertahankan istana daripada ditelan zaman antaranya cuba membangunkan rekaan asal bangunan tersebut.



Secara persendirian, katanya, perasaan kecintaan terhadap warisan sejarah sedemikian sudah menjadi darah dagingnya, maka beliau berharap kemungkinan tersebut jadi kenyataan.

Dalam usaha memelihara dan memulihara warisan bernilai tinggi ini, kami mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkan lukisan reka bentuk asal istana terbabit,” katanya. Melalui sejumlah peruntukan kos kewangan, katanya, pihak mereka meminta kerja membaik pulih istana dipercepatkan kerana ia dikhuatiri lenyap suatu hari nanti.

Walaupun ada kekangan, bagaimanapun mereka harap dapat bekerjasama dengan jabatan berkaitan seperti muzium menggunakan pendekatan tertentu bagi mengatasi cabaran ini. Katanya, mereka sedia mempertahankan istana lama yang berpotensi menjadi warisan sepanjang zaman terbabit bagi memberi peluang generasi masa depan menghayati nilai sejarahnya. (sumber: Sinar Harian)



Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menyuarakan cadangan kepada kerajaan negeri agar Istana Sepachendera di Jalan Kampung Baru supaya dibangunkan menjadi Muzium Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Pengerusi PSMCK, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusuf berkata, pihak mereka berharap agar kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap usaha membaik pulih keadaan istana yang mempunyai nilai sejarah tersendiri agar kembali kepada bentuk asalnya.

Istana Sepachendera memiliki nilai sejarah tinggi kerana ia dibina khusus oleh Sultan Kedah ke-28 Kedah, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah untuk isterinya. Baginda memerintah dari 1882 sehingga 1943 dan membina istana untuk Che Sepachendera,” katanya dipetik Sinar Harian.

Dr Wan berkata, istana tersebut mempunyai satu nilai sejarah yang cukup tinggi di antaranya kisah Tuanku Kasim yang diangkat menjadi Putera di istana tersebut.


"Pihak kami berharap hasrat tercapai sekiranya perancangan membaiki pulih istana dibenarkan, sekali gus menyimpan koleksi baginda nanti," katanya. Ahli Kerabat Diraja Kedah merangkap cucunda Baginda, Tunku Aishah Tunku Kasim berkata, istana milik nendanya itu sudah terbiar begitu lama.

Menurut Tunku Aishah lagi, dia berharap banguna itu akan segera dibaik pulih kerana ia merupakan satu khazanah tidak ternilai bagi penduduk di negeri Kedah. Sementara itu, Tunku Habsah Tunku Kasim berkata, dia menyokong penuh hasrat yang disuarakan oleh persatuan sekiranya pihak kerajaan negeri berhasrat menjadikan bangunan tersebut sebagai sebuah muzium.

Tunku Habsah berkata cadangan untuk menjadi istana itu sebagai sebuah muzium mampu menjadi satu lagi produk pelancongan menarik di negeri Kedah malahan ia akan menjadi sumber ekonomi untuk rakyat di negeri ini.

Menurut laporan yang dikeluarkan sebelum ini, istana tersebut telah dibina khusus oleh Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah untuk isteri baginda, Che Sepachendera. Cucunda Sultan Abdul Hamid, Tunku Mansor Tunku Kasim berhasrat mempertahankan istana tersebut yang merupakan satu warisan yang tidak terniai di negeri Kedah. (sumber: KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor)



Istana ini pernah dilakukan kajian dilapidasi oleh pihak Jabatan Muzium Dan Antikuiti. Kos baikpulih istana ini memerlukan peruntukan yang sangat tinggi kerana kerosakkan yang dialaminya sangat teruk dan perlukan kajian yang mendalam. Selain kos yang tinggi...fungsi bangunan ini setelah dilakukan kerja-kerja baikpulih dan kos penyelenggaraan seterusnya harus juga diberikan penekanan. Ramai pihak yang tidak faham dan menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan bagi menanggung segala kos sama ada daripada segi baikpulih mahupun penyelenggaraan tanpa ada rasa tanggungjawab terhadap bangunan sendiri.

Sekian.

8 comments:

  1. Mohon ambk sedikit info atau gamabr tuk assignment. thanks

    ReplyDelete
    Replies
    1. Silakan. Blog ni pun bertujuan untuk berkongsi ilmu dan bahan. Selamat Maju Jaya.Sama-sama.

      Delete
  2. Thanks.... Saya pon baru tau tentang istana ni...

    ReplyDelete
  3. Juga dkenali dgn nama istana kuning...

    ReplyDelete
  4. Arwah bonda selalu masok ke Istana kuning ...rupe2nye ISTANA Che sepahchendera ...SY Masih budak ... rupe2nye..bonda ade pertalian darah ..namun xdpt kesan Dr mana kemana pergi nya galur ni skrg ...

    ReplyDelete
  5. Menarik info yg saudara beri. Saya sendiri pun terpegun tengok keindahan seni bina istana nii. Pemiliknya mempunyai citarasa yg sgt tinggi dan berseni. Menggambarkan perasaannya pada isteri tercinta.

    ReplyDelete