Tuesday, 27 September 2016

Gertak Gantung Sultan Ismail Menjadi Jalan Perhubungan Penting Antara Kota Bharu Dan Kuala Krai Sejak Zaman Penjajah

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Hai korang semua. Hari nii jom aku bawa korang semua untuk melihat tapak bersejarah di Kelantan. Kalau korang ke Kuala Krai...korang akan perasan akan gertak gantung ini. Gertak gantung ini tidak lagi digunakan kerana mengalami kerosakan yang teruk walau pun strukturnya masih teguh berdiri dan perlu dilakukan kerja-kerja pemuliharaan.



Jambatan Sultan Ismail atau lebih dikenali dengan nama "Gertak Gantung" menjadi jalan perhubungan yang penting antara Kota Bharu dan Kuala Krai sejak zaman penjajah lagi. Nama Jambatan Gantung Sultan Ismail Sungai Nal mungkin kurang diketahui umum termasuk masyarakat di daerah ini kerana monumen ini lebih dikenali sebagai Gertak Gantung Sungai Nal dalam kalangan penduduk tempatan.


Gertak ini terletak di kilometer 9 Jalan Kuala Krai ke Kota Bharu. Ianya siap dibina pada tahun 1932 dan telah disempurnakan perasmiannya oleh KDYMM Sultan Ismail pada 19 April 1932.



Dalam Rancangan Malaysia Keempat, sistem perhubungan jalanraya di negeri Kelantan telah dinaikkan taraf dan Gertak Gantung Sultan Ismail ini tidak lagi digunakan setelah jambatan baru disebelahnya siap pada akhir tahun 1986. Walau bagaimanapun "Gertak Gantung" ini tetap dikekalkan untuk dijadikan warisan sejarah kepada generasi akan datang.

Reka bentuknya menyerupai kebanyakan jambatan yang terdapat di Eropah berdasarkan struktur binaannya menggunakan besi keluli yang begitu teguh dan kuat. Gertak ini mempunyai ukuran panjang 21 meter dan lebar sembilan meter digantung menggunakan tali besi dengan ukur lilit 12 inci, dipintal di bahagian luar dengan dawai besi lebih kecil menampakkan seperti tali berpintal.




Bermula 1986, jambatan itu tidak lagi digunakan setelah jambatan baharu berhampirannya siap dibina, menyebabkan jambatan yang begitu bermakna kepada penduduk dan mempunyai nilai sejarah itu terbiar.

Jambatan berkenaan mampu menjadi salah satu produk pelancongan terkenal, bukan hanya di daerah ini malah kepada Kelantan secara umumnya sekiranya ia diberi penjagaan dan pemuliharaan sempurna. 
Kini, Jambatan Gantung Sultan Ismail Sungai Nal yang menjadi simbol Daerah Kuala Krai dikhuatiri akan lenyap dalam lipatan sejarah negeri berikutan kayu lantai jambatan itu sudah semakin reput.

Kawasan yang mempunyai nilai sejarah ini pernah terbakar dipercayai berpunca daripada puntung rokok yang dibuang warga asing ketika dalam perjalanan untuk ke pasar malam tidak jauh dari kawasan tersebut.

Di kedua-dua laluan gertak gantung ini ada disediakan wakaf untuk kemudahan pengunjung yang datang ke sini. Terdapat juga anak tangga batu untuk menuruni ke sungai Krai dari gertak gantung ini.

Sekian.

No comments:

Post a comment