Friday, 2 September 2016

Rumah Kutai...Rumah Tradisional Negeri Perak

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang. Apa khabar semua. Hari nii aku nak citer tentang rumah Kutai. Kutai..?? Kalau korang bukan orang Perak mesti korang tak biasa dengar nama Kutai nii... ‘Kutai’ adalah dialek tempatan Perak yang bermaksud tua. Maka tidak hairanlah kebanyakan rumah yang masih ada sekarang sudah berusia lebih 80 tahun malah ada yang melebihi 100 tahun. Rumah Kutai ini banyak terdapat berhampiran dengan tebing sungai Perak iaitu di Daerah Tengah, Hilir Perak dan Kuala Kangsar... Selalunya terletak kat kawasan dalaman sikit dan susah nak nampak dari tepi jalan besar.

Kalau korang ke daerah Kuala Kangsar...korang boleh senang nampak 2 buah rumah Kutai ini yang memang mengadap jalan utama tetapi malangnya rumah ini dalam keadaan yang sangat uzur dan tunggu masa sahaja untuk menyembah bumi. Dulu rumah ni pernah dilakukan kerja-kerja baikpulih tapi aku tak pasti agensi mana yang terlibat...tetapi disebabkan rumah ini tiada berpenghuni dan tidak digunakan...akhirnya terbiar begitu sahaja...sayangkan...



Rumah Kutai orang kebanyakan berbeza dengan golongan bangsawan. Bagi golongan bangsawan rumah mereka lebih besar, berdinding kayu dan mempunyai seni ukiran yang cantik seperti Rumah Tok Sedara Busu di Daerah Perak Tengah.

Rumah Kutai yang asal terdiri dari tiga komponen utama bangunan, iaitu rumah ibu, ruang selang dan rumah dapur. Pada rumah ibunya, terdapat ruang serambi. Rumah Kutai terbahagi kepada dua jenis iaitu Rumah Kutai Tiang 16 dan Rumah Kutai Tiang 12. Namun kebanyakan Rumah Kutai yang masih wujud pada masa kini merupakan Rumah Kutai 16.



Struktur bangunan Rumah Kutai yang menggunakan 16 tiang utama, merupakan lapan tiang panjang dan lapan tiang serambi naik. Kedudukan tiang-tiang tersebut ialah empat baris memanjang dan empat baris melebar dan keluasannya tapak rumah itu berbentuk empat segi sama. 

Manakala Rumah Kutai Tiang 12 pula, rumah ibunya terdiri daripada enam batang tiang panjang dan enam batang tiang serambi naik. Tiang-tiang itu disusun dalam tiga baris dan setiap baris mempunyai empat batang tiang yang merupakan dua tiang panjang dan dua tiang serambi. Kebiasaannya, tapak rumah ibu Rumah Kutai Tiang 12 berbentuk empat persegi tepat dengan keluasan 30’x30’ persegi.



Oleh kerana tiang rumah berkenaan diperbuat daripada kayu keras yang bertujuan menahan bebanan berat pada rumah, maka bahan-bahan pada kemasan bumbungnya pula dibentuk dengan keadaan mudah dilentur.

Rumah Kutai ialah rumah berbumbung panjang setiap penjuru bumbung Rumah Kutai mempunyai sudut di antara 45 darjah hingga 50 darjah, kemasan bumbung itu diperbuat daripada atap rumbia. Di sudut dinding tepinya dipasang tabir layar yang dibuat dari pelupuh yang berkelarai manakala di bawah kaki tebar layar terdapat pula alang para buang (peran) iaitu merupakan ruang yang beratap dan berlantai sebagai tempat menyimpan barang-barang.



Rumah ibu terdiri daripada ruang serambi, ruang tamu dan bilik. Di sebelah belakangnya ialah rumah dapur yang di pisahkan oleh ruang selang yang tidak beratap. Bahan-bahan binaan ialah dari kayu serta buluh. Kayu digunakan untuk tiang dan rangka bumbung manakala dindingnya daripada buluh.






Terdapat juga rumah Kutai yang tidak memiliki dinding pembahagi bilik, sebaliknya, menggunakan kain langsir sebagai pembahagi ruang bilik.

Keunikan Rumah Kutai ini juga terletak pada pembinaannya yang tidak menggunakan sebarang paku tetapi bergantung pada pasak. Sungguhpun begitu ia kukuh dan mampu bertahan daripada bencana alam seperti ribut taufan dan banjir.



Selain itu, keunikan rumah tradisional Perak ini dapat dilihat daripada kehalusan ukiran yang terdapat pada bukaan tingkap, pintu serta dinding dan penggunaan tanggamnya yang pelbagai.

Rumah Kutai dibina berpanggung iaitu lantainya lebih tinggi dari tanah yang bertujuan untuk menghindarkan bau busuk yang mungkin datang daripada air basuhan yang berlimbahan dari bawah ruang dapur rumah.

Lantainya pula diperbuat daripada bilah-bilah jeria yang disusun agak jarang. Selain dapat digunakan untuk mengintai musuh, lantai yang jarang itu dapat memudahkan air bah surut dan mengalir dengan deras melalui celah-celah lantai itu pada banjir besar sekali gus menggelakkan daripada rumah berkenaan musnah. Selain itu, pembuatan lantai sedemikian dapat membantu binaan Rumah Kutai supaya tidak hanyut walaupun tekanan air yang dibawa banjir besar itu agak kuat.



Dinding rumah itu dibina daripada kulit kayu tepas. Walaupun cuma diperbuat daripada kulit kayu, ia memang kuat dan tidak mudah dikopak dan dirosakkan oleh pencuri atau golongan lain yang berniat jahat.

Pengaruh Islam juga kuat dalam seni pembinaan Rumah Kutai kerana selain lelaki dan perempuan mempunyai bilik yang berasingan, mereka juga mempunyai ruang-ruang khas tersendiri. Contohnya, serambi hanya khusus untuk kaum lelaki dan ruang selang pula untuk kaum perempuan dan fungsinya dapat dilihat dengan jelas semasa aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri-kendara.

Namun ada juga ruang rumah yang boleh digunakan bersama antara lelaki dan perempuan iaitu ruang dapur dan perigi yang biasanya terletak di luar rumah.




Namun oleh kerana tuntutan masa, kebanyakan Rumah Kutai yang masih ada kini sudah mengalami proses pengubahsuaian seperti komponen dinding dan lantai telah ditukar kepada kepingan papan dan kemasan bumbung diganti daripada atap rumbia kepada kepingan zing.

Menurut catatan, Selepas Perang Dunia Pertama, Rumah Kutai tidak lagi dibina di Perak. Malahan kebanyakan rumah yang ada sekarang terbiar usang kerana ditinggalkan begitu sahaja tanpa berpenghuni disebabkan pemiliknya sudah meninggal dunia dan warisnya pula telah berhijrah ke tempat lain.



Kalau korang teringin nak tengok Rumah Kutai... Korang boleh melihatnya di Kompleks Bersejarah Pasir Salak sebanyak 3 buah rumah kutai yang ada di pamerkan dan dijadikan galeri pameran iaitu Rumah Kutai 1, Rumah Kutai 2 dan Rumah Kutai Anjang Pelita. Berdekatan situ juga terdapat Rumah Datuk Maharaja Lela yang dibina semula (replika) oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti pada tahun 1990 untuk dijadikan galeri tetapi galeri tersebut telah ditutup. InshaAllah ada kesempatan nanti aku akan coretkan cerita tentang Pasir Salak ini untuk tatapan korang yea...

Sekian.

**jangan lupa yea...follow blog aku nii

2 comments:

  1. Saya bercadang nak buat video berkenaan dengan rumah kutai. Alhamdulillah, sedikit sebanyak saya dapat pencerahan dari blog tuan.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih. Semoga semuanya berjalan lancar.

    ReplyDelete