Tuesday, 1 November 2016

Book Review: Wanita Kimono Merah

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Apa khabar petang nii ? Hari nii aku nak buat book review. Mesti ada yang ternanti-nanti akan book review dari aku kan!! Ceeewaaah!! Perasan laa pulak!! Novel ini aku beli sebab aku suka hiasan kulit depannya dan juga tajuknya... Buku ni pun nipis... just nice untuk aku baca.


Wanita Kimono Merah (Hiruka) ini merupakan karya sulung penulis Syafie Mahyani terbitan Lejen Press. Ceritanya seram dan menggerunkan tetapi jalan ceritanya kemas. Novel ini berkisahkan tentang pembunuhan sebuah keluarga Jepun yg dilakukan oleh Arif didalam sebuah banglo mewah. Alif adalah anak kepada pemilik rumah banglo tersebut. Beliau tidak berpuashati kerana ayahnya memberi kebenaran kepada keluarga Jepun tersebut untuk tinggal di banglo ini  kerana keluarga tersebut pernah menyelamatkannya. Alif rasa dia berhak untuk memiliki banglo tersebut.


Setelah 20 tahun berlalu.... Rumah banglo itu telah dijual dan dibeli oleh suami kepada seorang supermodel terkenal iaitu Evelyn daripada Datuk Ariff. Sejak tinggal di banglo tersebut hidup Evelyn sering diganggu oleh roh wanita kimono merah sehinggakan dia dianggap gila oleh suaminya, disebabkan itu Evelyn terpaksa menjalani pemulihan dengan seorang doktor, iaitu Dr Zack.

Tiada siapa mempercayai akan cerita Evelyn mengenai wanita kimono merah, hanya Dr Zack yang mempercayainya kerana Dr Zack juga pernah melihat wanita kimono merah sewaktu berkunjung ke rumah Evelyn untuk menghantar ubat. Suami Evelyn....Rizo mempunyai berscandal dengan seorang model baru yang bernama Ereena.


Kotak fikiran Evelyn ditikam berulang kali apabila mengetahui suaminya telah menduakannya. Paling menjerut dirinya apabila rahsia itu diberitahu oleh wanita kimono merah- dulunya hanya wujud di alam mimpi sebelum menjalar di kehidupan nyata. Evelyn semakin bingung apabila beberapa orang yang dibencinya turut mati, mengikut lukisan yang dilukisnya sebelum parut bertulisan Jepun bermakna mati muncul di sekitar lingkaran pusatnya! Semua kenalan yang rapat dengan Evelyn juga mati dalam keadaan yang amat mengerikan dengan biji mata dicungkil keluar. Dr. Zack juga mengalami nasib yang sama. 

Mental Evelyn terus-terusan dicincang bermula daripada anak sulungnya yang boleh bercakap dalam bahasa Jepun pada usia lima tahun sebelum menjumpai anaknya sedang mengunyah mayat yang sedang mengembung dan busuk di dalam bilik stor di rumahnya.

Seorang demi seorang mati dengan cara yang kejam dan mengerikan akibat dendam wanita kimono merah. Pegawai polis yang melakukan siasatan kes ini juga turut terbunuh....kes ditutup kerana tiada kekurangan bukti kukuh dan rasional.



Cabutan cerita
20 tahun yang lepas
“TAKEJI. Tunggu nasib kau!” Marah dan dendamnya membuak-buak. Sungguh dia tak menyangka arwah atuknya akan memberikan banglo tersebut untuk diduduki keluarga dari Jepun itu. Dia jugak pelik berbinkan hairan, bagaimana ayahnya boleh saja mengiyakan kata-kata arwah atuknya.

“Ayah dah gila!” Bentaknya keras. Sungguh, hatinya benar-benar sakit mendengar penjelasan yang sama daripada ayahnya. Cukuplah penjelasan yang diterima daripada arwah atuknya yang membuatkan dia seperti cacing kepanasan. Sedangkan sebelum ini, dia bersungguh meminta daripada arwah atuknya, untuk menduduki banglo tersebut. Namun, permintaannya ditolak mentah-mentah.

“Cukuplah tu Arif. Arwah atuk cuma suruh mereka duduk sementara dekat situ. Bukannya bagi terus,”

“Mula-mula bagi duduk, lepas tu nanti, faham-faham ajelah,” balas Arif kembali. Ditendang meja kayu bersaiz kecil di hadapannya sebelum mendengus berat.

“Kalau bukan Takeji tu yang selamatkan arwah atuk dulu, lama dah kita hilang atuk. Cubalah kau ni jangan ikut sangat perangai tamak kau tu,” balas Datuk Seman. Geram. Dia berlalu pergi. Dia tahu. Tak ada guna dia nak bertekak dengan anaknya itu.

Arif hanya melihat ayahnya berlalu pergi tanpa berkata apa. Genggaman buku limanya, cukup untuk menceritakan perasaan marah dan sesal terhadap arwah atuk dan ayahnya. Sedang dia lemas dalam lautan kemarahan, suara orang memanggil dari bawah rumah, sedikit mengukirkan senyuman di bibir hitamnya.


Dia menuju ke arah tingkap, yang sememangnya, terbuka luas. “Jenal, naiklah. Hari ni, kau datang tepat pada waktunya,” dia kemudiannya tersenyum sinis.

Pemuda kurus berbaju pagoda, berambut pendek sikat tepi, berseluar pendek warna coklat paras lutut yang bercompang-camping itu sedikit tergesa menaiki anak tangga. Dia tersenyum melihat penampilan Arif. Berbaju kemeja warna merah pekat, rambut yang disikat ke belakang, dan berseluar slack hitam. Sungguh, dia berangan untuk menjadi orang kaya seperti sahabat baiknya itu. Pada waktu itu, mungkin, akan ramai anak gadis di kampung yang bakalan menyukai dirinya.

Dia menghulurkan tangan untuk berjabat sebelum disambut Arif. Gelak mereka bersatu sebelum duduk di atas kerusi kayu di ruang tamu tersebut.

“Arif, aku jumpa ayah kau masa nak datang sini tadi. Muka merah padam aje.”

“Sebab tu aku cakap, kau datang ni, tepat pada masanya.”

“Maksud kau apa? Semalam bukan kau suruh aku datang rumah kau pukul lima ke? Sebab kau kata, nak ajak aku pergi pasar malam.”

Arif terdiam. Bibirnya diketap. Cuba untuk mengingati memori semalam. Jujurnya, dia tak ingat pulak, yang dia ada berpesan kepada Jenal, supaya datang ke rumahnya. Dia memandang ke arah Jenal, sebelum tersenyum kambing. “Aku tak ingatlah. Tapi tak apa. Tu semua tak penting. Yang penting sekarang ni, aku ada rancangan baik malam ni.”

“Nak pergi intai si Hiruka tu lagi ke? Kali ni, bagi aku pulak yang tengok lama sikit. Asyik kau je yang pertama.” Mana dia tak geram, bila sampai giliran dia, Hiruka dah pun siap berbaju penuh.

Arif tersenyum lebar. “Kali ni, aku bagi kau tengok sepuasnya. Tapi, tu pun kalau kau beranilah.”

“Maksud kau apa?”

Arif mengeluarkan kotak besi segi empat dari dalam kocek seluarnya. Dibuka dan diambil sebatang rokok kertas yang sudah siap digulung. Dihidu sebelum memandang Jenal yang sudah pun menjilat-jilat bibirnya. Dia tau, Jenal pasti akan bersetuju dengan rancangannya, walau pun, dia perlu untuk memujuk.

“Nak rokok ni tak?”

Jenal pantas mengangguk. Bukan senang nak hisap rokok kertas. Hanya orang berduit macam Arif saja yang mampu. Dan dia pula, cukup beruntung berkawan dengan Arif. Dapatlah hisap rokok percuma walaupun selalunya, tinggal hujung-hujung tapi dia tak kisah. Yang penting, dapat berasap.


“Sebelum aku kasi kau rokok ni, aku nak beritahu kau, apa rancangan kita malam ni. Tapi kau kena janji, jangan sampai ada satu orang kampung pun yang tau,”

“Aku janji. Asalkan, dapat rokok percuma. Tapi bukan yang dah nak dekat-dekat habis,” ujarnya sebelum tergelak kecil.

“Kita akan bunuh, Takeji,”

Jenal terdiam. Mati terus gelaknya. Terkejut sampai dia merasakan degupan jantungnya berhenti berdegup buat sesaat. Pandangan matanya masih dikunci di wajah Arif. Air liur ditelan. Pahit. “Kau ni, main-main ke betul-betul ni?” Sengaja dia bertanyakan soalan tersebut. Dan dia sangat berharap, Arif hanya bergurau.

“Kau nak tak rokok ni?”

“Mestilah aku nak. Tapi aku tak nak bunuh orang,” kalau setakat mengintai anak dara orang mandi, atau pun mengintai si Hiruka, atau pun mencuri haiwan peliharaan orang kampung, dia memang sanggup. Tapi apabila didengarnya perkataan ‘bunuh’ saja, dia terus kecut biji telur.

“Kau ambil rokok ni,” rokok dihulur pada Jenal, sebelum disambut. Itupun, setelah didesak. “Kau jangan risau. Biar aku je yang bunuh Takeji keparat tu dengan tangan aku sendiri. Dan kau, lepas aje aku seronok-seronok dengan Hiruka, lepas tu giliran kau pulak. Macam mana, setuju?”

Rokok disedut dalam-dalam sebelum dihembus laju. Sungguh, sebolehnya, dia ingin mengatakan tidak, pada pertanyaan Arif.

Suasana banglo, muram. Ugutan Arif membuatkan dirinya tersentak. Sungguh, bukan keinginannya untuk duduk di banglo tersebut. Namun, atas desakan Datuk Wahyu, dia akur. Katanya, inilah cara untuk dia membalas budi atas jasa baiknya menyelamatkan dirinya dari dihempap tiang besi yang jatuh secara tiba-tiba di kawasan projek.

Dia lebih selesa untuk tinggal di rumah pekerja. Lagipun, selepas projek mega membina hotel mewah di Bagan Lalang selesai, dia akan berpindah semula ke Jepun. Baginya, cukuplah sudah sepuluh tahun, dia menetap di Malaysia. Sudah masanya, untuk dia kembali semula ke negaranya.
“Apa yang mengganggu fikiran abang?” Soal Hiruka setelah dilihat suaminya itu lebih banyak mendiamkan diri. Sewaktu makan pun, seperti tak selera. Baru hari ini, suaminya berperangai sedikit pelik. Selalunya, selepas pulang bekerja, suaminya masih ada masa untuk melayan dia dan anaknya, berborak. Namun tidak hari ini. Wajahnya yang masam mencuka, cukup menceritakan, wujudnya masalah. Sebagai seorang isteri, dia mempunyai keinginan untuk tau.

“Abang rasa, lebih baik esok kita pindah dari sini. Kalau boleh, abang nak tarik diri dari projek mega ni. Abang nak kita semua balik Jepun, secepat yang mungkin,” keluhnya sebelum cuba untuk memaksa dirinya tersenyum. Sepanjang dia berkerja di Malaysia, belum lagi dia berhadapan dengan situasi yang seperti ini. Entah kenapa, perasaannya menjadi kacau bilau apabila menerima ugutan daripada Arif.

Hiruka mengangguk setuju. Dia jugak tak sedap hati sejak kali pertama pindah masuk ke banglo ini. Dia tau. Pasti akan ada ahli keluarga Datuk Wahyu yang tak bersetuju. Dia juga berasa takut, apabila merasakan seperti ada orang sedang mengintai dirinya, lebih-lebih lagi, sewaktu di kamar tidur. Semua perasaan itu wujud, hanya apabila suaminya tiada di rumah. Bukan dia tak pernah menceritakan masalah tersebut kepada suaminya, namun suaminya hanya beranggapan, yang itu hanyalah permainan imaginasinya, semata-mata.

“Mama, papa. Sinilah,” satu suara menjerit tak jauh daripada mereka. “Siapa nak tolak buaian ni,” tambahnya lagi.

Hiruka mencubit lengan suaminya. Panggilan daripada anak perempuannya, merubah suasana yang sedikit kelam menjadi bercahaya. “Malam ni hari ulang tahun perkahwinan kita. Abang jangan lupa ya,” bisik Hiruka, di cuping kanan suaminya. Dia berharap, suaminya akan melupakan seketika masalahnya pada malam ini. Dia lalu mendapatkan anak perempuannya itu. Dibuai perlahan sambil keduanya melambai ke arah lelaki kurus, berambut warna kuning paras bahu itu.

Takeji turut melemparkan sebuah senyuman. Namun dia dapat merasakan ada sesuatu yang buruk bakal terjadi.


Seram jugak bila aku baca novel nii... dah la aku baca waktu malam. Asyik terkejut dibuatnya... Jalan ceritanya simple jer tetapi watak yang dibawa seakan hidup... dengan cara kematian yang sungguh misteri, ngeri serta kejam.

Cuma aku tak puashati dengan ending novel nii...  semua yang mati tuu tak de kaitan langsung dengan Wanita Kimono Merah (Hiruka). Wanita Kimono Merah tuu melakukan pembunuhan kejam sebab nak balas dendam jer sebab dia bersumpah untuk membalas dendam apabila menikam dirinya sendiri di dalam bilik stor berhampiran tangga banglo tu.


Yang aku pelik kenapa Wanita Kimono Merah nii tak balas dendam kat Arif yang telah membunuh keluarganya. Cerita tentang Alif... hilang begitu sahaja. Aku ingatkan Wanita Kimono Merah ini akan balas dendam kat keturunan Alif setelah 20 tahun berlalu tetapi yang mati semua tuu tak ada kaitan dengan Alif langsung... tuu yang aku confius....


Apa pun... novel ini still buat aku rasa seram dan berdebar-debar bila membacanya. Aku bagi 3 bintang kat novel nii.

Sekian.

**jangan lupa tau follow blog aku nii

No comments:

Post a comment