Monday, 19 September 2016

Kraftangan Negeri Perak : Seni Tekatan Benang Emas

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,


Hai korang...Selamat pagi semua... Hari nii aku nak citer tentang seni kraftangan yang tersangat laa femesnyer kat negeri Perak. Harganya pun bukanlah murah... boleh mencecah berpuluh hingga beratus ribu RM tau. Masa aku kanak-kanak aku pernah melihat opah aku membuat seni tekatan ini... dan pada masa itu aku tak tahu pulak seni ini sangatlah berharga untuk diwarisi. Kalau tak dah lama aku suruh opah aku ajar aku camna nak buat tekatan ini. Seni Tekatan Benang Emas ini sangat popular kat Kuale (Kuala Kangsar) sejak dahulu lagi. Aku berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana tekatan ini dihasilkan...

Seni tekat telah dianggap sebagai hasil kraftangan walaupun fungsinya masih terbatas dan hanya digunakan untuk istiadat dan upacara-upacara tertentu. Namun seni ini juga berupaya menjadi produk komersial yang berdaya maju. Industri menyulam  tekat ini dipercayai  berasal dari Tanah Arab dan Acheh Indonesia yang tersebar ke seluruh rantau  ini melalui aktiviti perdagangan ketika era Kesultanan Melayu Melaka. 
  

Asal-usul penciptaan dan penggunaan tekstil tekat dipercayai sama dengan penggunaan tekstil songket yang didasarkan kepada bahan asasnya iaitu benang emas, kain baldu dan juga rupabentuk ciptaannya. Aku difahamkan harga sebuku benang emas ini sangatlah mahal kerana dibeli di luar negara.


Seni tekatan termasuk dalam jenis tekstil yang dihasilkan dengan cara menyulam benang ke atas kain dasar jenis baldu. Tekatan juga disebut sebagai suji timbul iaitu sulaman timbul atau tekad bersuji tetapi suji sering dikaitkan dengan sulaman benang sutera. Sama ada disulam. Ditekat atau disuji, ragam hiasnya semua dibentuk cara yang sama iaitu dalam keadaan yang timbul dari permukaan dasar kain kerana bahagian dalamnya diisi dengan mempulur.
 

Suatu ketika dahulu, alatan atau hiasan-hiasan yang dihias dengan tekat benang emas adalah milik istana. Di Perak, seni tekat ini pada asalnya dimonopoli oleh golongan istana. Raja Permaisuri Perak pada akhir abad ke 19 merupakan pereka bentuk dan tukang yang banyak menghasilkan rekabentuk tekat. Seni tekat telah dianggap sebagai hasil kraftangan walaupun fungsinya masih terbatas dan hanya digunakan untuk istiadat dan upacara-upacara tertentu.



Pada zaman dahulu hanya golongan raja dan bangsawan dibenarkan menggunakan perhiasan tekat kerana ia  melambangkan status dan kedudukan seseorang, manakala aktiviti menyulam tekat tidak dibenarkan di luar kawasan istana. Untuk itu, kemahirannya  hanya diajar kepada dayang istana. Bagaimana pun lama-kelamaan rahsianya dibawa keluar apabila dayang meninggalkan istana. Sejak itu, sulaman tekat benang emas semakin mendapat tempat tanpa  mengira status masyarakat  malah digunakan untuk pelbagai.


Terdapat tiga jenis tekat antaranya ialah tekat timbul benang emas, tekat gubah dan tekat perada. Tekat timbul benang emas  lazimnya menggunakan mempulur sebagai awan untuk membentuk corak motif. Mempulur dipotong dan ditebuk mengikut corak motif . Sulaman benang emas akan menutupi  mempulur di atas kain baldu.



Tekat gubah pula menyulam dan membentuk corak motif melalui benang merah yang dipanggil  benang ‘untina’. Lazimnya  hiasan corak tekat gubah diiringi dengan labuci dan manik-manik. Kain dasar tekat gubah adalah dari kain kapas.
 


Tekat perada dihasilkan dengan  menampal perada emas kepada kain. Tekat ini juga tidak menggunakan mempulur sebagai corak gubahan. Perada emas akan ditampal di atas corak motif  yang telah dilukis di atas sekeping kertas keras.
Bahan dan peralatan
  • Benang Emas: Benang emas yang digunakan untuk seni tekat sama seperti yang digunakan pada songket.
  • Kain Dasar: Kain Dasar yang digunakan dipilih dari bahan tebal tetapi lembut iaitu dari jenis kain yang berbulu-bulu halus berkilat seperti kain baldu. Warna yang menjadi pilihan pula adalah dari warna gelap seperti merah tua, merah pulasan, ungu, hujau tua dan hitam. Kain kapas atau kain putih “cita” diperlukan untuk membuat lapik kain baldu. Ia dibentang ditengah pemidang dan di atasnya dijahit denga kain  baldu. Ini dilakukan sebelum proses menyulam dimulakan.
  • Rotan Sega dan Kertas Tebal: Rotan Sega ialah sejenis tumbuhan yang mempunyai kulit berkilat yang digunakan untuk membuat mempulur. Kebanyakkan tukang lebih menggemari kertas tebal untuk dijadikan mempulur kerana ia lebih lembut dan mudah dibentuk, dipotong dan ditekat pada kain.
  • Pemidang Kayu: Terdapat dua jenis pemidang kayu yang digunakan untuk proses penciptaan tekatiaitu pemidang berkaki dan pemidang tanpa kaki. Pemidang dibentuk mengikut ukuran kain tekat yang diperlukan.
  • Cuban: Cuban didalam proses tekat merupakan alat yang digunakan untuk melilit benang emas. Ia diperbuat daripada dua keratin buluh yang diikat dalam bentuk menyilang atau bentuk t.
  • Alat-alat lain: Alatan lain yang digunakan untuk persiapan tekat termasuklah jarum jahit, pisau untuk memotong dan papan sebagai alas pemotong. 


Bentuk Motif


Bentuk motif dalam ragam hias tekat terdiri dari unsur tumbuhan, unggas dan geometri


  • Motif tumbuhan: Motif tumbuhan terdiri daripada dua bentuk iaitu bentuk daun atau pucuk dan bentuk bunga. Bentuk daun adalah seperti bentuk pucuk paku, daun peria, daun keladi, buah padi dan daun pucuk rebung. Bentuk bunga adalah seperti bunga cengkih, bunga lawang, bunga raya, bunga matahari, bunga anggerik dan lain-lain.
  • Motif Unggas: Motif unggas atau burung begitu terbatas penciptaannya. Kebanyakkan motif dan unsur ini telah diubahsuai hingga melihatkan kesan awan larat.
  • Motif Geometri: Motif geometri terdiri dari geometri bebas iaitu segi tiga, empat, corak catur, kisi-kisi dan garis. 




Proses Menekat


  1. Persiapan pemidang: Persiapan pemidang ialah proses menegangkan kain putih. Di atas kain putih ini akan diletakkan kain baldu yang akan dijadikan dasar tekat. Kain baldu seterusnya akan disembat kasar supaya lekat pada kain putih tadi.
  2. Menyediakan mempulur: Mempulur ialah isi tekat yang menjadikan motif. Bentuk motif akan dilukis diatas beberapa helai kertas tebal sebelum dipotong. Potongan mempulur itu yang akan dilekatkan diatas kain dasar tekat.
  3. Menyulam: Benang emas sering digunakan untuk menekat. Cuban yang dililitkan benang emas akan merentasi bahagian batang mempulur. Kemudian benang emas itu akan ditindih dan diikat jahit dengan benang putih. Benang putih harus melalui bahagian bawah mempulur, tanpa melihatkan kesan jahitan benang di permukaan mempulur. Tiap kali merentas, benang-benang emas harus disusun rapat supaya batang mempulur tidak kelihatan. Dengan cara ini sulaman benang emas akan lebih teratur dan kemas. Proses ini akan diulangi sehingga seluruh bentuk mempulur tertutup oleh sulaman.
Masa yang diambil untuk menghasilkan tekatan ini adalah mengikut saiz. Lagi besar lagi lama masa yang diambil. Harganya pula mencecah hingga beratus ribu... Di kuale ini masih ada generasi muda yang berminat untuk mempelajari seni tekatan benang emas ini dan Kraftangan Perak juga selalu mengadakan bengkel bagi memastikan seni ini tidak pupus ditelan zaman.


Pada zaman dahulu seni tekatan ini juga dibuat untuk hiasan kepala pintu bilik pengantin. Seni tekatan ini sekarang telah menggunakan mesin dimana harganya lebih murah berbanding manual. Kalau diberi peluang...aku ingin belajar seni tekatan benang emas ini agar dapat diturunkan kepada generasiku akan datang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment