Sunday, 4 September 2016

Seronok Belajar Kaligrafi Jawi...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai...hari nii entri aku berkaitan dengan aktiviti aku pada hari minggu yang lalu. Minat aku pada kaligrafi begitu mendalam sejak zaman sekolah lagi..tak kira laa seni kaligrafi jawi, Cina atau India.. Kalau diberi peluang aku ingin mempelajarinya. Semasa sekolah pun aku mengambil seni lukisan dan membuat kaligrafi untuk exam SPM. Peluang untuk belajar seni kaligrafi Jawi kali ni tak nak aku lepaskan. Excited sungguh dan tak sabar rasanya...



Sebenarnya Kaligrafi pada asalnya adalah perkataan yang merujuk kepada tulisan tangan yang cantik yang dihasilkan oleh penulis khat. Perkataan kaligrafi berasal dari gabungan dua perkataan Greek iaitu kallos yang bermaksud cantik dan graph yang bermaksud tulisan.

Seni kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama ´seni khat´ merupakan khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki oleh umat Islam. Perkembangan Islam yang tersebar ke seluruh pelosok dunia, menyaksikan kaligrafi Islam teradaptasi dengan perubahan yang berlaku tanpa menghilangkan ciri dan nilai keislamannya.



Penulisan Khat yang pertama di dunia dipercayai dihasilkan di Kufah, Iraq dalam kurun ke tujuh. Fakta yang tercatat bertulis menyatakan bahawa seorang sufi mendapat ilham menghasilkannya melalui mimpi. Tulisan-tulisan yang dihasilkan dinamakan Kufic (Kufi) iaitu tulisan yang tidak bercantum. Ia digunakan sehingga kurun ke-12.

Pada kurun ke 10, seni kaligrafi Islam ini tersebar ke Parsi dengan gabungan-gabungan huruf yang lebih berseni. Tulisan kaligrafi Islam ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu khat Kufi, Khat Nasakh, Khat Diwani, Khat Thuluth, Khat Riqa.

Tulisan kaligrafi dari jenis Nasakh dijadikan asas dalam mempelajari sistem tulisan Arab di negara berkenaan. Alam Melayu tidak terkecuali menyerap unsur Nasakh ini sebagai asas pembelajaran tulisan jawi, yang kemudiannya dipertingkatkan dengan sistem tulisan khat yang lain.

Khat Kufi dikatakan sebagai khat yang paling popular didunia. Ia digunakan sebagai tulisan dalam Al-Quran selama tiga kurun lamanya. Sistem khat Kufi yang tidak mengalami banyak perubahan semasa menjadi asas ia dikekalkan sebagai tulisan di dalam naskah al-Quran. Gaya kaligrafi kufi ini oleh dilihat di atas helaian al-Quran awal yang dihasilkan dalam abad ke 8 atau 9 Masihi.



Gaya ini kemudiannya diperkemaskan lagi dengan pengenalan titik huruf dan seterusnya mempunyai gaya hybrid daripada yang asal dikenali sebagai kufik berbunga kerana di bahagian hujung huruf yang akhir mempunyai corak bunga atau sulur daun.

Jenis penulisan kaligrafi ini boleh dilihat di atas sijil perkahwinan atau kontrak perkahwinan yang digunakan di Iran. Gaya kaligrafi ini juga turut digunakan dengan meluas dalam penghasilan manuskrip di India sewaktu pemerintahan Empayar Islam Mughal dan di Asia Tengah sewaktu pemerintahan Empayar Islam Timur.


Pada kurun ke-16 dan 17, seni khat pernah menjadi medium komunikasi terpenting dalam menyampaikan mesej diplomatik. Ia diperkenalkan oleh Housam Roumi semasa era Suleyman 1 di wilayah Turki. Kesenian tulisan khat jenis ini terserlah melalui tanda diakritik dengan tulisan yang menarik. Seni khat yang dikenali dengan nama Diwani ini berkembang seiring dengan variasinya iaitu Diwani al-Jali yang berbingkai.



Antara seni khat yang masih lagi menjadi tumpuan para peminat seni warisan Islam hingga kini termasuklah khat Tuluth dan khat Riqa.

Pada awal perkembangan seni khat, sejenis pokok yang dipotong serong hujungnya kemudiannya dicelup dengan cecair dakwat dan ditulis pada kepingan kulit-kulit tamar, kulit kambing yang dikeringkan dan daun-daun papyrus yang dijadikan kertas. Namun begitu, alam Melayu menyaksikan penggunaan batang pokok resam sebagai alatan utama untuk menulis khat. Batang resam yang ditiruskan pada bahagian hujungnya akan dicelupkan dengan dakwat sebelum tulisan khat ini dilakarkan pada kertas.

Turki turut menyumbang penambahan bilangan gaya penulisan kaligrafi Islam. Kaligrafi yang paling indah yang dihasilkan di Turki sewaktu di bawah pemerintahan Empayar Islam Uthmaniah adalah tulisan diwani. Tulisan ini juga dikenali sebagai tulisan istana kerana hampir kesemua dokumen rasmi istana menggunakan gaya penulisan ini seperti surat dan dekri diraja terutamanya sewaktu zaman pemerintahan Sultan Sulaiman I yang memerintah Empayar Uthmaniah dari tahun 1522 - 1566 Masihi bersamaan tahun 928 - 973 Hijrah.

Satu lagi gaya kaligrafi yang dihasilkan sewaktu zaman Uthmaniah adalah tughra. Tughra adalah gaya kaligrafi yang digunakan khusus untuk tandatangan sultan yang memerintah Empayar Uthmaniah. Tughra sering diletakkan sebagai kepala surat atau dokumen rasmi Empayar Uthmaniah.

Itu adalah serba sedikit maklumat yang aku perolehi tentang kaligrafi jawi ini untuk tatapan korang. Bukan hanya orang Melayu yang berminat tetapi bangsa lain juga turut sama untuk menyertainya.

Paling menyeronokkan apabila berpeluang untuk mewarnai kanvas dengan tulisan khat. Bagaimana hendak mengabungkan 3 warna asas ini iaitu merah, kuning dan biru. Nampak macam senang tetapi agak sukar jugak kerana air tidak boleh digunakan dengan banyak sebab kanvas akan lambat kering. Kalau kurang air pula warna sukar untuk dicantumkan jadi seragam. Masa yang diberikan juga agak terhad...kelam-kabut jugak aku nak menyiapkannya...hampir rasa putus asa sebab gabungan warna tak menjadi. Akhirnya aku berpuashati jugak dengan hasilnya walaupun tak sepenuhnya. Yang penting keseronokan dan keterujaan aku lebih bermakna daripada segala-galanya. Semoga aku berpeluang lagi 
untuk membelajari seni kaligrafi ini.

Sekian.

No comments:

Post a comment