Thursday, 22 September 2016

Melihat Perkampungan Orang Asli Semai Di Kampung Panggen Cameron Highlands

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,


Hai korang. Kali ni aku nak cerita tentang rumah orang asli kat Kampung Panggen, Cameron Highlands berhampiran dengan Ladang Farlie dan Boh Estate. Dan untuk sampai ke kampung ini korang terpaksa melalui ladang-ladang teh yang mengambil masa 40 minit perjalanan. Separuh perjalanan ini melalui jalan tar dan separuh lagi melalui jalan tanah merah. Laluan di bahagian tanah merah ini pula hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda sahaja ataupun berjalan kaki.

Ini adalah pengalaman yang sangat menarik dan menjadi kenangan terindah seumur hidup aku. Aku dapat melihat kebudayaan mereka dan cara hidup mereka yang sangat simple. Ada sesetengah tempat tuu aku terpaksa meredah sungai hampir mencecah paras pinggang. Memang mencabar tetapi seronok. 


Kat sini kebanyakannya merupakan suku kaum Semai. Mereka ni baik dan sangat peramah. Kebanyakkannya dah pandai berbahasa Melayu.
 

Rumpun bangsa Semai ini adalah pecahan dari suku kaum Senoi. Taburan populasi rumpun bangsa ini adalah disekitar kawasan Banjaran Titiwangsa yang meliputi Perak Tengah, Perak Selatan, dan Pahang Barat. Mengikut bancian penduduk pada tahun 1993 jumlah Orang Asli Semai ini  telah meningkat lebih daripada 42,000 orang dan merupakan rumpun bangsa orang asli yang terbesar jumlahnya. Sesebuah perkampungan Orang Asli Semai ini lazimnya  diduduki diantara 60 hingga 300 orang penduduk yang diketuai oleh seorang ketua yang digelar  penghulu ataupun lebih biasa disebut  “Batin”, yang dilantik dari golongan berpengaruh seperti pawang, bomoh dan ketua adat.


Pada suatu ketika dulu kehidupan Orang Asli Semai ini adalah sama seperti Orang asli yang lain di negara ini iaitu menjalani hidup secara nomad.  Mereka akan berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain di dalam hutan kerana mencari tempat baru untuk berladang atau pun berpindah atas sebab-sebab kematian, digangu oleh orang luar, binatang buas atau disebabkan sesuatu  wabak penyakit. Secara  tradisinya mereka hidup dalam kumpulan kecil yang terdiri dari 10 hingga 50 kelamin.
 

Dalam kehidupan harian Orang Asli Semai ini, mereka bermula dengan bangun diawal pagi untuk menghidupkan api bagi memanaskan badan dan memasak makanan seperti merebus ubi kayu untuk sarapan dan bekalan ke ladang atau ke hutan dan sebagainya.


Kebiasaannya selepas selesai menyedikan makanan dan bersarapan   mereka akan akan terus meninggalkan rumah menuju destinasi masing-masing.


Mereka mengamalkan ekonomi tradisional beasaskan pertanian sara diri. Antara hasil tanaman yang mereka usahakan ialah  padi huma, sekoi, jagung, ubi kayu, pisang, keladi dan lain-lain lagi. Dan meraka mengamalkan sistem bertukar-tukar bahan makanan (barter), perkhidmatan dan keperluan lain secara berkongsi. Tiada urusan jual beli dilakukan. Mereka juga merasakan yang sistem ini dapat megeratkan lagi silatulrahim dan semangat setia kawan disamping mewujudkan kemesraan dikalangan mereka. 


Selain aktiviti yang berasaskan pertanian mereka juga menjalankan aktiviti seperti memburu dan menangkap ikan Aktiviti memburu hanya dilakukan oleh kaum lelaki sahaja. Peralatan memburu seperti buluh sumpit, jerat, belatik dan perangkap  disediakan oleh mereka sendiri dan bahan-bahan untuk membuatnya mereka perolehi dihutan. Antara jenis-jenis binatang yang diburu ialah monyet, kera, babi hutan, burung, biawak, tupai dan binatang kecil yang lain.


Ikan sebagai sumber protein utama ditangkap dengan menggunakan lukah, kail, racun akar tuba, serampang, jaring, tuar dan juga dengan tangan. Pekejaan ini juga dilakukan oleh kaum perempuan.


Disamping bertani dan memburu mereka juga mencari hasil-hasil dihutan seperti rotan, damar, buluh, cendana dan gaharu dan hasil-hasil ini dijual atau untuk kegunaan sendiri sahaja. 


Selalunya aktiviti aktiviti yang disebutkan tadi mereka lakukan dari pagi hingga petang  dan hanya pulang ke rumah pada waktu petang atau senja. Pada waktu petang  sebelum malam  mereka akan menghabiskan masa berehat dengan keluarga ataupun duduk berbual dengan jiran-jiran, tetapi selalunya pada waktu petang begini mereka lebih tertumpu dalam membuat damak, mencuci buluh sumpit atau membuat persediaan peralatan untuk  ke ladang atau memburu dikeesokan harinya.


TEMPAT KEDIAMAN ORANG ASLI SEMAI


Secara umumnya terdapat 4 jenis tempat kediaman Orang Asli Semai.


1. Rumah Yeau (Deg Yeau)

2. Rumah Ran ( Deg Ran)

3. Rumah pisang sesikat (Deg Pisang sesikat)

4. Rumah biasa.


Rumah Yeau

Rumah ini hanya lah bebrbentuk sementara dan dibina dipinggir ladang atau kebun yang bertujuan untuk menunggu padi yang masak untuk  mengelakan dari gangguan makhluk perosak seperti burung pipit, belalang tikus dan sebagainya. Biasanya dari rumah yeau ini akan dipasang tali kekawasan ladang dengan objek objek seperti tin yang digantung, baju kain yang diikat pada batang kayu yang apabila ditarik akan membunyikan tin atau menggerakakn bahan yang digantung untuk menakutkan makhluk perosak tersebut.

Bentuk rumah sama seperti rumah pisang sesikat cuma yang membezakan dari segi tiang
dan lantainya sahaja. Rumah ini tinggi dari tanah. Pengunaan rumah ini hanya bergantung pada padi atau tanaman lain yang ditanam sementara menunggu masak dan dituai. Selepas padi atau tanaman tersebut dituai rumah ini tidak digunakan lagi akan digunakan dan hanya akan dibina pada musim penanaman yang akan datang jika mereka tidak berpindah ketempat lain. 


Rumah Ran.


Ruman Ran ini adalah rumah persinggahan dan dibina dalam bentuk sementara ataupun  tetap. Untuk Rumah Ran yang tetap, bahan bahan binaan yang digunakan adalah  dari bahan yang tahan lama dan lebih kemas, tetapi jika untuk sementara ianya dibuat secara ala kadar sahaja


Fungsi rumah ini dibina ialah untuk persinggahan ketika mencari rotan dihutan,  menunggu padi, memburu, menunggu buah dan ketika sedang membuka sebuah ladang baru.  Ianya dibina diatas pokok supaya selamat daripada binatang buas seperti harimau, gajah, beruang dan sebagainya.


Untuk membuat rumah ran beberapa batang kayu disambung ke dahan dahan kayu sebagai tokok tambah kepada dahan-dahan yang sedia ada. Atap diperbuat daripada bertam dan serdang. Lantai diperbuat dariopada buluh, kayu dan diikat dengan rotan.

Rumah Ran tidak ada bentuk khas, kerana ia bergantung kepada bahan-bahan semula jadi yang ada di sekeliling tempat pembinaan. Ianya tidak ada bentuk yang tetap bergantung kepada tujuan dan cara ia dibina. 
 


Rumah Pisang Sesikat


Rumah pisang sesikat biasanya dibina di tepi-tepi sungai, ladang atau pun di dalam hutan sebagai tempat berteduh daripada hujan dan panas. Rumah ini dibina dengan menggunakan empat  batang tiang manakala atapnya pula dibina daripada daun bertam atau daun serdang. Lantainya daripada pokok bertam atau buluh yang dibelah atau dari batang kayu kecil yang diletakkan di atas tanah. Rotan atau akar digunakan sebagai bahan untuk mengikat.


Bentuk rumah pisang sesikat ialah empat segi dan atapnya mencerun dari atas sampai kepermukaan bumi. Kekerapan penggunaanya bergantung kepada tujuaan ia dibuat. Jika ianya dibina di ladang, ianya selalu digunakan tetapi jika  di tepi sungai ia digunakan ketika mencari ikan atau sebagai tempat persinggahan sementara. Jika ianya dibina di dalam hutan ia digunakan sebagai tempat berehat setelah penat bekerja mencari rotan, petai, buah-buahan, menyumpit dan sebagainya. 


Rumah Biasa


Mempunyai berbagai-bagai bentuk terpulang kepada kreativiti seseorang individu tetapi kebiasaannya rumah dibina dalam bentuk segiempat dan ditambah sedikit anjung untuk dapur. Bentuk hampir sama dengan rumah tradisi orang Melayu di Malaysia. Tiang rumah diperbuat daripada kayu bulat. Atap dan dindingnya daripada daun bertam dan serdang. Rotan digunakan untuk mengikat. Manakala lantainya pula daripada pokok bertam, buluh, kayu yang telah dibelah.


Kehidupan di masa silam dipengaruhi oleh keadaan persekitaran dimana rumah atau tempat kediaman hanya digunakan sebagai  tempat untuk berehat atau tidur sahaja dan tidak timbul persaingan untuk membina rumah yang cantik dan selesa. Mungkin kerana bahan tersebut sahaja yang ada dan mereka sering hidup berpindah-randah. Walau bagaimanapun rumah orang Asli Semai telah banyak berubah mengikut peredaran masa yang telah menukarkan corak budaya mereka. Mereka  sekarang telah menetap di sesuatu  tempat yang mempunyai perkampungan, tanah bergezet, bercucuk tanam dan mempunyai rumah yang agak cantik dan selesa bergantung kepada kewangan masing-masing.


KEPERCAYAAN DAN PANTANG LARANG MENGENAI RUMAH ORANG  ASLI SEMAI


Berikut adalah beberapa pantang larang yang diamalkan oleh Orang Asli Semai ketika atau semasa


i. Membina rumah baru


ii. Pindah kerumah baru

iii. Didalam rumah baru

Larangan semasa membina rumah baru

Kedudukan rumah dilarang menghala laluan matahari kerana ini akan mengakibatkan penghuni rumah berkenaan kelak akan demam dan sakit. Kerja-kerja  memasang rumah di waktu senja juga adalah dilarang dan pada hari-hari yang dianggap tidak baik iatu 15, 16 dan 17 kerana ini dipercayai penghuni rumah berkenaan tidak akan tenteram dan aman bila menduduki rumah tersebut.

Sebelum rumah dibina pawang atau bomoh akan menjampi kawasan pembinaan tersebut untuk menghalau hantu-hantu yang dipercayai ada jika tidak hantu-hantu itu akan menggangu penghuni rumah tersebut

Kayu alang dan gelegar serta lain-lain pemasangan semasa pembinaan rumah hendaklah dipotong mengikut segi rumah tersebut supaya tidak tertinggal lebihan kayu tersebut.
 

Pindah ke rumah baru


Bila sebuah keluarga berpindah ke rumah baru, sedikit jamuan, upacara bersemah atau tepung tawar diadakan bertujuan untuk menjamu hantu-hantu atau makluk halus. Jika tidak dilakukan keluarga yang baru berpindah dipercayai akan diganggu oleh hantu atau makluk halus. Tetamu pertama yang datang secara bertandang ke rumah tersebut dari kampung atau tempat lain dikehendaki bermalam di rumah tersebut jika tidak ianya akan didenda. Sebelum berpindah kerumah  yang baru  siap dibina,  tiang seri rumah tersebut mestilah  dijampi dahulu oleh bomoh atau pawang . Tiang seri atau sudut  rumah tersebut akan dipangkah dengan kapur atau bedak yang telah dijampi dan jika tidak hantu akan  menggangu penghuni rumah tersebut.


Pantang larang dalam rumah baru


Tidak boleh jatuh dalam rumah yang sedang dalam pembinaan. Kalau jatuh ini membolehkan  mendatangkan sial atau kurang sihat kepada penghuni rumah tersebut.
Seseorang yang akan bermalam dirumah yang baru dibina elok lah bermalam sehingga 3 malam dan jika kurang daripada itu boleh mendatangkan perkara yg tidak baik pada tuan rumah. Adalah dilarang juga jika tidur atau pindah kerumah yang masih belum siapa dibina sepenuhnya. Kanak kanak  juga dilarang menagis dirumah tersebut  kerana ini tidak akan membawa tuah pada penghuninya. 


Agama



Majoriti menganut Agama Bahai dan sedikit yang menganut Animisma dan hanya sekeluarga menganut Kristian. Ugama Bahai ini difahamkan menular masuk ke kampung ini tanpa disedari sejak awal 70–an lagi. Ianya difahamkan datang dari Amerika Latin. Pengembang agama tersebut ke sini adalah dari kaum Benggali, India dan China. Penganut Agama Bahai ini selalunya mengadakan upacara sembahyang mereka pada hari minggu di salah sebuah bangunan di kampung ini. 


Menurut pihak JHEOA, mereka tidak boleh menyekat apa saja jenis ugama yang menyerap masuk ke perkampungan Orang Asli ini kerana atas dasar kebebasan agama, kecuali ajaran sesat ataupun yang menentang kerajaan.


Bahan-bahan binaan yang digunakan ialah :

i. Atap – Daun Nipah., Daun Terai dan Zink

Zink paling banyak digunakan kerana mudah didapati dan bahan-bahan seperti daun nipah dan terai semakin susah didapati. Daun-daun ini mereka perolehi dari hutan di sekeliling perkampungan ini. Daun terai ini berbentuk kipas dan gambarnya disertakan bersama laporan ini.


ii. Dinding – buluh digunakan untuk semua rumah kediaman di sini untuk

Membuat dinding. Buluh-buluh ini mereka perolehi dari hutan disekeliling perkampungan ini juga. Buluh-buluh ini dibelah dan dipecahkan menjadi rata dan dipasang sebagai dinding dengan bahagian luar buluh dipasang dibahagian dalam rumah manakala bahagian dalam buluh dipasang di bahagian luar dinding.


iii. Lantai – juga menggunakan buluh yang diperolehi dari tempat yang sama dan dipasang dengan 2 cara :

a)   buluh dibelah sama seperti dilakukan ketika untuk membuat dinding,

dibelah dan dipecahkan menjadi rata dan bahagian luar buluh dipasang dibahagian dalam rumah dan bahagian dalam buluh pula dipasang dibahagian luar rumah.

b)   buluh dibelah empat dan dipasang jarang-jarang sebagai lantai samada dengan cara diikat dengan rotan ataupun dipaku ke kayu di bahagian lantai. Bahagian luar buluh dipasang dibahagian dalam rumah dan bahagian dalam buluh pula dipasang dibahagian luar rumah.

iv. Tiang dan alang

Tiang dan alang adalah dipilih dari jenis kayu yang pelbagai dan juga didapati dari hutan-hutan disekeliling kampung ini. Kayu yang dipilih tidak tetap pada satu jenis sahaja, dan ianya dipih atas dasar kekerasan dan ketahanan dan ini dipilh berdasarkan pengalaman sahaja. Pemilik juga tidak tahu nama kayu yang dipilih.

v. Pintu

Kebanyakan pintu masuk ke rumah telah diubahsuai dengan menggunakan plywood dan papan biasa, manakala ada juga yang menggunakan buluh sama seperti teknik membuat dinding dan lantai. Pintu di bahagian dalam rumah pula ( ke bilik atau kedapor) ada yang tidak berdaun dan hanya ditutup dengan kain langsir sahaja atau dibiar begitu sahaja.

vi. Tangga

Bentuk dan bahanyang digunakan untuk membina tangga adalah berbeda   di antara satu rumah dengan rumah yang lain, tetapi kebanyakannya menggunakan kayu yang sama dengan jenis kayu yang dibuat tiang. Ada juga yang menggunakan kayu beluti yang dibeli sebagai tangga rumah. Palang-palang tangga ini ada yang diikat dengan rotan dan ada juga yang dipaku.

vii.Tingkap

Kebanyakan tingkap adalah bersaiz kecil dan tidak berdaun dan ada rumah yang tidak bertingkap langsung. Ada juga tingkap rumah yang berpalang dan memanjang serta ditutup dengan langsir sahaja tanpa daun tingkap. Jika ada yang berdaun, ianya ada yang dibuat dengan menggunakan plywood ataupun buluh yang sama ciri-ciri pembuatannya.
  
  


Kalau korang hendak merasai kehidupan sebegini...di Kampung Ruai Tanah Rata ada disediakan penginapan untuk disewa. Harganya juga murah dan di kelilingi bukit-bukau. Terasa sangat sejuk di waktu pagi...dengan kabus. Korang juga boleh pergi melihat keadaan rumah-rumah orang asli di Daerah Cameron Highland ini kerana kebanyakkan mereka sangat mesra.


Sekian.

**jangan lupa yea...follow blog aku nii

No comments:

Post a comment