Thursday, 15 September 2016

Jom Ke Fort Cornwallis, Pulau Pinang.... Kota Pertahanan Dan Pentadbiran British


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,



hai korang semua apa khabar? Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Hari nii aku nak bawa korang ke negeri Pulau Pinang pula untuk melihat tempat bersejarah. Aku dah banyak kali jugak ke sini...... cuma tak berpeluang untuk melihat lebih dekat Kota Cornwallis ini. Kota ini memang sangat terkenal oleh penduduk tempatan juga penduduk luar.... dan terkenal dengan sejarahnya. Sebab itu aku teringin sangat nak lihat apa yang ada kat dalam kota ini... Kebetulan plak aku memang plan buat pemantauan ke Negeri Pulau Pinang (Prince Of Wales Island - nama yang diberikan British untuk Pulau Pinang) tahun nii... bagai pucuk dicita ulam mendatang...




Kota Cornwallis direka seakan bintang dengan empat penjuru ini terbina di tapak pendaratan Francis Light bersama pengiring-pengiring beliau pada tahun 1786 untuk ‘mengambil alih’ Pulau Pinang. Pada mulanya kota ini diperbuat daripada batang nibong dan tidak lama kemudiannya ia diganti dengan jenis batu-bata yang melitupi kawasan seluas 416.6 kaki persegi.




Pada tahun 1804 pula, kota ini dibina semula dengan batu-bata dan batu dengan menggunakan tenaga buruh tahanan India semasa perkhidmatan Kolonel R.T. Farquhar sebagai Gabenor Pulau Pinang. Bentuk kota ini dapat dilihat pada lukisan-lukisan dan poskad lama yang memperlihatkan benteng dan beberapa buah bangunan di dalamnya. Di antaranya ialah gereja kecil dan gedung peluru yang masih kekal sehingga kini.
 


Kota ini telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak Tanah Bersejarah di bawah Akta Benda purba Bil. 168/1976 pada 8 September 1977. Pada tahun 2000 kota ini telah dibaikpulih dan sebahagian daripada parit telah dibina semula oleh Jabatan Muzium Dan Antikuiti.




Kota Cornwallis adalah kota lama yang terletak di timur laut Pulau Pinang berhampiran Padang Kota Lama. Ia didirikan pada tahun 1786, dan dinamakan sempena nama Gabenor Jeneral India masa itu - Charles Earl Cornwallis.  Kota Cornwallis siap sepenuhnya pada tahun 1810 semasa perkhidmatan Norman Macalister sebagai Gabenor Pulau Pinang dengan kos sebanyak $80,000.
 


Ia bertujuan bagi mempertahankan kepentingan British dari serangan Perancis.Dinding-dinding kebunya,yang setinggi 10 kaki, dibina dalam bentuk bintang. Pada hari ini, kawasan ini hanya tinggal batu luar tetapi di dalam kubu masih terdapat beberapa struktur asal yang dibina lebih seabad yang lalu, termasuk sebuah gereja kecil, sel-sel penjara, bilik tahanan, kawasan storan senjata dan peluru, tiang bendera asal dan kira-kira 17 buah meriam gangsa lama, salah satu daripada meriam Belanda ini bernama Seri Rambai, yang bertarikh 1603. Meriam ini pada asalnya adalah kepunyaan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC), yang dihadiahkan oleh Belanda kepada Sultan Johor sebelum ia berpindah tangan dari satu kerajaan kepada kerajaan lain akibat peperangan.


Jata syarikat 'VOC' tersebut masih jelas tertera pada meriam Sri Rambai itu. Kini matlamat utama kota ini adalah sebaliknya, ia kini merupakan tumpuan pelancong utama di Georgetown, Pulau Pinang, Malaysia. Pada masa kini ia memiliki galeri sejarah dan kedai cendera hati. 




Di dalam kota itu juga terletak meriam Sri Rambai yang merupakan salah satu meriam yang masyhur yang digunakan oleh Francis Light semasa tempoh pemerintahannya di Pulau Pinang. Sungguhpun kota ini pada asalnya dibina bagi kegunaan tentera dan pasukan artileri Diraja tetapi fungsinya lebih kepada pentadbiran berbanding pertahanan.


Sepanjang sejarahnya, kota ini tidak pernah terbabit dalam sebarang pertempuran. Selain digunakan oleh pasukan artileri Diraja United Kingdom, kota ini pernah diduduki oleh Polis Sikh Negeri-negeri Selat pada tahun 1920-an. Kini, ia merupakan salah satu tarikan pelancong utama ke Pulau Pinang.




Pada hari ini, tapak bersejarah yang diuruskan secara persendirian ini popular di kalangan pengunjung. Ia dilengkapi dengan kiosk informasi pelancong, sebuah kafe, dewan terbuka, galeri sejarah, pusat cenderamata serta jurupandu yang boleh membawa pelancong-pelancong melawati kawasan kubu sambil memberi penerangan tentang sejarahnya.



Fort Cornwallis ini dinamakan bersempena Charles Cornwallis, 1st Marquess Cornwallis. Cornwallis ini seorang yang sangat terkenal di Amerika Syarikat. Beliau dilahirkan pada tahun 1738 dan mendapat pendidikan di Eton dan Cambridge. Selesai pengajian Charles Cornwallis berkhidmat dengan pasukan tentera British di koloni mereka di Amerika pada tahun 1776. Di sinilah nama Cornwallis bangkit dan jatuh.


Beliau menjadi pegawai tentera yang terkenal kerana penglibatan beliau didalam Perang Revolusi Amerika. Nama beliau meningkat naik kerana berjaya mengarahkan bala tentera dibawah pengawasan beliau untuk megalahkan pejuang kemerdekaan Amerika. Walau bagaimanapun beliau akhirnya tewas di Siege of Yorktown pada tahun 1781. Tentera British seramai 8000 orang dibawah arahan beliau dikepong oleh gabungan tentera Amerika dan Perancis dibawah arahan Jeneral George Washington.


Selepas dibedil meriam selama berhari-hari akhirnya Lord Cornwallis menyerah kalah kepada Washington. Sungguhpun begitu kerana ingin menjaga air muka, beliau menghantaran orang bawahan beliau untuk menyerahkan pedang beliau kepada George Washington.



Kekalahan tentera British di Yorktown ini menamatkan sokongan terhadap peperangan di Britain. Ianya titik tolak kearah berakhirnya peperangan revolusi Amerika dan mengunjur kepada kemerdekaan mutlak Amerika Syarikat dari British pada tahun 1783 Lord Cornwallis pulang ke Britain pada tahun 1781. Walaupun beliau menyerah kalah kepada tentera General Washington, reputasi beliau masih tidak tercalar dan pada tahun 1786 beliau dilantik menjadi Governor General koloni British di India.



Sayangnya kota ini telah mengalami kerosakan yang amat teruk. Keretakan dan pertumbuhan lumut berlaku pada dinding kota ini. Pemuliharaan kota ini memerlukan perancangan yang rapi kerana peruntukannya sangat tinggi  dengan kadar segera.


Sekian.

No comments:

Post a comment