Thursday, 1 September 2016

Pembuatan Labu Sayong Secara Tradisional

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Hari nii aku nak citer tentang sebuah lagi kesenian yang sangat femes kat negeri Perak. Seronok aku rase bila berpeluang melihat sendiri cara pembuatan Labu Sayong secara tradisional di Kuale (Kuala Kangsar). Kagum aku dengan kakak ni... cekap dan mahir dia membuat labu sayong ni. Kalau tak salah aku kini hanya tinggal 2 orang jer yang masih menggunakan teknik manual dan merupakan adik beradik. Kalau korang tak biasa dengan area Kuala Kangsar...agak susah jugak korang nak cari rumah kakak nii... rumahnya jauh sikit dari jalan raya utama di area Sayong.

Ate...kalau korang rase nak jer nengok rupe labu sayong nii... jangan la segan singgah jer le kat Kuale nii. Tapi korang kena gi area Sayong... edok (tak) la jauh pun dari bandar Kuale ni... lebih kurang 5 minit jer perjalanan menaiki kereta. Sepanjang jalan korang akan lihat kedai menjual labu sayong.

 


Korang boleh jer cuba try buat labu sayong kat situ jugak di Kedai Win Enterprise. Hik..hik..hik...bukan senang nak buat tau...nampak jer macam senang... kalau tangan korang tak lembut dan bukan jenis berseni... jangan mimpi laa korang nak dapat hasilnya.

Berikut antara lokasi perusahaan membuat labu sayong dalam daerah Kuala Kangsar:

·         Kampung Kepala Bendang, Mukim Sayong Kuala Kangsar
·         Kampung Paya Lintah, Mukim Buaia, Padang Rengas
·         Kampung Kuala Dal, Mukim Buaia, Padang Rengas


Sebenarnya labu sayong yang diproses secara tradisional lebih tebal dan tidak rata bahagian dalamnya. Harganya juga lebih mahal berbanding dengan labu yang diproses secara moden kerana proses bagi menyiapkannya pun memakan masa yang agak lama... kalau tak salah aku lebih kurang 2 minggu tapi masih belum dibakar lagi. Harga untuk Labu tradisional RM 24 hingga RM 30. Labu moden RM 12 hingga RM 18. Air yang diisi dalam labu ini sangat sejuk untuk diminum...

Kalau korang beli labu ni...pastikan korang rendam dalam air dulu selama 3 hari sebelum korang guna supaya debu-debu tanah dapat dibersihkan dan labu lebih tahan lama.

Sayong sebenarnya merupakan nama tempat yang sememangnya banyak menghasilkan tanah liat yang sesuai bagi pembuatan labu.


Tanah liat yang digunakan untuk penghasilannya ialah tanah liat yang berwarna kelabu dan tanah liat yang berwarna kemerah-merahan.

Alatan yang digunakan ialah seperti batu sungai, pengukir, perepek, span, pinggan, papan rata atau papan gelak, gergaji kecil, pengguris dan roda pembentuk tembikar.

Labu bekas menyimpan air yang dihasilkan daripada tanah liat ini dibentuk dan diukir dengan teliti. Labu sayong biasanya dibuat dalam dua warna iaitu hitam dan coklat. Bentukya ialah leper seperti labu bocong, labu tela, labu pucung dan labu panai.

Untuk membuat labu terlebih dahulu, tanah ditumbuk menggunakan lesung kaki. Selepas itu diayak dan ditapis untuk memisahkan sampah-sarap dan ketul-ketul batu yang ada. Setelah bersih, tanah itu diuli supaya ia menjadi padat. Proses ini memerlukan ketelitian bagi memastikan tanah itu menjadi padat dan bebas daripada gelembung udara. Tanah itu kemudiannya dibentuk menjadi silinder bagi memudahkan proses berikutnya.


Kalu korang nak tahu.... membentuk adalah proses yang sangat penting dalam menghasilkan labu hitam kerana teknik inilah yang akan menentukan keindahan dan kekuatan labu. Ibu jari telunjuk turut berperanan penting dalam pembentukan permukaan labu yang masih separuh kering. Tanah berbentuk silinder akan dilingkar menjadi satu bulatan dan diletakkan di atas pinggan. Lingkaran tanah dipicit sambil memusing pinggan. Proses pemicitan ini dilakukan untuk menaikkan tanah agar terbentuk badan, leher, kepala dan muncung labu. Sudip buluh digunakan untuk melurut permukaan labu supaya kelihatan sama dan licin. Penepek pula digunakan untuk memampatkan badan labu.

Setelah badan labu terbentuk, tanah liat yang telah dileperkan dicantum bagi menutup bahagian bawah yang terbuka. Tanah liat leper akan menjadi bahagian tapak labu.

Apabila labu siap dibentuk, ia dilicinkan dengan menggunakan sudip buluh dan digilap menggunakan batu luru. Labu dibiarkan kering sebelum dihiasi dengan motif. Motif-motif dihasilkan dengan menekankan kayu materai ke permukaan labu. Motif ukirannya banyak menjurus kepada unsur tradisional, khususnya bunga-bungaan seperti bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung.


Kemudian...labu ini sekali lagi dibiarkan kering untuk dibakar. Proses pembakaran terbahagi kepada tiga peringkat iaitu menyalai, membakar dan menyepuh. Labu-labu yang cukup kering disalai menggunakan bahang api, sabut kelapa kering dan sedikit kayu kering yang dibakar.

Labu diletakkan di atas para secara terbalik dan ditutup dengan daun pisang, daun kelapa atau tikar selepas disalai. Kayu api disusun pada bahagian bawah para lalu dinyalakan untuk proses pembakaran. Bahang api ini akan memanaskan labu yang telah dimasukkan ke dalam unggun api. Labu yang telah dibakar dimasukkan ke dalam sekam padi untuk mendapatkan warna hitam pada permukaan labu. Kemudian bahagian bawah atau tapak labu disapu dengan damar untuk menghalang air daripada meresap keluar. Labu dibiarkan seketika serta dibersihkan sebelum digunakan untuk mengisi air.

Sekian.

**jangan lupa follow blog aku yea...

No comments:

Post a Comment