Wednesday, 5 October 2016

Book Review: Dibawah Lindungan Kaabah - HAMKA

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,



Hai korang semua... apa khabar ? Hari nii aku nak cerita tentang karya Buya HAMKA.... dah banyak book review HAMKA aku tulis kat entri sebelum-sebelum nii. Sebenarnya aku mula meminati Karya HAMKA dengan secara tidak sengaja dan ini merupakan buku karya beliau yang pertama aku baca. Ternyata aku sangat kagum dengan gaya penulisan beliau. Walaupun bukunya nipis tetapi penceritaannya sangat menebal dan menyentuh emosi dalaman.



HAMKA telah menghasilkan novel yang begitu popular sehingga ke hari ini dan telah diadaptasikan dalam Filem yang diterbitkan di Indonesia dan yang terbaru dipersembahkan dalam bentuk Teater di Malaysia.



Novel berjudul “Di Bawah Lindungan Ka’bah” ini menceritakan kisah yang terjalin antara Hamid seorang anak yatim dengan seorang gadis bernama Zainab, iaitu anak seorang hartawan bernama Engku Haji Jaafar.  Keluarga Hamid yang baru saja pindah ke Kota Padang setelah ditimpa kesempitan hidup. Tidak beberapa lama kemudian bapa Hamid meninggal dunia dengan meninggalkan Hamid yang baru berusia empat tahun dan ibunya dalam keadaan yang sangat melarat. Berhampiran dengan rumah Hamid terdapat sebuah rumah besar yang baru didiami oleh keluarga kaya yang baik budi bahasanya dan peramah pula kepada fakir miskin. Keluarga ini terdiri dari Engku Haji Jaafar, isterinya Mak Asiah dan anak perempuannya yang masih kecil bernama Zainab. 

Hamid yang setiap hari berjual kuih dan ibunya dijemput datang ke rumah Mak Asiah untuk berkenal-kenalan. Dari tarikh itu terjalinnya persahabatan yang erat antara dua keluarga itu. Sejak itu Hamid sering berkunjung ke rumah Zainab. Apabila tiba masa persekolahan Zainab ia dihantar ke sekolah bersama-sama Hamid. Pergaulan mereka berdua semakin rapat. Hamid menganggap Zainab sebagai adik kandungnya sendiri. Selepas belajar di sekolah, Hamid, Zainab dan teman-teman lain sering bermain-main, berlari-lari, berkejar-kejaran dan bermain galah di perkarangan rumah Zainab, memanjat pohon rambutan yang sedang ranum, bercari-cari dan bersorak-sorak, kadang-kadang waktu petang mereka berdua duduk di beranda belakang, pada hari minggu mereka dibenarkan bermain-main di tepi pantai.

Hari berlalu, bulan berganti bulan, tahun saban bertukar. Kemesraan antara Hamid dan Zainab semakin erat hinggalah mereka tamat dari persekolahan peringkat Mulo. Zainab masuk dalam pingitan kerana adat menghendaki begitu dan tidak boleh keluar rumah lagi sesuka hati tanpa diiringi oleh ibu atau orang kepercayaan. Beberapa bulan setelah tamat sekolah Hamid telah memasuki sekolah Agama di Padang Panjang dengan dibiayai oleh Engku Haji Jaafar juga.




Di Padang Panjang Hamid selalu merasai keseorangan dan sebagai seorang yang kehilangan sesuatu. Keadaan begini membuat Hamid selalu menghitung hari, bulan dan dari bulan ke tahun untuk sampai masanya bercuti dan kembali ke kampung menemui Zainab dan menceritakan segala pengalaman di rantau orang. Apabila saat pertemuan berlaku mulut Hamid tertutup, tak berkata apa-apa, ia menjadi bodoh dan pengecut. Begitulah rupanya kalau sudah terkena penyakit cinta, apa yang diangan-angankan pada mulanya semuanya terbang belaka. Hamid takut meluahkan cinta kepada Zainab, ia bimbang kalau-kalau cintanya tidak berbalas.

Dengan tidak disangka-sangka Haji Jaafar tempat Hamid bergantung nasib meninggal dunia. Kematiannya itu mengubah hubungan Hamid dan Zainab. Tidak lama kemudian ibu Hamid sakit. Dalam keadaan sakit itu ia menasihati Hamid supaya menghapuskan cintanya terhadap Zainab sebelum ianya mendalam, tidak lama kemudian ia menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan meninggalkan Hamid sebatang kara.

Selepas berlaku dua kematian yang menyedihkan itu Hamid karam memikirkan masa depannya. Suatu hari Hamid dijemput ke rumah Mak Asiah. Di sana ia telah diminta menasihati Zainab supaya patuh kepada kehendak ibu dan segala ahli keluarga untuk dijodohkan dengan salah seorang ahli keluarga dari sebelah almarhum bapanya.Tapi nasihat Hamid itu ditolak oleh Zainab dengan alasan belum mahu berkahwin. Tapi sebenarnya Zainab memendam rasa cintanya terhadap Hamid sendiri.

Untuk mengatasi perasaan sedih ekoran dari kematian tadi dan ketiadaan kepastian kebahagiaan dalam cintanya, Hamid mengambil keputusan mesti meninggalkan Kota Padang supaya ia dapat melupakan Zainab. Apabila sampai di Medan Hamid menulis surat kepada Zainab minta maaf kerana tidak sempat menemuinya sebelum berlepas dari Kota Padang. Dari Medan Hamid menuju ke Singapura, Bangkok, tanah-tanah Hindustan. Dari Karachi dia belayar menuju ke Mesir, Shara’ Najd dan akhirnya sampailah ke Tanah Suci Mekah al-Mukarramah.


 

Di bawah lindungan Ka’bah yang suci Hamid tafakur memohon kesabaran dan keteguhan hati menghadapi dugaan hidup. Lama kelamaan kenangannya kepada zaman yang lalu hampir hilang dan menjelang pula Tama’ninah dalam hatinya.Setahun kemudian ketika tiba musim haji, sampailah Salleh kawan sepekuliahan Hamid di Kota Padang dan Padang Panjang dahulu untuk menunaikan fardhu haji sebelum meneruskan perjalanannya ke Mesir untuk menyambung pelajarannya di sana. 


Sebelum belayar ke Mekah Salleh telah berkahwin dengan Rosnah salah seorang kawan karib Zainab. Kedatangan Salleh yang kebetulan memilih Sheikh haji yang sama dengan Hamid telah menghidupkan kembali ingatan Hamid kepada peristiwa yang lama. Pernah Salleh memberitahunya yang ia mendapat tahu melalui isterinya yang sering menziarahi Zainab bahawa Zainab sedang sakit dan merindui Hamid. Disamping itu dalam suratnya kepada Hamid, Zainab telah mencurahkan rasa hati dan harapannya supaya Hamid dapat pulang sebelum badannya yang sakit-sakit itu menemui ajalnya. 


Hamid pada mulanya tidak menampakkan apa-apa kesan buruk selepas menerima surat dari Zainab. Tapi setelah sehari dua kelihatan ia bermenung saja. Apabila ditanya dia memberitahu bahawa badannya sakit-sakit. Demam yang menimpanya sejak di Mekah bertambah buruk, dan dia tidak sedarkan diri ketika hendak berangkat ke Minadari Padang Arafah. Sebelum Hamid diusung oleh khadam untuk menyempurnakan tawaf rukun pada hari ke sebelas Zulhijjah, Salleh menerima surat dari isterinya Rosnah memberitahu berita kematian Zainab. Hamid mengalirkan airmata dan menarik nafas panjang menerima berita itu. Hamid diusung oleh dua khadam keturunan Badawi dengan tandu menuju ke Masjidil Haram untuk Tawaf dengan diiringi oleh Salleh. Selepas selesai yang ke tujuh kali keliling Hamid mengisyaratkan supaya Badawi itu memberhentikan tandunya dekat tempat bernama Multazam. Sesampainya disitu dihulurkan tangannya lalu memegang kiswah Ka’bah dengan kuatnya seakan-akan tidak akan dilepaskannya lagi. Sambil itu dia berdoa memohon kurniaan ampun dan kelapangan jalan ke akhirat. Setelah itu suaranya tidak kedengaran lagi. Dengan muka yang tenang sebelum ia meninggalkan dunia yang Fana’ ini dan selesai dikebumikan diperkuburan Mu’alla yang masyhur itu.
 




Salinan surat Zainab:



Abangku hamid!


Baru sekarang adinda beroleh berita di mana Abang sekarang. Telah hampir dua tahun hilang saja dari mata, laksana seekor burung yang terlepas dari sangkarnya sepeniggal yang empunya pergi. Kadang-kadang adinda sesali diri sendir, agaknya adinda telah bersalah besar, sehingga Kakanda pergi dengan tak memberi tahu lebeh dahulu.


Sayang sekali, pertanyaan Abang belum dapat adinda jawab dan Abang telah hilang sebelum mulutku sanggup nenyusun perkataan pnjawabnya. Kemudian itu Abang perintahkan adinda menurut perintah orang tua, tetapi adinda syak wasangsa melihat sikap Abang yang gugup ketika menjatuhkan perintah itu.


Wahai Abang …pertalian kita diikatkan oleh beberapa macam tanda tanya dan teka-teki, sebelum terjawab semuanya, kakanda pun pergi!


Adinda senantias tiada putus pengharaan, adinda tunggu kabar berita. Di balik tiap-tiap kalimat dari suratmu, Abang! … surat yang terkirim dari Medan, ketika Abang akan berlayar jauh, telah adinda periksa dan dinda selidiki; banyak sangat surat itu berisi bayangan, di balik yang tersurat ada yang tersirat. Adinda hendak membalas, tetapi ke tanah manakah surat itu hendak dinda kirimkan, Abang hilang tak tentu rimbanya!


Hanya pada bulan purnama di malam hari dinda bisikkan dan pesankan kerinduan adinda hendak bertemu. Tetapi bulan itu tak tetap datang; pada malam yang berikutnya dan seterusnya ia kian surut …

Hanya kepada angin petang yang berhembus di ranting-ranting kayu didekat rumahku, hanya kepadanya aku bisikkan menyuruh supaya ditolongnya memeliharakan Abangku yang berjalan jauh, entah di darat enah di laut, entah sengsara kehausan …


Hanya kepada surat Abang itu, surat yang hanya sekali itu dinda terima selam hidup, adinda tumpahkan air mata,karena hanya menumahkan air mata itulah kepandaian yang paling penghabisan bagi orang perempuan. Tetapi surat itu bisu, meskipun ia telah lapuk dalam lipatan dan telah layu karena kerap dibaca, rahasia itu idak juga dapat dibukanya.

Sekarang Abang, badan adinda sakit-sakit, ajal entah berlaku pagi hari, entah besok sore, gerak Allah siapa tahu. Besarlah pengharapan bertemu …

Dan jika Abang terlambat pulang, agaknya bekas tanah penggalian,bekas air penalakin dan jejak mejan yang dua, hanya yang akan Abang dapati.

Adikmu yang tulus,

Zainab
 




Do’a Hamid ketika tawaf:


“Ya Rabbi, Ya Tuhanku, Yang Maha Pengasih dan Penyayang! Bahwasanya, di bawah lindungan Ka’bah, Rumah Engkau yang suci dan terpilih ini, saya menadahkan tangan memohon karunia.


Kepada siapakah saya akan pergi memohon ampun, kalau bukan kepada Engkau, ya Tuhan!

Tidak ada seutas tali pun tmpat saya bergantung lain dripada tali Engkau; tidak ada satu pintu yang akan saa ketuk, lain daripada pintu Engkau.

Berilah kelapangan jalan buat saya, hendak pulang khadirat Engkau, saya hendak menuruti orang-orang yang bertali hidupnya denganhidaup saya.

“Ya Rabbi, Engkaulah Yang Mahakuasa, kepada Engkaulah kami sekalian akan kembali …”

Setelah membaca sinopsis novel ini kat atas....korang rasa terkesan tak dalam diri korang. Bagi diri aku.... novel ini sangat memberi kepuasan kepada aku dan memang tidak mengecewakan. Cuma aku rasa agak kecewa kerana masih tidak berpeluang untuk menonton filem adaptasi dari novel ini. InshaAllah satu hari nanti aku nak juga menontonnya kerana lanskap latarbelakang pembikinannya sangat cantik dan mempesonakan. 


Sekian.

No comments:

Post a comment