Thursday, 18 August 2016

Book Review: Tuan Direktur - HAMKA

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,


Hai korang semua...Apa khabar yea.. Hari nii aku nak review tentang sebuah novel yang sangat bagus. Buku ini antara buku yang terbaik pernah aku baca. Karya HAMKA ini banyak pengajaran berguna dan menginsafkan diri serta memberi kesan terhadap diri aku. Membaca buku ini memberi kepuasan tak terhingga pada diri aku... Aku suka buku ini. Walaupun buku ini nipis tapi pengisiannya sangat menebal dengan gaya penulisan yang ringkas tetapi menyentuh lubuk hati. Pada mulanya aku ingat buku ini berkisarkan tentang seorang pengarah filem atau drama...rupa-rupanya tidak.




Sinopsis

Tuan Direktur bukanlah berkisar tentang direktor yang menyelenggara bidang perfileman. Tuan Direktur yang dimaksudkan dalam novel ini adalah Tuan Besar atau Orang Kaya. Maka, Tuan Direktur adalah merujuk kepada Jazuli seorang pemuda Banjar yang telah mencuba nasib berniaga di bandar Surabaya. Kejayaan Jazuli membina toko emas dan intan yang terbesar sehingga dikenali sehingga ke luar negara telah mengubah Jazuli menjadi seorang yang dahagakan pujian orang ramai dan takbur dalam mengejar kekayaan dan kehormatan. Dikelilingi oleh teman-teman yang hanya sekadar mengambil kesempatan kekayaannya seperti Mas Karto, Margono, Mr. Mustafa, Mr. Sumarta dan Kadri yang sentiasa memuja-muja Tuan Direktur lantas menjadikan beliau semakin lupa diri.
Pak Yasin pula adalah seorang lelaki tua yang pemurah dan peramah dengan sesiapa sahaja. Sikap Pak Yasin menjadi kesenangan kepada orang kebanyakan khususnya penyewa-penyewa di tapak tanahnya yang dibina tapak rumah sewa kecil. Penyewanya terdiri daripada kuli-kuli dan para penjaja yang kehidupan mereka tidak sentiasa senang. Walau bagaimanapun, di tapak tanah tersebut, Pak Yasin berbesar hati membina surau sebagai tempat berkumpulnya sesama mereka sekaligus menambahkan lagi pertautan hubungan bagai bapa dan anak-anak bukan sahaja pada waktu solat malahan ketika hari-hari kebesaran Islam. 



Kehidupan Pak Yasin walaupun serba kekurangan, namun kaya dengan budi bahasa, jiwa yang lapang dan falsafah kehidupan yang mengajak kepada keTuhanan telah menarik minat seorang pemuda, Fauzi untuk berdekatan dan bergaul dengan Pak Yasin. Fauzi bekas pengurus hotel Tuan Direktur yang dipecat telah mengambil keputusan untuk membina kehidupan sendiri dengan tujuan yang lebih jelas tanpa terpengaruh dengan kebendaan sebagaimana yang dipelajari daripada Tuan Direktur. Pertemuan dengan Pak Yasin telah mengubah prinsip hidupnya bahawa kesenangan di akhirat lebih utama.

Plot utama novel ini adalah kerakusan Tuan Direktur yang berhajat untuk mendapatkan tapak tanah Pak Yasin itu bagi membina kilang perusahaan kain. Setiap waktu, utusan dihantar untuk memujuk Pak Yasin agar menjual tanahnya dengan pelbagai suapan seperti diberi wang tunai dan makanan yang enak. Tetapi, semuanya ditolak dengan baik oleh Pak Yasin.




Klimaksnya pula, apabila Pak Yasin, Fauzi dan beberapa orang pelajar yang buta huruf serta Tuan Direktur sendiri telah ditangkap oleh pihak berkuasa atas fitnah melakukan rapat rahsia untuk menjatuhkan pemerintah. Peluang di penjara digunakan sebaik mungkin oleh Pak Yasin menyampaikan pesanan atau nasihat yang cukup pedih buat Tuan Direktur.

Novel ini juga memaparkan falsafah-falsafah kehidupan dan sindiran tajam yang disampaikan oleh HAMKA melalui watak Pak Yasin. Antaranya;
“…iaitu tindasan majikan kepada buruh, buruh hanya sebagai alat perkakas untuk pengayakan majikan dan majikan memandang buruhnya tidak ada harga, kecuali untuk penambah kekayaannya. Tidak kecil hati bapa keadaan itu kalau terjadi di tanah lain. Tetapi kecil hati bapa kalau terjadi di tanah yang dikongkong keislaman ini”

Hamka membuat banyak pengajaran di dalam setiap buku tulisannya. Dimana setiap manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada pada dirinya....sentiasa mahu lebih dan tamak. Manusia disanjung sebab kaya dan pangkat. Yang miskin dikeji serta dihina. Kekayaan sebenarnya bukanlah datang daripada harta tetapi daripada kasih sayang dan saling bertolak-ansur serta ikhlas dalm perbuatan. Bukan hanya saham dunia jer yang kita akan dapat tetapi saham akhirat juga dapat kita kumpul. InshaAllah. 
Sekian.

**jangan lupa yea follow blog aku....

No comments:

Post a comment