Monday, 26 September 2016

Menjejaki Sejarah Di Kota Kuala Kedah

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


hai korang semua. Semoga semuanya ceria-ceria hari nii.. Hari nii aku nak bawa korang untuk meneroka sebuah kota yang banyak sejarahnya. Dah lama aku menyimpan hasrat untuk sampai ke Kota Kuala Kedah ini. Alhamdulillah akhirnya termakbul juga impian aku. Mula-mula sampai tak ada yang menarik perhatian dan pemandangan aku. Betul ke seperti yang aku selalu dengar...orang kata kota ini sangat cantik....ummmm




Rupanya kota ini dibahagian belakang muzium..kerana aku terus ke bahagian pentadbiran muzium untuk berjumpa dengan pegawai yang bertugas. Kami dibawa melawat di sekeliling kota ini. Ini adalah kota yang pertama aku lawat dengan adanya pintu gerbang yang sangat menarik. Kota pertama yang pernah aku pergi adalah Kota Ngah Ibrahim...kemudian Kota Long Jaafar dan seterusnya Fort Cornwallis....




Kota Kuala Kedah ini letaknya di tebing utara pada bahagian kiri muara Sungai Kedah. Perjalanan menuju ke kota ini mengambil masa lebih kurang setengah jam dari Bandar Alor Setar.


Kota ini juga dikenali sebagai Kota Kuala Bahang yang dahulunya adalah merupakan sebuah kota yang luas. Pintu besar kota ini dibina atas arahan Almarhum Sultan Abdullah Mukarram Shah (II) Ibni Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muazzam Shah (1778-1789) pada bulan Mei 1771M/10 Safar 1185H dan siap pada tahun 1780M/1194H, sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Ibni Sultan Abdullah Mukarram Shah (II) dan baginda bersemayam di sini pada tahun 1803.



Namun demikian ada yang berpendapat bahawa di atas tapak kota ini pernah dibina sebuah Kota Melayu yang diperbuat daripada kayu dan tanah lumpur, tetapi kota tersebut telah ditawan dan dimusnahkan oleh Portugis pada tahun 1611 dan kemudian dibangunkan semula oleh Sultan Iskandar Muda dari Acheh, tetapi menghadapi pula serangan dari Belanda serta Bugis yang mengakibatkan kota tersebut terus musnah. Justeru itu untuk mengelakkan ancaman serta serangan  dari negeri Siam dan Kerajaan Ligor baginda sultan menitah supaya mendirikan semula kota ini dengan lebih spesifik dan kukuh.



Pada masa ini sebahagian besar dinding atau tembok kota yang asal telah runtuh disebabkan oleh faktor daripada cuaca dan juga usia. Akhirnya pada bulan Februari 1982, Jabatan Muzium Dan Antikuiti telah menjalankan projek pemuliharaan semula kota ini dengan tujuan bagi menyelamatkan kembali kesan peninggalan masa lampau.


Kota Kuala Kedah dahulunya mempunyai satu gerbang yang diberi nama  Gerbang Kacapuri mempunyai pengaruh senibina Parsi dibina sekitar tahun 1602 masihi. Di kiri dan kanan gerbang ini terdapat pintu kecil untuk keluar masuk. Gerbang Kacapuri ini mengadap Alor Melaka, sungai kecil yang menyusur Kuala Sungai Kedah. Pada zaman pemerintahan British telah dibina satu lagi gerbang yang dinamakan Gerbang Inggeris sekitar tahun 1800. Di dalam kawasan Kota Kuala Kedah terdapat Istana, Sekolah, Rumah Guru, Meriam-meriam serta Rumah Api.


Di dalam kota ini terdapat sebuah bangunan yang menempatkan galeri pameran. Dahulunya di dalam kota ini ada sebuah sekolah dan beberapa rumah/kuarters guru (kesan tinggalan tiangnya masih ada). Di dalam kota ini juga terdapatnya rumah api dan ada diletakkan beberapa jenis meriam. Kota ini sangat bersih dan diselenggara dengan baik oleh Jabatan Muzium Malaysia Cawangan Kedah.


Kalau korang datang pada waktu pagi korang akan dapat melihat air  Sungai Kedah melimpahi memasuki separuh kawasan kota ini...tetapi menjelang tengahari airnya telah surut. Kota ini juga menjadi tempat tumpuan penduduk sekitar beriadah setiap petang kerana suasananya yang damai dengan tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa.


Sekian.

No comments:

Post a comment