Thursday, 15 September 2016

Melawat Ke Makam Pahlawan Takkan Melayu Hilang Di Dunia...Hang Tuah


Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,



Hai korang semua... Hari nii aku nak bawa korang ke tempat bersejarah di negeri Melaka. Aku begitu teruja bila dapat pergi melawat ke Makam Hang Tuah ini. Tak plak aku ketahui bahawa makam ini terletak berdekatan dengan rumah mak mertua aku. Apabila hubby aku ajak pergi... bagaikan pipi disorongkan bantal. Memang aku nak laa... Hang Tuah nii kan selalu diceritakan dalam buku sejarah kat sekolah. Of coz aku takkan lepaskan peluang kat depan mata nii. Selalu dengar cerita jerr... 
 


Seperti yang selalu diceritakan orang... Makam Hang Tuah nii sangat panjang..... dan terletak di Tanjung Kling, Melaka yang merupakan seorang pahlawan. Semasa kecil Hang Tuah dibawa bapanya Hang Mahmud dan ibunya Dang Merdu Wati berhijrah dari Bentan ke Melaka lalu menetap di Kampung Duyong. Ketika usia meningkat remaja bersama rakan-rakan sebaya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu telah memperlihatkan ketokohannya sebagai pahlawan disamping mempunyai sikap terpuji.



Peristiwa menentang lanun-lanun dan menyelamatkan Bendahara dari serangan orang mengamuk menjadikan Hang Tuah dan rakan-rakannya terkenal. keberaniannya menangkap seorang lelaki yang mengamuk di Kampung Duyong semasa zaman remaja telah mendapat perhatian penduduk setempat. Kehebatan beliau sampai hingga ke telinga sultan dan Hang Tuah dipanggil ke istana untuk dijadikan pahlawan Melaka bersama empat sahabatnya hingga menjadi legenda.


Terdapat beberapa hikayat seperti Hikayat Hang Tuah yang menyatakan bahawa Hang Tuah hilang begitu sahaja serta terdapat juga yang mengatakan Hang Tuah meninggal dunia di Perak. Namun daripada tulisan Tun Sri Lanang, dalam pengisahan Sejarah Melayu mengatakan Hang Tuah meninggal dan dikebumikan di Tanjung Kling dengan penuh adat istihadat dan Nobat Diraja tidak dimainkan selama tiga hari. 




Diawal pembukaan Melaka oleh Parameswara (1394-1424) terpaksa memberi bunga emas kepada Raja Siam. Di zaman Megat Iskandar Shah (1414-1424), Sultan Mahmmud Shah (1424-1444) dan Sultan Muzafar Shah (1445-1456) Melaka mula berkembang aman dan makmur. Walau bagaimanapun, Melaka adalah dibawah perlindungan negeri China bagi mengelakkan serangan orang-orang Siam.

Di zaman Sultan Mansur Shah (1456-1477) Hang Tuah dilantik sebagai Laksamana Negeri Melaka dengan pemerintahan Sultan yang adil dibantu oleh Bendahara paduka raja Tun Perak yang bijak beserta keberanian Laksamana Hang Tuah dan rakan-rakannya Melaka tidak lagi dibawah perlindungan China dan dapat menumpaskan serangan orang-orang Siam. Melaka terus berkembang sebagai sebuah empayar dan menjadi pusat perdagangan diantara Timur jauh dan Timur Tengah.

Kehebatan Hang Tuah atau Tun Tuah sebagai seorang pahlawan ketika zamannya menyebabkan dia diangkat sebagai laksamana istana pada usia remaja. Setelah berguru bersama empat sahabat rapatnya, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu di Gunung Tundok berdekatan Gunung Ledang, mereka pulang ke Kampung Duyong.


Kelima-lima mereka dikatakan berguru dengan seorang lelaki bernama Seri Petala Adi Putera. Nama Hang Tuah mula disebut-sebut sehingga ke dalam istana ekoran peristiwa dia menyelamatkan Bendahara Tun Perak daripada amukan seorang lelaki berketurunan Jawa.
 

Setelah diangkat sebagai laksamana, wujud perasaan iri hati dalam kalangan pemuda Melaka terhadap kehebatan Tuah. Sejak dari itu, hidup Tuah dikatakan tidak asing dari asakan fitnah yang datang satu per satu sehingga membawa kepada peristiwa dia dihukum bunuh oleh sultan yang memerintah ketika itu.


Namun, menurut Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin, Hang Tuah pada akhir zaman sebelum kejatuhan kerajaan kesultanan Melayu Melaka telah membawa diri ke Palembang, Indonesia kerana merajuk dengan Sultan Mahmud. 
“Oleh kerana itu, kita percaya bahawa makam Hang Tuah berada di Palembang. Menerusi apa yang ditulis oleh sepupu Hang Tuah, Tun Kola dalam manuskrip Hikayat Hang Tuah Duyong, laksamana Melayu terbilang itu terkesan dengan sikap dan perbuatan Sultan Mahmud yang banyak melakukan perkara tidak betul pada masa itu,” katanya.

Katanya, tindakan Hang Tuah yang membawa diri ke Palembang itu juga merupakan kesan daripada fitnah-fitnah yang dilontarkan kepadanya dan sikap sultan yang lebih mempercayai orang luar daripada mendengar pandangan panglima istananya sendiri.
 




Malah, Hang Tuah sebenarnya dikatakan merupakan bapa mentua kepada Sultan Mahmud apabila baginda berkahwin dengan seorang anak Hang Tuah, Tun Sabariah. Maka, apabila Sultan Mahmud lebih mengutamakan pandangan orang luar yang banyak mempunyai agenda tersirat, Hang Tuah berkecil hati.


Lalu, beberapa tahun sebelum kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511, Hang Tuah membawa diri ke Palembang dan menetap bersama saudaranya, Tun Alam sehingga dia meninggal dunia di sana. Ironinya, Khalid berkata, semasa Hang Tuah menjadi panglima perang istana, Melaka beberapa kali berjaya menewaskan serangan Portugis yang begitu mendambakan Melaka sehingga penjajah itu merasa gerun dengan kehebatan laksamana Melayu itu.


Manuskrip itu, katanya, ada menyebut ibu bapa Hang Tuah iaitu Tun Mahmud dan Tun Lela Wati dan beberapa pengikutnya belayar meninggalkan Palembang untuk mencari tanah baharu. Apabila mereka tiba di Pulau Besar, bapa kepada Tun Lela meninggal dunia dan dimakamkan di pulau itu.

“Tun Mahmud menamakan kawasan yang dimudik di kuala sungai sebagai Kampung Duyong. Inilah kampung yang wujud pada hari ini. Tidak lama selepas itu, Hang Tuah dilahirkan di situ. 


“Hang Tuah berasal dari kampung ini. Dakwaan mengatakan Hang Tuah berasal dari Tanah Besar China tidak benar. Sebenarnya, Hang itu adalah gelaran bagi pahlawan Melaka. Ia bukanlah nama berketurunan Cina ataupun sebagainya seperti yang diandaikan banyak pihak,” katanya.


Katanya, berdasarkan apa yang tertulis di dalam manuskrip itu, maka logik dikatakan dakwaan makam Hang Tuah di Palembang itu mempunyai asas yang lebih meyakinkan bahawa pahlawan itu meninggal dunia di Palembang. Pendek kata, kewujudan Hang Tuah bukan satu mitos. “Masyarakat di Palembang begitu mengagumi Hang Tuah. Mereka tahu kisah pahlawan Melayu ini. Malah mereka yakin Hang Tuah wujud berdasarkan bukti yang ada di sana. Jadi, bagaimana pula wujud dakwaan bahawa Hang Tuah ini mitos atau tidak wujud? Itu sesuatu yang menyedihkan,” katanya.


Menyentuh mengenai kewujudan Hang Tuah, ujar Khalid, Hang Tuah merupakan simbol kekuatan orang Melayu sejak sekian lama. Dia merupakan figura yang menguatkan lagi semangat orang Melayu. Sewajarnya sejarah mengenai Hang Tuah diperkukuhkan dengan membangkitkan fakta logik mengenai kewujudannya.

Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong Melaka, Encik Khalid Hussin dengan tegas menyatakan Melaka tidak pernah “kalah” dalam peperangan mereka dengan askar Portugis. Konteks kekalahan tidak berlaku kerana tiada perjanjian yang dibuat untuk memeterai “kekalahan” pihak Melaka kepada Portugis. Mereka hanya “berundur”. Peperangan untuk merampas Melaka tetap diteruskan.




Encik Khalid pada Wacana Manuskrip Melayu “Hang Tuah: Adiwira Dunia Melayu” anjuran Perputakaan Negara Malaysia dan Persatuan Sejarah Malaysia, berani menegaskan hal ini berdasarkan pengkajiannya yang mendalam terhadap manuskrip lama simpanan keluarga besarnya di Kampung Duyong, Melaka, yang kini di dalam simpanan Perpustakaan Negara Malaysia.
Walaupun versi yang dinamakan sebagai “Hikayat Hang Tuah versi Tun Kola” berbeza daripada isi kandungan versi A. Samad Ahmad, serta kebanyakan kertas-kertasnya sudah berkecai dan tidak boleh dibaca (Md Yaacob Abdullah), Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh menyatakan, kesemua versi yang disimpan dalam Perpustakaan Negara Malaysia masih ada “kesatuan” dalam bentuk tema dan wajah perwira agung itu. Tun Kola didakwa sebagai sepupu Hang Tuah, syahid sewaktu memerangi askar Portugis. Manuskrip ini dikatakan ditulis sebelum Tun Kola bertempur dengan Portugis.




Encik Khalid menyatakan,  Hang Tuah juga asalnya digelar “Tun Tuah”. Gelaran “Hang” dianugerahkan kepada Tun Tuah apabila diangkat oleh sultan. Persoalan seperti “ghaib” juga telah lama dikelirukan dalam pemahaman riwayat Hang Tuah.
 

Beliau menjelaskan, “ghaib” yang dinyatakan dalam Hikayat Hang Tuah bermaksud “menghilangkan diri/membawa diri”, mengikut konteks perkataan Arab yang dipinjam, bukan bermaksud hilang secara tiba-tiba tanpa jasad seperti yang selalu diperkatakan oleh orang ramai. Encik Khalid mendakwa, Hang Tuah “ghaib” ke Palembang, malah makam Hang Tuah telah dijumpai ada di Palembang, sepertimana makam ayah Hang Tuah, Tun Jaya Alam yang tertanam di Pulau Besar, Melaka.


Hang Tuah dikatakan “menghilangkan diri” kerana difitnah sekali lagi oleh beberapa orang menteri sultan. Hal ini tentulah satu penemuan yang kontroversial, memberi satu “maklumat baharu” sekali gus pengkajian rekayasa kepada pemahaman riwayat Hang Tuah.



Sepertimana yang dinyatakan dalam ucapan alu-aluan Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Nafisah Ahmad, “Sesungguhnya ilmu-ilmu yang pernah dinukilkan oleh penulis ataupun pengarang silam sememangnya masih relevan untuk dipegang sebagai azimat dan panduan dalam menempuh liku-liku perjuangan hidup. Masih banyak lagi ilmu dalam pelbagai bidang yang terakam dalam manuskrip Melayu belum habis dikaji dan diselidiki oleh pengkaji dalam mahupun luar negara”.



Encik Khalid turut membaca transkrip yang dirumikan daripada manuskrip versi Tun Kola dalam jawi sebagai bukti:
Laksamana balik ke Duyong lalu duduk termenung di rumah Tun Kola bercakap atas dirinya yang terkena fitnah tak sudah-sudah. Selagi ia ada di kampung ini atau dalam Negeri Melaka tidak menyenangkan hati, “Biarlah aku pergi ke lain tempat membawa diriku dan nasibku. Jika ada lagi aku dalam tempat ini akhirnya mendapat malu juga kesudahannya dan Tuhan tahu siapa yang bersalah dan yang benar.”

Lalu Laksamana memanggil saudara-mara semua, Tun Kola, Tun Kajang, Tun Baru, Tun Tanjung, Tun Matang dan lain-lain saudara lalu berkata, “Aku akan berlayar ke Palembang di rumah Tengku Alam. Tiada aku balik lagi ke Melaka walau rakyat Melayu menjadi abu atau menderita sekalipun dan menangis air mata yang berdarah. Saudaraku dan anak-anak cucuku tengok sahajalah apa jadinya tak sesudah padah celaka datangnya.”


Lalu masing-masing menangis memberi nasihat jangan meninggalkan Melaka ini negeri yang bertuah. “Jawab jika aku dan engkau semua kaca disebut orang kaca juga takkan boleh jadi intan baiduri,” kata Laksamana Hang Tuah.

“Jika siapa cari atau mahu berjumpa baik ada Tuanku, menterinya dan rakyat Melaka sekali, bagitau aku pergi bertapa di Gunung Ledang atau ke Pahang. Jangan bilangkan aku berlayar ke Palembang walau Hang Kasturi, Hang Lekir atau Hang Lekiu sekalipun. Jika siapa memberi tahu sebelum aku mati, aku akan sumpah kamu semua.” 


Hang Tuah dikatakan “menghilangkan diri” kerana difitnah sekali lagi oleh beberapa orang menteri sultan. Hal ini tentulah satu penemuan yang kontroversial, memberi satu “maklumat baharu” sekali gus pengkajian rekayasa kepada pemahaman riwayat Hang Tuah. 

Sepertimana yang dinyatakan dalam ucapan alu-aluan Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Nafisah Ahmad, “Sesungguhnya ilmu-ilmu yang pernah dinukilkan oleh penulis ataupun pengarang silam sememangnya masih relevan untuk dipegang sebagai azimat dan panduan dalam menempuh liku-liku perjuangan hidup. Masih banyak lagi ilmu dalam pelbagai bidang yang terakam dalam manuskrip Melayu belum habis dikaji dan diselidiki oleh pengkaji dalam mahupun luar negara”. (sumber: Utusan Online 6 Januari 2016 dan Dewan Sastera)


Terasa puas bila dapat berkunjung ke Makam Pahlawan Melayu Hang Tuah ini... Pihak Kerajaan Negeri Melaka juga telah menaiktaraf kawasan ini yang merupakan tarikan pelancong walaupun ianya agak jauh sedikit dari kawasan Bandar Hilir Melaka (bandaraya). Dahulunya kawasan ini dibawah penyelenggaraan Jabatan Muzium Dan Antikuiti (Akta Bendapurba 1976). InshaAllah jika diizinkan, selepas ini aku ingin pergi melawat ke Makam Hang Jebat, Makam Hang Kasturi, Makam Hang Lekir, Makam Hang Lekiu dan Makam Tun Teja.


Sekian.

**jangan lupa follow blog aku nii yea..

No comments:

Post a comment