Friday, 30 September 2016

Bubur Anak Lebah....Makanan Warisan Daerah Perak Tengah...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua. Apa khabar pagi nii? Semoga semuanya sihat sahaja hendaknya. Pagi nii aku nak citer kat korang tentang makanan warisan negeri Perak. Dengar jer nama bubur nii pun pasti ada yang terkejuz....aku Orang Perak sendiri pun terkejut masa mula-mula dengor... Bubur Anak Lebah! Bubur apa nii...ada anak lebah lagi...mana nak dapat anak-anak lebah nii....ngeri jugak aku nak makan!!


Rupenyer namanyer jer yang gempak.....edok la teman tahu selama nii...Dah laa namanya pun gempak...cara membuatnya pun sangatlah unik. Aku teruja betul kerana dapat menyaksikan cara pembuatan Bubur Anak Lebah nii. Yang membuatnya pula otai-otai....opah aku (umur dah 70 lebih), makcik aku dan jiran-jiran kat kampung. Air tangan orang-orang lama nii memang tak boleh nak dipertikaikan lagi...memang gerenti sedap 100% laa....


Makcik aku cakap...Bubuor Anak Lobah (bahasa Perak) nii...selalunya dimasak atau dihidangkan untuk majlis lepas berpantang...majlis naik buai dan cukur jambul laa kiranya. Selama nii aku tak pernah plak jumpa....tetapi sekarang ramai yang telah popularkannya semula di majlis-majlis perkahwinan. Setahu aku Bubur Anak Lebah ini popular di Perak Tengah iaitu di area Bota.

Bubur Anak Lebah nii....bukan laa dimasak guna anak lebah tetapi rupa tepung tuu setelah dimasak macam anak lebah....aku tengok macam cendol jer tapi sebenarnya lebih gemuk sikit dan pendek daripada cendol sebab tuu dipanggil anak lebah.





Niii resepi yang aku ambik dari blog Masam Manis Cook With Love... sebab aku terlupa nak minta resepinya kat makcik aku sebab terlalu teruja sangat lihat cara-cara Bubur Anak Lebah ini dibuat.......

BUBUR ANAK LEBAH
Resepi Oleh : Norlie

ADUNAN PULUT
1 cawan beras pulut
1 cawan santan cair
1/2 sudu teh garam

Cara Membuatnya

  1. Rendam dahulu pulut dalam 2 jam. Kemudian cuci bersih.
  2. Satukan pulut bersama santan dan garam dan tanak hingga masak.
  3. Boleh juga pulut ini di kukus. Tapi ita tanak aje dalam periuk nasi, mudah dan cepat.
  4. Bila dah masak ketepiakan.


Alat untuk membuat Bubur Anak Lebah


Sekarang kita sediakan adunan tepung pula


ADUNAN TEPUNG
1 cawan tepung beras
1/2 cawan air pandan
secubit garam
1 sudu teh air kapur - ambil air yang jernih

Cara Membuatnya

  1. Mula-mula sediakan air pandan dahulu. Ambil dalam 4 helai daun pandan dan kisar bersama dengan 1/2 cawan air. Kemudian tapis 
  2. Dalam bekas, satukan tepung beras bersama garam
  3. Tuangkan air kapur dan air pandan dalam adunan. Jangan tuang semua ya air pandan tu. 
  4. Tuang sikit-sikit dan uli hingga jadi doh yang boleh kita bulat-bulatkan
  5. Kalau air terlebih dan adunan lembik tambah aje sikit lagi tepung. Kalau air terkurang tambah air biasa pun tak pe
  6. Kemudian bulat-bulatkan sebesar pingpong dan ketepikan


Sekarang kita sediakan kuahnya pula...

KUAH SANTAN
1 cawan gula pasir
1/2 buku gula Melaka ~ gula Melaka ni kalau nak letak boleh tak letak pun boleh. Tapi kalau
letak lagi sedap sebab rasa lemak gula Melakanya.
1 helai daun pandan di simpul
Air secukupnya
300 ml santan pekat ~ ita guna santan KARA
secubit garam

Cara Membuatnya

  1. Dalam periuk masukkan gula pasir, gula Melaka, air dan daun pandan. Masak hingga gula larut.
  2. Kemudian tapis untuk buang kekotoran pada gula Melaka.
  3. Masukkan semula dalam periuk dan masak semula atas api sederhana.
  4. Tambahkan santan dan garam secukup rasa.
  5. Bila dah masuk santan kena senantiasa kacau supaya tidak pecah santan.
  6. Perlahankan api dan parutkan doh tepung tadi menggunakan sagat yang berlubang atau boleh guna acuan maruku.
  7. Sambil parut sambil kacau ya takut santan pecah.
  8. Bila nampak tepung tu dah mula terapung bermakna bubur kita dah masak.


* kuah tadi biar cair ya atau kuahnya tu lebihkan sedikit air sebab bila parut tepung tuu kuahnya akan pekat sikit, sebab tepung tu sendiri akan memekatkan kuah


Yang paling aku suka tengok ialah alat (acuan) untuk membuat Bubur Anak Lebah nii....besornyerr...macamana rupe nak guna. Rupa acuan macam penyagat nii...kena ada tukang pegang di kiri dan kanannya...sorang kiri dan seorang kanan. Sorang lagi tukang sagat tepung ke dalam periuk yang dipanaskan bersama kuah santan dibawahnya...(korang boleh rujuk gambar). Sorang lagi pulak tukang kacau kuah kat dalam periuk tuu supaya tak bergumpal dan hangit. Untuk menyiapkan Bubur Anak Lebah nii...kena ada 4 orang 'kuat'.

Perrrgh...memang kreatif laa orang zaman dulu-dulu. Yang seronoknya masak Bubur Anak Lebah ini dibuat secara gotong-royong atau beramai-ramai...Bestkan!!

First time aku try makan...memang laa aku tak gemor (tak suka). Bukannya sebab tak sedap... tapi aku ni tak minat nak makan makanan yang manis-manis... Bubur yang aku makan ada 2 jenis jer...iaitu bubur kacang hijau dan bubur nasi. Yang lain memang aku tak suka sangat sebab manis...Aku lebih suka makanan yang pedas.


Tapi bila dah try 3, 4 kali sikit-sikit....lama-lama aku tersuka jugak. Satu mangkuk kecil boleh laa aku habiskan... Mangkuk besar memang edok (tak) laa teman dapat menghabiskannyer... Rupanya kat Negeri Sembilan pun ada Bubur Anak Lebah ini tapi warnanya sedikit berbeza sebab menggunakan gula Melaka...so buburnya berwarna coklat. Kalau kat Perak menggunakan gula pasir dan tepung diwarnakan hijau menggunakan air daun pandan...sebab tu nampak macam cendol. Bahan-bahannya pula sangat mudah diperolehi tetapi proses pembuatannya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana terpaksa menahan diri daripada kepanasan api. Selalunya kat kampung ia dimasak menggunakan periuk besar di luar rumah.

Aku harap makanan warisan seperti ini dapat diketengahkan semula supaya ia tidak pupus ditelan zaman. Rugi sekiranya makanan turun temurun yang sedap macam ini tidak diwarisi kepada generasi muda.

Sekian.

Menyeramkan Tetapi Terpesona Dengan Senibina Istana Kellie...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Mungkin ramai antara korang yang dah biasa dengar tentang nama Kellie's Castle ini... Setiap kali aku datang ke istana ini aku memang teruja dan terpesona....tetapi ada juga rasa seramnya tuu... Aku suka tengok keindahan senibina istana ini...memang cantik dan mengkagumkan serta rasa mendamaikan kerana istana ini terletak di atas bukit. Kalau dari rumah aku tak jauh pun...adalah dalam 10 hingga 15 minit dengan menaiki kereta. Kalau korang ke sini...jangan lupa cari pokok yang batangnya berbentuk beruang (dijumpai oleh pelakon Mustapa Kamal). 


Istana Kellie atau Kellie's Castle ialah sebuah istana yang terletak di tepi Jalan Simpang Pulai ke Batu Gajah, Negeri Perak. 
 


Istana Kellie atau dikenali juga dengan nama Rumah Kellas merupakan bangunan tiga tingkat yang telah dibina pada tahun 1910 oleh seorang peladang getah terkemuka British yang bernama William Smith.


William Smith dilahirkan pada 1 Mac 1870 di Moray Firth, Dellas, sebuah kawasan tanah tinggi di Scotland. Dilahirkan dalam keluarga petani, beliau merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik.



Pada 1 Mac 1890, sewaktu berumur 20 tahun, William dikatakan telah merantau ke Malaya untuk menambahbaik taraf kehidupannya, beliau bermula sebagai jurutera awam dengan mendapat kontrak selama 2 tahun dengan kerajaan kolonial bagi membina laluan keretapi ke sebuah kuari batu yang baru, malangnya projek ini mempunyai masalah lalu beliau terpaksa menghentikannya. William seterusnya membuat kerja usahasama (business venture) dengan seorang kontraktor, Charles Alma Baker bagi mengusahakan projek membina jalan raya di Perak. (sumber: Utusan Malaysia, 22 Januari 2008)


Ternyata usahasama beliau dengan Charles Alma Baker begitu menjadi, beliau berjaya mendapatkan 200 ekar tanah di Batu Gajah untuk diusahakan. William memilih untuk mengusahakan tanaman kopi mulai tahun 1896, namun ianya tidak bertahan lama kerana pasaran untuk kopi Malaya telah merosot akibat kemunculan kopi dari Brazil yang sangat popular.




William kemudiannya telah menggantikan tanaman kopi beliau dengan getah, ianya dianggap tindakan yang bersesuaian pada ketika itu kerana getah sangat diperlukan sebagai bahan mentah dalam pembuatan tayar pneumatik. Industri pembuatan kenderaan yang sedang meningkat naik di Eropah menyebabkan permintaan terhadap getah menjadi tinggi dan lumayan.


Ladang getah seluas 144 ekar itu diusahakan bersama rakan kongsi beliau, Alma Baker (sumber: Berita Harian, 17 September 2008), akhirnya berjaya dan William Smiths membeli sebuah ladang di kawasan Batu Gajah. Estet berkenaan kemudiannya dinamakan Ladang Kinta Kellas.






Selain itu, William Smith turut mengusahakan syarikat perlombongan bijih timah yang dinamakan Kinta Kellas Dredging Company. Menurut  (Dr. Ho Tak Ming, 2007), pada tahun 1903, William Smith terpaksa pulang ke Scotland bagi melawat ibu beliau yang sedang nazak, dalam perjalanan pulang inilah beliau bertemu dengan bakal isterinya, Agnes. Agnes adalah merupakan pewaris kepada perniagaan kapas yang diusahakan oleh keluarganya. Agnes dikatakan bakal mewarisi dana sebanyak 300,000 pound. Setelah kembali semula ke Malaya, William telah menambah nama “Kellie” pada nama beliau dan mahu dikenali sebagai William Kellie Smith. Nama “Kellie” adalah bersempena nama ibunya. 


Setelah mengahwini Agnes, William tinggal di rumah yang telah dibina olehnya di kawasan ladang miliknya. Rumah berkenaan dinamakan Kellas House sempena rumahnya di Scotland. Kellas House dibina dari pada kayu untuk cuaca tropika.  Pada ketika musim panas, suhu dalam rumah turut menjadi tinggi. Suhu yang panas sangat tidak menyenangkan Agnes, beliau tidak sukakan Kellas House dan mengindamkan sebuah rumah yang lebih selesa. 


Sewaktu mengandungkan Helen, Agnes telah menyuarakan hasrat tersebut kepada William. Sudah menjadi kelaziman keluarga elit dari eropah pada ketika itu, untuk lari dari cuaca panas, mereka akan berkunjung ke Bukit Maxwell di Taiping atau Bukit Kledang di Menglembu, Ipoh.



Menyedari situasi kewangan beliau yang baik, William bersetuju dengan cadangan isterinya. Tambahan pula isterinya itu bakal mewarisi dana sebanyak 300,000 Pound sterling yang dianggap lebih dari cukup untuk membiayai rumah idaman mereka. Setelah Agnes melahirkan anak sulung mereka Helen pada 1904, William tanpa berlengah lagi terus mengusahakan pembinaan kediaman baru mereka.



Dalam tahun yang sama, William telah berurusan dengan sebuah firma kewangan dari Singapura untuk memperolehi dana pendahuluan sebanyak 24,000 pound setahun selama 3 tahun. Pembiayaan kewangan ini dikatakan untuk pembangunan ladang milik beliau disamping pembinaan rumah baru keluarga tersebut, pembayaran balik atas dana pendahuluan tersebut akan dilunaskan sebaik sahaja pemegang amanah perniagaan keluarga Agnes melepaskan dana yang diamanahkan kepada mereka.


Pokok beruang

Setahun selepas perancangan pembinaan dibuat, William telah menerima berita yang kurang menyenangkan, pemegang amanah dana milik isterinya telah memaklumkan bahawa dana berjumlah 300,000 pound itu hanya akan dilepaskan dalam tahun 1908.





Tambah menyulitkan lagi, firma kewangan dari Singapura yang menyediakan dana pinjaman kepada william turut mengalami kegawatan ekonomi kesan prestasi perniagaan mereka yang teruk di Indonesia, mereka terpaksa menghentikan pembiayaan kepada William.





Untuk keluar daripada kemelut kewangan ini, William meminta Agnes menulis surat kepada kerajaan kolonial bagi memohon dana bantuan sebanyak 50,000 pound. Permohonan tersebut diterima tetapi dengan nilai separuh daripada yang dimohon, sebelum dikurangkan lagi, akhirnya nilai akhir yang setuju dipinjamkan oleh kerajaan kolonial kepada Agnes adalah sebanyak 10,000 pound. Sikap pemerintah kolonial yang dikatakan skeptikal terhadap keupayaan Agnes bagi membayar balik pembiayaan yang dimohon telah mencabar William untuk meneruskan juga pembinaan rumah kediaman baru mereka.



Kesempitan kewangan ini menyebabkan William terpaksa menjual 2/3 kawasan ladang milik beliau bagi tujuan pembayaran balik dana yang dipinjam. Lebih malang lagi, kali ini permit konsesi milik William melalui aktiviti perlombongan bijih timah telah ditamatkan selain kehilangan ternakan kuda dan lembu akibat wabak penyakit.






Setelah memperolehi dana yang diwarisi oleh Agnes pada tahun 1908, pembinaan istana berkenaan dapat diteruskan. William telah menggaji 70 orang buruh mahir dari Madras, India untuk menyiapkan kediaman tersebut. Kebanyakkan bahan binaan hiasan seperti batu marmar adalah  diimport dari India, sementara Jubin yang digunakan pula diimport dari Itali pada tahun 1904. Batu-bata jenis aprikot yang digunakan dibuat di Malaya, begitu juga dengan kayu cengal yang menghiasi  jenang pintu dan tingkap istana berkenaan. Kualiti kayu cengal sememangnya diakui serta mampu kekal utuh sehingga 200 tahun lamanya.




Oleh kerana pada ketika itu simen tidak ada di Malaya, maka dinding istana tersebut dibina dengan kaedah yang sangat unik, iaitu dengan menggunakan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu. Dengan seni binanya yang mempunyai asimilasi konsep Greco–Roman, Moorish dan India, istana ini sememangnya unik. Malahan binaan yang seumpamanya tidak dapat dilihat dimana-mana kawasan di Malaya pada ketika itu. Di tingkat dua pula akan dibina sebuah padang tenis berlantaikan simen dan di tingkat atas disediakan pelantar untuk helikopter mendarat.



Ciri-ciri senibina yang terdapat pada bangunan sekretariat kolonial di Kuala Lumpur turut diselitkan, bagi mengatasi masalah suhu panas dalam rumah yang menjadi isu kepada Agnes, William menggunakan dinding batu yang tebal, selain laluan berkoridor yang akan membantu pengudaraan yang baik. Istana Kellie sebenarnya pernah mendapat liputan sebuah akhbar Inggeris di London, iaitu London Financier  pada 15 September 1911. Menurut laporan akhbar berkenaan, istana kellie dianggap unik dari sudut rekabentuk binaan serta keluasannya.



Pelan asal ketika istana ini dibina menunjukkan, ianya  mempunyai 14 buah bilik yang mempunyai fungsi berbeza. Setiap bilik ahli keluarga yang terdapat di tingkat satu mempunyai laluan tangga yang boleh digunakan ketika berlaku kecemasan. (sumber: NST, 2004).



Menurut Tajuddin Yaakob, Pengurus Istana Kellie, pembinaan istana ini tidak menggunakan paku, besi atau jentera berat. Menurut beliau lagi, seandainya lif di menara Istana Kellie dapat disiapkan, maka bangunan itu akan menjadi bangunan pertama di Malaya yang mempunyai lif.



Istana ini dikatakan mempunyai tiga terowong dibawahnya, terowong pertama menuju ke kuil Hindu yang berada kira-kira 500 meter dari istana ini, terowong kedua menuju jalan keluar yang berada betul-betul berdekatan kereta milik keluarga Kellie, laluan terowong ini dikatakan telah runtuh dan kereta berkenaan tertimbus dibawah runtuhan tersebut. Terowong terakhir, iaitu terowong ketiga masih kekal misteri kemana arah tujunya.(sumber: NST, 26 Julai 2004).



Terowong pertama dan ke dua sememangnya telah diketahui sejak istana ini ditinggalkan lagi tetapi terowong ketiga hanya ditemui pada tahun 2003 secara tidak sengaja. Ianya ditemui sewaktu Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kerja-kerja membuat jalanraya di Km 4 Jalan Gopeng–Batu Gajah. Projek berkenaan terpaksa dihentikan selama 3 hari. Sewaktu ditermui, terowong yang berketinggian 1.5 meter dengan lebar satu meter itu dalam keadaan ditenggelami air. (sumber: Bernama, 13 Jun 2003).
 

Meskipun masalah kewangan dapat diatasi oleh William, proses pembinaan kediamannya kali ini diancam pula dengan krisis perang dunia pertama yang berlaku di Eropah. Bekalan bahan mentah dari luar negara melalui jalan laut menjadi sangat lambat, sementara kos perdagangan cara darat meningkat berkali ganda. William sangat terdesak untuk menyiapkan segera kediaman tersebut, tambahan pula Agnes telah melahirkan anak kedua mereka, Anthony.





Wabak penyakit yang dinamakan “Spanish’s Flu” yang bermula di Eropah telah tersebar pula ke Asia, terutamanya India, melalui aktiviti perdagangan.  Wabak ini akhirnya melanda Malaya, melalui pekerja ladang yang dibawa dari India. Musibah ini mendatangkan kesan yang amat besar kepada William,  kesemua 70 orang tenaga mahir yang dibawa khas dari India bagi ditugaskan membina istana Kellie telah meninggal dunia akibat wabak ini.


Kesan wabak penyakit "Spanish Flu" yang telah mengorbankan ramai pekerja menyebabkan pekerja ladang yang kebanyakkannya berasal dari India berada dalam ketakutan. Mereka merasakan mereka perlu mendapatkan perlindungan daripada tuhan mereka, lalu memohon William Kellie Smith membina sebuah kuil untuk Dewa Mariamman. William Kellie Smith bersetuju untuk membina kuil tersebut. Sebagai tanda penghargaan kepada William Kellie Smith, sebuah patung berupa beliau telah diukir dan diletakkan bersama patung-patung dewa lain di atas bumbung kuil berkenaan.



Pada tahun 1926, William serta anaknya Helen telah pergi ke Lisbon, Portugal sebelum meneruskan perjalanan ke England untuk melawat Agnes dan Anthony. Ada juga maklumat yang mengatakan William Kellie pulang ke England untuk membawa balik set lif yang ingin beliau pasang di menara istananya (sumber: NST, 27 Mei 2008). Malangnya sewaktu berada di  Portugal, William telah diserang penyakit radang paru-paru yang kronik, beliau akhirnya meninggal dunia di Lisbon pada 11 Disember 1926 pada usia 56 tahun.



Setelah kematian suaminya William Kellie Smith, Agnes telah bertindak menjual segala harta milik mereka, termasuk Istana Kellie   sebelum  meninggalkan Malaya.  (sumber: NST, 27 Mei 2008).




Ladang milik Kellie telah dijual kepada Syarikat Harrisons and Crosfield. Syarikat yang mulai mengambil alih ladang berkenaan ternyata tidak berminat dengan projek istana tersebut, lalu pengarahkan pembinaanya tidak diteruskan dan dibiarkan begitu sahaja. Maka pembinaan Istana Kellie terhenti pada tahun 1926.



Tidak dapat dipastikan sama ada pernah ada usaha untuk menjejaki waris William Kellie Smith atau tidak, namun berdasarkan rekod, anak lelaki beliau, Anthony William Kellie-Smiths pernah berkhidmat dalam pasukan tentera British sewaktu perang dunia ke-2. Anthony kemudiannya terbunuh pada 9 Jun 1942, pada ketika itu beliau berpangkat Leftenan.




Hasil semakan daripada laman web “The Peerage : A genealogical survey of the peerage of Britain as well as the royal families of Europe”(http://www.thepeerage.com/), keturunan William Kellie Smiths yang seterusnya ialah cucu beliau, David Anthony Kellie-Smith yang dilahirkan pada 4 Jun 1940, serta dua orang cicit, iaitu Samuel Anthony Kellie-Smith (dilahirkan pada 12 May 1966) dan Owen William Kellie-Smith (dilahirkan pada 20 Julai 1968), juraian keturunan ini adalah daripada anak lelaki beliau, Anthony, sementara juraian keluarga daripada sebelah anak perempuan Smith, Helen tidak dapat dikesan.



Sebuah jambatan menyeberangi Sungai Kinta dibina untuk pelawat agar mudah ke Istana Kellie. Sebuah kedai makan dan kedai cenderamata dan tapak meletak kereta telah dibina oleh Majlis Daerah Kinta Barat pada tahun 1990.






Pada tahun 2000, projek arkeologi konservasi telah dijalankan ke atas bangunan ini, sebelum proses pemuliharaan dan menaiktaraf turut dilaksanakan pada 2011. Istana Kellie kini berada dalam keadaannya yang terbaik berbanding sebelumnya.


Projek menaiktaraf yang menelan belanja sebanyak RM5 juta itu, merupakan sebahagian daripada projek di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK 10). Projek menaiktaraf yang siap sekitar Oktober 2011 itu telah memberi impak yang sangat besar kepada industri pelancongan Negeri Perak. Ianya berdasarkan kepada statistik pelawat seramai 66,000 orang pelancong dalam dan luar Negara yang berkunjung ke  Istana Kellie sepanjang 2011. (sumber: Bernama, 20 Oktober 2011).




Kini pengurusan Istana Kellie diuruskan oleh sebuah syarikat swasta, Aqfast Enterpise. Pelbagai kemudahan asas juga disediakan seperti surau, tandas, sudut cenderahati, teater mini dan juga kafetaria bagi pengunjung yang datang. Istana ini dibuka kepada kunjungan awam dari jam 8.30 pagi - 7.00 petang (setiap hari).





Untuk maklumat lanjut sila hubungi :


No. Tel. : 05-3668198
Contact person: En. Tajuddin : 019-505 0050
En. Harris : 019-449 5886
Email : aqfast_kelliecastle@yahoo.com



Bayaran masuk

Cuti Umum

  • Foreign Tourist : RM 5.00
  • Pelancong Tempatan : RM 4.00
  • Local Tourist : RM 4.00
  • Pelajar sekolah (Rendah dan Menengah) : RM 3.00
  • O.K.U / bawah 6 tahun : Percuma





Harga Biasa

  • Foreign Tourist : RM 5.00
  • Pelancong Tempatan : RM 4.00
  • Local Tourist : RM 4.00
  • Pelajar sekolah (Rendah dan Menengah) : RM 3.00
  • Pelajar IPT (Perlu tunjuk kad IPT) : RM 3.00
  • O.K.U / bawah 6 tahun : Percuma


Kalau korang nak tahu... Istana Kellie ini sering dijadikan lokasi penggambaran iklan dan filem oleh pengarah filem-filem Inggeris, India dan Hong Kong pada awal 1990 an. Antaranya ialah filem Anna And The King yang dilakonkan oleh Chow Yuen Fatt dan Take 2 My Life.

Meski pun bangunan ini telah melebihi sembilan dekat tetapi strukturnya masih kukuh dan menerima daya tarikan pengunjung setiap hari dari luar dan dalam Malaysia.

Sekian.

**jangan lupa yea follow blog aku nii

Jom Ler ke Galeri Arkeologi Lenggong....

 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

  

Hai korang semua... Apa khabar hari nii?  Aku nak ajak korang ke sebuah tempat yang wajib korang lawati. Korang tahu tak akan kewujudan Galeri Arkeologi Lenggong nii...?? Galeri nii walaupun tak sebesar mana tapi pameran yang ada di dalamnya sangat menarik untuk dilihat serta banyak ilmu yang dapat korang diperolehi. Kerja-kerja arkeologi macam dalam cerita Indiana Jones dan mumia (pyramid) tuuu.... 




Galeri Arkeologi Lenggong atau dikenali sebagai Galeri Arkeologi Kota Tampan terletak di sebuah kawasan bekas ladang Kelapa Sawit di Kampung Kota Tampan, Mukim Temelong, Lenggong dan berada dalam Daerah Hulu Perak iaitu 8 km ke selatan dari Pekan Lenggong dan 2 km dari jalan raya Kuala Kangsar - Grik. Kalau korang dari Kuala Lumpur korang kena exit tol Kuala Kangsar menuju ke Grik.





Lokasi pembangunan Galeri ini dibina berdasarkan kepada signifiken ianya sebagai tapak arkeologi zaman Paleolitik yang wujud sejak 74,000 tahun yang lalu dan juga merupakan penemuan tapak terawal di Kota Tampan. Lembah Lenggong adalah sebuah Daerah yang banyak menyumbang data kepada penemuan prasejarah negara dari 1,000 hingga 300,000 tahun dahulu berdasarkan interpretasi budaya material dan teknologi zaman Paleolitik masyarakat kuno.



Keluasan keseluruhan kawasan Galeri ini di anggarkan seluas 8.16 ekar yang menempatkan 2 blok bangunan yang mempunyai 2 Galeri Pameran, Pejabat, Bilik Audio Visual, Bilik Mesyuarat dan Bilik Penyelidikan.



Galeri Arkeologi Lenggong ditubuhkan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti dibawah Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan pada tahun 1999 dan siap pada 2000. Pada tahun 2001, ia telah dibuka untuk kunjungan awam dengan menyediakan pameran sementara. Kerja-kerja merekabentuk dalaman dan pengisian bermula pada tahun 2001 dan siap pada 2003.



Pameran tetap terletak di:

a. Galeri Arkeologi Lenggong.

b. Galeri Terbuka Kota Tampan.

c. Tapak Warisan Dunia dan

d. Galeri Terbuka Batuan

Pameran sementara pula merupakan penemuan terbaru Arkeologi dari masa ke semasa.


KOLEKSI & GALERI


Galeri ini mempamerkan semua artifak dan maklumat dari ekskavasi Arkeologi Pra Sejarah yang ditemui khususnya tumpuan kepada sekitar Lembah Lenggong dalam bentuk medium yang menarik dan berinformatif. Pameran di galeri utama Galeri ini dikategorikan kepada beberapa bahagian iaitu:-

  1. Pengenalan
  2. Arkeologi
  3. Teknologi
  4. Paleolitik
  5. Gua Gunung Runtuh (Perak Man)
  6. Gua Teluk Kelawar
  7. Gua Harimau
  8. Lukisan Gua
  9. Orang Asli
  10. Tapak Sezaman Lenggong

Di antara koleksi menarik yang dipamerkan di sini ialah:-

  1. Alat-alat batu zaman Paleolitik di Bukit Jawa, Kg. Temelong, Bukit Bunuh dann Lawin.
  2. Alat-alat batu bifas dan unifas yang ditemui di Gua Teluk Kelawar, Gua Ngaum, Gua Gunung Runtuh dan lain-lain tapak di Lembah Lenggong
  3. Rangka 'Perak Man' yang berusia 10,000 - 11,000 tahun yang ditemui di Gua Gunung Runtuh
  4. Peralatan yang digunakan untuk Penyelidikan Arkeologi
  5. Koleksi barangan masyarakat orang Asli dan perkaitannya dengan kehidupan manusia pra-sejarah
  6. Lukisan di Gua-gua dan kajian terhadap tapak arkeologi sezaman dengan Lenggong
  7. Alat-alat pengebumian Neolitik Gangsa Gua Harimau seperti Tembikar, Alat Batu, Perhiasan diri, Acuan dan Kapak Gangsa.
  8. Tapak Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia (UNESCO)




Kemudahan pengangkutan
Galeri Arkeologi Lenggong terletak kira-kira 45 kilometer dari persimpangan Jalan Butterworth/Ipoh dan simpang ke Kuala Kangsar menghala jalan ke Kota Bharu kira-kira 2 kilometer simpang ke Kg. Luat dan Sungai Perak.

Teksi dari Pekan Lenggong ke Galeri.
Kadar Tambang : RM 5.00
Bas Awam dari Kuala Kangsar - Lenggong - Kuala Kangsar
Kadar Tambang : RM 3.20 

Program Pendidikan
  • Khidmat Lawatan Berpandu.
  • Tayangan Audio Visual.
  • Pameran ke sekolah-sekolah.
  • Ceramah Arkeologi.
  • Bengkel dan latihan.
  • Lawatan ke Tapak-tapak Arkeologi.
  • Pertandingan Melukis dan Mewarna Artifak.
  • Kelab Arkeologi Muda, Galeri Arkeologi Lenggong.



Aktiviti
Galeri Arkeologi Lenggong kini banyak mengadakan aktiviti berbentuk pendidikan seperti:-

a.   Tayangan Audio Visual.

b.   Ceramah yang berkaitan Arkeologi.

c.    Bengkel, latihan dan pertandingan yang dianjurkan oleh pihak Galeri.

d.   Latihan Praktikal oleh pelajar IPTA.

e.   Bekerjasama dengan penyelidik.

f. Lawatan ke Tapak-tapak Arkeologi.

Hari & Masa Lawatan
Isnin - Ahad : 9.00 pagi - 5.00 ptg
Jumaat : 9.00 pagi - 12.00 tengahari
3.00 ptg. - 5.00 ptg





Bayaran Masuk

Percuma


Alamat


Galeri Arkeologi Lenggong,


Jabatan Warisan Negara,


Kota Tampan Lenggong,


33400 Perak Darul Ridzuan.


Tel: 05-7679700


Faks: 05-7679703


Kalau korang ke sini banyak tempat-tempat menarik yang korang boleh lawati...antara tapak-tapak arkeologi yang ada di sini ialah Tapak Arkeologi Kota Tampan (pusat pembuatan alat batu), Tapak Arkeologi Bukit Bunuh (tapak kesan impak dari batu metrolit), Tapak Arkeologi Gua Gunung Runtuh (Perak man dijumpai), Tapak Arkeologi Bukit Jawa (debu gunung berapi Toba dijumpai), Tapak Arkeologi Gua Kajang, Tapak Arkeologi Gua Harimau, Tapak Arkeologi Gua Ngaum, Tapak Arkeologi Gua Asar, tapak Arkelogi Gua Puteri, Tapak Arkeologi Gua Teluk Kelawar, Tapak Arkeologi Gua Badak, Tapak Arkeologi Gua Dayak dan sebagainya.



Korang juga boleh melihat petak-petak eskavasi yang masih ada di tapak-tapak ini hasil daripada kerja-kerja penyelidikan para penyelidik terdahulu. Tapi sebelum korang pergi ke sini...pastikan korang telefon dulu kakitangan di sini atau menulis surat secara formal sekiranya korang datang dalam kumpulan yang besar dan memerlukan jurupandu untuk taklimat di dalam galeri. Kalau tak.....korang kena layan diri korang sendiri...



Kat sekitar Lenggong ini juga ada taman rekreasi untuk keluarga. Pekannya pula...ala-ala pekan koboi. Aku kalau gi Pekan Lenggong ni...memang tak sah kalau tak pekena sup dekat Jabatan Pertanian. Memang tebaik laa!!





Jangan lepaskan peluang untuk melawat ke Galeri Arkeologi Lenggong nii...memang lain daripada yang lain. Tapi kalau tak salah aku...galeri ini sekarang dalam proses untuk kerja-kerja menaiktaraf untuk kemudahan pengunjung...galeri nii nak dibesarkan lagi. Pesekitarannya pula memang mendamaikan dan dikelilingi dengan pokok kelapa sawit serta bukit bukau. Banyak juga homestay dan resort yang di sediakan di kawasan ini untuk pengunjung menginap.

Sekian.