Friday, 9 September 2016

Jom Kita Ke Galeri Sultan Abdul Aziz Di Klang

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,



Hai korang semua...apa khabar? Hampir 20 tahun aku tak jejak kaki kat Klang... Dulu masa belajar ada laa gak gi jalan-jalan menyoping kat sana. Dah banyak sangat perubahan yang berlaku. Peluang untuk melakukan kerja-kerja pemeriksaan di Klang buat aku rasa gembira sebab teruja nak tahu...apa yang menarik kat sana. Antara yang menarik minat aku ialah.... 
Galeri Sultan Suleiman ini yang aku terokai kerana ia merupakan bangunan paling lama dan penuh dengan sejarah di Klang. Bangunan ini dibina pada tahun 1909, oleh arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri-negeri Melayu Bersekutu ketika itu, Mr. Arthur B. Hubback (memang sangat terkenal mereka pelan bangunan-bangunan yang popular di Malaysia) semasa pemerintahan Sultan Ala'eddin Suleiman Shah, Sultan Selangor ke-5 yang memerintah dari tahun 1898 hingga 1938.




Bangunan ini yang dikenali sebagai 'Rumah Putih' oleh penduduk tempatan mula menempatkan pejabat Pegawai Daerah yang menguruskan hal-hal berkaitan tanah dan harta benda. Peti-peti besi digunakan untuk menyimpan geran tanah dan dokumen-dokumen penting masih wujud di beberapa ruang bangunan. Semasa Jepun menakluki Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua, bangunan ini  terselamat daripada sebarang bentuk pengeboman. Hal ini telah menarik minat tentera Jepun (juntai) untuk menjadikan bangunan ini sebagai markas tenteranya pada tahun 1941. Setelah Jepun menyerah kalah, 'Rumah Putih' ini telah dikosongkan dan dijadikan sebagai rumah rehat untuk sementara waktu. 





Pada tahun 1949, bangunan ini telah diubahsuaikan dalamannya dengan membina dinding-dinding dan pembahagi bagi menambahkan keperluan ruang pejabat untuk dijadikan pejabat pentadbiran kepada Lembaga Bandaran Klang. Ketika itu, Tanah Melayu sedang melalui zaman peralihan, daripada sebuah tanah jajahan British kepada sebuah negara merdeka. Lembaga Bandaran Klang terus menduduki bangunan ini sehinggalah ke tahun 1974.



Pada tahun 1974 pula bangunan ini kemudiannnya dihuni oleh Polis Kontijen Selangor. Pada ketika itu, Kuala Lumpur telah pun dijadikan ibu negara Malaysia dan bandar Shah Alam masih di dalam fasa pembinaan sebagai ibu negeri Selangor yang baru. Semasa menduduki bangunan ini, pihak polis telah mengubahsuai ruang dalaman bangunan untuk ditempatkan Ibu pejabat Jabatan Penyiasatan Jenayah, Cawangan Khas Selangor dan Polis Marin. Lokap juga dibina didalam bangunan ini. Polis Kontijen Selangor kekal mendiami bangunan ini sehingga tahun 1985.  



Dua tahun kemudiannya pula, Majlis Perbandaran Klang mengambilalih semula pentadbiran bangunan dan melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian bagi menempatkan Jabatan Undang-undang, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta serta Jabatan Penguatkuasa di bangunan ini. Bangunan tambahan juga dibina bagi meningkatkan kemudahan prasarana seperti pembinaan kaunter pelanggan, bilik air dan surau. Pagar konkrit didirikan di sekeliling kawasan bangunan serta lanskap dibina di kawasan laman tengah bagi memaksimakan penggunaan kawasan dan meminimumkan penyelenggaraan.
Majlis Perbandaran kekal menghuni di bangunan ini selama 15 tahun sehinggakan Bangunan Sultan Suleiman dikenali oleh penduduk tempatan sebagai 'tempat membayar saman'. 


Bangunan kolonial dua tingkat ini secara keseluruhannya berciri senibina 'Neo-Classic' yang dapat dilihat pada fasad bangunan terutamanya pada tiang-tiang besar dan 'pediment' berbentuk segitiga di bahagian bumbung. Penggunaan tiang-tiang ini adalah sebagai lambang kekukuhan Sistem Pentadbiran Kerajaan Inggeris pada masa itu. 


Bangunan  Sultan Suleiman ini dibina secara simetri iaitu bahagian tengah bangunan diaplikasikan sebagai asas binaan untuk membahagi sayap kanan dan sayap kiri bangunan. Bangunan ini terbentuk seperti bentuk 'U' yang merujuk kepada ciri-ciri keseimbangan dalam seni binaan 'Neo-Classic'. Keseimbangan dan keharmonian ini terserlah dengan terdapatnya beberapa elemen seni bina tiang, dedaun tingkap, kekisi pintu, beranda dan serambi anjung di kedua-dua sayap kanan dan kiri.
Selain daripada itu, penggunaan bumbung genting berwarna merah mengunjur bagi melindungi dinding di tingkat atas daripada sinaran matahari dan hujan. Lantai bangunan di tingkat bawah pada asalnya menggunakan simen lepaan, tetapi kini dinaik taraf menggunakan jubin pada tahun 2005. Manakala lantai di tingkat atas bangunan masih dikekalkan daripada jenis kayu.


Bersesuaian dengan cuaca tempatan yang panas dan lembab, bangunan Sultan Suleiman dibina dengan siling yang tinggi dan bukaan yang banyak bagi tujuan pengaliran udara yang baik agar dapat memberikan keselesaan kepada penghuninya.  Pada 22 Februari 1989, iaitu selepas hampir 80 tahun, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor kelapan, telah berkenan menamakan bangunan ini sebagai 'Bangunan Sultan Suleiman', mengambil sempena nama nenda baginda. 



Berkat keprihatinan dan kesedaran akan kepentingan bangunan ini, maka pada tahun 2002, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor ke sembilan, menitahkan agar Bangunan Sultan Suleiman dibaikpulih sebaik mungkin untuk dijadikan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz. Kerja-kerja pembaikpulih bermula pada bulan Januari 2005 dengan menitikberatkan aspek konservasi bagi mengekalkan keaslian senibina bangunan seperti yang dikehendaki baginda Sultan. Kerja-kerja konservasi selesai dilaksanakan setahun kemudian diikuti dengan kerja-kerja susun-atur dalaman yang juga memakan masa selama setahun untuk disiapkan. 




Bangunan asal dikekalkan dan dibaik-pulih seperti mana ianya mula-mula dibina pada tahun 1909. Penghadang dan dinding tambahan diruntuhkan bagi melapangkan keseluruhan dalaman bangunan. Bangunan Pentadbiran dan stor seluas 5,400 kaki persegi dibina berasingan di bahagian belakang bangunan asal. Laman tengah diserikan dan 'dihidupkan' semula dengan ciri-ciri lanskap yang sederhana. Bangunan Sultan Suleiman menjalani proses perubahan dari sebuah bangunan pejabat kepada sebuah Galeri Diraja yang mengkagumkan.



Kini bangunan ini menyimpan khazanah Kesultanan Selangor dan artifak peninggalan Sultan-sultan yang terdahulu yang menjadi tarikan utama pengunjung dari seluruh dunia. Susun atur dalaman bangunan yang kini menjadi Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz memberi penceritaan sejarah bagi penubuhan institusi Kesultanan Selangor yang bermula pada tahun 1776 sehingga kini. Walaupun fungsi bangunan Sultan Suleiman telah berubah, namun struktur asal bangunan ini masih dikekalkan seperti mana ianya dibina sekurun yang lalu. Panel-panel gambar yang diletakkan di dinding untuk mempamerkan artifak dibina tanpa merosakkan struktur dinding serta tingkap bangunan.


Korang mesti rasa seronok dan hayal bila berada didalam galeri dua tingkat ini yang memaparkan tentang salasiah keturunan Sultan Selangor serta koleksi-koleksi peribadi beliau. Bangunan sebegini seharusnya dipulihara dan dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang walaupun fungsinya mungkin berubah. Yang penting ia kekal terpelihara dan digunapakai dengan cara terbaik.


Sekian.

No comments:

Post a comment