Thursday, 8 September 2016

Jom Melawat Ke Rumah Suku Kaum Runggus Di Kampung Bavanggazo, Daerah Kecil Matunggong, Sabah


Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,


Hai korang semua...hari nii entri aku berkaitan dengan rumah tradisional yang terdapat di negeri Sabah. Rekabentuk rumah nii unik. Rumah panjang Runggus ini sangat menarik minat aku kerana seakan-akan berbentuk tiga segi pada bahagian dindingnya (dindingnya tidak dibina tegak tetapi condong). Aku dapat merasai sendiri suasana di dalam rumah panjang ini...rumah panjang ini juga dijadikan homestay untuk pengunjung menikmati kehidupan masyarakat ini.


Rumah Panjang Runggus di Kampung Bavangazo ini selalu dikunjungi pelancong, ianya terletak di dalam Daerah Kecil Matunggong, lebih kurang 40 km ke selatan Bandar Kudat. Selain Daerah Kudat, Suku kaum Runggus ini juga tertumpu di Kota Marudu dan Pitas. Mengikut banci tahun 1981 bilangan masyarakat Runggus di Sabah lebih kurang 40,000 orang.  Berdasarkan sejarah tradisi lisan dikalangan masyarakat ini mereka telah menduduki Daerah Kudat sejak 900 tahun yang lampau. Pada mulanya kebanyakkan masyarakat Runggus ini tidak menganut sebarang agama dan dikenali sebagai Pagan. Walau bagaimanapun  sejak akhir-akhir ini sebilangan besar daripada suku kaum ini telah memeluk agama Islam dan juga Kristian.
 

Di kampung ini sahajalah yang masih terdapat rumah panjang Runggus yang masih bercirikan tradisional dengan menggunakan bahan binaan yang asal bagi pembinaan sesebuah rumah panjang. Rumah Panjang Runggus di Kampung Bavanggazo ini telah dibina pada bulan April 1992 dan ianya adalah projek perintis untuk memelihara kebudayaan suku kaum Rungus ini. Ia adalah hasil usaha dan milik En Marasak Bin Malarag serta ahli keluarga beliau. Rumah panjang ini  pernah terbakar pada tahun 1998 dan ia telah dibina semula pada tahun yang sama.



Orang-orang Runggus menamakan rumah panjang tradisi ini sebagai “Binatang” yang bermaksud rumah. Rumah panjang merupakan struktur yang mudah. Sejak berabad lagi Orang-orang Runggus ini menggunakan daun-daun palma untuk pembinaan bumbung, buluh dan kayu nibong untuk lantai, kulit kayu dan kayu-kayu kecil sebesar ibu jari untuk dinding, kayu kayan kecil sebagai sokongan dan rotan untuk dijadikan ikatan.

Pembinaan “Binatang” memakan masa berbulan lamanya, berdasarkan saiz dan sumber-sumber bahan binaan. Rumah ini dibina mengikut arah paksi timur barat berhadapan dengan Gunung Kinabalu bagi mewujudkan suasana aman damai, selesa, nyaman dan memberi kesihatan yang baik.

Pembinaan sesebuah rumah panjang adalah dengan persetujuan semua pihak dalam sesuatu masyarakat Runggus. Pembinaan dilakukan secara bergotong-royong. Sebelum dijalankan pembinaan, lazimnya mereka bersama-sama dengan arahan ketua sesuatu keluarga akan keluar (survei) bagi mencari tapak atau kawasan yang sesuai untuk didirikan sesebuah rumah. Lazimnya kawasan yang  strategik untuk dibina rumah panjang ini  ialah kawasan yang berhampiran dengan sumber air seperti sungai, mata air dan tanah yang rata.



Rumah panjang ini mempunyai bilik-bilik kecil yang terdiri daripada bilik tidur tertutup, ruang tamu dan pendiangan yang digunakan sebagai tempat makan. Rumah panjang lazimnya bermula daripada sebuah bilik yang dibina oleh ayah atau ketua  sesebuah keluarga dan bila anak-anak semakin membesar serta berkeluarga, mereka akan menambah bilik yang sama bersebelahan bilik ayah mereka. Oleh itu wujudlah sebuah rumah panjang. Saudara mara juga boleh bersama-sama membina bilik-bilik ini dengan keizinan pemilik rumah. Justeru itu keluarga rumah panjang merupakan keluarga kompleks yang amat rapat lagi bersatupadu.



Suku kaum Runggus ini mempunyai adat dan pantang larang yang perlu diikuti dan dipatuhi dalam memilih kawasan dan mendirikan rumah terutama sekali bagi yang masih beragama Pagan atau dengan kata lain mempercayai  hantu/iblis.

Setelah bertemu, dan berpuas hati dengan keadaan sesuatu kawasan. Maka kawasan tersebut dibersihkan dan kemudiannya mereka akan menyediakan bahan-bahan binaan dengan mencarinya di hutan-hutan yang berdekatan secara bergotong-royong.

Setiap proses pembinaan sesebuah rumah panjang perlu menjalani dan adat istiadat serta  pantang larang yang telah ditetapkan. Proses-proses tersebut adalah;
  • Memilih tapak atau kawasan
  • Penyediaan tapak rumah
  • Mengumpul dan mencari bahan binaan
  • Aktiviti pembinaan rumah
  • Berpindah ke rumah baru


Firasat atau pun  kopizo dalam bahasa Runggus  masih diamalkan lagi sejak turun temurun terutama bagi yang masih beragama. Pagan iaitu kepercayaan kepada dewa, hantu dan iblis. Antara yang masih dipercayai ialah mereka amat pantang  jika ternampak dan terjumpa  beberapa jenis binatang  ketika  aktiviti  mencari  bahan binaan  rumah dan ketika membersihkan kawasan tapak rumah. Binatang-binatang yang dimaksudkan ialah;
  • Mandahanton (Biawak)
  • Lapung ( Ular Sawa)
  • Pavus (Kijang)
  • Mongontik (sejenis Burung)
  • Uvit-Uvit (sejenis Burung)
  • Bulukun (Tenggiling)
  • Topirik (Ular Senduk)
Semua binatang-binatang tersebut adalah simbol keburukkan dan akan  mendatangkan malapetaka kepada penghuni rumah, seperti penyakit yang boleh mengakibatkan kematian. Jika salah satu dari binatang ini ditemui maka kawasan yang dipilih harus ditinggalkan dan aktiviti yang dijalankan juga harus dihentikan serta merta.


Menurut kepercayaan suku kaum Runggus ini kawasan pembinaan harus dikenal pasti terlebih dari segi kesesuaiannya. Kawasan yang dipilih mestilah dapat menerima cahaya matahari sepanjang hari, dan oleh itu kawasan ini mestilah tidak terlindung oleh gunung atau bukit dan pokok-pokok tinggi yang boleh menghalang dari cahaya matahari menembusi kawasan ini. Mereka berpendapat cahaya matahari yang menyinari kawasan itu sepanjang hari akan mendatangkan kebaikkan dan rezeki yang murah serta penghuninya pula nanti tidak ditimpa oleh penyakit atau malapetaka. Mereka juga akan menghidari dari kawasan yang berbukit bukau dan di kelilingi oleh sungai dan gunung, kerana menurut kepercayaan mereka ini pasti akan mendatangkan malapetaka dan mereka menganggap kawasan tersebut adalah tempat tinggal dan kawasan laluan hantu.




Sebaik sahaja selesai penyediaan tapak  rumah, mereka akan  menjemput dukun/bobohizan untuk melakukan upacara meramalkan kawasan tersebut  samada baik atau sebaliknya untuk dihuni. Bobohizan akan mengambil sebiji bekas lukah  dan memasukkan tujuh biji beras padi ke dalamnya dan lukah ini akan  diikat dengan rotan.  Tanah akan digali di tengah-tengah tapak pembinaan rumah dan lukah tadi akan ditanam di sini. Pada keesokkan harinya lukah ini akan digali semula  untuk  memastikan  sama ada beras yang ditanam bersama masih cukup bilangannya atau hilang dan sekiranya didapati sebahagian beras hilang, tapak pembinaan kawasan tersebut harus ditinggalkan dan dibatalkan, ini kerana mereka mempercayai bahawa pasti ada malapetaka yang bakal  menimpa atau penghuni akan mendapat sakit yang mengakibatkan kematian jika masih diteruskan pembinaan rumah tersebut.


Mengikut adat  suku kaum Runggus kayu-kayu dari jenis seperti berikut pula  adalah dilarang sama sekali pengambilan dan penggunaannya dalam membina rumah panjang.  Kayu-kayu tersebut adalah dari jenis
  1. Ginduvus
  2. Dahu
  3. Kayu tempat tidur burung hantu
  4. Kajulun
  5. Bokis
Kayu-kayu ini juga  membawa maksud yang tidak baik dan boleh mengakibatkan bencana dan penyakit yang boleh membawa maut  pada penghuni jika terus diambil dan digunakan juga.

Pembinaan dimulakan terlebih dahulu dengan menggali  lubang untuk dipasang tiang utama tetapi  sebelum itu Bobohizan akan memasukan buah kayu dipanggil Mapadsapad ke dalam lubang tersebut dan ini bertujuan supaya rumah yang bakal didirikan  tidak dapat dilihat oleh hantu atau roh jahat.

Setelah  rangka rumah didirikan adalah dilarang sama sekali sesiapa untuk naik ke rumah kerana dikhuatiri terjatuh  atau terperosok , dan sekiranya ini berlaku, denda (raha atau sogit) akan dikenakan dengan seekor ayam diberi kepada pemilik rumah tersebut.


Sebelum berpindah ke rumah baru , Bobohizan akan dijemput untuk  mengupacarakan acara yang  dipanggil Manavaru.  Dalam upacara ini Bobohizan  akan mengambil daun kayu yang dipanggil sungkilingan dan damal (Salong) dibuat sumbu lalu dibakar dan dibawa ke seluruh bahagian dalaman  rumah, bagi tujuan menghalau hantu atau pelesit (Kopizo) yang tidak kelihatan yang dipercayai mengikut balik semasa mengambil kayu peralatan rumah di hutan.

Selepas berpindah ke rumah baru dalam masa  seminggu, satu lagi upacara dilakukan yang dipanggil pindakod.  Pindakod ialah satu upacara dimana orang kenamaan seperti penghulu atau vozoon baik di kampung atau di luar kampung, orang-orang kenamaan yang terpilih seperti orang orang  tidak pernah didenda kerana melanggar adat dijemput datang ke rumah baru tersebut.


Tujuan upacara ini ialah untuk beramah mesra dengan  semua penghuni dan membuat sedikit jamuan sebagai tanda kesyukuran  dan berharap semoga kehadiran orang-orang  yang dijemput  akan membawa tuah kepada penghuni rumah.

ATURCARA PEMBINAAN RUMAH PANJANG.
Menegakkan Tiang (Peturung)
Setelah dipersetujui sesuatu kawasan akan memulakan pembinaan sesebuah rumah dengan dengan mendirikan tiang utama yang disebut Origi. Di dalam sesuatu unit rumah panjang ini yang disebut Valai, terdapat 12 unit tiang Origi termasuk 2 tiang utama yang ditanam di tengah-tengah  yang disebut Lumavus dan tiang utama dipanggil Origi Loposons dan  24 tiang penyokong yang dipanggil Tumpok dan Sungkod.

Memasang Atap (Manaap)
Atap diperbuat daripada daun rumbia atau nipah  yang telah dianyam dan dikat pada rangka bumbung. Atap ini selalunya mereka dapati dari pokok nipah atau rumbia  yang tumbuh di tepi-tepi sungai atau tepi laut yang mempunyai paya air masin. Selain dianyam sendiri mereka hanya membeli atap-atap yang sudah siap dianyam dari pengusaha atap tempatan.

Memasang Lantai (Mamarantai)
Lantai diperbuat daripada buluh ataupun nibong , dimana ianya  diikat dengan tali rotan pada tiang utama yang telah didirikan. Buluh atau nibong akan dibelah kecil-kecil sebesar 2 atau 3 sentimeter sebelum dipasang untuk dijadikan lantai. Lantai dari buluh hanya dipasangkan pada tempat atau ruang yang tidak menjalankan aktiviti yang lasak atau berat, manakala  kayu nibong dipasang pada tempat yang menjalankan aktiviti berat dan lasak seperti di kawasan menumbuk padi kerana kayu nibong lebih kuat dan tahan lama dan ianya dibelah belah sebesar 4 hingga 5 sentimeter. Tali pengikat lantai ini selalunya didapati dari rotan Sogo ataupun dari kulit kayu.

Dinding. (Mongorinding)
Dinding adalah diperbuat dari kulit kayu. Rumah di dinding terus dari lantai ke atap di bahagian sekatan antara rumah bersebelahan. Kulit-kulit kayu yang berfungsi sebagai dinding ini dipasang pada rangka kayu dan diperkemaskan dengan buluh di antara kepingan kulit kayu tersebut. Tetapi atap hanya dipasang separas dengan pintu masuk ke rumah antara bahagian rumah dan ruang laluan di hadapan rumah. Lazimnya dinding kulit kayu boleh bertahan sehingga lima tahun lamanya dan akan diganti dari masa ke semasa jika berlaku kerosakkan.

Tangga (Tukad)
Tangga yang dipanggil Tukad Simbatu adalah  sejenis tangga yang biasa dibina dan digunakan untuk sesebuah rumah panjang Runggus. Ianya terletak antara hujung ke hujung Tangga ini diperbuat dari kayu yang bulat dan berukuran 10 hingga 12 inci ukur lilit.


        
 Langsang Sid Dongkob atau Ongkob atau pun okop (ruang tamu)
Setelah tiang atau Origi dibina,  ruang Langsang  Sid Dongkob atau dipanggil Ongkob dibina terlebih dahulu. Panjang ruang ini adalah lebih kurang 3 meter panjang dan 2 meter lebar (untuk sebuah unit rumah panjang) dan ketinggiannya dari paras tanah adalah berbeza antara satu rumah panjang dengan rumah panjang yang lain. Ianya berfungsi sebagai ruang untuk kegiatan harian di dalam rumah, seperti tempat makan, penyediaan makanan, berbual sesama ahli keluarga dan juga tempat menyimpan peralatan rumah yang digunakan seharian seperti almari, peralatan dapur, bahan-bahan makanan mentah dan juga peralatan aktiviti pertanian.

Lantai di ruangan ini diperbuat daripada buluh yang dibelah-belah. Di kiri kanan ruang ini di dinding dengan kulit kayu, iaitu sebagai pemisah atau sekatan dengan valai atau rumah di sebelah menyebelah, dengan ini tiada sebarang tingkap dibina di ruang ini dan hanya sebuah pintu untuk keluar masuk antara ruang Langsang  Sid Dongkob  ini dengan ruang Lansang Sid Apad (ruang laluan di bahagian luar Langsang Sid Dongkob dan  tingkang sid dongkob). Di dalam ruang Langsang  Sid Dongkob atau Ongkob ini juga terdapat satu ruang yang dipanggil Ropokan atau pun dapur

Ropokan atau Ropuhan  (dapur)
Seperti yang diketahui Ropokan atau dapur ini terletak di dalam ruang Langsang Sid Dongkob, iaitu di sebelah kanan ruang ini jika menghadap ke pintu keluar. Ianya berbentuk segiempat sama dan berukuran lebih kurang 1 meter x 1 meter. Kedudukkan ruang dapur ini ada juga yang di sebelah kiri ruang Langsang Sid Dongkob, dan ini terpulang pada penghuni untuk meletakkannya di bahagian mana. Di sinilah aktiviti memasak dilakukan setiap hari. Ropokan ini dibina dengan mengikat kayu-kayu kecil berbentuk bertingkat dan tingkat atas ropokan ini disebut sebagai Pala (para) yang bertujuan untuk mengeringkan makanan atau menyimpan makanan atau peralatan memasak. Kebiasaannya kawasan ropokan ini akan kelihatan hitam akibat dari asap dapur.

Tingkang Sid Apad atau Tingkang (ruang tidur)
Ruang ini adalah sambungan dari ruang Langsang  Sid Dongkob atau Ongkob yang berukuran lebih kurang 2 meter x 3 meter. Ruang ini agak tinggi sedikit dari ruang Langsang Sid Dongkob, iaitu lebih kurang 15 sentimeter tinggi. Lantainya juga diperbuat daripada buluh yang dibelah-belah kecil sebesar 3 sentimeter. Atap yang menurun dari ruang Langsang Sid Dongkob, terus ke hujung Tingkang Sid Apad ini iaitu berketinggian lebih kurang 1 meter di hujung ruang ini. Di hujung Tingkang Sid Apad ini tidak berdinding rapat kecuali dipagari dengan kayu-kayu kecil yang bulat sebesar ibu jari, yang bertujuan untuk memudahkan angin masuk. Di ruang ini selalunya ahli keluarga tidur, kecuali anak lelaki yang sudah remaja. Di kiri kanan ruang ini juga di dinding dengan  kulit kayu, iaitu bersempadanan dengan valai di sebelah menyebelah

Langsang Sid Apad atau Lacang (Laluan )
Ruang ini adalah sambungan yang diteruskan dari ruang Langsang Sid Dongkob atau Ongkob, tapi dipisahkan dengan dinding kulit kayu dan dihubungkan dengan sebuah pintu. Ianya berukuran 7 kaku x 8 kaki. Ruang ini di lantai dengan batang nibong yang dibelah-belah sebesar 2 hingga 3 inci. Di ruang ini ia selalunya dijalankan aktiviti seperti menumbuk padi , jagung dan sebagainya. Ruang ini juga berfungsi sebagai ruang laluan,  bagi penghuni rumah panjang dari hujung ke hujung dan ruang ini juga sering digunakan sewaktu perayaan.

Tingkang Sid Apad atau Dapat. (ruang tamu yang terbuka)
Ruang ini adalah ruang yang paling akhir dibina dan ia adalah sambungan dari ruang Langsang Sid Apad, Seperti ruang Langsang sid Apad juga, lantai di ruang ini diperbuat daripada batang nibong yang dibelah-belah sebesar 2 hingga 3 inci. Saiz ruang  berukuran 7 kaki x 8 kaki. Atap akan menurun ke hujung ruang ini seperti  juga di ruang Tingkang Sid Dongkob. Di hujung ruang  ini juga di dinding atau dipagari dengan kayu  sebesar ibu jari yang berfungsi untuk melancarkan pergerakan udara ke ruang ini. Tinggi hujung ruang ini dari paras lantai ke atap ialah lebih kurang 1 meter. 

Ruang ini fungsinya adalah  untuk tetamu yang baru sampai untuk berkunjung ke sesebuah rumah panjang, selain itu tempat ini juga berfungsi sebagai tempat mereka berehat-rehat selepas penat bekerja dan berbual serta bertukar-tukar fikiran dengan ahli keluarga atau jiran-jiran. Selain itu ruang ini juga digunakan sebagai tempat tidur anak-anak lelaki yang sudah remaja ataupun yang belum berkahwin dan juga tempat tidur untuk tetamu lelaki.


Tukad (tangga)
Tukad atau tangga ini akan dipasang di tiap-tiap hujung rumah panjang ini, iaitu di hujung ruang Langsang Sid Apad. Tangga ini selalunya diperbuat daripada kayu bulat yang bergaris pusat 1 kaki. Kemudian ditakuk 8 inci sebagai tapak untuk menaikinya ke atas. Ianya dipasang pada kecondongan 75 hingga 80 darjah dari paras tanah. Biasanya kayu yang dipilih adalah dari jenis kayu yang keras.

RUMAH MENJADI PANJANG.

Sebuah atau seunit rumah Runggus ini akan menjadi panjang apabila di sebelah unit rumah ini disambung dengan rumah yang baru sama ada di sebelah kiri atau kanan rumah tersebut. Selepas itu rumah ini akan disambung lagi dengan unit yang baru dan sehinggalah rumah ini menjadi satu rumah yang panjang, hasil dari sambungan dari sebuah rumah yang pertama sekali didirikan. Lazimnya individu yang mendirikan atau menyambung unit rumah ini adalah orang yang paling rapat dengan pemilik rumah asal, seperti anak-anak yang sudah berkahwin dan saudara mara lain yang terdekat. Bagi anak yang sudah berkahwin digalakkan hidup berasingan dari keluarga ibu bapa mereka dan selalunya mereka akan membina rumah bersebelahan rumah ibu bapa mereka ini. Bagi saudara mara terdekat pula mereka kena meminta izin dulu pada rumah bersebelahan jika ingin membina atau menyambung rumah bersebelahan. Maka dengan ini sesebuah rumah runggus ini akan menjadi bertambah panjang dari masa ke semasa.

Sekian.

4 comments:

  1. Terima kasih atas maklumat yang lengkap Dan padat.... Ini memudahkan Saya untuk melakukan tugasan yang perlu disiapkan dengan segera...

    ReplyDelete
  2. Sama-sama. Terima kasih kerana sudi membaca blog saya nii

    ReplyDelete
  3. admin, saya ingin bertanya jika ada aktiviti berunusr muzikal seperti ensembel gong yang dimainkan oleh etnik rungus di tempat ini? jika ada, ia diharapkan boleh membantu kajian saya yang berunsurkan etnomuzik.

    ReplyDelete
  4. Semasa lawatan saya ke tempat ini...tiada aktiviti berunsur muzikal dilakukan. yang ada hanya sulaman kain masyarakat Rungus.

    ReplyDelete