Friday, 19 August 2016

Pengalaman Menderma Darah....

Assalammualaikum dan  Salam Sejahtera,




Takut nak menderma darah??? Ramai yang rasa takut dan gerun untuk menderma darah kerana jarum dan mungkin juga ada yang pitam bila tengok darah......Korang ingat aku tak takut ke?? Dah lama aku pendamkan keinginan untuk menderma darah....atas dasar satu tanggungjawab membantu sesama manusia tapi....perasaan takut dan berdebar sering menghantui sebab ramai yang mengatakan ianya sakit.
 



Pada tahun 2012...aku kuatkan juga semangat untuk menderma darah dan alhamdulillah untuk pertama kalinya aku memang rasa tak sakit pun!! Layanan yang diberikan oleh petugas juga sangat memuaskan...






Bermula dari situ...jika ada kesempatan dan kesihatan mengizinkan aku akan terus menderma darah. Kalau korang dah memang ada niat nak derma darah...teruskan jerr jangan fikir apa-apa yang menakutkan. Lagipun niat korang baik...





Sebenarnya....Pusat Darah Negara dan tabung darah di hospital seluruh negara sering berdepan dengan stok darah yang kritikal. Pada masa tertentu, bekalan darah dikatakan tidak mencukupi kerana penderma darah kurang serta gagal menampung keperluan semasa.


Satu unit darah yang dikeluarkan dari badan penderma dapat menyelamatkan nyawa penerimanya seperti mangsa demam denggi, mangsa kemalangan, ibu yang mengalami tumpah darah selepas bersalin, bayi yang memerlukan pertukaran darah, pesakit talasemia, pesakit anemia, mangsa kebakaran, pesakit leukemia dan pesakit haemifilia.





Darah adalah ‘kuasa’ menggerakkan aktiviti badan seperti petrol menghidupkan enjin. Setakat ini belum ada unsur lain dapat menggantikan fungsi darah. 


Bahkan, darah manusia tidak boleh dimasukkan ke dalam badan orang lain jika tidak mengikut jenisnya. Manusia mempunyai empat kumpulan darah iaitu O, A, B dan AB. Kumpulan darah O boleh menerima darah daripada kumpulan darah O saja. Bagaimanapun darah itu boleh didermakan kepada semua penerima. Kumpulan darah AB hanya boleh didermakan kepada individu kumpulan darah yang sama, tetapi boleh menerima semua kumpulan darah. Begitulah uniknya darah. 



Islam menggalakkan amalan tolong-menolong, terutama dalam soal yang penting ini. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat dua bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu di atas kebaikan dan taqwa, dan jangan kamu bertolong-tolongan di atas dosa dan penindasan.” Hukum menderma darah adalah harus, yakni boleh dilakukan. Ia berdasarkan kepentingan pemindahan darah yang tanpanya menyebabkan mangsa menghadapi maut atau penyakit tidak sembuh. 




Di dalam badan manusia mengandungi sembilan hingga 10 pain darah. Individu mengalami kekurangan darah melebihi tiga pain akan menghadapi masalah perjalanan fungsi organ badan yang boleh membawa maut.

Menderma darah bukan saja tidak membahayakan diri penderma, bahkan dianggap satu amalan menjaga kesihatan. Sebelum bakal penderma darah menderma darah, tahap kesihatannya perlu diperiksa terlebih dulu bagi memastikan tidak ada kesan buruk terhadapnya selepas menderma darah. 





Proses menderma darah amat mudah dan mengambil masa singkat. Penderma darah tidak mengalami rasa sakit ‘keterlaluan’ sepanjang proses menderma darah. 


Setiap orang boleh menderma darah setiap tiga atau empat bulan sekali untuk proses pendermaan cara biasa. Bagaimanapun, jika melalui kaedah Aferesis, yakni proses mengeluarkan plasma dan platelet dan kemudian mengembalikan semula sel darah merah kepada penderma dengan menggunakan mesin khas, penderma boleh melakukan lebih kerap berbanding cara biasa.


Kita tidak akan mengalami masalah kekurangan darah, kerana secara semulajadi badan menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel darah yang musnah akibat 'tua' selepas (120 hari). Sama ada didermakan atau tidak, darah berkenaan tetap akan musnah dalam badan kita, jadi lebih baik jika ia dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.

Malah, pendermaan darah juga sebenarnya merangsang badan untuk menghasilkan lebih banyak sel darah baru yang mempunyai keupayaan lebih baik untuk membawa oksigen ke seluruh badan, membuatkan kita berasa lebih segar dan sihat. Pada masa sama, kecekapan badan untuk menggunakan zat besi akan meningkat kerana ia diperlukan bagi menghasilkan sel darah merah yang baru.


Keistimewaan ini diberikan kepada penderma yang menderma di Pusat Darah Negara dan lain-lain Tabung Darah di Hospital Kerajaan.




Kekerapan mendermaKeistimewaan rawatan
1 kaliPercuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan (tidak termasuk bayaran X-ray dan pembedahan) dan wad kelas dua untuk tempoh 4 bulan.
2 kali (dalan tempoh 12 bulan)Percuma suntikan pencegahan Hepatitis B
2 ~ 5 kaliPercuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 4 bulan.
6 ~ 10 kaliPercuma rawatan pesakit luar selama 1 tahun dan rawatan perubatan kelas dua untuk tempoh 6 bulan.
11 ~ 15 kaliPercuma rawatan pesakit luar selama 2 tahun dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 1 tahun.
16 ~ 20 kaliPercuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 2 tahun.
21 ~ 30 kaliPercuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas dua untuk tempoh 3 tahun.
31 ~ 40 kaliPercuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 4 tahun.
41 ~ 50 kaliPercuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 6 tahun.
Lebih 50 kali (bagi penderma darah penuh) dan Lebih 150 kali (bagi penderma aferesis)Percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk tempoh 10 tahun dan wad kelas dua seumur hidup selepas 10 tahun di wad kelas satu.

APAKAH YANG ANDA PERLU LAKUKAN SELEPAS MENDERMA DARAH?



1.    Sila ambil sedikit minuman / makanan yang disediakan sebelum beredar


2.    Ambil sebiji zat besi & folic acid setiap kali selepas makan seperti yang dibekalkan

3.    Berhati-hati semasa memandu kereta atau motosikal atau bekerja dengan mesin

4.    Elakkan dari aktiviti sukan / senaman yang berat atau mengangkat barang yang berat dalam tempoh 8 jam

5.    Elakkan minuman keras / merokok

6.    Dinasihatkan minum lebih banyak air putih dalam tempoh 24 jam selepas menderma

7.    Jika anda mengalami sebarang reaksi / pitam baringkan diri dengan kedua-dua kaki dinaikkan untuk beberapa minit

Jadi tak perlulah rasa takut untuk menderma darah kerana ia merupakan sumbangan yang murni untuk menyelamatkan nyawa insan lain. Mungkin waktu ni korang bantu insan lain dan akan datang ada insan lain yang dapat membantu korang pula....

 Sekian.
 Setitik Darah Sejuta Makna

No comments:

Post a comment