Tuesday, 30 August 2016

Keunikan Yang Terdapat Pada Masjid Ihsaniah Iskandariah, Kuala Dal...

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,



Hai korang...semoga semuanya berada dalm keadaan yang sihat-sihat saja yea... Hari nii aku nak story mory tentang sebuah bangunan warisan. Kalau korang lalu di kawasan Kuala Dal...pasti korang akan menoleh dua kali ke arah masjid kelarai ini.... Dan mungkin jugak korang akan berhenti untuk meninjau lebih dekat senibina masjid ini. Masjid ni terletak di tepi jalan jerr, memang korang senang nak nampak.... Lagi pun warnanya sangat menonjol dan sama dengan warna bendera Negeri Perak...kuning, putih dan hitam. Masjid ini dulunya terbiar tanpa penjagaan rapi tetapi kini ia telah dipulihara bagi mengekalkan semula ciri-ciri istimewa yang ada pada masjid ini.



Masjid Ihsaniah Iskandariah atau lebih dikenali dengan nama Masjid Kampung Kuala Dal ini terletak kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar....berhampiran dengan tol Kuala Kangsar tapi korang kena masuk simpang sebelah kiri, kalau korang masuk ikut simpang kanan...korang akan terus ke bandar Diraja Kuala Kangsar dan kalau korang terus, korang akan menuju ke Grik. Keunikan masjid ini terserlah pada reka bentuk binaannya dan keseluruhan dindingnya dibina berasaskan anyaman buluh minyak.



Keistimewaan lain yang terdapat pada masjid dua tingkat ini boleh dilihat daripada reka bentuk segi empat bujur atau turut dikenali bujur sangkar burung. Ia mempunyai 20 buah tingkap dan setiap tingkap dihiasi dengan ukiran motif insang ikan yu dan pucuk kacang. Pada kepala tingkap diserikan dengan ukiran bulan sabit serta bintang pecah lima. Jumlah tingkap yang banyak menjadikan bahagian dalam masjid ini sentiasa cerah, nyaman dan selesa untuk beribadat.



Setiap sendi kayu dinding tepas dihiasi dengan ukiran sekuntum bunga tikam seladang sebagai daya penyeri pada hiasan dinding. Keseluruhan dinding Masjid Ihsaniah Iskandariah diperbuat daripada anyaman buluh yang dikenali sebagai 'Kelarai Bunga Potong Belian'. Ia merupakan salah satu seni bina bagi rumah tradisional Melayu di Perak.



Menurut catatan sejarah, pembinaan masjid ini dibiayai sepenuhnya oleh Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah pada tahun 1936. Reka bentuk dan hiasan masjid ini turut dihasilkan sendiri oleh baginda berdasarkan seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan. 

Ianya dibina bagi menunaikan nazar Baginda Sultan apabila salah seorang anakanda baginda sembuh daripada gering. Hasrat Baginda Sultan timbul apabila melihat masyarakat tempatan yang menunaikan solat berjemaah di sebuah madrasah di kampung berkenaan setelah pulang dari berkelah di Lata Bubu. Justeru itu, Baginda Sultan bernazar untuk memberi sumbangan wang sebanyak RM 8,000.00 bagi membina sebuah masjid baru di atas sebidang tanah wakaf pemberian Juragan Abdul Shukur bin Mohamad Ali.


Pembinaan masjid ini dilakukan oleh tukang kayu berbangsa Cina dengan kerjasama penduduk kampung secara bergotong-royong.
 


Masjid ini mempunyai dua aras. Di tingkat atas terdapat ruang mihrab yang mengunjur keluar menghadap arah kiblat dan digunakan sebagai ruang solat. Sementara tingkat bawah pula dijadikan ruang untuk aktiviti keagamaan masyarakat setempat seperti kelas mengaji al-Quran dan juga kenduri-kendara.



Masjid ini disokong dengan lapan batang tiang daripada kayu kempas. Kerja-kerja menganyam dinding tepas dilakukan secara gotong-royong bersama penduduk kampung yang diketuai oleh Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulop Ngah.




Di setiap penjuru masjid ini terdapat empat buah menara yang agak terkeluar sedikit daripada dinding utama. Ruang-ruang yang terkeluar itu berbentuk segi empat tepat yang berukuran ( 3’ x 3’). Bumbung masjid ini pula berbentuk limas bungkus dengan menggunakan bahan zing yang merupakan bahan esklusif pada waktu itu.


Masjid ini telah tidak lagi digunakan sejak tahun 1976 setelah adanya masjid baru iaitu Masjid Al-Wahidiah. Masjid ini terbiar lebih 30 tahun dan hampir menyembah bumi tetapi akhirnya dapat diselamatkan serta dipulihara oleh Jabatan Warisan Negara pada 2008.
  



Pensyarah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak Dr Siti Norlizaiha Harun berkata, sepanjang kerja-kerja konservasi dilakukan, pihak Jabatan Warisan Negara menghadapi pelbagai halangan terutama dalam penyediaan dinding tepas berikutan ketiadaan tukang mahir dalam seni anyaman disamping kekurangan bahan iaitu buluh minyak tempatan untuk dibuat dinding kelarai. Bagi mengatasi masalah tersebut, pihak jabatan terpaksa mendapatkan tukang membuat anyaman serta buluh ini dari Arau, Perlis kerana hasil seni anyamannya hampir sama dengan anyaman yang asal. 




Kerosakan utama pada masjid ini adalah daripada segi struktur kayu bumbung yang telah mereput dan patah. Tiang, gelegar dan papan lantai juga mengalami kerosakan akibat pereputan dan serangan anai-anai.




Panel dinding juga mengalami pereputan. Bilah buluh pula telah pecah. Pelunturan warna cat berlaku dan hamper semua panel kayu ditumbuhi lumut serta kulat menyebabkan rupa bangunan ini kelihatan begitu using. Daun pintu dan juga tingkap termasuklah ukiran yang terdapat pada dinding juga telah patah, hilang dan mereput.



  

Kerja-kerja konservasi masjid ini dijalankan dengan penuh berhati-hati dan mengikut Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan Warisan bagi mengekalkan keaslian seni bina asalnya.





Majlis penyerahan semula masjid ini telah diadakan pada 17 Dis 2009 yang lalu dan Datuk Zuraina Majid, Pesuruhjaya Warisan telah menyerahkan replika kunci kepada Pengerusi Masjid Ihsaniah Iskandariah ini di Kampung Kuala Dal iaitu Encik Jaafar Mohamad setelah kerja-kerja konservasi siap dilakukan.







Masjid ini merupakan salah sebuah bangunan yang menarik serta unik dan mesti korang kunjungi apabila korang tiba kat bandar Diraja Kuala Kangsar nii... Rugi tau kalau korang tak singgah....macam tak lengkap lawatan korang tuu. Selepas korang lawat masjid ini korang pi lawat jugak Istana Kenangan yang mempunyai senibina yang hampir sama dengan masjid ini. Mesti korang kagum dan terpegun punya...ate apa lagiiii..... Moh La Kita Ke Perak Weii...

Aku harap masjid ini akan terus teguh berdiri dan dijaga dengan sebaiknya untuk tatapan generasi akan datang walaupun kerja-kerja penyelenggaraan masjid ini memerlukan peruntukan yang agak tinggi serta berterusan. Perancangan yang baik perlu disediakan bagi memastikan masjid ini kekal terpelihara.





Sekian.

No comments:

Post a Comment