Saturday, 10 September 2016

Moh La Wei Kite Ke Istana Kenangan


Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,




Hai korang semua. Sihat-sihat hendaknya hari nii yea... Entri aku kali nii berkaitan dengan bangunan warisan di negeri Perak. Kalau Kome datang ke Kuale (Kuala Kangsar) Istana Kenangan ini adalah merupakan salah satu tempat yang menarik serta wajib korang lawati. Macam berada di zaman silam dengan seni ukirannya yang indah dan berseni (macam iklan Adabi). Warnanya juga menyerlahkan rekabentuk istana yang unik ini. Istana ini terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah di atas Bukit Chandan, berdekatan dengan Sungai Perak.



Istana Kenangan ini juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya Istana Lembah, Istana Tepas, Istana Kuning dan Istana Mayat. Istana ini telah didirikan pada tahun 1926, oleh seorang tukang kayu Melayu yang bernama Haji Sopian serta dibantu oleh dua orang anaknya. Mereka ini berasal dari Seberang Perai.


Keseluruhan istana ini diperbuat daripada kayu dengan dinding kelarai serta berbumbung perabung lima dan perabung pisang sesikat ini telah dirancang pembinaannya selepas banjir besar melanda Perak pada tahun 1926. 


Inilah istana rasmi tempat bersemayam Raja-raja pemerintah yang ditabal sebagai Sultan Perak sejak tahun 1933 dahulu. Istana ini telah siap sepenuhnya pada tahun 1931. Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak ke 30 (1918-1938) telah berpindah bersemayam di istana ini kerana Istana Negera, iaitu istana rasmi Sultan Perak di Changkat Negara akan dirobohkan untuk dibina istana baru iaitu Istana Iskandariah. Baginda D.Y.M.M. Almarhum Sultan Iskandar Shah bersemayam di Istana Kenangan ini mulai dari tahun 1931 hingga tahun 1933.

Dalam tahun 1933, apabila Istana Iskandariah siap dibina, Sultan Iskandar Shah telah berpindah ke istana tersebut pula. Istana Kenangan ini pula diduduki oleh kaum kerabat Diraja Perak dan juga dijadikan Istana Tetamu terutama di hari-hari Perayaan DiRaja seperti hari keputeraan, perlantikan orang-orang besar Perak dan lain-lain Istiadat DiRaja Perak Darul Ridzuan.


Istana Kenangan ini dibina atas perintah D.Y.M.M. Almarhum Sultan Iskandar Shah (Marhum Kaddasallah) sebagai tempat bersemayam sementara, disebabkan Istana Iskandariah belum lagi siap pembinaannya. 



Bentuk senibina, Istana Kenangan ini melambangkan senibina Tradisional Melayu yang mengkagumkan. Pembinaan istana ini keseluruhannya menggunakan kayu jenis keras, berdindingkan tepas dan beratapkan kayu papan (kayu jenis berlian). Pembinaan bangunan ini tidak menggunakan sebarang paku logam, sebaliknya sekadar bergantung kepada kekuatan susun-atur dan bentuk sambungan tanggam. Kajian tersebut juga menunjukkan istana tersebut diilhamkan dan mempunyai pengaruh dari tanah seberang iaitu Acheh dan Bugis.


Pelan bangunan istana ini berbentuk segi empat bujur dengan ukuran 120 kaki panjang dan 40 kaki lebar. Tingkat atas istana dibahagikan kepada beberapa ruang seperti ruang santapan, bilik-bilik tidur, bilik mandi, ruang istirehat, bilik beradu, bilik menunggu dan balairong seri.


Ruang santapan yang terletak dihujung bangunan mempunyai bentuk oktagon dan dapat menampung sehingga 20 orang serentak. Ruang ini ditutupi oleh bumbung yang berbentuk kon lapan segi mengikut bentuk pelan lantai. Ruang ini juga mempunyai 7 tingkap, satu tingkap pada setiap segi dinding untuk pencahayaan dan peredaran udara di samping itu setiap pembukaan mempunyai kerawang. Bilik santapan pula dihubungkan ke ruang istirehat, tandas, bilik mandi, bilik-bilik putera dan bilik beradu diraja. Bahagian-­bahagian ini dapat dikenali kerana bentuk pelannya yang melintang garisan memanjang paksi istana tersebut, ditegaskan lagi dengan reka bentuk dinding dan bumbung yang berbeza.




Istana ini dibina di atas enam puluh batang tiang, di mana panjangnya lebih kurang 41 meter dan lebarnya 11 meter. Istana ini direkabentuk menyerupai sebilah pedang yang tersimpan di dalam sarungnya. Mengendalikan pedang merupakan tempat tidur Sultan. Sarungnya pula menempatkan keluarga diraja atau tempat terletaknya Balairong Seri. Walaupun kecil, ia mempunyai singgahsana yang indah di aras atas ruangan tengah.

Tembok-tembok yang dibuat plaits berbentuk berlian (kelarai) manakala struktur bumbung mengambil gaya gabungan lima rabung (perabung lima) dan rabung lima pisang (perabung pisang sesikat).

Aras bawah istana ini pula digunakan sebagai pejabat rasmi baginda sultan, di mana lantainya bersimen dan di sekelilingnya ditutup dengan bidai. Warna istana ini merupakan warna bendera Negeri Perak iaitu kuning, putih dan hitam.
Istana ini turut dilengkapi dengan loteng untuk menyimpan khazanah diraja dan pelbagai jenis senjata. Beberapa pengubahsuaian telah dilakukan pada bahagian istana ini bagi menyesuaikan dengan suasana dan kegunaan baru disamping memastikan istana ini terus kekal menjadi bangunan warisan bangsa yang penting. Seni bina bumbung istana ini menggabungkan reka bentuk perabung lima dan perabung pisang sesikat. 

  


Pembinaan istana ini mengambil masa yang agak lama iaitu 7 tahun termasuk proses pemilihan kayu balak yang sesuai, memotong dan menariknya ke tapak pembinaan yang terletak agak jauh daripada hutan.

Walaupun kerja-kerja ini telah dibantu oleh binatang seperti gajah namun begitu masa yang diambil agak lama  juga. Struktur utama istana menggunakan kayu Cengal dan Merbau yang dipilih dari kayu balak yang berusia 100 tahun ke atas dan dibawa dari hutan Grik. Kayu balak itu dibelah dijadikan kayu blok dan dikeringkan, kemudian disamak atau direndam dengan ramuan organik khas yang dipilih dari tumbuhan dan campuran kulit supaya kayu tahan lama. Setelah dikeringkan ia akan disusun dan dijaga dari berbagai pengaruh iklim dan setelah betul-betul bersedia untuk digunakan barulah ia dipotong, diketam atau dibentuk seperti yang dikehendaki.
Pewarna yang digunakan diambil dari getah-getah pokok yang terdapat di dalam hutan. Getah-getah itu terlebih dahulu dimasak untuk beberapa waktu sebelum digunakan sebagai pewarna.


  


Sepanjang  jalan ke Istana ditanam pokok-pokok yang merimbun untuk memberikan teduhan kepada pejalan kaki di samping mewujudkan suasana yang segar di sekitar kawasan istana. Bukit-bukit yang berdekatan dilitupi rumput-rampai yang menghijau dan digunakan sebagai kawasan bersiar-siar juga menunggang kuda. Kawasan sekeliling istana semasa pemerintahan Sultan Iskandar dipenuhi dengan taman-taman bunga yang indah dan harum. Di sekeliling istana ditanam dengan berbagai jenis pohon bunga yang mengeluarkan berbagai ­bauan yang harum. Keadaan ini amat disenangi oleh Sultan dan rakyat sehingga istana ini digelar Istana Bunga.(Sumber: buku 'SENIBINA MELAYU' penulis Dr Zulkifli Hanafi dan Ahmad Yahaya Zakiilulfuad)


Istana Kenangan dibina di sekitar masa yang sama dengan Istana Iskandariah. Keputusan untuk membina istana baru yang terletak di kawasan yang lebih tinggi dibuat apabila istana asal iaitu Istana Sri Sayong hampir hanyut dibawa banjir besar pada tahun 1926.


Nama Istana Kenangan telah diberikan pada tahun 1960-an setelah ianya diperbaiki dengan daya usaha Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Istana Kenangan diduduki oleh keluarga DiRaja Perak sehingga tahun 1982, apabila Almarhum Sultan Idris II telah berkenan menyerahkannya di bawah pengawasan Jabatan Muzium Negara.


Pada tahun 1941, menjelang Perang Dunia Ke Dua, istana ini pernah diduduki oleh pelajar-pelajar dari Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) kerana bangunan maktab itu telah dijadikan Hospital Tentera oleh Inggeris dan Almarhun Sultan Abd Aziz telah berkenan supaya pelajar-pelajar MPSI berpindah sementara ke Istana Kenangan dan dua buah istana lagi iaitu Istana Hilir dan Istana Hulu.


Bagaimanapun setelah tamatnya Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu, pelajar-pelajar tersebut diarahkan pulang ke kampung halaman masing-masing.




Balai Pameran yang terdapat di Istana atau Muzium Diraja ini masih lagi memperlihatkan sedikit sebanyak bentuk asal bilik-bilik istana, seperti bilik istirehat, tempat peraduan, balairongseri dan singgahsana. Walau bagaimanapun alat-alat kebesaran Diraja tidak dipamerkan di sini atas faktor keselamatan dan apa yang dipamerkan hanyalah gambar-gambar alatan tersebut sahaja.



Istana ini diberi nama sempena nama Sultan Iskandar Shah yang bertanggungjawab terhadap pembinaannya dahulu. Kini Istana Kenangan telah berwajah baru setelah ianya dipulihara dan dijadikan Muzium Diraja Kuala Kangsar sehingga sekarang. Upacara perasmian Muzium Diraja ini dilakukan oleh Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada 16 November 1986.




Keseluruhan kawasan bangunan itu yang berpagar turut berkunci, malah di pintunya tertulis "Perhatian. Muzium ini ditutup buat sementara waktu kerana kerana kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan. Harap maaf. Pengarah Muzium Negeri Perak".



Istana ini telah ditutup buat sementara waktu untuk proses kerja-kerja pemuliharaan dapat dilakukan. Istana ini mengalami kerosakan yang teruk kerana bahan kayunya telah reput akibat air hujan dan juga serangan anai-anai. Tanahnya juga telah mendap dan selalu ditakungi air apabila berlakunya hujan lebat.



 Peruntukan bagi melakukan kerja-kerja pemuliharan ini adalah terlalu tinggi melebihi RM 2 juta kerana menggunakan bahan semulajadi dan pihak Kerajaan Negeri Perak berusaha untuk mengumpul dana bagi menyelamatkan istana ini. Kajian dilapidasi ke atas istana ini juga telah dilakukan pada tahun 2009.




Istana ini semakin uzur hari ke hari kerana dana masih lagi tidak mencukupi. Kerja-kerja pemuliharaan juga perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati supaya ciri-ciri keaslian istana ini dapat dipulihara dan kekal lama. 


Sayang sekali sekiranya usaha bagi menyelamatkan istana ini tidak dapat dilakukan kerana di Negeri Perak ini hanya tinggal dua saja senibina sebegini iaitu Istana Kenangan dan Masjid Ihsaniah Iskandariah, Kuala Dal.


Kuala Kangsar juga adalah tempat bersejarah. Sumber ekonomi Perak pada satu ketika ialah getah dan bijih timah. Pokok getah yang pertama di bawa ke Tanah Melayu dari Brazil oleh Henry Nichols Ridley ditanam di sini.


Inilah pokok yang meningkatkan ekonomi Malaya pada ketika itu. Kini pokok getah ini sudah berusia lebih 100 tahun, namun masih berdiri megah. Anda boleh melihatnya di sebelah Pejabat Tanah Kuala Kangsar.


Kolej Melayu atau Malay College Kuala Kangsar (MCKK) yang cukup terkenal sejak penubuhannya pada 1905 dalam melahirkan cendekiawan dan tokoh pemimpin tanah air juga tidak jauh dari pokok getah tertua itu.

Korang jugak boleh pergi melawat ke Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan yang mempamerkan koleksi peribadi Sultan Azlan Shah. Korang jangan lupa try laksa Kuale... iaitu laksa Buyong atau laksa Telur Sarang. Cenderamata labu sayong juga boleh dibeli untuk dijadikan buahtangan.



Sekian.

No comments:

Post a Comment