Wednesday, 5 October 2016

Cenderahati Eksotik Daripada Ikan Buntal

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,



Haaii....apa khabar korang semua ? Hari nii entri aku agak berbeza.....Korang pernah tengok tak ikan buntal live dgn mata korang sendiri.... Aku terjumpa ikan buntal ni semasa berkunjung ke Kota Belanda di Pulau Pangkor, Perak. Ikan buntal nampak memang macam pelik, namun ia sangat popular sebagai barangan perhiasan terutama dalam kalangan pencinta cenderahati eksotik dan pelik.



Pasti ramai yang tidak sangka ikan buntal boleh dijadikan barang perhiasan....yea laaa badannya yang bulat mengembung apabila diancam dan rupanya tidak bersisik tetapi berduri macam buah durian....bukannya menarik sangat.
 



Tetapi bagi pengusaha cenderahati ikan buntal di Pulau Pangkor, Mohd Arshad Yusup, 40, berkata kebanyakan mereka membeli ikan buntal di gerainya untuk dijadikan perhiasan rumah selain memberikannya sebagai cenderahati kepada rakan-rakan selepas pulang bercuti di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, menjadikan ikan buntal sebagai cenderhati bukanlah mudah kerana ikan ini mempunyai bisa. Encik Mohd Arshad menjual produk ikan buntal secara sampingan berkata ramai pelancong tempatan dan asing sangat teruja dan berminat untuk membeli ikan buntal sehingga nilai jualan mampu mencecah RM300 seminggu. "Biarpun proses membuatnya sangat sukar dan membahayakan nyawa, saya hanya menjual buntal dari RM30 hingga RM150 seekor dan mengikut pada saiz.

"Lagipun ikan ini selalunya ditemui terperangkap di dalam bubu nelayan bersama-sama ikan laut dalam dan mereka memang akan buang ikan ini kerana ianya beracun, jadi lebih baik saya jadikan ia sebagai barangan perhiasan daripada membuangnya begitu sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Gedong.

Encik Mohd Arshad yang mempunyai gerai makanan kecil di tempat sejarah Kota Belanda di Pulau Pangkor dan dia mula menjual cenderahati ikan buntal sejak lima tahun yang lalu setelah mendapati ramai pelancong tertarik dengan perhiasan ikan buntal yang digantungkan di gerai.


Semenjak dari itu, Encik Mohd Arshad berhasrat untuk mempelajari cara mengawet ikan buntal bagi dijadikan cenderhati dan dijual kepada sesiapa yang berminat.



"Saya belajar cara-cara mengawet ikan buntal ini daripada beberapa kawan yang sememangnya sudah arif dengan dunia ikan buntal ini dan kini saya adalah antara penjual ikan buntal yang paling aktif di Pangkor. "Jika Pulau Langkawi terkenal dengan gamatnya, saya mahu Pulau Pangkor pula terkenal dengan ikan buntal," katanya.

Sepanjang Encik Mohd Arshad berkecimpung dalam membuat cenderahati ikan buntal, beliau hanya menggunakan empat spesies ikan buntal iaitu spesies buntal duri, buntal landak, buntal landak jarum dan buntal pasir atau nangka.

Menurutnya proses pembuatan bermula dengan membekukan ikan itu di dalam peti sejuk selama tiga hari bagi memastikan proses mengasingkan kulit dan isi lebih mudah. 
"Kemudian, selepas tiga hari saya akan mulakan proses mengeluarkan isi perut ikan berkenaan menggunakan gunting dan proses ini agak rumit dan memerlukan konsentrasi dan kesabaran yang tinggi.

"Ini kerana saya perlu berhati-hati dengan bisa yang terdapat di dalam hempedu ikan berkenaan yang sangat beracun hingga boleh membawa maut," katanya yang dikenali dengan jolokan Alang Angryfish di Pangkor.
 

Ikan buntal atau pufferfish juga sinonim sebagai ikan pembunuh kerana ikan ini mengandungi racun neurotoxin yang boleh menyerang urat saraf.


Hasil kajian juga mendapati ikan buntal sebagai haiwan kedua paling beracun selepas Golden Poison Frog yang berupaya membunuh manusia dalam beberapa saat sahaja. Encik Mohd Arshad yang mempunyai empat orang anak itu berkata sebaik perut ikan dibersihkan, beliau akan meletakkan belon ke dalam perut ikan buntal sebelum menjahit semula perut ikan berkenaan.

"Semasa proses menjahit, pasti ada kecederaan kecil kerana durinya sangat tajam. 
"Kemudian saya akan meniup belon tersebut untuk mengembungkan perut ikan buntal sebelum mengantungkannya selama tiga hari bagi memastikan lendir dan air di dalam badan ikan itu hilang," katanya.

Selepas tiga hari, belon berkenaan ditarik keluar dan ikan buntal perlu dikeringkan sekali lagi secara mendatar bagi memastikan bau hanyir ikan tersebut hilang. "Memang proses membuat cenderahati ikan buntal ini remeh ditambah pula ianya mempunyai bisa tetapi saya mahu ia menjadi satu daripada ikon di Pulau Pangkor kerana ia memang sukar ditemui di tempat lain.

"Saya juga tidak menggunakan apa-apa bahan kimia ke atas ikan berkenaan kerana saya tidak mahu ia menjejaskan kesihatan pembeli," katanya. 
Selain produk perhiasan rumah, ikan buntal berkenaan turut dijadikan tabung, topi dan sarung pisau.

Sesiapa yang berkunjung ke Pulau Pangkor, jangan lupa melihat atau membeli cenderhati ikan buntal Encik Mohd Arshad.
 



Sekian.

No comments:

Post a comment